Rindu Awak 200% - Bab 18

PLASTIK sampah hitam yang dipegang dicampakkan ke dalam tong sampah di hadapan rumah. Ketika hendak melangkah masuk ke pintu pagar, sebuah kereta Range Rover Evoque putih dilihat berhenti betul-betul di bawah pokok di depan rumah. Armel terpaku seketika.

Beberapa saat kemudian, sesusuk tubuh lampai suaminya keluar dari perut kereta membuatkan Armel terpaku seketika di situ. Memang sejak semalam dia perasan kehadiran kereta itu di situ. Sangkanya ia milik jiran. Mana tahu kereta itu kepunyaan Faezrul. Benaknya mula diserbu persoalan. Masakan lelaki itu mampu memiliki kereta SUV mewah seperti itu. 

Entah-entah pinjam dengan kawan. Lepas tu saja nak buat berlagak dengan aku. Heh! Tak apa, aku nak tengok sampai bila kau boleh berlakon!

Tapi seingatnya kereta itu jugalah yang dibawa oleh Faezrul ketika kali pertama lelaki itu berkunjung ke rumahnya dulu. Ah, orang kalau nak menipu macam-macam cara boleh buat! Hati Armel terus-terusan berprasangka.

“Buat apa kat luar ni?” soal Faezrul sambil tersenyum tatkala menghampiri Armel yang hanya mengenakan legging dan T-shirt besar separas paha. Rambutnya masih basah menandakan dia baru selesai mandi.

Tanpa menjawab pertanyaan Faezrul, Armel terus menapak masuk ke dalam meninggalkan pemuda itu. Sebal rasanya menatap wajah lelaki itu. Apatah lagi tatkala mengenang perkara semalam. Entah kenapa dia jadi malu sendiri. 

Faezrul hanya mengeluh. Namun, cepat-cepat dia mengorak langkah mendapatkan isterinya. Pintu rumah yang terbuka ditutup perlahan. “Armel, sekejap... Saya nak bercakap dengan awak.”

Langkah gadis itu mati semerta. Lantas dia berpaling. 

Dengan perlahan Faezrul menghampiri gadis itu. Anak matanya tertunak tepat ke wajah Armel. Dalam diam dia mengumpul kekuatan. 

“Apa lagi?” Wajah Armel seperti malas melayan.

“Semalam kenapa tak tidur dalam bilik?”

“Tu aje you nak tanya?” Armel menyoal dengan lirikan mata yang menjengkelkan. 

Faezrul terdiam. 

“I nak tidur dekat dalam bilik tu ke, ruang tamu ke, kat garaj ke, tak ada kena mengena dengan you okey?” Membulat mata Armel memandang Faezrul. 

“Awak kena ingat dalam rumah ni bukan kita berdua aje. Sekurang-kurangnya awak fikirkan mama dengan papa awak tu...”

Armel mendengus kasar. Tidak mampu menerima teguran lelaki itu. “I tak nak tidur dekat dalam bilik tu. Faham?”

“Kenapa? Awak takut saya buat apa-apa kat awak ke? Alah, kalau awak tak bagi usik, tak adanya saya nak usik...” soal tutur Faezrul bersahaja. 

Armel terkesima seketika. Wajah Faezrul dipandang dengan seribu satu rasa. Ikutkan hati mahu sahaja dikonyok-konyokkan wajah itu. Hee menyampah betul aku!

Faezrul tertawa kecil. Wajah Armel yang tampak serba tidak kena itu mencuit hatinya. Haaa... tahu takut... “Malam ni saya nak awak tidur dalam bilik tu. Maksud saya, bilik kita. Saya tak nak mama dengan papa fikir yang bukan-bukan. Nanti awak jugak yang susah, kan?”

Bilik kita? Heh, tolonglah. Bilik itu bilik aku. Hak milik persendirian. Tiada istilah ‘bilik kita’ untuk kamar itu. Tak malu punya lelaki! “Hei, you ingat you siapa suka-suka mengatur hidup I?” marah Armel dengan rasa yang mendongkol. 

“Saya siapa? Awak... ada skizo ke?” Faezrul menyoal serius menjongketkan kening. Berhadapan dengan Armel harus bijak bermain dengan psikolog.

Sungguh jawapan yang berupa soalan itu benar-benar menyakitkan hati Armel. Fikirnya Faezrul mudah diayam-ayamkan. Namun, ternyata firasatnya salah. Lelaki itu juga tahu menggunakan bahasa sinis. Malah ekspresi wajahnya yang tenang itu benar-benar buat Armel rasa tercabar. Tanpa menanti lagi, dia mengangkat kaki beredar meninggalkan suaminya. Sakit hatinya menghadap wajah yang dihiasi senyuman seribu makna itu.

Entah kenapa, dia benar-benar terasa kalah dengan ketenangan lelaki itu. Dahulu, dengan Raizil tidak pernah pula lelaki itu membantah kata-katanya. Segala kemahuannya dituruti oleh pemuda itu. Namun di penghujung cerita mereka, Raizillah yang mengkhianati hubungan yang sudah lama terjalin itu. Ah, Raizil lagi!

JAM menunjukkan pukul 11.30 malam. Sejak dari tadi Faezrul menanti kemunculan isterinya. Selepas makan malam tadi, gadis itu menghilang ke tingkat atas. Dia tahu Armel sedang berada di ‘bilik hijau’nya. Namun, sengaja dia membiarkan waktu berlalu. Terus menunggu kehadiran Armel di kamar. Kelihatannya gadis itu langsung tidak mengendahkan kata-katanya siang tadi. 

Samsung Galaxy Tab di tangannya diletakkan di atas meja. Lantas dia menapak keluar menuju ke bilik tempat Armel berada. Tombol pintu dipulas. Berkunci. 

Faezrul melingas ke sekeliling. Dia yakin waktu seperti ini, Raziqah dan Zahirin sudah lena dibuai mimpi di dalam bilik mereka yang terletak agak jauh dari bilik itu.

Perlahan-lahan pintu bilik diketuk. “Armel...” panggilnya cuba mengawal suara agar tidak didengari oleh kedua-dua mertuanya.

Kesekian kali pintu bilik diketuk. Nama Armel diseru lagi. Kali ini sedikit kuat. Tiba-tiba pintu bilik dibuka kasar. Terpacul wajah Armel di muka pintu. Muka macam nak telan orang.

“You nak apa ni hah?!” marah Armel dengan suara yang cuba dikawal. Ikutkan hati tidak ingin dia membuka pintu, namun mendengar suara Faezrul dan ketukan pintu berkali-kali membuatkan dia berubah fikiran. Bimbang kalau-kalau Raziqah dan Zahirin terjaga dari lena. ‘Geramnya dengan lelaki ni! Nak aje aku pulas leher dia sampai patah!’ 

“Boleh saya masuk dalam?” pinta Faezrul langsung tidak gentar menghadapi wajah Armel ibarat singa betina itu. 

“No way!” Armel menolak daun pintu rapat ke tubuhnya. Tidak mahu memberi sedikit ruang pun untuk Faezrul lolos ke dalam kamar itu. 

“Okey, tak apa. Kalau awak tak nak bagi saya masuk, saya tunggu depan bilik ni sampai pagi esok.” Faezrul sekadar ingin menduga sambil menjongketkan keningnya.

Armel membulatkan mata. Nampaknya lelaki itu benar-benar mahu menguji kesabarannya. Heh... bersabar ke aku selama ni? Kalaulah boleh ditumbuk muka itu sekuat hati...

“Up to you!” Pintu bilik ditutup semula. Malas ingin melayan lelaki itu lagi. Peduli apa dia nak tunggu depan bilik tu sampai pagi esok ke, sampai minggu depan ke. 

Armel menghempaskan tubuhnya ke katil. Novel Inggseris tulisan Jodi Picoult yang dibaca tadi dicapai semula. Dia meneruskan bacaan. Namun, setiap detik hatinya tidak tenang. Apakah Faezrul serius dengan kata-katanya sebentar tadi? Seketika dia mengerling ke arah pintu.

15 minit kemudian dia bingkas bangun semula. Perlahan-lahan dia menghampiri pintu. Dilihat kaki Faezrul masih berdiri di hadapan pintu. Mamat ni memang gila.

Dia merengus kasar. Nampaknya Faezrul benar-benar mengotakan katanya. ‘Tak boleh jadi ni! Geramnya aku!’ Dia mengetap gigi sambil mengenggam kedua-dua tangannya kejap. Ikutkan hati mahu sahaja dilibas-libas lelaki kampung tak sedar diri itu.

Tanpa bertangguh lagi, tombol pintu dipulas. Wajah Faezrul yang sedang tersenyum lebar itu benar-benar mendatangkan rasa jengkel di jiwanya. 

“You dah gila erk? You memang nak mama dengan papa I nampak you duduk depan bilik ni, kan? You memang sengajakan?”

“Kalau saya sengaja, tak payah saya nak tercanguk kat depan ni. Baik saya ketuk pintu bilik dia orang, cakap kat dia orang yang anak dia tak nak tidur dengan suami dia,” balas Faezrul selamba.

Bergerak-gerak rahang Armel menahan emosi. Wajahnya sudah merah padam. Perasaan dan hatinya seperti ditembak 44 das. “Boleh saya masuk?” soalnya dengan senyuman lebar. Seronok pula rasanya melihat amarah Armel yang tidak mampu dilepaskan itu.

Armel mendengus. Hatinya berkepal dengan seribu satu rasa yang menyakitkan. Dia mencapai novel di atas katil lantas menarik kerusi duduk menghadap meja kecil berwarna hijau yang dihiasi hiasan comel berupa karekter katak hijau bermata besar. 

Ya, baru kini Faezrul perasan bilik itu dipenuhi dengan pelbagai jenis hiasan berupa karakter katak berwarna hijau. Boleh dikatakan di setiap sudut, hiasan dari karakter yang sama berada di dalam biliknya. Dari saiz kecil hinggalah bersaiz besar. 

Malah di atas katilnya itu juga penuh dengan bantal dan patung katak. Ya ALLAH, gila katak ke apa perempuan ni? 

“Ini bilik kerja awak ke?” soal Faezrul lantas duduk menghadap isterinya yang sedang tekun membaca novel di tangannya. Segaris senyuman tersungging pada bibir sambil matanya terus melilau melihat setiap objek di dalam bilik sederhana besar itu.

“Tak adalah. Ni bilik mayat,” balas Armel pantas. Boleh kau tanya aku ni bilik kerja? Aku masih jobless okey. Tak tahu-tahu lagi?

“Oh... maksud awak kalau awak dah mati nanti awak nak orang mandikan mayat awak dekat dalam bilik ni lah ya? Hmm... nice!”

Bagai dihempuk dengan objek keras mendengar soalan yang keluar dari mulut Faezrul itu. Lantas dia berpaling. “Why are you so anoyying?” Bergerak-gerak rahang Armel menahan amarah. Hee.. kecik besar kecik besar aje aku tengok dia ni.

Faezrul tertawa kecil membuatkan Armel kian terbius. Apakah marahnya itu dianggap satu gurauan oleh lelaki ini? “Okey, okey. Saya mintak maaf. Saya bergurau aje.” Dia tertawa kecil. Bagi Faezrul, dia harus menghadapi apa jua perlakuan Armel sekalipun penerimaan gadis itu begitu dingin. Jodoh itu sudah menjadi tetapan dalam hidupnya. Apa salahnya dia cuba belajar untuk sayang pada Armel? Semudah itukah?

Satu jelingan maut dilemparkan ke arah Faezrul. Kemudian dia menghadap novel di tangannya. Lagi lama dia menatap wajah itu, lagi rasa mudarat hati dan perasaannya. Atau lebih ekstrem lagi jika tidak boleh dikawal, wajah lelaki itu akan dicakar-cakar kerana geram.

Faezrul bingkas bangun menghampiri Armel. Dia berdiri di sisi gadis itu sambil menancap pandangan pada buku yang sedang dibaca oleh isterinya. 

“Awak baca buku apa ni?” soal Faezrul berpeluk tubuh dan kemudian bersandar di dinding menghadap Armel.

“You boleh senyap tak? I duduk dalam bilik ni sebab nak cari ketenangan, kedamaian, bukan nak dengar you bercakap, tanya macam-macam. Kalau you rasa you tak ada peranan apa-apa kat sini, lebih baik you keluar! You keluar, you masuk bilik you lepas tu you tidur!” Keras suara Armel melampiaskan rasa geramnya. Dia sudah tidak mampu mengawal perasaan amarahnya.

Kata-kata itu ditangkis dengan senyuman. Lucu amat gadis ini apabila menghambur kemarahan. Mimik wajahnya cukup dramatik. Seolah-olah sedang menonton satu watak di kaca televisyen sahaja. “Saya cuma akan keluar kalau awak keluar sekali dari bilik ni.”

Armel membulatkan matanya. Mana tahu lelaki itu akan bersikap tegar seakan itu. “Kalau you tak bawak mulut pasal kita kat mama dengan papa, dia orang takkan tahu kita tidur asing-asing. Hei, can’t you see? I’m reading here. So, I boleh guna alasan ni untuk habiskan masa malam I dekat bilik ni. Easy...” Dia menjongketkan keningnya.

“Apa beza baca buku dekat bilik ni dengan dekat bilik sana?” Faezrul masih tidak jemu meladeni kerenah gadis itu.

“Orang macam you kalau I explain pun you takkan faham,” tempelak Armel sinis seakan-akan merendah-rendahkan kredibiliti Faezrul. Namun, lelaki itu masih jua tampak tenang.

“Hmm... kalau macam tu tak apalah. Ambiklah berapa banyak masa pun awak nak baca novel tu. Saya tidur dulu. Dah mengantuk. Hari pun dah lewat ni.”

“Haa baguslah. Silakan keluar dengan segala hormatnya. Jangan lupa tutup semula pintu nanti ya?” pesan Armel sambil matanya tertancap pada novel di tangannya. Lega rasanya lelaki itu mahu beredar. Huh... aman dunia aku!

Faezrul bingkas dari meja. Namun bukan menghala ke pintu sebaliknya terus merebahkan tubuhnya ke atas katil.

Terbuntang mata Armel melihat tingkah pemuda itu. Sangkanya Faezrul akan keluar dari kamar itu, namun jangkaannya meleset. Lelaki ini memang sudah melampau!

“Selamat malam. Jangan tidur lewat-lewat sangat ya? Tak elok untuk mata,” ucap Faezrul selamba lantas menutup mata sambil memeluk patung katak hijau besar di sebelahnya. 

Armel ternganga. Dia kehilangan kata. Hatinya bagai dicekik-cekik kala ini. Lelaki itu benar-benar mencabar kesabarannya!


BAGAI hendak terkehel leher Armel diandam selama dua jam lamanya. Pinggangnya juga seperti sudah mahu patah kerana terlalu lama duduk. Ikutkan rasa hati yang panas, mahu sahaja ditumbuk muka mak andam di depan mukanya itu. 

Ikutkan hatinya lagi, dia tidak ingin ditempek dengan pelbagai jenis alatan mekap di kulit mukanya kerana baginya setiap kali melihat wajahnya di cermin, wajahnya tidak ubah seperti seorang pondan. Walhal mekap yang dikenakan sudah terlalu nipis dan natural atas permintaannya pada mak andam bersanggul tinggi itu.

Majlis bertandang itu diadakan dengan sederhana dan serba ringkas. Itupun atas permintaan Faezrul sendiri. Sesungguhnya adat yang sebetul-betulnya tidak pernah menggalakkan perkara-perkara yang berlebih-lebihan. Cukuplah melaksanakan apa yang perlu menurut syarak. 

Wajah kelat Armel yang muncul dari muka pintu masjid menarik perhatian sanak-saudara yang hadir. Sungguh dia tidak mampu lagi memaniskan wajah dalam keadaan lenguh dan sengal satu badan seperti itu. Ditambah lagi dengan persalinan berfabrik panas yang tersarung ke tubuhnya.

“Tu wife kau?” soal Azad yang sedari tadi masih belum berpeluang melihat wajah isteri sahabatnya itu. Tidak berkalih pandangannya memandang sesusuk tubuh lampai mengenakan persalinan berwarna ungu yang sedang melangkah turun ke perkarangan masjid itu. 

Faezrul hanya tersenyum kecil. Fokusnya kembali semula pada wajah Armel yang sudah mula tersenyum melayan sanak-saudaranya yang lain. Dia menarik nafas lega. Satu sikap Armel yang dia puji, gadis itu tidak pernah berlaku sombong dengan keluarganya. Namun, apabila ditanya dia hanya menjawab apa yang perlu. Mesranya hanya suam-suam kuku.

“Peh! Kalau macam ni punya bini, aku kena maki hari-hari pun tak apa, bro.” 

“Banyaklah kau punya maki. Eh, kau jadi pengapit aku tau? Jom cepat. Dia orang dah panggil tu,” ajak Faezrul lantas mengorak langkah mendapatkan Armel dan ahli keluarganya yang lain.

Paluan kompang yang kedengaran begitu membingitkan telinga. Sungguh telinga Armel bagai hendak pekak mendengar bunyi alat muzik tradisional itu dimain dengan kadar berulang-ulang. Apa-apa entah orang-orang kampung ni. Hatinya membebel-bebel sendiri sejak dari tadi. Namun seboleh mungkin dia cuba tersenyum kepada semua. Biarlah plastik pun, janji rupa senyum!

Mempelai di arak ke kediaman pengantin lelaki terus ke meja makan beradab. Alangkah terkejutnya Armel melihat keadaan rumah kayu di pinggiran sawah itu. Tubuhnya terasa berpeluh-peluh tatkala mengenangkan dia akan menghabiskan masanya selama seminggu di situ. 

Cuaca yang panas benar-benar merimaskan Armel. Sudahlah fabrik kain berenda-renda yang dikenakan itu terasa gatal satu badan. Ada lagi tudung di kepala yang membuatkan seluruh badannya seakan-akan dipanggang di situ.

Faezrullah yang memintanya mengenakan tudung untuk majlis menyambut menantu itu. Katanya tidak manis jika dilihat oleh orang kampung jika tidak bertudung nanti. 

KEKOK! Itulah yang dirasakan Armel ketika berada di dalam rumah itu. Suasana, sekitar dan keadaannya benar-benar tidak menyenangkan hatinya. Ditambah lagi dengan suara bising anak-anak buah Faezrul di setiap ruang di dalam rumah. ‘Dia orang ni tak reti duduk diam ke? Dari tadi asyik memekak aje.’

Tanpa mempedulikan mereka, Armel melangkah keluar ke anjung rumah. Barulah tenang sedikit hatinya. Seketika dia melayan perasaan merenung kegelapan di sekitar rumah kayu itu. Tidak ada apa yang mampu menarik perhatiannya di situ. 

“Armel Aisya...” 

Suara dari arah belakang itu melenyapkan segala mainan perasaan Armel. Lantas dia berpaling. Faezrul sudah berdiri di sebelahnya. Lelaki itu tersenyum. Namun, seketika kemudian dia melontar semula pandangan ke arah depan, tidak menghiraukan kehadiran suaminya di situ. 

“Jom makan?” ajak Faezrul lembut. Wajah Armel yang mendung ditatap. Sejak dari tadi, secalit senyuman pun tidak terukir pada bibir gadis itu. Ingin bertanya, bimbang juga isterinya itu mengamuk. 

“I dah kenyang...” balas Armel mendatar. 

Faezrul mengeluh. Kemudian dia berpaling menghadap suasana gelita di kawasan rumahnya. Sesaat dua dia cuba menyelami hati gadis di sebelahnya. Ada waktu dia dapat merasa ada sesuatu yang disembunyikan Armel. 

Jika tidak masakan tiba-tiba gadis itu mahu berkahwin dengannya dan kemudian meminta cerai pada malam kedua mereka. Dia hairan mengapa sekejap sahaja pendirian gadis itu berubah-ubah.

“Cuba awak tengok kat sana tu,” kata Faezrul sambil menuding jari ke arah kawasan bendang yang gelap gelita.

Terus mata Armel terarah ke situ. 

“Awak ada nampak apa-apa?”

Armel berpaling memandang wajah Faezrul. Seketika kemudian matanya melilau semula mencari ‘sesuatu’ yang dimaksudkan Faezrul itu. Namun, tidak ada apa-apa yang ditangkap oleh penglihatan dek kegelapan yang pekat. 

“Mana ada apa-apa!” Kening Armel sudah bertaut. Tiba-tiba bulu romanya meremang tegak. Ke dia nampak hantu?

“Awak tahu depan rumah ni ada apa?” Faezrul menyoal memandang wajah Armel yang tampak bingung.

“Sawahlah.” 

“Macam mana awak tau kat situ ada sawah?” 

“You ingat I ni dah hilang ingatan ke apa? Dah memanglah depan rumah you ni ada sawah!” tutur Armel dengan tona suara yang sedikit meninggi. 

Faezrul hanya memperlihatkan senyuman pada wajah. “Katakanlah satu hari nanti, kawasan sawah kat depan ni orang tambak untuk buat bangunan, buat kondominium, banglo ke, awak boleh ingat lagi tak kawasan tu dulu kawasan sawah padi?”

“Ada ke orang nak buat kondominium dekat kampung macam ni?”

“Saya cakap, kalau. Awak faham soalan ke tak ni?” tanya Faezrul bersahaja.

“You ni dah kenapa tanya soalan bodoh macam ni? Of courselah ingat. Melainkan kalau I dah nyanyuk!” 

Faezrul tertawa kecil. ‘Mudahnya menjentik emosi gadis ini.’ Hatinya berdesis. Seketika kemudian dia menghadap semula pandangan ke depan. Ruang antara mereka sepi seketika.

“Macam mana awak tak nafikan kat sana ada sawah padi walaupun awak tak nampak sawah tu sekarang, macam tu jugak awak tak boleh nafikan realiti awak sekarang, Armel. Sebab sawah tu dah masuk dalam memori jangka panjang awak dan awak akan ingat sampai bila-bila. Kalau pun tapak sawah padi tu dah tak ada satu hari nanti, asal kawasan tu awak takkan boleh lupa. Yang awak nampak cuma perubahan tapi yang ada kat hati awak, cuma kenangan yang tak boleh diusik oleh sesiapa pun. Sama ada awak suka atau tak, yang dah berubah takkan berpatah semula pada masa lampau.”

Armel tersentak. Apa lelaki itu tahu akan sejarah silamnya? “Apa maksud you ni? I tak faham.” Suara Armel sudah tergagap-gagap.

“Abang Zill...” panggil Nazneen. 

Armel tersentak. Nama gelaran itu sangat meninggalkan kesan di hatinya. Rasanya amat menyakitkan. Kenapa mesti nama gelaran kedua-dua lelaki itu serupa?

“Kenapa tak masuk lagi? Dia orang semua tengah tunggu Kak Mel dengan Abang Zill,” ucap Nazneen lembut. Walaupun Armel muda setahun darinya, terpaksa jugalah dia menggunakan gelaran ‘kak’. 

“Okey Neen... Sekejap lagi abang masuk,”

Nazneen beredar kemudiannya. 

“Jom, sayang?” Satu senyuman nakal tergaris pada bibir Faezrul.

Armel buat muka meluat. Berbulu telinga aku! Namun, langkah pemuda itu sudah mendahuluinya. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia mengikut.

No comments: