Sekebun Bunga Cinta #15

SEORANG demi seorang muncul di perkarangan fakulti dengan kenderaan masing-masing sehinggalah jumlah 30 orang yang menyertai ekspedisi itu tiba kesemuanya.
Seketika mereka diberi taklimat oleh Ikram mengenai jalan menuju ke sana dan beberapa perhentian yang akan disinggahi. Lima belas minit kemudian, mereka meninggalkan perkarangan fakulti.
Perjalanan memakan masa lebih kurang empat jam untuk sampai ke sana.  Lebih kurang jam 12 tengah hari mereka tiba ke kawasan Tasik Chini. Kedatangan mereka disambut baik oleh pihak pengurusan di sana.
Seketika mereka mengambil angin menghirup udara segar di situ. Hamparan tasik yang terbentang luas memberi impak yang cukup tenang dan damai.
Pokok-pokok teratai yang terapung di permukaan tasik kelihatan terolang-aling tatkala air tasik berombak dipukul semilir. Beberapa buah pulau yang dipenuhi dengan pokok mengkuang turut menarik perhatian mereka. 
Sebentar kemudian mereka mendengar taklimat pihak pengurusan di situ. Banyak perkara yang dipesan seperti menjaga adab dan etika sepanjang melakukan aktiviti.
“Okey, lepas ni you all semua akan naik bot untuk ke satu pulau dan lepas tiba kat pulau tu kita akan start aktiviti jungle trekking untuk ke campsite,” beritahu Ikram mewakili pihak pengurusan di situ.
“Kita akan bergerak secara berbaris dan Abang Ajis dengan Abang Ramzi akan guide kita sampai ke campsite,” sambung Ikram lagi sambil memandang dua orang lelaki awal 30-an di sebelahnya. Lelaki itu merupakan ranjer yang bakal memantau mereka sepanjang aktiviti dijalankan.
“Agak-agak berapa lama kita kena trekking nak sampai ke campsite?” Jasmyn bersuara bertanya soalan.
“Lebih kurang dua jam dan dalam masa dua jam tu jugak kamu semua akan melalui tanah rata, bukit dan tanah berair. Jadi kat sini saya nak ingatkan, kamu semua kena hati-hati dengan setiap benda yang ada kat bawah dan juga kat atas kepala kamu. Apa-apa yang ada kat depan macam ranting kayu ke, pokok berduri ke, kamu mesti beritahu kawan-kawan yang kat belakang. So, everyone must be alert.” jawab Ramzi memberi pesanan seterusnya.
Seketika suara mereka kedengaran bercakap antara satu sama lain.
“Mak ai... dua jam trekking? Mahu patah lutut aku,” ujar Zaihan kepada rakan-rakan yang lain.
“Alah, relaxlah. Ni baru namanya ekspedisi,” kata Jasmyn sambil menepuk-nepuk bahu rakannya itu.
“Sejak bila Bujang Sudin kau wujud kat sini, Myn?” soal Natalia sambil berpaling ke arah belakang.
“Kau baru perasan ke?” soal Qaisyah.
“Ha’ah... aku tak nampak pun dia masa kat UM tadi? Kalau tak silap hari tu Azril cakap dia tak join. Hmm, berubah fikiran di saat-saat akhir kot?” Natalia mengangkat bahu.
“Buat semak aje!” gerutu Jasmyn. Wajahnya yang tadi manis bertukar kelat.
“Alah, biarlah... the more the merrier,” sampuk Zaihan sambil menayang gigi.
Jasmyn mencebik.

