MAIN QUADRANGLE sekali lagi menjadi saksi majlis konvokesyen Universiti Chicago. Kali ini, musim bunga mengiringi minggu majlis konvokesyen yang diadakan di kawasan lapang yang luas dan terbuka itu.
Jubah graduan berwarna hitam tampak kontra dengan hijau rumput yang memenuhi hamparan lapang majlis konvokesyen itu.
Masing-masing tampak gembira meraikan hari bersejarah itu bersama rakan-rakan seangkatan. Namun, tidak bagi Armel Aisya. Hatinya dirundung seribu satu rasa persis sedang berada di majlis pengebumian.
Dua minggu sebelum majlis konvokesyen, dia menerima panggilan mamanya menyampaikan khabar yang hampir membuatkan jiwanya separuh gila. Kelantangan suara mamanya membahas kesalahan-kesahalannya terdahulu dari corong telefon masih terngiang-ngiang di telinga. Setiap khilafnya diungkit. Deria dengarnya seperti mahu lumpuh menadah amarah yang berapi-api dari mulut Raziqah.
Sungguhpun begitu, dia tidak melihat sebarang kewajaran dan relevan akan ‘hukuman’ Raziqah dengan kesalahannya. Langsung tidak masuk akal.
Sebaik sahaja pulang ke Malaysia, dia akan dikahwinkan dengan lelaki pilihan mama dan papanya. Jiwanya terselam jauh ke dasar yang dalam. Mana mungkin kedua-duanya sanggup menjahanamkan masa depannya begitu sahaja. Tak mungkin!
“Armel, what’s with you? Stand up!” tegur Belva rakan sekelas yang berasal dari Sepanyol dengan wajah ceria. Tangannya memberi isyarat menyuruh Armel bangun.
Armel terpinga-pinga. Dia melingas ke kiri dan ke kanan. Semua pelajar sudah bangun memberi tepukan gemuruh pada canselor yang tampil memberi ucapan. Lantas dia bangun. Satu per satu wajah pelajar lain dipandang. Tidak ada seorang pun monyok seperti dia. Semuanya ceria dan gembira meraikan hari itu.
GERAK-GERI Raziqah tidak lepas dari pandangan Zahirin. Raziqah ambil roti, buka penutup botol jem, capai pisau, sapu jem pada roti dan menghulurkan roti kepadanya. Sepanjang waktu itu, wajahnya serius tanpa senyuman. Namun, isterinya itu buat tidak peduli sahaja dengan pandangannya. Terus menyisip minuman di dalam cawan.
“Kot ya pun awak nak gertak Armel tu, tak payahlah sampai cakap nak suruh kahwin. Awak ni main lepas cakap aje. Kita kata dengan abang Iqbal nak kenal-kenalkan aje budak-budak tu. Nanti apa pulak kata abang Iqbal.”
“Anak awak tu kalau tak gertak, kalau tak ugut, bukannya nak mendengar kata. Biarkan aje! Tahulah macam mana saya nak uruskan nanti,” ujar Raziqah.
Zahirin menggeleng. Anak dengan mak sama aje, degil. “Kita nak kenalkan dia orang cara elok. Bukan memaksa. Awak cakap macam tu, nanti kang dia tak nak balik Malaysia macam mana? Awak dah tahu anak awak tu keras kepala, awak nak cucuk-cucuk dia lagi kenapa?”
“Itulah awak... sikit-sikit nak menangkan anak awak tu. Tengoklah bila dah besar, buat perangai tak senonoh. Saya malu, abang. Malu dengan kawan-kawan, dekat saudara-mara. Maknya bukan main ajar anak orang siang malam tapi anak...”
“Saya bukan nak menangkan, tapi awak tu... Cara awak tu tak betul. Saya kalau boleh, biarlah tunggu dia balik dulu baru slow talk dengan dia. Ini tak, belum apa-apa lagi awak dah bukak mulut. Tunggulah dulu kot ya pun.” Zahirin mengeluh.
“Tak apalah, abang. Biar saya aje yang cakap dengan Zill nanti. Tak pun, biar saya aje yang cakap dengan abang Iqbal.”
“Nak cakap apa pulak? Awak jangan nak merepek. Jangan buat malu saya.” Tindak tanduk Raziqah tidak boleh diramal juga. Sifat liberalnya itu ada waktu memeningkan kepala. Seperti juga Armel, apa sahaja ingin terlintas di kepalanya akan terus diluahkan tanpa mengira orang-orang di sekeliling.
“Lah... tujuan asal kita memang nak jodohkan dia orang kan?”
“Kita? Bukan idea awak ke?” Wajah Zahirin beriak ragu.
“Saya buat semua ni demi masa depan anak kita. Saya cuma nak yang terbaik untuk dia. Dia tu perempuan abang. Lepas kahwin, dia bukan tanggungjawab kita dah. Cuba abang bayangkan kalau dia kahwin dengan lelaki yang salah? Waktu tu kita tak boleh nak buat apa-apa. Abang nak ke anak abang jadi macam tu sampai dia kahwin nanti?”
“Mana awak tahu Zill tu budak baik? Boleh bimbing anak kita? Awak kenal dia pun tak.” Zahirin mahu menduga lagi. Kalau diikutkan, dia memang tidak mahu campur tangan dalam urusan jodoh anak-anaknya. Masing-masing punya hak untuk menentukan pilihan masing-masing.
Raziqah menarik nafas panjang. “Awak sendiri nampak kan? Awak boleh nilai budak tu macam mana...”
“Hmm, terpulanglah Ziqah. Kita tengok ajelah macam mana nanti.”
“HELO, I tunggu you dekat Nicholas Bridgewaylah. You boleh cepat sikit tak? Dah nak berjanggut dah I tunggu ni!” ujar Armel dengan nada suara yang sedikit geram. Hampir sejam dia menanti Raizil Dillen di hadapan Crown Fountain itu. Sedari tadi hanya terkebil-kebil menyaksikan gelagat orang ramai di situ.
Perlahan-lahan dia melewati Monroe Street menghala langkah ke Nicholas Bridgeway, jambatan pejalan kaki yang dihubungkan dengan bangunan Art Institute of Chicago itu.
Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Sekilas dia meliarkan pandangan ke arah sekeliling melihat kalau-kalau ada kelibat Raizil. Lelaki itu selalu sahaja tidak menepati masa.
Hampir 30 minit menanti, akhirnya bayang Raizil muncul di depan mata. Segaris senyuman terukir pada bibir lelaki tinggi lampai berkulit putih melepak itu.
Raut Armel masam mencuka. Ikutkan hati yang masih panas ingin sahaja dilempang wajah kacak itu, namun dia cuba mengawal perasaan. Kakinya sudah mahu tercabut ke hulu ke hilir menanti pemuda itu berjam-jam di lokasi yang berbeza-beza.
“I’m so sorry, honey. I ada hal sikit tadi.” Jawapan biasa dari mulut Raizil membuatkan Armel mendengus keras.
“You ingat I ni tak ada kerja lain ke nak buat? Janji pukul 4.00, 6.30 baru nampak batang hidung. You merangkak ke datang sini?” marah Armel sambil berpeluk tubuh. Panas hatinya melihat wajah Raizil yang bersahaja.
Raizil berdecit. Menayang wajah tidak bersalah. Riaknya bengang sedikit. Sakit juga telinga ditempelak Armel sehingga beberapa orang yang lalu lalang menjeling ke arah mereka. Mujurlah mereka tak faham bahasa.
“I kena hantar housemate I pergi kampus tadi. Kereta dia rosak. I terpaksa okey? Takkanlah I sanggup nak biarkan you tunggu lama-lama kat sini. Janganlah merajuk macam ni, sayang. Meh, meh, I kiss sikit pipi tu.” Tubuh Armel cuba dibawa dalam pelukannya, namun pantas gadis itu menolaknya dengan kasar.
“Eeii... apa ni? This is public place okay? Pleaselah.. Be serious! I tak ada masa nak bergurau dengan you!” Bulat matanya memandang wajah pemuda kacukan Melayu-Syria-Scootish itu. Tidak hairanlah Raizil memiliki rupa paras yang mampu mencairkan hati mana-mana gadis di sekelilingnya. Namun, hanya dia yang berjaya mendampingi lelaki itu. Walau dia tahu ada ramai yang cemburu, namun itulah satu kebanggaan buatnya kerana dapat menakluki hati lelaki bernama Raizil Dillen.
“Sejak nak kahwin ni, bukan main alim lagi you, kan? Peluk sikit pun dah tak boleh.”
Kening Armel bertaut. Direnung wajah Raizil dengan seribu satu rasa. “Are you mocking me?”
“What? Betullah kan, you nak kahwin lepas you balik Malaysia? Salah apa I cakap?” Satu senyuman sinis tersungging di bibir Raizil.
Armel terlongo beberapa saat. Dilihat wajah Raizil yang langsung tidak terkesan dengan sebarang rasa seperti yang dijangka. Wajah itu bersahaja. Hatinya bagai disengat dan mula membengkak.
“Don’t you feel anything, Zil?”
Raizil tertawa sinis. “You nak I rasa apa? Simpati? Kesian? Tell me...” Wajah Raizil beriak sinis. Sepertinya langsung tidak terkesan di hatinya akan khabar yang disampaikan Armel tempoh hari.
Armel terkesima “Macam ni ke cara you sayang I? Macam ni you cakap you cintakan I?” Perasaan Armel mula beremosi. Tidak berkalih matanya memandang wajah pemuda itu. Pemuda yang dicintai separuh gila.
“You nak I buat apa? You nak suruh I pergi melutut depan parents you? Atau menangis melalak suruh dia orang batalkan perkahwinan you dengan lelaki tu? Come onlah, Mel. ini bukan drama TV, okey? You expect I jadi macam watak dalam drama Melayu tu? Kononnya sanggup menghadapi rintangan, meredah lautan api demi kekasih hati? Hah... Pathetic!” Raizil tertawa mengejek.
Bagai diserang sakit jantung rasanya mendengar patah-patah kata yang keluar dari mulut Raizil. Dia fikir lelaki itu akan menunjukkan riak kecewa. Sepertimana yang dia rasa, bagai hilang arah rasa macam nak bunuh diri, seperti itu juga jangkaannya terhadap kondisi emosi Raizil. Namun, sangkaannya meleset sama sekali.
“Selama kita in a relation, you cakap you cintakan I, sayangkan I. Selama ni you anggap I apa, Zil?” Wajah Armel seperti udang dibakar.
Raizil mengangkat bahu. Reaksinya benar-benar menjerut hati dan perasaan Armel. Tidak ubah seperti wajah watak antagonis yang berjaya melaksanakan misi jahatnya.
Raizil kejam! Raizil membunuh hatinya! Tiga tahun mereka menyulam cinta, apa semuanya memang palsu belaka? Dirinya seperti tidak ada nilai langsung pada mata pemuda itu.
“Yeah, I mengaku you memang special. You best. Easy going, happy go lucky. Sebab tu I suka lepak dengan you. Salah ke kalau I cakap, I love you kalau maksud tu I sayangkan kawan I?” Kening Raizil terjongket. Senyuman yang terpalit pada bibirnya ibarat gergaji besi yang melapah-lapah hati Armel.
“Kawan?” Armel kehilangan kata. Mulutnya terbuka, namun suaranya tersekat di celah rengkung.
“You anggap ajelah kita ni tak ada jodoh. I pun sebenarnya belum bersedia lagi nak bagi komitmen.”
“Tiga tahun... Selama tiga tahun, you cuma nak main-mainkan I?” Dada Armel semakin sesak. Tubuhnya bagai mahu rebah menyembah tanah. Hatinya kian berdarah. Kini, dia dapat mentafsir sendiri siapa lelaki yang berdiri di hadapannya itu.
“You keluar dengan I atas kerelaan you sendiri. I mengaku memang I layan you special, tapi tu tak bermakna I anggap you teman special I. I tak pernah janji apa-apa dengan you. We’re just having fun together. Not more than that. Pernah I cakap I nak kahwin dengan you? Tak pernah, kan?”
Hati Armel bagai dikisar lumat.
“Macam nilah... You balik Malaysia nanti, you cakap elok-elok dengan parents you. Kalau you tak suka, you cakap ajelah you tak nak. Apa yang susah sangat? Takkanlah dia orang sampai nak bunuh you kalau you tak nak kahwin kan?”
Hati Armel bagai kaca yang terhempas. Berderai-derai menjadi kepingan kecil yang tidak mampu dicantum kembali. Air matanya hampir tumpah, namun tidak sama sekali dia akan membiarkan ia jatuh di hadapan lelaki itu.
“Penipu! Lelaki tak guna!” hambur Armel dengan amarah yang menyala-nyala.
“Terpulanglah you nak cakap apa. At least, I dah berterus-terang dengan you, kan? Kalau boleh I memang tak nak cakap semua ni. Sebab I tak sampai hati. Tapi I tak nak bagi you harapan apa-apa. Sepanjang kita kenal, I tak pernah rasa I boleh go on dengan you untuk hubungan yang lagi special. Look at you...”
Seketika mata Raizil memandang Armel dari hujung rambut ke hujung kaki. Dengan t-shirt hitam sederhana besar yang tertulis dengan perkataan I Love Malaysia, seluar jeans hitam dan kasut sneaker berwarna putih, jelas menunjukkan gadis itu langsung tidak mengikut peredaran fesyen semasa. Outdated dari hujung rambut sampai hujung kaki!
