BELAKANG tubuh Iqbal yang sedang duduk di ambang pintu itu ditatap seketika. Hati Faezrul rasa sayu yang amat. Melihat keadaan Iqbal yang uzur, membuatkan dia jadi tidak sampai hati. Lelah yang dihidapi Iqbal semakin menjadi-jadi. Namun setiap kali diajak ke hospital, pelbagai alasan yang keluar dari mulut abahnya itu.
Perlahan-lahan Faezrul menapak menghampiri Iqbal. Sebaik sahaja di tiba ambang pintu, dia menghulurkan mug di tangan kepada Iqbal. “Minum, bah.”
Faezrul melangkah ke luar lantas melabuhkan punggung di kerusi malas yang sudah usang di anjung rumah. Matanya tertunak pada sawah padi yang menghijau di depan mata. Mereda sedikit ketegangan yang sedia ada di jiwa.
Batuk-batuk kecil Iqbal membuatkan dia berpaling. “Abah dah makan ubat ke?”
“Abah dah tak makan ubat klinik tu. Abah makan madu aje sekarang. Ni pun dah kurang sikit. Kalau tak lagi teruk...” maklum Iqbal seraya mengurut-ngurut dadanya yang terasa berat.
“Madu asli ke, bah?”
“Ha’ah... Pak lang kau bagi hari tu. Ubat klinik tu abah memang tak boleh telan langsung.”
“Abah amalkan ajelah madu tu kalau serasi. Campur-campur ubat pun tak elok sangat.” Runsing hati Faezrul memikirkan Iqbal. Dia tahu kalau boleh, Iqbal tidak mahu menyusahkan anak-anaknya. Sakit pening didiamkan sahaja. Dia dapat tahu pun dari Pak Lang Zaid, bapa saudaranya yang kebetulan tinggal sekampung. Orang tua itulah yang selalu menjengah-jengah Iqbal di rumah.
Iqbal tidak memberi respon. Kopiah putih yang sudah lusuh di atas kepalanya dibetul-betulkan. Seketika Wajah anak lelakinya itu direnung. Kosong sahaja wajahnya. Dia perasan semenjak pulang tengah hari tadi, anak bujangnya itu tidak banyak bercakap dan kerap mengelamun sendiri.
“Zill...” panggil Iqbal perlahan.
Semerta Faezrul berpaling memandang ayahnya. Dari sinar mata Iqbal dia tahu ayahnya itu ingin membicarakan sesuatu.
“Abah tak pernah paksa Zill ikut kemahuan abah. Dari kecik hingga besar, baik Zill, Kak Yani, Kak Wani, Nazneen, semua ada hak tentukan jalan hidup masing-masing. Sekarang abah cuma nak tahu, apa keputusan Zill.”
Berderau darah Faezrul mendengar kenyataan itu. Setiap kali memikirkan soal itu, hatinya berbelah bahagi. Dia mengeluh. “Entahlah, bah...”
“Dah nak dekat lima tahun Esyana pergi. Abah tahu Zill masih tak boleh lupakan dia. Abah tahu rasa kehilangan tu macam mana. Abah pun pernah lalui benda yang sama. Abah hilang mak masa kau orang kecik lagi. Sampai sekarang rasa sedih tu tak hilang, Zill. Dia isteri abah, wanita yang lahirkan zuriat-zuriat abah.
Susahnya abah waktu tu nak besarkan kamu adik beradik yang tengah belajar. Tapi abah gagahkan jugak sebab abah tak mahu anak-anak abah ketinggalan dalam pelajaran. Tapi Zill... yang pergi tu tetap pergi. Tak salah kita mengenang tapi jangan sampai kita korbankan diri sendiri dengan kesedihan tu sampai ke sudah.”
Panjang lebar Iqbal berbicara.
Zahirnya, Faezrul tampak normal menjalani hari-harinya, namun dia tahu apa yang mengisi hati anaknya itu. Jiwanya penuh duka nestapa kerana memori-memori lalu bersama Esyana. Malah dia menutup pintu hatinya untuk perempuan lain, seolah-olah tidak membenarkan sesiapa pun hadir menggantikan tempat arwah tunangnya itu.
Faezrul terdiam. Ruang antara mereka sepi seketika. Sesekali terasa desir semilir yang merentas wajahnya. Seakan menyapu rawan yang sedang bersarang di hati. Benar, semenjak kematian Esyana, dia mengasingkan hatinya jauh dari ramai orang terutama sekali wanita.
Ketika di awal kematian Esyana, dia menghambakan diri pada kerja. Dia fikir cara itu boleh mematikan rasa kehilangan yang menekan. Namun, ada waktu dia gagal membendung rasa hati.
“Bagi Zill sikit masa lagi, bah?” Teragak-agak Faezrul bersuara. Dipandang wajah Iqbal yang tampak tenang. Tiada senyuman mahupun sebarang ekspresi. Hatinya dihambat rasa serba-salah.
“Zill, fikirlah baik-baik ya? Abah ni kalau boleh sebelum tutup mata, abah nak tengok semua anak abah dah berumah tangga. Ada orang jaga. Baru senang hati abah,” luah Iqbal sayu. Mug yang berisi teh yang sudah suam itu dicapai lalu dihirup perlahan. Sedikit sahaja dan kemudian diletakkan semula ke lantai kayu rumahnya.
Kata-kata Iqbal membuatkan hati Faezrul sayu. Dia memungkinkan rasa hati ayahnya yang barangkali lebih sayu menuturkan kata itu. Sungguh dia mula rasa dihimpit.
“Tak apalah... abah nak masuk dalam dulu. Asar dah masuk ni...” Melihat kebisuan Faezrul, Iqbal mengambil keputusan untuk beredar. Mungkin anak lelakinya itu perlu waktu untuk bertafakur sendirian.
Perlahan-lahan dengan sedikit kudrat yang ada dia bangkit sambil berpaut pada daun pintu.
“Abah...” panggil Faezrul. “Kenapa tiba-tiba dia orang nak kenalkan Zill dengan anak dia orang?” Soalan itulah yang mahu ditanya sejak dulu. Hairan juga selepas sekali bertemu, kedua-duanya tanpa berselindung berniat sedemikan. Atau ada udang di sebalik batu? Benaknya mula diselubungi perkara yang bukan-bukan.
“Saje nak kenal-kenalkan aje, Zill. Mana tahu kot-kot ada jodoh.” Segaris senyuman terukir pada bibir Iqbal.
“Zill bukan apa, bah. Bukan Zill tak nak tapi bila melibatkan orang yang keluarga kita dah kenal lama macam ni, Zill rasa tak selesa. Takut jadi apa-apa nanti.”
“Abah faham... Sebab tulah abah nak bagi Zill masa untuk fikir. Kalau boleh, Zill jumpalah dulu Pak Cik Zahirin tu. Jangan jadikan semua ni beban. Tak nak tak apa. Abah boleh cakap elok-elok dengan dia orang.
Dia orang pun bukanlah memaksa. Rancang-rancang macam tu aje,” kata Iqbal tidak mahu fikiran Faezrul diasak dengan sebarang tekanan.
“Tak apalah. Insya-ALLAH... nanti kalau ada masa Zill jumpalah dia nanti.” Faezrul menghela nafas panjang, mencipta desah yang kedengaran berat dari dada. Dia sedar, masa bukan di pihaknya lagi untuk mengubat hati. Lima tahun sudah terlalu lama untuk dia terus jadi ‘beku’ sedemikian.
“Memang betul apa yang abah cakap. Syana tu dah jadi kenangan. Dah tak wujud lagi kat depan mata. Mungkin dah sampai masa Zill lupakan kenangan bersama dia.”
Hati Faezrul seakan terluka sendiri menuturkan kata itu. Seperti ada kesukaran yang tidak mahu dia lepaskan tentang Esyana walau cuma bayangan gadis itu.
“Abah bukan nak Zill lupakan kenangan-kenangan Zill dengan Syana. Sesiapa pun takkan boleh lupa kenangan yang dia ada. Abah ni pun, masih ingat kenangan bersama mak kau. Tak salah kalau Zill ingat dia, tapi biarlah berpada-pada. Jangan sampai memudaratkan diri sendiri. Jangan sampai kamu hilang jiwa kamu sendiri. Kita ada tanggungjawab yang lain untuk teruskan hidup ni.
Kamu kena ikhlas untuk redha dengan pemergian dia. Itu aje... Tak elok kalau kamu terus jadi macam ni. Abah tahu, kamu kat luar nampak aje macam tak kisah tapi dalam hati...” Sengaja Iqbal tidak meneruskan katanya. Dia yakin Faezrul mengerti sendiri maksud seterusnya. “Dahlah... malam nanti kita sambung lagi.”
Faezrul mengangguk. Sesaat kemudian, Iqbal menapak pergi. Meninggalkannya dengan seribu satu rasa di hati. Cuba dilapangkan dadanya waktu itu walau seperti ada tsunami yang sedang melanda menghentam-hentam pesisir hati. Sebetulnya dia sudah mencuba untuk menerima hakikat yang tersurat namun gagal.
Ya, cinta sesama manusia tidak akan kekal, cinta pada-NYA sahaja yang abadi dan hakiki. Faezrul beristighfar dalam hati. Betapa cinta itu meletakkannya dia di satu daerah asing yang lagi terasing sehingga makhluk asing pun tidak mampu mengesan daerah itu.
No comments:
Post a Comment