BOT yang dinaiki tiba di pulau yang dikatakan tadi. Setelah diberi taklimat, mereka memulakan perjalanan meredah hutan. Seribu satu rasa mengisi perasaan mereka tatkala kaki mencecah tanah rimba itu. Bunyi unggas bersahut-sahutan seakan-akan menyambut kehadiran mereka di situ.
Mereka mula menyusur denai-denai, melalui tanah yang rata. Melihat pada sekeliling, pokok-pokok besar yang barangkali berusia ratusan tahun kelihatan teguh berdiri. Sesekali tumpuan mereka dicuri dengan keunikan bentuk beberapa pohon-pohon yang berada di situ.
“Orang dulu-dulu kalau masuk hutan pergi berburu, dekat akar-akar pokok macam nilah dia orang tidur,” beritahu Ikram yang berada di barisan paling belakang bersama pelajar-pelajar lelaki. Jarinya dituding ke arah akar banir sebuah pohon yang tumbuh di situ.
“Tak ada ular ke kalau tidur kat celah-celah akar macam ni?” soal Nizam sambil menghala lensa kameranya merakamkan gambar akar pohon tersebut.
“Ular kat mana-mana pun ada. Tak semestinya kat celah-celah akar. Sebab tu kalau masuk hutan, kita kena buat unggun api. Bukan setakat nak terangkan kawasan tapi api tu boleh halau binatang-binatang buas,” jelas Ikram lagi. Kelihatan pelajar-pelajarnya mengangguk-angguk faham.
Lima belas minit melalui kawasan rata, mereka mula mendaki bukit. Kali ini, mereka perlu lebih berhati-hati. Banyak tumbuhan berduri menghalang perjalanan. Silap langkah, pasti adanya yang tercedera.
Pohon-pohon berbatang kecil menjadi tempat mereka berpaut untuk terus mendaki. Beban beg yang digalas perlu diimbangi supaya mereka dapat berdiri dengan stabil.
Jasmyn menghentikan langkahnya seketika. Satu spesis tumbuhan di situ menarik perhatiannya. Di hujung pohon itu ada beberapa juntaian dahan lembut yang mengeluar bunga-bunga bulat seakan-akan bola pingpong. Lekas-lekas dia menghalakan lensa kamera DSLRnya. Beberapa gambar diambil.
Seketika kemudian dia kembali memasuki barisan. Natalia, Qaisyah dan Zaihan sudah berada di depan dengan rakan-rakan sekelas yang lain. Tiba-tiba...
“Aduh!”
Serentak Jasmyn berpaling tatkala terasa kakinya terpijak kaki seseorang tatkala cuba mencapai dahan untuk berpaut.
“Main pijak aje!” sergah Faris kelihatan bengang.
Bila masa pulak si buaya ni kat belakang aku? Dia tertanya-tanya sendirian.
“Eh, kau yang menyendeng-nyendeng kat belakang aku siapa suruh?” Mulut Jasmyn memulakan ‘serangan’.
Eh, eh minah ni... Dia yang pijak kaki aku, lagi tak mengaku salah? Aku tempeleng sekali baru kau tahu! Marahnya dalam hati. Tiba-tiba terasa rusuk kirinya ditepuk dari belakang.
“Dalam hutan pun nak bergaduh ke wei?” tegur Azril sambil tersenyum mengejek.
Faris mendengus. Sebal rasanya hati dengan perempuan itu. Jasmyn dilihat sudah mendahului yang lain di hadapan. Pantas sungguh gadis itu bergerak.
“Tak adalah, dia yang pijak kaki aku. Tak reti pulak nak mintak maaf. Perangai macam cipan!” kutuk Faris bengang.
Azril dan Nizam sudah terkekeh-kekeh ketawa. Tidak sedar perbualan mereka didengari oleh Ikram. Namun pensyarah itu sekadar membisu. Urusan pelajarnya biarlah antara mereka sahaja. Dia tidak mahu ikut campur.
Selepas menuruni bukit, mereka kembali melalui tanah yang rata. Seterusnya, mereka meredah tanah berair yang dipenuhi dengan belukar. Habis berselut kaki masing-masing.
Sebaik sahaja melepasi kawasan berselut itu, sekali lagi mereka terpaksa mendaki dan menuruni bukit sehinggalah mereka sampai ke sebuah pulau di tepi tasik yang menjadi tapak perkhemahan mereka.
Beberapa buah bot yang membawa peralatan seperti kayak dan jaket keselamatan sudah menanti di situ. Rasa penat sudah tidak tertanggung lagi. Masing-masing terduduk keletihan.
“Macam mana? Okey?” tanya Ikram kepada pelajar-pelajarnya.
“Okey!!!” Serentak mereka menyahut. Biarpun keletihan masih tampak bersemangat.