Kemudian matanya tertumpu pula pada rambut Armel yang sengaja dikerinting seperti mee segera. Sungguh dia langsung tidak berkenan dengan gaya rambut gadis itu. “At this part, you memang boring. You bukan taste I. And you will never be.” Sinis senyuman yang dilemparkan oleh Raizil.
Hati Armel bagai dikunyah-kunyah saat itu. Beginikah rasanya dipermainkan oleh seorang lelaki setelah dia memberi cinta separuh mati? Rasanya seperti dilanyak dengan sebongkah batu gunung! Dan dalam masa yang sama seperti mahu diayun kaki ke muka lelaki itu. Bodohnya aku selama ni.
Pangg! Satu tamparan melekap di pipi Raizil. Laju tanpa sempat pemuda itu mengelak. Tindakan tidak terduga itu membuatkan Raizil terpempan.
“Kau ingat aku hadap sangat lelaki tak guna macam kau ni? Go to hell!” tengking Armel lantas berlari meninggalkan Raizil. Air mata yang ditahan menuruni pipi. Hatinya bagai dimamah-mamah. Hancur berkecai!
“DAHLAH, babe... Mata kau dah bengkak teruk ni. Janganlah menangis lagi,” pujuk Daria, teman sebiliknya yang sejak dari dahulu sentiasa ada di sisinya.
Armel hanya diam. Dia tidak mampu menghalang air matanya dari terus mengalir. Hatinya yang walang tidak mampu ditahan-tahan. Rasa itu membunuhnya. Malah petang tadi ketika dalam perjalanan pulang berapa kali dia hampir dilanggar kereta dek fikiran yang bercelaru.
“Kau menangis air mata darah sekalipun tak gunalah, Mel. Dahlah... Aku tak sukalah tengok kau macam ni. Buruklah, babe!” Bahu Armel dipegang Daria. Sungguh dia tidak sanggup melihat keadaan Armel ketika itu.
Gadis itu selalunya sentiasa ceria. Melihat dia berduka seakan itu seakan-akan membeli impak berbeza pada penglihatannya. Dia benar-benar bersimpati, namun apakan dayanya untuk meringankan beban Armel. Satu satu datang bertimpa.
Sikap liar Armel kian menjadi-jadi sejak mengenali Raizil ketika majlis jamuan hari raya di Kedutaan Malaysia beberapa tahun lalu. Setiap hujung minggu dia akan keluar berclubbing hingga lewat malam. Malah, Armel sudah mula berani berparti hingga pagi di rumah rakan-rakan bangsa asingnya. Apa yang dilakukan di sana tidak diketahui.
Daria tidak mahu ikut campur. Bimbang gadis itu melenting seperti dirasuk syaitan. Perawakannya bukan boleh diduga. Namun, biarpun berkali-kali ditengking, dimaki dan dibambu oleh Armel, hatinya seakan-akan kian kebal mendepani temannya itu. Ibarat berhati plastik, langsung tidak terkesan. Tambahan lagi sebagai seorang sahabat, dia tidak mahu Armel terus hanyut dengan dunianya. Baginya Armel ada satu kebaikan yang jarang orang lain tahu melainkan jika mereka benar-benar rapat dengan gadis itu.
Semester demi semester, prestasi pelajarannya kian merosot sehinggalah dia gagal dua subjek untuk semester akhir. Mujurlah ada semester pendek yang menawarkan subjek-subjek yang membolehkan dia menghabiskan pengajiannya mengikut kiraan tempoh yang ditetapkan. Jika tidak, terpaksalah dia menangguh konvokesyennya sehingga tahun depan. Atau mungkin perlu melalui cuti semester yang lama dan pulang semula ke Chicago seorang diri tanpa rakan-rakan seperjuangan yang lain.
Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga ke tanah. Segala kegiatannya dapat dikesan oleh Zahirin dan Raziqah menerusi laman Facebooknya. Segala gambar parti, clubbing dan aktiviti tidak semenggahnya ditag oleh rakan-rakan sekutunya dilihat oleh keluarganya di Malaysia. Saat itu tidak ada ungkapan lain lagi yang keluar dari mulut Daria melainkan kalimah ‘padan muka’.
Mata dan kepalanya menyaksikan sendiri amukan sakan Raziqah ketika menghubungi Armel menerusi Skype. Habis segala pantang-larang dari keturunan ke-7 keluar dari mulut wanita itu.
“Leave me alone please.” Suara Armel yang serak menampan perlahan di telinga Daria.
Daria mengeluh kecil. “Okeylah... aku keluar dulu. Nanti kalau kau dah okey kau carilah aku ya?”
Daria akhirnya beredar. Mungkin Armel perlukan waktu untuk meredakan segalanya.
No comments:
Post a Comment