Rindu Awak 200% #Bab 20

“NAIK ni?” soal Armel seraya menuding jari ke arah motosikal Yamaha Lagenda merah yang dinaiki oleh Faezrul. Matanya seperti mahu terjojol memandang Faezrul.

“Yalah... Habis tu awak nak jalan kaki?” soal Faezrul sambil memandang wajah isterinya yang sudah berkerut-kerut. Dah macam rupa manusia tak pernah tengok motor aje lagaknya.

Makin terbuntang biji mata Armel memandang suaminya itu. “Mana I reti naik motor macam ni! Tak naklah!” Dia membentak geram.

“Tak reti? Naik motor pun tak reti? Awak ni datang dari hutan ke apa naik motor pun tak pandai?”

“Apa?!” Mata Armel terjegil. Mulut lelaki ni semakin hari memang semakin terasa bisanya. Makin lama makin menyakitkan jiwa dan raga.

“Tak apa, tak apa. Esok lusa saya order superbike Honda Fireblade ya?” Faezrul masih ingin menyakat dengan riak wajah yang bersahaja. 

Hee... jawapan tu kalau tak menyakitkan telinga aku ni memang tak sah! “Naik ajelah kereta, apa salahnya? Kalau susah sangat, biar saya je yang drive!” Armel merengus di hujung kata.

“Jalan kampung ni sempit, Cik Puan Armel Aisya Mohd. Zahirin. Kalau bawak kereta nak berhenti nanti susah. Naik motor kan lagi senang. Nak berhenti ke apa, takdelah menyusahkan orang.” 

Wajah Armel sudah cemberut. Tidak pernah seumur hidupnya membonceng motosikal seperti itu. “Siapa suruh you berhenti? I tak suruh you berhenti pun.”

“Yalah... kan saya nak bawak awak tengok pokok beras. Awak jugak beria-ia cakap kat abah tadi nak tengok pokok beras, kan? Naik kereta leceh nak berhenti kat tepi jalan, orang nak lalu-lalang payah. Kalau naik ni, nak masuk dalam sawah padi tu pun boleh kalau awak nak.” 

Armel mendengus. Makin sakit hati apabila Faezrul mengejeknya dengan frasa ‘pokok beras’. Ikutkan hati ingin sahaja ditenyeh-tenyeh mulut itu sampai berbuih.

“Kalau awak tak nak naik, tak apalah. Saya pergi sorang ajelah kalau macam tu. Saya pun dah lama tak jalan-jalan kat kampung ni jumpa kawan-kawan lama. Awak duduk ajelah kat rumah ni. Dia orang semua pun ada kat atas tu. Kot-kotlah awak nak main dengan budak-budak ni ke? Kan?” ucap Faezrul dengan selirik senyuman pada wajahnya sambil memandang ke arah beberapa orang anak buahnya yang sedang ligat bermain di laman. Bukannya dia tidak tahu Armel cukup tidak senang dengan keletah anak-anak buahnya. Memang tidak ada rasa keibuan langsung perempuan ni.

Seketika Armel melarikan pandangan ke arah anak-anak saudara Faezrul yang leka bermain. Sesaat kemudian pandangannya kembali menatap dinding wajah Faezrul. Masih ada senyuman pada bibir lelaki itu.

“Hee!” Armel merengus geram. Tanpa menanti lagi dia menaiki motor itu. Sengaja dihentak-hentak sehingga bergoyang-goyang kenderaan bertayar dua itu.

“Hai... awak ingat ni kuda ke apa?” 

“Hee! Jalan ajelah!” marah Armel bengang sambil menampar bahu lelaki itu.

Faezrul menahan tawa. Namun, dia sendiri hairan dengan dirinya sendiri. Mengapa dia suka benar menyakat gadis itu?

KEHIJAUAN sawah padi yang terbentang luas begitu memukau pandangan. Tona biru langit petang kelihatan cantik kontra dengan bendang yang menghijau. Julung kali melihat panorama seakan itu di depan mata membuatkan dia Armel lupa seketika pada keadaan hatinya yang walang. 

Sungguh ini merupakan satu ketenangan mutlak yang dirasa buat pertama kalinya. Breathtakingly beautiful! Akan tetapi rasa dan perasaan itu hanya disimpan dalam hati. Dia tidak mahu Faezrul mengesan sebarang stimulasi positif dari dirinya.

Setelah beberapa minit melewati bendang yang luas di kiri dan kanan jalan, akhirnya Faezrul memberhentikan motosikalnya di satu kawasan lapang yang dipenuhi dengan pokok-pokok padi yang menghijau di sekeliling. 

Kesekian kali, pandangan Armel bagai dipukau dek keindahan pemandangan di hadapannya. Tidak jauh dari situ kelihatan sebuah pondok kecil yang berdiri di tengah-tengah sawah. ‘Cantiknya suasana di sini. Rugi pulak tak bawak polaroid,’ desis hatinya.

“Jom?” ajak Faezrul sebaik sahaja mereka turun dari motosikal. Dia menapak ke depan tanpa menanti sebarang respon dari Armel. Armel hanya menurut langkah pemuda itu tanpa sebarang kata. Sememangnya hatinya terasa begitu teruja untuk mampir ke pondok kecil yang dilihat itu.

“Awak nak pergi sana tak?” soal Faezrul seraya menuding jari ke arah pondok di tengah sawah itu.

“Ada apa kat sana?” 

“Apa yang awak nampak dari sinilah,” jawab Faezrul selamba. 

Bagai dijentik rasanya mendengar jawapan lelaki itu. Suara dan nadanya kedengaran seakan-akan kombinasi yang ideal untuk melahirkan rasa-rasa sakit hati di jiwanya. Apa ilmu lelaki ni pakai gamaknya? Muka tu pun sama! Muka mintak penunjal jari hantu!

“Awak nak pergi ke tak nak ni?”

Armel menarik muka. Pandangannya dihala ke arah lain. Namun, tiba-tiba dilihat Faezrul terlebih dahulu melangkah meninggalkannya. ‘Lelaki ni, geramnya aku!’ Lantas dia menapak mendapatkan Faezrul yang sedang mengorak langkah ke petak sawah menyusuri batas-batas kecil di situ.

Faezrul berpaling ke belakang. Dilihat Armel dengan wajah tidak puas hatinya sedang menghampiri. 

“Kenapa you suka sangat menyakitkan hati orang?” marah Armel tanpa mampu dikawal-kawal lagi. ‘Ikutkan hati nak aje aku selam-selam kepala kau dalam paya ni!’

“Hati orang, bukan hati awak,” balas Faezrul dengan suara yang mendatar. Baginya wajah seperti singa betina kebulur itu cuma ibarat seekor tikus mondok yang sedang menggigit kain perca sahaja. Seketika dia membayangkan wajah isterinya itu seperti wajah seekor tikus. Tidak semena-mena dia tertawa kecil.

“Habis I ni bukan orang?” Seperti hendak terkeluar-keluar biji mata Armel memandang wajah pemuda di hadapannya itu.

“Eh, ya tak ya, lah. Saya ingatkan awak tikus padi tadi.”

Pantas sahaja tangan Armel menampar lengan Faezrul sekuat hati. Lelaki itu benar-benar menaikkan api kemarahannya. 

“Awak ni nak marah aje. Saya cakap main-main pun awak nak ambil hati.” Wajah Armel direnung tepat. Setiap perilakunya seakan-akan tidak pernah kena di mata gadis itu.

“Hei, kalau nak bergurau ada caranya. You tu bercakap ikut sedap mulut aje. Anoyying tahu tak?” Ya, cara tutur kata lelaki itu amat menyakitkan hati. Seperti bilah-bilah tajam yang menghiris telinganya. Hairannya, semakin dijawab hatinya pula yang sakit sendiri. Lelaki itu cukup pandai buat muka selamba. 

“Okeylah... kita pergi kat pondok tu sekejap ya? Kita duduk dekat situ sekejap lepas tu kita balik. Boleh?” Faezrul seakan-akan ingin memujuk. Namun, nadanya masih kedengaran seperti ingin mengusik.

Satu jelingan dilemparkan ke arah Faezrul. Namun, entah kenapa rasa hatinya bagai terbuai seketika dengan tutur kata yang kedengaran lembut dari lelaki itu. 

Faezrul mengisyaratkan matanya mengajak Armel menurut langkahnya. Bagai dipengaruhi satu kuasa, Armel hanya mengikut pemuda itu dari belakang. 

Perlahan-lahan dia meniti batas yang membentuk petak-petak sawah itu. Permukaannya yang berair membuakan selipar yang dipakai sedikit tenggelam tatkala dipijak. Dilihat Faezrul semakin jauh meninggalkannya. Tiba-tiba, entah macam mana kakinya terperangkap dalam selut. Terbenam ibarat digam-gam. Sedaya upaya dia mengimbangi tubuhnya agar tidak jatuh. “Faez!” jeritnya. 

Faezrul yang tadi pantas melangkah berpaling ke belakang. Dilihat Armel sedang terpacak di tengah-tengah batas sambil cuba menarik keluar kaki dari selut. Dia tertawa kecil di situ sebelum melangkah mendapatkan Armel.

“Apasal tak cabut aje selipar ni? Awak tarik macam ni, sampai subuh esoklah jawabnya melekat kat dalam selut ni. Hisy!”

“Nak cabut macam mana kalau dah macam ni? Eee...” Armel mendengus geram. Tak reti nak sabar langsung!

“Sekejap... awak berdiri diam-diam. Jangan tarik kaki tu. Tanggalkan dulu selipar ni.” Faezrul sudah menghulurkan tangannya untuk membantu Armel mengimbangi tubuhnya. 

Namun belum pun sempat menerima arahan, selipar Armel sudah terputus akibat ditarik dengan daya kekuatan kakinya. Natijahnya, tubuhnya hilang imbangan. Namun, dengan cepat tangan Faezrul menarik tubuhnya lantas dipaut sekuat yang mungkin. Sepantas kilat tubuh Armel sudah berada di dalam dakapannya.

Seperti ada renjatan yang berlaku antara mereka, masing-masing terpaku, memandang antara satu sama lain. Beberapa saat kemudian mereka seakan-akan tersedar sendiri. Dengan pantas pelukan dileraikan. 

“Selipar awak dah putus.” Faezrul bersikap bersahaja seakan-akan tidak ada apa-apa berlaku antara mereka seraya mengangkat selipar Roxy berwarna ungu itu ke arah Armel.

“Habis tu macam mana I nak jalan ni? Tengok ni! Kotor tahu tak?” Armel membentak sambil menunjukkan kedua-dua kakinya yang sudah berlumuran lumpur.

“Tak kotor... Selut ni tanah aje bukannya najis. Awak tu pun asal dari tanah,” sindir Faezrul. Terasa pedih hati dan telinga Armel mendengarnya. Geramnya aku.

“Nah, awak pakailah selipar saya ni.” Faezrul menanggalkan kedua-dua seliparnya. 

Armel terpinga-pinga sambil memandang selipar Faezrul yang sudah ditanggalkan itu. Kemudian pandangannya terkalih pada wajah suaminya itu.

“Pakailah... Lagipun bahaya kalau awak tak pakai selipar. Takut terpijak apa-apa nanti saya jugak yang susah.” Memang dah cukup menyusahkan rasanya menghadap gadis yang cerewet seperti itu. Namun, dia masih bersabar selagi termampu. Apalah sangat bebelan mak nenek itu jika hendak dibandingkan dengan keceluparan mulut Armel selama ini.

Armel terus menyarung selipar milik Faezrul. Besar bukan main. Dah macam perahu kaki lelaki ni. Namun, entah kenapa ada rasa halus yang menyentuh hatinya membuatkan dia rasa serba salah. Apatah lagi melihat kaki Faezrul tanpa sebarang alas itu. Ah lantak kaulah. Kau yang nak bagi sangat selipar kau kan? Bukan aku mintak pun.

Batas yang berselut itu benar-benar menyukarkan pergerakkan Armel. Sesekali kakinya terbenam juga. 

Seketika Faezrul menoleh ke belakang. Dilihat isterinya itu masih terkial-kial menapak di batas kecil itu. Kedua-dua seliparnya masih terpegang di tangan. Sayang sangat selipar tu gamaknya. Atau dia fikir selipar itu boleh dijahit semula barangkali.

Tiba-tiba Faezrul menghulurkan tangannya ke arah Armel membuatkan gadis itu tergamam beberapa ketika. Bagai didorong satu bisikan halus, dia menyambut huluran tangan pemuda itu lantas berjalan seiring sehinggalah sampai ke pondok kecil di tengah sawah.

Bayu yang bertiup kuat terasa begitu nyaman menyapa tubuh mereka di pondok kecil itu. Liuk lentok pokok padi yang menurut arah tiupan angin mencipta melodi alam yang kedengaran gemersik di telinga. 

“Eee... apa tu?” Suara Faezrul memecah lamunan Armel. Jari lelaki itu tertuding ke arah kakinya. Serentak pandangannya terarah pada ‘objek’ hitam yang melekat dicelah ibu jari kakinya. Diamati seketika daripada jarak yang lebih dekat lantas disentuh. Lembik dan licin.

“Benda apa ni?” Dahinya sudah berkerut-kerut mengenalpasti objek di kakinya itu. 

“Awak pernah dengar perkataan linch?” 

“You must be joking right?” Bagai hendak tersembul biji mata Armel mendengar perkataan itu. Seumur hidupnya dia tidak pernah melihat haiwan itu di depan mata. 

“Bergurau apa? Itulah dia bendanya.” Faezrul ketawa. 

Serentak Armel dapat mengenalpasti haiwan berlendir yang melekat di celah jari kakinya itu. Jeritannya mula kedengaran. Kakinya dilibas-libas dan dihentak-hentak sesuka hati. Habis tercampak selipar Faezrul yang tersarung di kaki. Namun lintah itu masih melekat di situ.

“Tolonglah buangkan! Eeeeee!” Tubuh Armel sudah menggeliut kegelian. Rasa nak terkencing pun ada.

“Biarkan ajelah dia kat situ. Bukan boleh mati pun.” Faezrul masih ingin menyakat. 

Tiba-tiba baju Faezrul ditarik. “I said throw it away!” Armel menjerit sekuat hati. Ikutkan hati mahu sahaja dia melalak di situ. Sungguh dia benar-benar geli akan haiwan kecil berlendir berwarna hitam pekat itu.

Seketika wajah Armel diperhati. Jelas rasa takut itu terzahir pada riak wajah isterinya itu. Timbul pula rasa kasihan di hatinya. Lantas kaki Armel dipegang lalu dibawa ke pahanya.

Perlahan-lahan lintah itu ditanggalkan. Armel memejam matanya rapat. Menahan rasa geli yang amat tatkala terasa tekstur kulit haiwan itu di kakinya. 

“Ya ALLAH... banyaknya darah! Hisy, kena bawak pergi hospital ni.” 

Suara Faezrul membuatkan mata Armel terbeliak besar. “Mana?” soalnya dengan suara seperti ingin menangis. Dia membelek-belek kakinya. Memang ada kesan darah di celah ibu jari kaki. 

“Tak ada pun. Darah sikit aje bekas kena gigit. Takut sangat...” tutur Faezrul bersahaja. 

“Mana dia?” soal Armel sambil mencari-cari lintah tadi di atas tanah.

“Dia? Tu... kenapa awak nak bawak balik? Goreng tepung sedap tu.” Faezrul masih mengusik sambil menuding jari ke arah lintah yang sudah tergolek di atas tanah.

“Eeei...” Armel mempamerkan reaksi kegelian melihat lintah yang sudah kekenyangan mengisap darahnya tadi. Tiba-tiba dia bingkas menyarung selipar lantas memijak-mijak lintah itu sekuat hati dengan sumpah seranah yang entah apa-apa keluar dari mulut. 

“Padan muka! Hisap darah aku lagi!” gumam Armel. 

Faezrul ketawa geli hati. “Macam tu sekali ek?”

“I tak derma darah I free free kat binatang ni tahu? You tahu lintah tu kotor dan bila dia gigit kaki I, bakteria-bakteria yang ada kat badan lintah tu berjangkit kat kulit I?”

Tu dia... Sekritikal itukah gadis ini berfikir? Seketika kemudian dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Kamera diaktifkan dan kemudian dihalakan ke wajah Armel. Tap! Satu imej Armel terakam di dalam telefonnya. Dia tergelak kemudiannya. Mahal gambar ni!

“Patutnya awak berterima kasih kat lintah tu sebab hisap darah awak yang tak berapa nak bersih tu. Awak tahu tak bila seekor lintah tu hisap darah manusia, dia cuma hisap darah kotor? Cuba tengok lintah tu. Sebab tulah darah lintah yang awak pijak tu warna dia pekat. Oh, itu bukan darah lintah tapi darah awak. Tengok... kotorkan darah awak. Hai... tak tahulah pulak awak ni ada masalah obsessive compulsive disorder.”

“Whatever... I nak balik sekarang!” Tidak ada yang cantik lagi daripada mata Armel di sekitar tempat itu. Hatinya panas. Sakit hati dengan bidasan kata suaminya. Lepas tu boleh pulak dia snap gambar aku yang sedang menunjuk perasaan. 

“Aye aye captain!” sahut Faezrul. Tanpa menanti Armel, dia bangun lantas mengorak langkah mendahului Armel meninggalkan kawasan pondok itu. 

Armel terpinga-pinga. Sikap Faezrul seakan itu benar-benar membiuskan perasaannya. Matanya terpandangkan batas yang terpaksa dititi sekali lagi itu. Ah, bencinya!

No comments: