JANTUNG Armel berdebuk-debak tatkala tombol pintu bilik itu dipulas. Tatkala daun pintu dikuak, dia menjengul ke dalam mencari kelibat Faezrul ke segenap penjuru. Bayang lelaki itu tidak kelihatan di situ. Hairan... ke mana pemuda itu pergi?
Sejak pulang dari majlis resepsi petang tadi, dia langsung tidak mengendahkan lelaki itu. Tidak seperti pasangan pengantin yang baru berkahwin, pasti sahaja tidak mahu berenggang walau sesaat.
Sebaik sahaja menyalin pakaian dan mencuci mekap, dia terus ke bilik yang menempatkan barangan peribadinya dan koleksi novel-novel Inggerisnya sejak kecil. Dia tidak punya kekuatan untuk berhadapan dengan Faezrul. Lantas dia mengambil keputusan untuk bersendirian di situ, mencari ketenangan tanpa menghiraukan sanak-saudara yang barangkali masih berada di kediamannya.
Jiwanya menangis sendiri. Baru kini dia rasa kesal memilih keputusan ini. Hatinya benar-benar terasa perit. Kalaulah waktu bisa diundur...
Lama mengelamun tiba-tiba dia teringat telefon bimbitnya yang ditinggalkan di dalam kamar tidurnya. Dek fikiran yang berkecamuk, dia terlupa akan barang yang boleh dianggap penting itu.
Detak jantungnya berdegup pantas tatkala tubuhnya berdiri betul-betul di depan pintu bilik. Seketika kemudian, tombol pintu dipulas perlahan. Serentak matanya tertunak pada sebatang tubuh yang tengah mendirikan solat di hadapan katil. Armel terpegun seketika. Beberapa saat kemudian, kedengaran lelaki itu memberi salam mengakhiri solatnya.
Faezrul berpaling ke sisi. Senyuman tipis dilemparkan ke arah Armel. Selesai berdoa, dia bingkas bangun melipat sejadah dan disangkut ke tempat asal. Songkok di kepala ditanggalkan lalu diletakkan di atas almari solek.
“Awak pergi mana tadi?” soal Faezrul sambil menghampiri Armel yang hanya mengenakan seluar pendek separas lutut dan baju-T yang mengikut saiz badannya yang langsing. Wajah itu tampak polos dan keanak-anakkan tanpa secalit solekan.
Armel diam. Pura-pura tidak mendengar pertanyaan itu. Tanpa mempedulikan Faezrul, dia mendapatkan telefon bimbitnya di meja bersebelahan dengan katil. Seketika dia membelek-belek telefon bimbitnya. Ada beberapa mesej dan panggilan tidak berjawab tertera di skrin.
“Armel Aisya Mohd. Zahirin... Awak dengar tak?”
Armel tersentak. Dia memandang wajah Faezrul. Seribu satu macam perasaan yang mengisi hati mendengar namanya dipanggil oleh pemuda itu. Malah tona suara Faezrul juga mendatang rasa aneh pada dirinya waktu ini. Armel telan air liur. Dub dab dub dab, jantungnya berdetuk-detak.
“Saya tak faham kenapa awak buat semua ni. Cuba awak cakap betul-betul dengan saya. Apa yang awak nak sebenarnya?” Faezrul tidak mampu menebak fikiran Armel. Jika tidak kerana istikharah, tidak mungkin dia mahu menerima gadis itu kembali. Apatah lagi cara gadis itu langsung tidak menepati kehendaknya. Kasar dan celupar.
“You cakap apa ni?” soal Armel dengan nada kurang senang.
Faezrul menghampiri Armel. Sepasang mata milik isterinya itu direnung tepat. “Awak ni pelik, kan?”
“So what?” Armel membulatkan matanya. Dilihat seulas bibir merah milik Faezrul menguntum senyum. Senyuman sebegitu bisa buat hati perempuan di luar sana cair, tetapi bukan dia. Hatinya bagai disadur besi, menghalang apa jua rasa masuk ke dalamnya.
Faezrul mengeluh. “Bila awak cakap awak sudi jadi isteri saya, saya ingatkan awak memang dah betul-betul ikhlas nak terima saya sebagai suami dan saya dah berlapang dada untuk terima awak jadi isteri saya sampai bila-bila. Kalau saya tak sempurna, saya nak awak jadi pelengkap, yang sempurnakan hidup saya dan macam tu jugak saya, akan cuba jadi pelengkap dalam hidup awak.
Armel bungkam. Entah kenapa tiba-tiba hatinya jadi sebak. Perlahan-lahan dia duduk di lantai lalu tersandar ke katil. Air mata sudah membasahi pipi bersama esak tangisan yang mula kedengaran.
Faezrul tergamam melihat reaksi yang tidak dijangka itu. Lantas dia tunduk menghadap Armel. Berwajah tenang, sebelum mengatur tanya. “Kenapa awak menangis?”
“I didn’t expect this will be a big mistake,” kata Armel. Dia sedar yang dia sudah silap membuat perhitungan hidup. Tetapan yang dilaksanakan merupakan satu khilaf yang cukup besar buatnya.
“Awak dah berubah fikiran sekali lagi? Macam tu?” Hati Faezrul bergumpal seribu rasa. Ikutkan hatinya, sudah tawar tiada rasa, namun digagahkan juga mendepani gadis itu.
“I tak boleh...” Nafas Armel turun naik. Tidak mampu dia meneruskan kata dalam keadaan begini. Sedu-sedan yang mengisi ruang dadanya menyukarkannya untuk bertutur dengan lebih jelas. “Ceraikan I...” Hanya itu yang terlepas daripada mulutnya. Dadanya sudah terlalu perit menahan hiba. Wajah Faezrul dipandang dengan seribu satu pengharapan. Lengan Faezrul dipegang kejap.
“Kita tak boleh teruskan perkahwinan ni. I sanggup berdepan dengan semua orang termasuk mama dengan papa I. And I will make sure you will not be blamed for this. Please, Faez. I tak boleh hidup dengan you...” Armel merayu dengan linangan air mata. Diketepikan segala egonya waktu itu. Asalkan Faezrul bersetuju menceraikannya, dia sanggup berhadapan dengan apa jua kemelut selepas ini.
“Astaghfirullahalzim... Awak sedar tak apa yang awak cakap ni? Kahwin tu bukan benda yang boleh dibuat main, Armel.” Faezrul jadi keliru dengan rentak Armel. Permintaan gadis itu langsung tak terduga dek fikiran.
“I don’t care! I tak nak hidup dengan you! I tak cintakan you. I takkan boleh cintakan you sampai bila-bila sekalipun dan kita takkan bahagia dalam perkahwinan ni. Please... I beg you, ceraikan I.” Bahu Armel terhinggut-hinggut menahan tangis. Tangan Faezrul digenggam kejap.
“Habis, kenapa awak setuju dengan perkahwinan ni sedangkan awak sendiri yang batalkan pertunangan kita dulu? Awak ingat kahwin ni macam game? Bila-bila awak nak, awak boleh start. Bila awak dah tak nak, awak boleh tinggal macam tu aje? Hmm?” soal Faezrul serius, namun nada suaranya masih kedengaran lembut. Kali ini dia tidak akan menurut kemahuan gila Armel. Dia sudah menetapkan hati, apa pun yang berlaku dia tidak akan menceraikan gadis itu.
“I tak nak dengar semua tu! I cuma nak you ceraikan I. Okey, I mengaku semua ni salah I. Kalau tak sebab I terburu-buru, kita takkan kahwin. Tapi kita masih ada masa lagi nak betulkan keadaan sebelum terlambat,” ujar Armel.
“Kenapa baru sekarang awak fikir semua ni? Tak ada siapa yang paksa awak buat keputusan kan? Atau ada orang lain yang pengaruh awak?” Persoalan itu masih meragui benak Faezrul. Masakan Armel tiba-tiba berubah fikiran selepas menentang keras pertunangan mereka dahulu.
Armel terdiam. Masakan dia mahu mengaku yang dia bersetuju untuk berkahwin dengan pemuda itu kerana mahu membalas dendam pada Raizil.
Armel menyembamkan wajahnya ke lutut. Dia menangis semahu-mahunya. Jiwa dan perasaannya dibungkus rasa hiba dan kesal.
Faezrul semakin bingung. Masalah hati apa yang melanda gadis itu sebenarnya? “Saya takkan ceraikan awak dan tak ada sebab untuk saya ceraikan awak. Saya nak awak terima semua ni dengan hati yang terbuka dan saya nak awak faham, sebagai isteri awak wajib patuh pada saya!”
Justeru, tanpa menanti lagi dia terus bingkas meninggalkan Armel di situ. Hatinya sudah tidak ada rasa. Tangisan dan segala kata-kata yang keluar dari mulut gadis itu tidak lagi diendahkan. Katalah apa jua sekalipun, dia sudah tetap dengan keputusannya.
Matanya dipejam rapat sebaik sahaja tubuhnya direbahkan ke tilam. Hingga subuh tatkala bangkit untuk solat dilihat kelibat Armel tidak ada di dalam bilik itu. Ke mana dia pergi?
“ZILL, Armel mana? Kenapa tak turun sekali dengan dia?” soal Raziqah yang sudah lengkap berbaju kurung untuk ke tempat kerja. Wajah menantunya itu direnung tepat.
“Armel... dia ada kat atas lagi.” Suara Faezrul teragak-agak. Dia duduk di sebelah Zahirin. Kelibat Armel langsung tak kelihatan sejak dari tadi. Sebetulnya dia bimbang juga kalau-kalau Raziqah dan Zahirin ada terdengar pertelingkahannya dengan Armel semalam.
“Tidur lagilah tu. Macamlah awak tak kenal anak bertuah awak tu. Hai... dah jadi isteri orang pun perangai tak berubah-ubah,” kata Zahirin menggeleng-gelengkan kepala seraya menyisip cawan yang berisi teh panas ke mulut.
“Mama dengan papa dah habis cuti ke?” Faezrul sengaja mengubah topik.
“Ha’ah, Zill... Mama ni mana boleh cuti lama-lama. Lagi lama mama cuti, makin bertimbun-timbunlah kerja kat kampus tu. Ni pulak budak-budak dah nak dekat final exam ni. Nak buat soalan exam lagi, nak rekod markah, nak buat repot itu, repot ini. Hisy, pening kepala ni!” rungut Raziqah mengenai bidang kerjanya sebagai pensyarah Fakulti Ekonomi di UIAM itu.
Faezrul tertawa kecil. “Biasalah tu mama... Kerja mana yang tak sibuk stress.” Baru semalam dia tahu akan kerjaya ibu mertuanya itu. Itu pun Zahirin yang memulakan cerita. Kalau tidak, sampai kini pun dia tidak tahu menahu. Mana tahu rupa-rupanya Raziqah merupakan pensyarah yang memegang title Professor Madya. Tidak hairanlah perwatakannya tampak begitu berkarisma.
Seketika perbualan mereka berlarutan bercerita tentang kerjaya masing-masing. Tidak sedar kedua-duanya sudah terlewat untuk ke tempat kerja. Apa lagi, tergesa-gesa mereka bingkas meninggalkan meja makan.
Sayup-sayup kedengaran suara mereka berbalah akan sesuatu. Faezrul tersenyum sendiri. Ada waktu gelagat Raziqah dan Zahirin mencuit hatinya.
Ruang kediaman yang luas itu terasa begitu sunyi. Dia bangun lantas menuju ke tingkat atas untuk mencari Armel. Pandangannya tertancap pada satu bilik yang terletak agak jauh dari bilik-bilik lain. Dia menapak ke situ, menghadap pintu yang tergantung dengan papan tanda yang tertulis dengan perkataan ‘NO ENTRY’.
Amboi, ni memang betul-betul tak bagi masuk ke apa? Semalam ketika keluar dari bilik, dia melihat kelibat Armel menyusup masuk ke kamar itu dan dia yakin pasti Armel menghabiskan masanya di situ selama ketiadaannya di bilik semalam.
Tombol pintu dipulas perlahan. Tidak berkunci. Sebaik sahaja daun pintu dikuak, matanya terus tertancap pada sekujur tubuh yang sedang lena di atas katil.
Faezrul memberanikan diri masuk dalam bilik itu. Seketika pandangannya terkalih pada setiap material dan hiasan bilik yang berlatar hijau itu. Terdapat banyak koleksi-koleksi novel yang tersusun rapi di sebuah rak buku besar di situ. Di satu sudut pula kelihatan sebuah meja putih yang dihiasi dengan pelbagai barangan kecil yang comel-comel.
Dan di dinding yang menghadap katil, terlihat satu papan kenyataan panjang yang melintang tertampal penuh dengan pelbagai jenis gambar yang diambil dengan kamera polaroid. Dan turut terlihat beberapa gambar lukisan rekaan gaun, blouse dan dress di beberapa ruang papan tersebut. Faezrul terpegun seketika. Jiwa seni jugak rupanya.
Seketika kemudian, pandangannya terarah semula pada tubuh Armel. Berdiri menghadap Armel yang sedang memeluk patung katak besar dengan tidur yang tampak pulas. Wajah isterinya itu ditatap seketika. Teringat akan peristiwa malam tadi. Masih jelas terbayang wajah Armel yang menangis teresak-esak.
Tiba-tiba tubuh Armel bergerak, terlentang enak menikmati lenanya. Langsung tidak menyedari kehadiran Faezrul. Patung katak yang dipeluknya tergolek ke tepi. Kakinya menolak comforter yang menutupi bahagian kaki.
Spontan pandangan Faezrul tertujah pada bahagian paha Armel yang terdedah. Dia menelan liur. Sebagai seorang lelaki normal, dia juga punya perasaan yang sama seperti lelaki-lelaki lain. Apatah lagi di depannya kini merupakan seorang gadis yang sudah halal untuknya.
Hatinya bagai diuji. Namun, cepat-cepat dia menarik comforter lantas menutup tubuh Armel sehingga ke dada, membiarkan Armel terus tidur. Risau juga kalau dikejutkan gadis itu mengamuk seperti orang gila meroyan. Sekurang-kuranganya dia mampu menarik nafas lega melihat isterinya itu ada di situ. Tanpa menanti lagi, dia mengatur langkah dan kemudian beredar.
“APA rasa jadi laki orang? Okey ke?” usik Azad. Dua gelas air Ribena yang dibawa dari dapur diletakkan di atas meja. Dia duduk di sofa, menghadap Faezrul. Wajah sugul sahabatnya itu direnung seketika. Apa kena pulak dengan dia ni? Dua hari lepas dia tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan Faezrul kerana terpaksa bekerja.
Hingga kini dia masih belum pernah melihat gerangan gadis yang dinikahi oleh Faezrul itu. “Baru dua hari, takkan dah cari aku kot? Takkanlah kau dah rindu nak peluk cium aku malam-malam macam dulu?” Azad masih giat mengusik.
“Semalam dia mintak cerai dengan aku...” luah Faezrul tanpa berselindung. Satu keluhan kecil terhambur dari bibirnya. Pandangannya dilarikan ke arah lain. Fikirannya kini kosong sekosong-kosongnya.
“Cerai? Kau biar betul?” Azad terkejut. Bagai hendak terbeliak biji matanya mendengar kenyataan spontan itu. Dia membetul-betulkan duduknya.
“Gila ke apa bini kau tu? Mula-mula mintak putus tunang, lepas tu mintak cerai pulak? Rare ni bro. Rare!” Lancar sahaja mulut Azad bersuara.
“Aku serba salah lah, Zad...”
“Kau jangan... Jangan buat kerja gila, Zill. Kahwin tak sampai seminggu dah bercerai. Jangan kata seminggu, baru dua hari. Silap hari bulan bukan orang cakap bini kau tu yang buat masalah, tapi kau tu yang bermasalah. Ish... Aku peliklah. Apa kena dengan dia tu?” Kepala Azad tergeleng-geleng. Jauh di sudut hati, dia bersimpati dengan nasib sahabatnya itu. Dia kenal hati budi Faezrul. Lelaki itu terlalu luhur hati.
“Entah... Unpredictable. Susah aku nak cakap.” Seketika wajah Azad direnung. Seandainya lelaki itu tahu sepenuhnya isi hatinya kala ini... Bebannya terlalu berat dirasa. Armel bukan gadis yang mudah dilentur sekalipun usianya jauh lebih muda.
“Kau cubalah dulu kenal hati budi dia. Awal-awal aje kot macam ni? Yalah, korang baru aje nak kenal. Takes timelah sikit,” nasihat Azad selaku rakan yang setia mendengar.
Faezrul menyandarkan kepalanya ke sofa. Memandang siling dengan pandangannya yang berbalam-balam. Seketika dia memejamkan mata. Sudahlah penat sepanjang majlis resepsi masih belum hilang, ditambah pula dengan ‘kejutan’ mental malam semalam.
“Cinta tu kadang-kadang makan masa. Step by steplah, bro. Nak tunggu buah masak pun kena peram dulu, ni kan pulak hati manusia. Kau jangan risaulah. Ni haaa... Mohd. Azad Jamaluddin sedia membantu. Anytime, anywhere, available 24 hours.” Azad menepuk-nepuk dadanya.
Faezrul mengeluh. Sekalipun hatinya dibebani keberatan, namun sama sekali tidak menjurus untuk memilih menceraikan Armel. Dia sedar ada banyak hati yang perlu dijaga. Namun sikap Armel yang suka bertindak sesuka hati membuatkan hatinya dilanda risau.
“Haa, nanti waktu majlis menyambut menantu minggu depan kau datang tak? Jangan tak datang pulak.” Faezrul mengalih topik.
“Insya-ALLAH... aku datang. Kau punya pasal takde hallah. Wait bro wait bro... So that means last night... nothing happened lah?” Azad menjongketkan keningnya dan tersenyum penuh makna.
“Dah dah! Aku balik dulu.” Bahu Azad ditumbuk lantas dia bingkas dari sofa. Tidak dihiraukan lagi suara Azad yang tidak habis-habis ingin mengusik.
No comments:
Post a Comment