Rindu Awak 200% #16

BAGAI hendak terkeluar biji mata Zahirin dan Raziqah mendengar kenyataan yang baru keluar dari mulut Armel ketika mereka selesai makan malam.

“Mel sedar tak apa yang Mel cakap ni? Papa dengan mama dah jumpa keluarga Pak Cik Iqbal untuk putuskan pertunangan Mel dengan Zill. Saudara-mara pun semua dah tahu perkahwinan ni takkan berlangsung. Kenapa tiba-tiba aje berubah fikiran ni?” Sungguh benak Zahirin diserbu seribu satu persoalan dengan keputusan Armel.

Masakan tiba-tiba Armel berubah fikiran sebegitu cepat? Malah dia dan Raziqah sudah pun bertemu dengan Iqbal memaklumkan perkara itu. Cincin dan semua barang hantaran turut dipulangkan bersama. Betapa dia dan isteri terpaksa menanggung malu bersemuka dengan lelaki itu. Masih jelas terbayang wajah Iqbal yang kecewa dengan berita itu.

Armel terdiam. Tidak tahu alasan apa yang harus dinyatakan pada kedua-dua orang tuanya itu. Namun, dia sudah nekad. Demi dendamnya pada Raizil, dia sanggup berkahwin dengan Faezrul untuk membuktikan betapa dia langsung tidak terkesan dengan hubungan yang sudah terlerai itu.

Ya, jauh di sudut hati dia akui, ada satu ciri yang ada pada Faezrul yang memungkinkan Raizil sedar betapa dia bukanlah lelaki yang terlalu sempurna dan sentiasa menjadi rebutan ramai. Dia mahu Raizil membuka mata seluas-luasnya bahawa dia ada suami yang jauh lebih baik.

Mungkin Faezrul tidak sehebat Raizil yang berpelajaran tinggi itu. Lelaki itu cuma juruteknik yang berkululusan lebih rendah dari Raizil. Namun sekurang-kurangnya, dia ada satu kelebihan yang harus dipertontonkan kepada Raizil mahupun rakan-rakannya yang lain.

“Kenapa diam? Jawab papa tanya tu! Ke kau sengaja nak malukan mama dengan papa?” Suara Raziqah tegas. Dia tidak faham dengan kerenah anaknya yang seorang ini. Begitu banyak dugaan yang dia lalui sepanjang membesarkan Armel dan hingga kini masih dengan perilakunya yang memeningkan kepala.

“Mel dah fikir masak-masak. Mel dah sedar, apa yang mama dengan papa buat ni untuk kebaikan Mel. Mel tahu Mel dah banyak susahkan semua orang. Tapi sekarang... Mel dah buat keputusan. Mel akan terima Faez untuk jadi suami Mel. Kalau pun Mel tak cintakan dia, perasaan tu boleh datang kemudian.” Ya TUHAN terasa tercekik menutur kata-kata berupa dusta itu. Namun, dia tidak peduli. Asalkan dendam terhadap Raizil dapat dilunaskan, dia rela berkorban jiwa dan raganya yang sudah sedia terluka dan diluka.

Zahirin dan Raziqah bungkam.

TIDAK mudah menyatakan semula sesuatu yang sudah tetap dikhabarkan khilafnya. Ternyata ia proses sulit yang mempengaruhi harga diri. Kalau ikutkan hati, tidak sanggup lagi mahu menghadap Iqbal dan keluarga untuk kesekian kali. Sudahlah mereka dari pihak perempuan, yang seharusnya menanti keputusan. Ini tidak, semuanya sudah terbalik disebabkan Armel.

Namun Zahirin dan Raziqah hairan, kenapa dengan mudah Faezrul dapat menerima Armel semula. Tidak terkesankah hati anak muda itu dengan tindakan keluarga mereka yang seperti bermain tarik tali?

Tarikh sebenar yang telah dipersetujui ketika majlis pertunangan dahulu untuk melangsungkan perkahwinan dianjak beberapa bulan memandangkan bulan puasa hanya tinggal beberapa hari lagi.

Segala persiapan perkahwinan sudah hampir selesai kesemuanya. Semuanya dilakukan secara berasingan tanpa perlu bertemu dan sepanjang tempoh sebelum berkahwin, Armel dan Faezrul tidak pernah sekalipun berhubung. Tahu-tahu semuanya sudah siap diatur oleh wedding planner.

Sekali lafaz sahaja, Armel sudah sah menjadi isteri kepada lelaki bernama Zill Faezrul Iqbal di kediamannya. Alunan doa memanjat rasa kesyukuran kedengaran sayu di telinganya. Namun, siapa jua tahu akan lara di hati Armel. Hatinya menangis hiba.

Bagi Faezrul pula, biar hati sedikit walang, namun dineutralkan rasa itu demi menelan takdir yang telah dilorongkan kepadanya. Dia akan cuba menyayangi Armel seadanya dan akan cuba melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dengan sebaik mungkin.

Ketika diminta untuk menyarungkan cincin ke tangan Armel, dapat dirasakan degupan jantungnya berdenyut kencang. Armel yang tampak cantik mengenakan selendang halfmoon dengan persalinan peplum satin berwarna putih tampak tenang di sisi Raziqah.

Cahaya lensa kamera tidak henti-henti memanah sepasang mempelai itu. Faezrul duduk bertimpuh menghadap Armel. Salam dihulurkan pada isteri dengan suara yang perlahan. Secalit senyuman cuba diukir sedaya mungkin.

Tangan Armel disentuh lembut, sebentuk cincin disarungkan ke jari gadis itu. Seketika mereka diminta beraksi di posisi yang sama oleh jurugambar-jurugambar yang ada.

Dalam pahit, Armel menguntum senyum semanis yang mungkin. Tubuhnya seakan-akan berada di awangan ketika itu malahan detak jantungnya juga tidak seirama sebaik sahaja mendengar lafaz sah pada akad yang dibaca oleh Faezrul tadi.

Sebentar kemudian, dahi Armel dikucup lembut oleh Faezrul. Inilah kali pertama dalam hidupnya. mengucup seorang perempuan yang sudah bergelar isteri.

Slot seterusnya berakhir pula dengan salaman bersekali dengan kucupan di tangan Faezrul. Dan seperti tadi mereka diminta oleh jurugambar-jurugambar kekal pada kedudukan yang sama untuk beberapa waktu. Naik lenguh tengkuk dibuatnya.

Keesokkan hari, majlis resepsi diadakan pula di hotel. Ballroom yang dihias indah itu merupakan satu kejutan oleh kedua-dua orang tuanya buat Armel. Sungguh dia langsung tidak tahu menahu majlis resepsinya akan dilangsungkan di situ.

Patutlah Raziqah beria-ia ingin menempah gaun pengantin sedangkan mengikut rancangan, majlis resepsi sekadar dilangsungkan di dewan berhampiran kediaman mereka. Rupa-rupanya seluas hamparan ballroom mewah menjadi tempat dia merakam kenangan raja sehari itu. Sayangnya, ia masih tidak mampu memansuhkan duka yang menyelubungi sukma.

Namun ada sesuatu yang bermain-main di fikirannya. Masakan Faezrul mampu membayar segala upah untuk ballroom seperti itu? Benaknya mula bersangka yang tidak-tidak.

Ketika disandingkan, seorang demi seorang ahli keluarga dan sahabat handal datang menepung tawar. Belakang tubuh Armel sudah terasa lenguh berlama-lama di atas kerusi. Mahu sahaja disandarkan tubuhnya di kerusi.

“Mel, tegakkan sikit badan tu,” bisik Daria yang menjadi pengapitnya.

Armel berdecit tidak semena-mena. Sebetulnya tubuh sudah mula rasa lenguh-lenguh. Namun serentak seorang lelaki dan seorang wanita berdiri di hadapannya.

“Tahniah, Mel. Abang Roy doakan Mel dengan suami kekal sampai ke anak cucu cicit cucut semua ya?” Sempat Ezroy bergurau dengan sepupunya itu.

“Thanks, Abang Roy,” ucap Armel sambil mengukir senyuman pada sepupunya itu. Seketika kemudian dia bersalaman dengan Wisya, isteri Ezroy yang masih belum pernah ditemui selama Ezroy mendirikan rumah tangga. Kecil molek orangnya dan tampak manis bertudung.

“Tahniah, Armel,” ucap Wisya lantas mencium kedua-dua belah pipi Armel sebelum beredar pergi.

Seketika kemudian muncul pula Ezril. Lelaki itu tampak segak mengenakan kemeja merah hati dengan jeans. “Congratulations, Armel. Tak sangka Armel kahwin dulu dari along. Hai... untung, untung.”

“Along! Ingatkan tak datang tadi.” Tiba-tiba sahaja hatinya teruja melihat kehadiran kembar Ezroy itu. Boleh dikatakan dia rapat juga dengan Ezril, berbanding dengan kembarnya, Ezroy yang lebih suka membuat hal sendiri.

“Mana boleh tak datang special wedding macam ni. Lagipun bukan senang nak jumpa Mel. Nak-nak lepas dah jadi isteri orang nanti kan? Kita jumpa lepas ni okey?” tutur Ezril kemudian meninggalkan pentas bagi memberi laluan untuk orang seterusnya.

Selesai upacara bersanding, mereka bergambar kenangan bersama ahli keluarga dan sahabat handal di pelamin. Hampir sejam berada di pentas cukup membuatkan Armel berasa rimas.

Ketika dibawa ke meja makan beradab, pandangannya tertancap pada seraut wajah yang cukup menarik perhatiannya. Siapa lagi kalau bukan Raizil dan Fenella. Sangkanya lelaki itu tidak mungkin hadir di majlisnya. Saat bertentang mata, dilihat bibir Raizil mengukir senyuman penuh makna.

Tidak semena-mena tangan Faezrul ditarik lalu digenggam kemas. Pinggang suaminya itu dirangkul. Senyumnya mula melebar ke telinga.

Faezrul terkesima. Seketika dia memandang wajah Armel. Gadis itu tersenyum memandangnya. Hairan tiba-tiba sahaja Armel berkelakuan begitu.

Saat menjamu selera, mata Armel sekejap-sekejap terkalih pada Raizil. Raizil seakan-akan sengaja mempamerkan kelakuan mesranya bersama Fenella. Jelek sungguh melihat aksi kedua-duanya. Ikutkan hati mahu sahaja dilempar pinggan-pinggan di atas meja itu ke arah Raizil.

Namun, dia tidak mahu kalah dalam perlawanan emosi. Disuap sedikit nasi ke mulut Faezrul sambil melakonkan aksi bahagia yang tidak terhingga. Dia mahu Raizil tahu yang dia sedang bahagia dengan perkahwinannya. Dia juga mahu Raizil membuka matanya luas-luas yang dia memiliki suami yang jauh lebih sempurna darinya.

Seketika dia menatap wajah Faezrul yang tidak lekang dengan senyuman dari tadi. Sepanjang di meja beradab, komunikasi mereka terlalu sedikit. Interaksi mereka terhala pada pengapit masing-masing dan seakan-akan wujud satu jurang di tengah-tengah antara mereka berdua.

Entah kenapa tiba-tiba pandangannya bagai dipaku seketika pada raut wajah itu. Bagai ada kuas magnet yang menarik penglihatannya. Tiba-tiba hati Armel bergetar hebat. Seketika kemudian dia mula hanyut dengan kesangsian perasaan sendiri.

Betulkan pilihan aku? Berbaloikah cara aku melunas dendam terhadap Raizil?

“Kenapa tak makan?” soal Faezrul kedengaran cukup romantis dengan renungan redup yang menikam matanya.

Armel terpinga-pinga. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya, menyuap sudu yang kosong itu ke mulut. Serentak giginya diketap ke sudu.

“Auwww!” Armel terjerit kecil. Ngilu rasa giginya tatkala berlaga dengan sudu besi itu. Seketika dia mengetap bibir menahan rasa sakit.

“Kenapa ni?” Faezrul berpaling ke arah Armel. Ketika itu semua mata sudah tertumpu ke arahnya. Hairan tiba-tiba sahaja Armel menyeringai.

“Tak... tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa.” Armel menggeleng. Malu sendiri dengan perlakuan sebentar tadi. Pandangan Faezrul waktu itu sedikit sebanyak menggetarkan jiwanya. Dia tidak mengerti kenapa. Namun dikalih rasa itu agar pergi jauh. Dia benci dengan stimulasi perasaan itu.

No comments: