Sekebun Bunga Cinta #16

DINGIN air tasik terasa benar-benar nyaman tatkala disimbah ke muka. Selesai mencuci muka dan tangan, Jasmyn berdiri memerhatikan permandangan di situ. Sesekali ada bot pelancong yang lalu untuk mengelilingi pulau-pulau di hujung sana.
Kicau burung yang bersahutan seakan-akan memeriahkan waktu pagi di tempat itu. Kamera yang diletakkan di atas kayak sebentar tadi dicapai. Lantas dia memfokuskan lensa kameranya di beberapa tempat yang dirasakan menarik.
Sesekali dia menarik nafas panjang menghirup udara yang bersih. Sesungguhnya dia benar-benar senang berada di tempat seperti itu. Jauh dari hiruk-pikuk dan kebisingan kota.
Sejak dari kecil dia diasuh mencintai alam. Kata papa, alam itu adalah sahabat yang paling dekat dengan kita, menjaga manusia secara diam. Kerana itu, perlu sekali sekala kita bertafakur memikirkan peranannya. Malah, damai itu sendiri dapat dicari melaluinya.
“Woi Jasmyn! Buat apa kau sorang-sorang kat situ?” jerit satu suara dari atas. Jasmyn berpaling. Wajah Azril dan Faris menjadi fokusnya.
“Tak ada apa. Saja nak ambik-ambik gambar,” balas Jasmyn sekadar perlu. Menyampah benar rasanya tatkala melihat wajah Faris di situ. Rasa mahu baling batu sahaja!
Azril dan Faris turun. Namun Faris tidak mempedulikannya. Pemuda itu hanya mencangkung di gigi air sambil membasuh muka dan tangan.
“Nak mandi macam mana ek kat sini?” soal Azril kepada Jasmyn.
“Nak mandi? Tu haa...” Jasmyn mengisyaratkan matanya ke arah tasik sambil tersenyum penuh makna.
“Ish... takkanlah nak mandi dalam tasik kot?”
“Habis tu, ini aje sumber air yang ada. Tak tahu pulak ada toilet yang ada shower kat sini. Ada ke?”
Azril terpinga-pinga. Namun tatkala melihat Jasmyn tersenyum mengejek baru dia tahu gadis itu sekadar memerlinya.
“Dalam hutan macam ni kau tak payah fikir mandilah wei. Sepuluh hari kau duduk sini, sepuluh harilah kau kena jadi busuk.”
Azril ketawa. Entah kenapa kata-kata Jasmyn kedengaran lucu di pendengarannya. “Yalah.. Eh, kena naik cepat. Dia orang semua dah berkumpul tu,” beritahu Azril.
Jasmyn mengangguk. Pantas dia berlari memanjat tebing menuju ke tapak perkhemahan meninggalkan Azril dan Faris.
“Berbual mesra nampak?” tegur Faris menanti Azril yang sedang membasuh muka.
“Kenapa? Cemburu ke?” Azril tersenyum mengejek.
Faris mencebik. Sebentar kemudian mereka beredar meninggalkan pinggir tasik.

MEMANDANGKAN hari sudah petang, mereka hanya melakukan aktiviti di tapak perkhemahan. Masing-masing diarah mencari kayu untuk bahan unggun api.
Malam itu mereka hanya berehat di tapak perkhemahan. Beberapa unggun api dihidupkan di beberapa kawasan. Usai solat Maghrib berjemaah, mereka berkumpul untuk diberi taklimat mengenai aktiviti keesokan hari.
Asalnya Ikram merancang untuk melakukan aktiviti night walking, namun memandangkan keadaan hutan yang berbukit rancangan itu terpaksa dilupakan. Aspek keselamatan pelajar-pelajarnya perlu diutamakan.
Malam itu mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil. Setiap kumpulan berjumlah sepuluh orang ahli yang diketuai oleh seorang pelajar lelaki. Namun entah macam mana Faris dan Jasmyn berada di dalam kumpulan yang sama tatkala Ikram memilih mereka secara rawak.
“Selama aktiviti ni, pastikan kamu semua berada dalam kumpulan masing-masing. Jaga ahli kumpulan sendiri. Kalau kawan tu terjatuh ke apa, tolong... Jangan main tinggal aje,” pesan ranjer yang bernama Ajis itu sambil tersenyum.
“Esok, kita akan buat aktiviti berkayak, dengan water floating. Semua tahu berkayak tak ni?” tanya Ikram memandang beberapa wajah pelajarnya.
Ada yang menggeleng, ada yang mengangguk-angguk dan ada pula yang berwajah kosong.
“Jadi, esok pagi kita akan berkayak kat kawasan-kawasan sini.”
Masing-masing saling berpandangan.
“Tak bahaya ke berkayak kat sini?” tanya salah seorang pelajar lelaki di situ.
“Insya-ALLAH selamat. Jangan risau, kami akan panggil pekerja-pekerja kat sini untuk pantau kamu semua dekat tengah-tengah tasik nanti,” maklum Ramzi.
“Berkayak kat tasik ni? Biar benar wei?” Faris meminta kepastian. Wajah Nizam dan Azril dipandang dengan ekspresi yang cuak.
“Tak ada apa-apalah. Kau ni skeptikal sangat. Dia orang ni lagi tahu dari kita. So, percaya ajelah kalau dia orang cakap selamat,” balas Nizam selamba yang dari tadi menunjukkan sikap positifnya.
Faris tercengang. Entah kenapa perasaan hatinya jadi tidak enak.
“Untuk water floating, kamu semua perlu menyeberang tasik dengan jaket keselamatan yang kami sediakan. Sampailah kat satu point yang dah ditetapkan, balik semula ke seberang sini. Kat situ nanti saya akan ajar teknik-teknik tertentu untuk gerakkan badan dalam air,” ulas Ajis pula.
Masing-masing melopong.
“Jadi, kami kena masuk kat dalam tasik tu?” tanya salah seorang dari mereka inginkan kepastian.
Ajis mengangguk-angguk. “Jangan risau. Tak ada apa-apa kat kawasan ni. Cuma pastikan waktu aktiviti tu kamu semua digalakkan memakai kasut.”
“Ish, gila ke nak masuk dalam tasik?” Qaisyah bersuara.
“Ha’ah, kerja gila kot? Sungai pun belum tentu, inikan pulak tasik,” celah Natalia yang sependapat dengan Qaisyah. Malah kedengaran juga suara-suara yang lain tidak setuju dengan aktiviti itu.
“Tak ada apa-apalah. Sini kawasan bot lalu. Insya-ALLAH tak ada apa-apa,” ujar Jasmyn cuba menyedapkan hati rakan-rakannya.
“Aku tak kisah. Janji ada Sir Ikram aku harung aje, sampuk Zaihan tiba-tiba. Dia menjungkit-jungkitkan keningnya sambil tersengih bak kerang busuk.
Masing-masing mencebik. Selesai diberi taklimat mereka diberikan tugas memasak untuk ahli kumpulan masing-masing.
Barang-barang seperti mess-tin dan dapur khas untuk aktiviti perkhemahan digunakan untuk memasak. Masing-masing bekerjasama sepenuhnya. Dari kerja mengangkut air sehinggalah memasak semuanya dilakukan bersama-sama.
Faris duduk di satu sudut berdekatan dengan pelajar-pelajar perempuan yang sedang memasak. Tidak banyak kudrat yang disumbangkan sedari tadi. Bukan dia tidak mahu menolong, tetapi semua kerja sudah dilakukan oleh mereka. Jadi, dia mengambil keputusan untuk bertinggung di situ sambil memerhati gelagat rakan-rakan yang lain.
Tiba-tiba pandangannya tertancap pada wajah Jasmyn. Gadis itu kelihatan tekun benar menghadap makanan yang sedang dimasak. Sekejap dia ke sudut sana, sekejap dia ke sudut sini untuk mengekalkan nyalaan unggun api.
Sebentar kemudian kelihatan gadis itu beredar lalu menghala ke belukar berhampiran. Seminit kemudian dia muncul dengan seberkas kayu api di tangan.
Seketika pandangannya tidak berkalih memerhatikan Jasmyn. Tiba-tiba gadis itu mencangkung berhampiran dengannya. Kelihatannya kewujudannya di situ tidak dihiraukan sesiapa pun.
Jasmyn menguis-nguis unggun api dengan kayu. Beberapa batang kayu ditambah. Tiba-tiba percikan api naik ke udara. Gadis itu terundur ke belakang lantas melanggar lututnya.
“Sorry, sorry,” ucap Jasmyn tanpa menoleh ke belakang.
“Tahu pun nak mintak maaf.”
Jasmyn berpaling spontan. Cam benar dia dengan suara itu. “Buat apa kau semak kat sini?”
“Siapa yang semak?”
“Kaulah semak!” pantas Jasmyn membalas.
“Kau ni memang puakalah. Kau tahu puaka?” soal Faris sinis. “Puaka tu macam kau. Cakap dengan orang tak reti nak cakap elok. Suara macam petir!” kutuk Faris bersahaja. Sekali sekala perlu jugak dilayan kata-kata perempuan itu. Asyik dia sahaja yang nak menang!
Bengot-bengot muka Jasmyn menahan geram. “Biar puaka, jangan buaya! Kalau setakat duduk sini nak goyang kaki, kau balik rumah cuci kain lagi bagus!” tempelak Jasmyn lantas beredar pergi.
Faris terpaku. Hendak menjawab gadis itu sudah pergi. Bodoh punya manusia! Getus hatinya geram yang teramat. Seketika dia berpaling ke tepi. Dilihat beberapa orang rakan yang lain sedang tertawa memandangnya. Oh! Lama lagi boleh jadi gila aku dengan perempuan ini.


P/S: Anda boleh memesan novel SBC menerusi saya di http://belinoveliyanazahim.blogspot.com/

No comments: