BULAT mata Daria mendengar berita yang disampaikan Armel ketika mereka keluar bersama-sama ke The Curve hari itu. Dia seakan-akan tidak percaya. “Kiranya kau memang dah putus tunanglah ni?” Dia meminta kepastian. Terkebil-kebil matanya memandang wajah sahabatnya itu.
“Yalah! Tengok ni...” Armel bersuara riang sambil menunjukkan jari jemarinya kirinya ke arah Daria.
Daria mencebik. “Selama ni pernah ke kau pakai cincin tu?”
“Kau tak percaya?”
“Percaya aje,” balas Daria acuh tidak acuh.
“Kau ni kenapa? Macam tak suka aje aku putus tunang dengan mamat desperate tu?”
“Mana ada! Baguslah kalau kau putus tunang daripada aku terpaksa menghadap muka tapai basi kau setiap kali jumpa. Janji kau happy, kan? Kau cakap macam mana dengan parents kau sampai dia orang setuju nak putuskan pertunangan tu? Keluarga lelaki tu tak ada cakap apa-apa ke?”
“You just need to have brains and politics, Daria.” Segaris senyuman yang penuh dengan unsur-unsur riak terlukis di wajahnya.
Daria mengerutkan dahinya. Bibirnya terjuih. “Politik konon...”
“Keluarga mamat tu? Entah! Aku malas nak ambik tahu. Yang penting sekarang, aku dah terikat dengan siapa-siapa lagi.”
“Kau tak menyesal?”
“Buat apa aku nak menyesal?” Kening Armel bertaut.
“Yalah... Entah-entah nanti lepas kau putus tunang ni, dah tak ada orang nak kat kau!”
“Mulut kau!” Lengan Daria ditampar geram.
“Hei, ini Armel okey? Siapa tak kenal Armel?” ujar Armel seakan-akan membangga diri.
“Jangan cakap besar sangat. Manalah tahu kot-kot nanti kau kena telan semula apa yang kau cakap tu. Haaa... baru padan muka kau!”
“Maksud kau?”
“You know what I mean right?” balas Daria bersahaja.
“Aku takkan jilat ludah aku balik. That’s not me!”
“Aku ingatkan aje...”
“Dahlah. Aku malas nak cerita pasal lelaki tu lagi. Hah, kau apa cerita sekarang?”
“Guess what? Tadaaa... Aku dah dapat kerja!”
“What? Serius? Bila? Tak bagitahu aku pun!” Bahu Daria ditumbuk. Langkah mereka terhenti seketika di tengah-tengah pusat membeli-belah itu. Ekspresinya tiba-tiba teruja mengalahkan monyet dapat pisang.
“Alah... baru aje seminggu. Aku malas nak bagitahu kau lagi. Nak tunggu kepala otak tu kau recover semula. Kang tak pasal-pasal dapat maki free. Kau tu kalau meroyan, mengalahkan hantu.”
Armel tergelak. Bahu Daria dipaut erat. Betapa sayangnya dia pada sahabatnya yang satu itu. Satu-satunya insan yang begitu ‘tabah’ berada di sampingnya tidak kira apa jua musim yang melanda.
Dalam hidupnya, dia tidak punya kawan yang lebih setia kecuali Daria. Gadis itu satu-satunya teman yang paling rapat. Walhal, dia kenal dengan Daria pun ketika mula-mula menuntut di Universiti Chicago. Bermula dari situ, persahabatan mereka semakin akrab. Daria seorang yang cukup fleksibel, memahami dirinya seadanya malah pandai membaca fikiran dan rasa hatinya. Ada waktu dia fikir gadis itu punya satu magis yang menakjubkan!
“Alah... sorrylah... Aku marah kau bukan sampai ke hati pun. Marah-marah sayang orang kata kan? Kau kan the best friend of the world? Kau kerja kat mana?”
“Aku kerja kat Ambank sebelah KLCC tu. Alah, kerja biasa-biasa aje. Admin position...”
“Okeylah tu. Aku ni tak dapat panggilan apa-apa pun lagi. Jenuh dah menunggu. Berapa banyak company dah aku apply. So, so far okey tak kat situ?”
“Best! Tapi kerja tension sikitlah sebab banyak deal dengan client. Kau tu doa-doalah ada yang melekat kat aku ni. Kalau takde jugak, terpaksalah aku mandi bunga 17 gunung bawah jambatan Putrajaya.”
Armel ketawa lepas. “Insya-ALLAH... Tak lama lagi adalah tu. Carilah boyfriend cepat-cepat, Daria. Dari dulu asyik single aje. Kau tak bosan ke?”
Pelik benar Armel dengan sahabatnya yang seorang itu. Dari dulu sampai sekarang tidak ada seorang lelaki pun yang melekat dengannya. Pada matanya, tidak ada kurangnya pada Daria. Walaupun saiz tubuhnya agak kurus, tetapi gadis itu ada karismanya yang tersendiri.
“Cakap aku. Kau tu apa? Dah elok-elok bertunang, nak kahwin tiba-tiba tak jadi. Tak bersedia lagilah, tak sesuailah apalah. Heh! Kau ingat umur kau tu baru 13? Tak payah nak perasan muda sangatlah. Kau nak enjoy apa lagi? Selama ni kau tak cukup enjoy ke?”
“Eh... eh... menceceh pulak mak cik ni!” Lengan Daria dicubit geram. Menyeringai gadis itu kesakitan. “Haa kan dah kena!”
“Eh babe, kau cakap kau dah jumpa mamat tu kan? Apa nama dia? Zill Fazlul? Fazirul? Zill apa?” soal Daria mahu tahu. Selalu sahaja tidak dapat mengingati nama itu. Nama yang dia kira pelik dan sukar untuk dipasak ke dalam ingatan. Tambahan lagi, hanya beberapa kali dia mendengar nama itu keluar dari mulut Armel.
“Zill Faezrul...” balas Armel acuh tidak acuh. Menyebut nama itu sahaja perasaan hatinya disengat rasa geram dan sakit hati.
“Hah! Zill Faezrul... Hmm... Nice name. Ceritalah sikit kat aku. Dia tu macam mana. Muka dia, style dia ke. Handsome tak?” soal Daria tersengih-sengih walau dia tahu soal itu tidak disukai oleh Armel untuk menjadi topik perbualan.
“Tak handsome, babe! Hitam pekat macam kicap. Dah lah pendek. Boroi! Muka dia kan... macam muka tersembam peti ais. Lepas tu ada kesan-kesan jerawat banyak kat pipi. Kalau kau tengok comfirmnya kau koma 44 hari.” Armel membuat ekspresi jelek.
Daria mengerutkan dahi. Cuba mencari kebenaran dari raut wajah yang dipamer Armel. “Apasal macam tipu aje?”
“Tak percaya sudah!” Armel tayang wajah selamba. Sebetulnya dia tidak berminat untuk bercakap tentang lelaki itu lagi. Cukuplah sekali pertemuannya dengan pemuda itu beberapa minggu lepas.
Itupun entah kenapa ada waktu fikirannya teringat-ingat akan lagak pemuda itu. Tampak tenang melalui raut wajahnya, akan tetapi amat menjengkelkan tatkala bersuara. Sarkastik!
“Agak-agaklah nak kelentong pun.”
“Suka hati kaulah. Nak percaya tak nak percaya lantak kau,” tutur Armel bernada malas. Dia meneruskan langkah. Pura-pura menjenguk beberapa buah kedai yang dilaluinya. Namun, masih tidak ada apa-apa yang mampu menangkap hatinya. Kalau ada pun hanya mampu tengok sebab dia tak ada duit.
Daria di sebelahnya masih terfikir-fikir. Seketika kemudian dia memerhati raut wajah sahabatnya itu. “Kau ada gambar dia? Aku nak tengok boleh?”
“Yang kau ni sibuk sangat nak tahu pasal mamat tu apasal? Kau nak? Aku boleh tolong recommendkan. Lagipun, aku tengok dia tu dah macam gersang sangat nak berbini,” keji Armel dengan riak wajah yang jengkel. Walhal tidak berkait langsung apa yang sudah dilihat pada diri Faezrul dengan apa yang dilafazkan.
Jauh di sudut hati dia mengaku tidak ada cacat celanya lelaki itu. Sangkanya tentulah mama dan papa mahu menjodohkannya dengan seorang lelaki kampung yang selekeh dan kurang akal. Namun, apa yang dilihat menerusi Faezrul, langsung tidak dijangka.
Gaya pemakaian yang kemas, susun langkah yang teratur, malah kulitnya yang bersih langsung tidak menunjukkan ciri dia seorang lelaki kampung tipikal. Perlukah dia menghurai lebih lagi? Ah, cukup!
“Ish... kau ni. Tak baiklah cakap macam tu. Mulut kau ni kan, macam Kiah Propa kau tahu? Laser bukan main! Yalah... aku tak tanya dah. Jomlah pergi makan. Aku dah kebulur ni. Tengok muka lagi kebulur aku rasa.” Daria menepuk-nepuk perutnya. Dia malas untuk mengulas apa-apa lagi tentang pemuda yang mahu dijodohkan dengan Armel itu.
Mereka mengorak langkah ke food court. Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 petang. Dari pagi tadi di pusat membelah itu, mereka hanya sempat menjamah popcorn sahaja ketika menonton wayang.
“Mel, Mel! Tu... Raizil... Raizil!” Ketika itu mereka baru sahaja menuruni eskalator untuk ke food court.
Armel tersentak. Terus pandangannya terhala ke arah penglihatan Daria. Betapa jantungnya bagai direntap kasar melihat figura Raizil yang sedang berpegangan tangan dengan seorang perempuan.
Jasadnya kaku seketika. Langkahnya kian perlahan sambil matanya tertunak tepat pada Raizil yang kian mampir di depannya itu. Jika boleh, dia ingin lari selaju yang mungkin, namun bebola mata Raizil sudah pun tertunak tepat ke arahnya.
“Hei... Miss Armel Aisya. What a big surprise to see you here? Oh... sorry... Miss or Mrs?” soal Raizil seakan-akan mengejek. Perawakannya seolah-olah begitu teruja dengan pertemuan secara kebetulan itu. Tangannya kemas memaut pinggang gadis seksi tahap tak cukup kain di sebelahnya.
Seketika Armel memerhati raut wajah wanita itu. Kelihatannya dia bukan berbangsa Melayu. Wajahnya sukar dikategorikan. Nak cakap Arab, macam Inggeris. Nak cakap Inggeris dah macam India. Barangkali suku-sakat seperti Raizil jugak gamaknya.
“By the way, this is Armel and this is Daria, my campusmates kat Chicago dulu. Guys, kenalkan my fiancee, Fenella.” Seperti perantara lagaknya Raizil memperkenalkan mereka antara satu sama lain.
“Oh fiancee?” Daria memimikkan wajahnya sinis. Fenella? Heh... Kenapa bunyinya macam sejenis jenama makanan aje? Kutuknya dalam hati. Jengkel amat melihat kedua-dua makhluk di depannya itu. Dia langsung tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan wanita itu. Terliuk sana terlentok sini macam ulat bulu.
“Oh, Armel Aisya. Girl yang you pernah cerita kat I dulu tu ke? So, here she is.” Fenella memandang gadis berkemeja kotak-kotak dan jeans itu dari atas hingga ke bawah dengan pandangan yang kurang menyenangkan.
Hairan, bagaimana gadis seperti itu pernah didampingi Raizil satu ketika dahulu. Tak pandai berfesyen langsung! Kutuknya dalam hati.
Kata-kata Fenella membuatkan perasaan Armel terbius. Apa sahaja yang diceritakan tentangnya oleh Raizil pada perempuan bermekap bak opera cina itu barangkali? “Well... yang ni tunang you untuk berapa lama? Seminggu? Sebulan?” Armel tidak mahu kalah. Sudah tersisip keberanian untuk menentang pandangan pemuda di depannya itu.
Fenella seakan-akan terkejut. Semerta wajahnya berubah. “What’s your question again?” Mencerlung pandangan wanita itu memandang ke arahnya.
Armel menguntum senyuman sinis. “No... I said you are such a lucky woman of the world to have the best man of the world like him.”
Daria yang sekadar menjadi pendengar dan pemerhati hanya tersenyum mengulum. Dia tahu Armel bukan spesis manusia yang mudah diayam-ayamkan oleh sesiapa. Gadis itu ibarat asid yang bertindak balas walau dengan apa sekalipun.
“Wow... bukan senang nak dapat pujian dari you, kan? Hmm... At least bakal isteri I ni tahu yang dia akan berkahwin dengan lelaki yang ideal, bukan dengan orang yang salah. Right Daria?” Sekilas Raizil mengalihkan pandangan ke arah Daria. Kemudian bahu Fenella dipaut mesra. Kedua-dua pasangan itu tersenyum bahagia.
Hendak termuntah Daria mendengar kata-kata lelaki itu.
Armel mencebik. Berbulu telinga mendengar kata-kata Raizil. Betapa lelaki itu terlalu mendabik dada dengan kelebihan yang dikurniakan oleh ALLAH kepadanya. “By the way, bila you nak kenalkan bakal suami pilihan parents you tu kat I? He must be super special right? Yalah... kalau tak, takkanlah parents you beria-ia nak kahwinkan you dengan dia, kan?” sindir Raizil dengan niat menyakitkan hati Armel. Dia masih tidak mampu melupakan peristiwa ditampar Armel di tempat awam dahulu. Gadis itu sudah memalukan dia di khalayak ramai.
Walhal selama ini, tidak ada sesiapa pun yang berani menjentiknya waima sehelai rambut sekalipun. Cuma Armel yang berjaya memecah rekod kehidupannya. Sakit bekas tamparan itu seolah-olah masih terasa di pipi.
Armel tersentak. Dilihat wajah Fenella sudah tersenyum meleret seakan-akan mengejeknya. Dia rasa tercabar. Jelaslah perempuan berbedak 16 inci itu tahu akan kisah itu.
“Tak sangkakan zaman yang serba moden macam ni ada lagi parents yang macam tu. Very old school.” Fenella mengutuk selamba. Ada tawa di hujung katanya.
Hati Armel bagai ditarah dalam. Berdesing telinganya mendengar kata-kata berupa ejekan yang keluar dari mulut Fenella terhadap kedua-dua ibu bapanya. Walhal sebelum ini, dia langsung tidak pernah mengenali wanita itu. Ikutkan hati, nak aje aku tangankan muka dia ni. Sesedap mulut aje.
“You know what, I selalu kesian bila tengok perempuan macam you ni.” Batang tubuh Fenella yang montok itu diperhati dari atas hingga ke bawah. Matanya tertancap pada skirt pendek yang seolah-olah betul-betul menutup bahagian sulit perempuan itu.
“Obviously, parents you memang tak pernah ajar cara pilih baju yang sesuai untuk keluar ke tempat awam macam ni, kan? Tapi tak tahulah kalau memang you saja nak tayang-tayang benda yang tak sepatutnya orang tengok tu kan... Oppsss...” Armel menutup mulutnya, seolah-olah terlepas kata.
“This is too much!” Fenella rasa bengang. Mahu sahaja diayun penampar ke wajah perempuan itu.
“Kalau you rasa you ada hak untuk bercakap pasal parents I, why not me?” Armel tersenyum sinis. “Well Raizil dearest... for your information, lelaki yang parents I pilih tu jauh lebih baik dari you sampai I rasa dia tak layak langsung nak dibandingkan dengan you sekalipun antara tapak kaki dia dengan muka you. Lelaki macam you ni, sebenarnya tak ada apa-apa yang special pun. Kat luar sana tu, bersepah-sepah spesis yang macam you ni. Well... parents mana yang nak tengok anak dia rosak dengan lelaki yang salah, kan?
Hmm... I pergi dulu. Oh anyway, jemputlah datang ke wedding I nanti. I akan reserve kerusi yang special untuk you all,” tutur Armel dengan panjang lebar dengan ekspresi muka dan intonasi suara yang menjengkelkan.
Daria tercengang. Terkebil-kebil matanya memandang wajah Armel. Biar betul perempuan ni?
“One more thing... kalau sempat nanti I kasi you invitation card. Kalau tak sempat, I inform you dekat Facebook ajelah. By the way, nice meeting you Miss Fenella. Jaga-jaga sikit skirt you tu. Takut nanti ada free show pulak kat sini,” tutur Armel sinis. Ikutkan hati, mahu sahaja ditumbuk muka perempuan itu sekuat-kuat hati.
Tangan Daria ditarik. Lantas dia mengorak langkah meninggalkan kedua-duanya. Walau hati sedikit terluka, namun hatinya puas dapat menyakitkan hati kedua-dua manusia itu tadi. Raizil harus tahu, cinta dulu yang pernah bersemi di hatinya sudah termansuh sama sekali.
No comments:
Post a Comment