Rindu Awak 200% #4


BEBERAPA keping gambar yang tersisip dalam diari hariannya ditarik keluar. Seketika Faezrul merenung gadis bertudung di dalam gambar itu lantas membanting tubuh ke tilam. Untuk entah yang keberapa ribu kali dia mengimbau lagi kenangan lalu.

Kenangan yang tidak pernah mati dari ruang fikir selama bertahun-tahun lamanya. Dan barangkali sampai bila pun nama Nur Esyana Abdul Rahman akan terus mendiami hatinya.

“OKAY, done!” ucap Esyana sejurus sahaja menutup booth keretanya. Dia mengatur langkah menghampiri Faezrul yang sedang berdiri di pintu bahagian pemandu.

“Hai... lepas ni tak nampaklah manusia pelik belek pokok bunga waktu malam kat sebelah rumah.” 

Esyana tertawa kecil. “Itulah... lepas ni tak bolehlah jeling-jeling orang sebelah sidai baju waktu maghrib. Lepas tu dok kalut-kalut cari barang tertinggal dalam kereta. Pelik, hari-hari mesti ada barang tertinggal dalam kereta ke apa?” balas Esyana bersahaja.

Faezrul ketawa dengan respons spontan Esyana. “You know, you look stunning wearing this grey kebaya. Nampak klasik macam perempuan Melayu dulu-dulu. Ni rasa macam nak ikut sekali pergi Penang.”

“Dah jangan nak bukan-bukan ya.” Wajah Esyana sudah merona merah. Sejak akhir-akhir ini, dapat dilihat sikap Faezrul yang gemar bermanja mesra. Namun, dia sahaja yang bersikap batu seolah-olah tidak ada hati dan perasaan. Walhal setiap detik hatinya bagai dicuri oleh pemuda itu.

“Faez, Syana nak mintak maaf kalau selama ni Syana ada buat salah dengan Faez. Selalu menyusahkan Faez. Mana tahukan kot kot Syana terlepas pandang ke. Faez jaga diri. Syana pun mungkin tak dapat selalu contact Faez sepanjang kursus ni. Aktiviti Syana terlalu padat kat sana,” tutur Esyana sayu.

“Baiklah, Cikgu Syana. Buat apa nak mintak maaf bagai ni? Ish... Just focus on the course okay? Nanti dah sampai Penang jangan lupa bagitahu,” pesan Faezrul pula. Wajah manis bertudung merah jambu itu direnung dengan rasa kasih.

Tiga tahun perkenalan begitu mendekatkan dia dengan gadis itu. Dalam ramai gadis yang ditemui, akhirnya dia jatuh hati pada jiran yang tinggal di sebelah rumah. Setiap kali ingin ke tempat kerja, selalu sahaja dia terserempak dengan Esyana yang kebetulan ingin ke sekolah.

Pada mulanya mereka sekadar berbalas-balas senyuman. Namun dek kejadian paip di dapur rumah sewa Esyana itu bocor, hubungan mereka kian akrab. Sehinggalah mereka merancang untuk mendirikan perkahwinan. Faezrul nekad untuk menamatkan zaman bujangnya.

Tambahan lagi, ibu bapa Esyana beberapa kali menggesa agar mereka berkahwin secepat yang mungkin. Sekurang-kurangnya tidaklah dia risau akan keselamatan anak tunggalnya itu di Kuala Lumpur. Sifat Esyana yang terlalu berdikari ada waktu merunsingkan mereka. Gadis itu nampak sahaja lembut tetapi hatinya cukup kuat.

“Insya-ALLAH, nanti lepas Syana balik dari Penang kita sama-sama cari barang hantaran kita okey? Haa... Faez nak kirim apa-apa tak?”

“Kirim sebelah hati ni mintak bawak kat sana sekali. Boleh?” kata Faezrul sambil tersenyum.

Esyana tergelak kecil. “Mana mana? Bak sini nak bawak masuk dalam bonet.”

“Bonet? Cis...”

Tawa Esyana meletus. Sungguh dia tidak betah setiap kali Faezrul mempamerkan kasih sayangnya. Namun jauh di sudut hati, perasaannya dibalut rasa bahagia. Demi ALLAH, betapa sayang dan kasihnya dia pada lelaki yang bakal menjadi suaminya itu.

“Dahlah... pergi cepat. Nanti lambat pulak sampai ke sekolah. Sekejap lagi orang lain dah pergi, Syana tertinggal kat belakang. Kita jumpa lagi dua minggu ya?”

Esyana memboloskan tubuh ke dalam perut kereta lantas beredar pergi meninggalkan perkarangan rumah sewanya. Tidak sampai seminit bayang gadis itu kabur dari pandangan, hati Faezrul mula bergetar rindu.

Selama dua minggu mereka jarang berhubung. Esyana begitu sibuk dengan aktivitinya manakala dia juga sibuk dengan urusan kerjanya. Jadi, ruang dan waktu untuk mereka bertanya khabar kian terhad.

Sehingga tamat tempoh kursus Esyana, Faezrul menanti gadis itu dengan rasa tidak sabar. Hingga pukul 1.00 pagi, kereta Esyana masih tidak kelihatan di garaj kereta rumah sewanya.

Ikutkan hati, mahu sahaja dia menghubungi Esyana tetapi nanti apa pula kata gadis itu. Memandangkan Esyana sudah memaklumkan dia akan pulang sebelum pukul 12.00 malam, dia tidak mahu beria-ia menghubungi gadis itu lagi.

Tiba-tiba dia menerima panggilan dari Jaslieyatul, rakan serumah Esyana. Entah kenapa perasaannya berdebar-debar ketika itu. Namun, dengan pantas panggilan itu disambut.

“Helo, Zill...” Suara Jaslieyatul Farhana kedengaran cemas. “Saya ada berita tak baik nak sampaikan pada awak ni....” Jaslieyatul berhenti seketika.

“Apa dia?” Dada Faezrul mula bergetar hebat.

“Syana accident. Kereta dia terbabas kat Lebuh Raya Putrajaya-Kajang pukul 10.00 malam tadi. Baru tadi Jas dapat panggilan telefon dari keluarga dia. Kita orang nak pergi HUKM sekarang. Zill nak pergi sekali tak?”

Jantung Faezrul bagai direntap kuat. Tanpa menanti lagi dia terus bergegas keluar dari bilik. Ketika di luar wajah Jaslieyatul, Sophia dan Anabila sudah berada di laman rumah mereka.

“Naik kereta saya ajelah,” tutur Faezrul lantas menghidupkan enjin keretanya.

Beberapa minit perjalanan akhirnya mereka tiba di hospital dan terus bergegas ke wad kecemasan di mana keluarga Esyana sedang menanti.

“Macam mana keadaan Syana mak cik?” soal Jaslieyatul sambil memandang tepat ke wajah Mardhiyah yang sudah sembap. Wanita itu terus menerpa lantas memeluk tubuhnya dan kemudian mengongoi di bahunya.
Perasaan Faezrul semakin tidak tentu arah. Dadanya sudah terasa sendat. “Macam mana dengan Syana, ayah?” soal Faezrul lantas duduk di sebelah Rahman yang tampak tenang. Namun, dapat dilihat matanya yang sudah bengkak kerana banyak menangis.

“Dah tiga jam dia dalam bilik kecemasan. Ayah pun tak tahu, Zill. Kita berserah ajelah pada ALLAH...” Bahu Faezrul ditepuk bersama sorotan mata yang sudar pudar cahayanya.

Faezrul kaku. Segala urat dan sendinya terasa lemah. Apatah lagi melihat Mardhiyah yang masih tidak berhenti menangis di bahu Jaslieyatul.

“Macam mana dia boleh accident, ayah?” soal Faezrul. Dilihat lelaki itu menyeka hujung matanya yang mula basah dengan air mata. Hiba rasanya melihat keadaan Rahman. Jika hatinya sudah terlalu risau dan bimbang, apatah lagi Rahman dan Mardhiyah. Esyana itu cuma satu-satunya anak mereka.

“Tayar kereta dia meletup. Lepas tu terbabas kat tepi jalan langgar divider. Sebelum pergi lagi ayah dengan mak dah larang dia bawak kereta sorang-sorang ke Penang tu. Suruh tumpang kawan, tapi dia tak nak,” cerita Rahman dengan nada suara yang bergetar.

Faezrul terdiam. Lidahnya sudah kelu untuk berkata-kata lagi. Waktu ini dia hanya mampu memanjat doa walau jiwanya sudah tidak terungkap lagi rasa takut untuk mendepani sebarang kemungkinan.

Tidak lama kemudian seorang doktor lelaki separuh abad datang menghampiri mereka. “Keluarga Cik Nur Esyana Abdul Rahman ke?”

“Ya... Saya ayah dia. Macam mana anak saya doktor?” soal Rahman. Wajahnya penuh pengharapan. Namun, riak mendung yang terlukis pada wajah doktor muda itu seakan-akan mampu dibaca.

Sejenak doktor muda itu terdiam. Pandangannya sayu. “Saya mintak maaf... TUHAN lebih sayangkan Cik Esyana. Kami dah lakukan yang terbaik untuk selamatkan nyawa dia. Tapi keadaan daya tahan tubuh dia terlalu lemah dengan pendarahan teruk di kepala menyebabkan dia tak mampu bertahan lama. Saya harap pak cik dengan mak cik redha dengan ketentuan ni ya?” Bahu Rahman ditepuk perlahan oleh doktor itu.

Mardhiyah menekup mulut. Dia menangis semahu-mahunya. Anabila, Sophia dan Jaslieyatul juga sudah teresak hiba berpelukan antara satu sama lain.

Faezrul terpempan. Tubuhnya hampir rebah ke lantai. Benarkah? Benarkah Esyana sudah pergi meninggalkannya yakni gadis itu tidak akan muncul lagi di depan mata buat selamanya. Rasanya baru semalam dia melihat gadis itu, tersenyum dan tertawa. Mana tahu pertemuan itu merupakan pertemuan terakhir buat mereka.

Seperti baru semalam dia mendengar suara lunak Esyana mengungkap kata maaf kepadanya. Sekelip mata, gadis itu sudah pergi meninggalkannya. Semuanya dirasakan seakan mimpi. Namun apalah kudratnya untuk memalsukan hakikat jika ia benar-benar sudah berlaku.

Faezrul akur kini walau rasa hatinya terus diselangi hiba yang pedih. Namun dia harus tunduk dengan iradat yang sudah tertulis oleh-NYA. Namun, air mata yang ditahan mengalir jua akhirnya.

Pergilah Esyana. Semoga kau aman di sana.

2 comments:

Anonymous said...

Sedehlah bab ni kak, merembes-rembes air mata jantanku ini. Haha. Nak nak lagu sedeh juga, sekaligus tersendu jadinya.

Amer Mukhlis

LZ's Novel said...

Hahahaha.. Mcm ni pon blh sedeh shingga terembes2 ayak mata? Aiyakk..