Ikram tersenyum. Pelbagai gelagat yang dapat dilihat. Ada pula yang sudah berbaring di atas bag pack dan sleeping bag masing-masing kerana terlalu penat.
“Allright then. Sekarang, kita kena dirikan khemah dengan tempat solat. Lepas Asar kita mulakan aktiviti,” maklum Ajis mengarahkan mereka supaya bergerak.
Aktiviti memasang khemah dimulakan. Satu bahagian khas untuk pelajar-pelajar lelaki dan satu bahagian pula dikhaskan untuk pelajar-pelajar perempuan.
Mana-mana yang berpengalaman dalam aktiviti rekreasi seperti itu akan membantu rakan-rakan yang lain. Masing-masing bekerjasama antara satu sama lain.
Faris duduk bersandar di sebatang pohon akasia di situ. Tubuhnya benar-benar kepenatan. Seakan-akan sudah habis tenaga yang ada di dalam badan saat itu. Sungguh ketahanan tubuhnya cukup lemah tatkala melibatkan aktiviti seperti itu.
“Hai, takkan dah flat kot?” tegur Azril yang  sedang membetul-betulkan kedudukan khemah yang akan dikongsi bersama Nizam dan Faris.
Faris tidak bersuara apa-apa. Wajahnya sudah kemerah-merahan ketika itu. Jelas benar kelihatan tidak bertenaga. Sebotol air mineral di tangan diteguk.
“Amacam, Ris? Okey hah?” soal Nizam sudah tersenyum-senyum memandang sahabatnya itu. Tahu Faris tidak biasa dengan aktiviti-aktiviti seumpama itu. Manalah dia pernah menyerai aktiviti rekreasi  seumur hidupnya.
Nampak sangat kejanggalan pemuda itu sepanjang perjalanan di dalam hutan sebentar tadi. Sekejap-sekejap terpeleot. Malah, kerap juga kaki Faris tersadung tatkala melanggar akar-akar pokok yang berselirat di tanah.
Tidak hairanlah memasang khemah pun dia tidak tahu. Kerjanya hanya memegang setiap penjuru besi tapak khemah. Hendak mendirikan, membentuk khemah memang tak boleh harap!
“Panaslah woi!” Akhirnya Faris bersuara sambil mengibas-ngibas t-shirtnya. Topi di kepala dibuka lalu dicampak ke atas beg.
“Tu haa kau nampak tu? Kau terjun aje. Comfirm hilang panas!” ujar Azril sambil memuncungkan mulutnya ke tasik yang terbentang di hadapannya.
Faris berpaling seketika. Melontar pandangan nun jauh ke hujung tasik. “Kau gila apa aku nak terjun dalam tasik tu? Heee.. dahlah macam-macam aku dengar!”
“Apa yang kau dengar?” soal Nizam kelihatan ingin tahu.
“Lah, nama pun tasik semulajadi. Dah tentunya macam-macam jenis binatang ada. Silap-silap kang terjun, hilang sekerat badan,” ujar Faris celupar.
“Mulut kau... beragak sikit wei...” tegur Azril. Namun tidak dinafikan memang banyak bintang buas yang mendiami dasar Tasik Chini itu. Bukan setakat cerita rekaan namun ada juga yang benar.
Di pernah terbaca, banyak spesis buaya dan ikan besar hidup di dasar tasik tersebut. Malah, pernah juga dia mendengar cerita dari bapanya mengenai kejadian misteri yang tidak mampu diungkap berlaku di tasik yang terkenal dengan cerita kewujudan naga di situ.
“Kalau kita tak kacau binatang-binatang tu, Insya-ALLAH dia tak kacau kita,” ujar Nizam sambil mengibas-ngibas bahagian dalam khemah yang berhabuk.
“Tapi cerita naga tu betul ke erk?” Persoal Faris tiba-tiba.
“Wallahualam... tapi bapak aku pernah cakap ada orang pernah nampak ekor ular besar kat sini. Tak tahulah ular ke apa. Tapi buaya tu memang comfirmlah ada. Sebab dulu masa bapak aku pergi sini bot die pernah terlanggar buaya. Tapi dia tak kacau kita kot. Setakat ni tak pernah lagi aku dengar ada orang kena makan buaya Tasik Chini,” ulas Nizam lagi.
“Habis yang pasal istana yang ditenggelamkan tu macam mana pulak?” tanya Faris pula. Sebetulnya dia sudah melayari internet membaca sedikit sebanyak perihal Tasik Chini sebelum datang ke situ.
“Entah... ada orang cakap waktu air surut boleh nampak istana tu. Tak tahulah. Kau pergilah cari mana-mana ahli sejarah. Kau bajet aku historian,” ujar Nizam bersahaja.
Serentak Azril dan Faris ketawa.


P/S: Anda boleh memesan novel SBC menerusi saya di http://belinoveliyanazahim.blogspot.com/

1 comment:

Unknown said...

bestlah citer ni.. mesti kena dptkn ni. huhu...