Rindu Awak 200% #14

“MEL betul-betul tak fahamlah dengan semua orang dalam rumah ni. Siang malam tak habis-habis nak sanjung-sanjung lelaki tu. Macamlah tak ada orang yang lagi baik daripada tu!” bentak Armel dengan rasa yang mendongkol marah. Wajahnya sudah merah padam waktu itu. 

Sakit hatinya tidak boleh diungkap dengan kata-kata tatkala Raziqah asyik menyatakan kebaikan lelaki itu. Sudah naik pekak telinganya. Seketika bayang raut wajah Faezrul tertabir di layar mata. Lelaki yang tampak tenang tapi bicaranya sinis menampar pendengaran. Sungguh hatinya masih membengkak mengenang tutur kata lelaki itu semalam.

Sudahlah sehari sebelum bertemu dengan Faezrul, dia dipaksa oleh Raziqah ke salon meluruskan rambut ala-ala kerinting negronya itu. Tidak cukup dengan itu, dia dibawa pula ke pusat membeli-belah untuk mencari pakaian feminine yang akan dikenakan pada malam bertemu dengan lelaki tersebut. 

Bagai hendak berdarah telinganya mendengar bebelan Raziqah sepanjang hari. Jika dibantah pasti telinganya benar-benar berdarah mendengar leteran ibunya itu.

“Armel ada cakap apa-apa kat Zill masa kat luar semalam?” soal Zahirin lembut, namun wajahnya tampak serius.

“Cakap apa? Mana ada Mel cakap apa-apa pun,” nafi Armel. Pandangannya terus dikalihkan ke arah televisyen. 

Zahirin mengeluh berat. “Tadi Zill call papa. Dia mintak papa batalkan pertunangan kamu berdua.” T

“Baguslah kalau macam tu. Kenapa papa kisah sangat pasal lelaki kampung tu sedangkan perasaan anak papa ni sendiri papa tak pernah fikir? Mel dah jumpa dia, dah cakap dengan dialah. Mel tahulah dia tu macam mana. Apa yang mama dengan papa tengok kat dia tu hah? Nak cakap baik, tak adalah baik mana pun. Mulut pun boleh tahan. Dasar kampung!” kutuk Armel dengan rasa benci yang meluap-luap.

“Kau kalau bercakap, ikut sedap mulut aje, kan? Ooh... jadinya kalau si Zill tu orang kampung, tak layaklah nak berganding dengan perempuan moden macam kau ni? Hei Armel, mama dengan papa kau ni bukan asal orang kampung ke? Kau rasa kau dah cukup urban duduk dekat KL ni, belajar sampai kat Amerika tu... jadi liar macam manusia tak ada agama! Mabuk sana sini. Berkawan dengan budak-budak liar. Balik macam dah tak rupa Melayu!” tempelak Raziqah geram. Ringan sahaja tangannya mahu menampar mulut anak bongsunya itu. 

“Ya, memang Mel liar. But that was just for fun! Tak lebih dari tu. Frankly speaking mama, Mel tak pernah sentuh air haram tu! Botol-botol arak yang mama nampak dalam gambar tu bukan Armel punya. Setitik pun Armel tak pernah teguk air haram tu! Mama, mama ingat Mel ni jahil sangat ke? Tak tahu beza halal haram? Mel clubbing, berparti sana sini tapi Armel tak pernah gadaikan maruah Armel,” luah Armel lantang. 

“Ooo... Tahu bezakan halal haram? Berpeluk sakan dengan jantan yang bukan muhrim tu halal? Pergi clubbing tu tak haram?” Raziqah melontarkan kata dengan sinis. Ikutkan hati, mahu sahaja dihuraikan lagi hukum hakam yang sepatutnya, namun waktu begini dia yakin penerimaan Armel tidak ubah seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

Armel terkedu seketika. Namun beberapa saat kemudian kembali membuka mulut. “Jadi sebab kesalahan macam tu mama terus rasa mama ada hak untuk buat keputusan sesuka hati. Patut ke mama paksa Armel kahwin? Kenapa mesti kahwin?!”

“Sebab mama tak nak kau rosak! Mama tak nak kau terus jadi jahil, hanyut dalam dunia kau, sekalipun kau memang tak pernah ikut cakap mama dengan papa dari dulu. Masa kau pergi US dulu, senyap-senyap kau buat preparation nak sambung belajar kat sana. Langsung tak bagi tahu kami semua. Setuju ke tak mama dengan papa kau tak pernah ambil kira. Tahu-tahu dah nak pergi aje. Tak ada pun terlintas kat kepala kau, ingat orang tua kau yang masih bernyawa ni. Mama kecewa dengan kau, Mel! Kecewa sangat-sangat! Mama boleh didik anak orang tapi mama tak mampu didik anak sendiri jadi manusia yang tahu adab sopan, hormat orang lain!”

Berdesing telinga Armel mendengar lafaz kata Raziqah. Namun, hati yang sedia liat itu sudah tidak terkesan apa-apa lagi. Yang ada cuma pendirian dan rasa kebenaran yang harus dia tegakkan.

“Fine! Kalau tu yang kau nak, mama akan batalkan pertunangan ni! Buatlah apa yang kau rasa betul. Jom abang, naik atas! Ziqah dah penat bercakap dengan anak yang tak reti hormat orang tua macam ni!” Raziqah bingkas bangun dan mengayun langkah menuju ke tangga.

“Ziqah, nanti dulu. Nanti dulu. Duduk dulu. Kita bincang baik-baik. Cukuplah korang berdua beranak bertengkar macam ni. Astaghfirullahalazim... Sampai bila kita semua nak macam ni?” Kusut kepala Zahirin menghadap kerenah anak dan isterinya. Masing-masing ada ego sendiri. Tidak pernah mahu bertolak ansur.

“Nak bincang apa laginya? Dah tak ada apa nak bincang lagi. Dia dah besar, tak payah nak diatur-atur lagi. Cakap berbuih mulut pun tak guna. Saya dah malas nak ambil pusing lagi. Dia nak buat, dia buat. Suka hati dialah!” ujar Raziqah lantas terus berlalu pergi.

Hanya tinggal Armel dan Zahirin di ruang tamu. Seketika ruang antara mereka jadi hening. Raut wajah Armel sudah berubah jelas. Seperti ingin menangis pun ya.

Mengapa Raziqah tidak pernah sekalipun mahu mengerti isi hatinya? Walhal jauh di sudut hati, dia mahukan seorang ibu yang mendekatinya dengan penuh belaian manja bukan amukan dan sindiran yang menyakitkan hati.

“Armel... Papa tahu Armel tak suka kami jodohkan Armel dengan Zill. Tapi percayalah. Papa dengan mama buat semua ni demi kebaikan Armel. Zill tu ikhlas terima Armel. Apa salahnya Armel cuba berterima kasih. Kenal hati budi dia dulu macam mana.”

Air mata Armel sudah berlinangan di pipi. Mengapa Zahirin juga mahu memaksanya menerima lelaki itu? Sangkanya Zahirin akan berubah fikiran namun tidak sama sekali. “Armel tak boleh, papa. Armel tak suka dia dan Armel takkan boleh terima dia,” ujar Armel dengan esak tangis yang mula kedengaran.

Tidak sampai hati rasanya melihat anak itu menangis lantas Zahirin bingkas lalu mendapatkan Armel. Dia melabuhkan punggung di sisi Armel.

“Papa please... Papa tak boleh buat Mel macam ni. Papa tak sepatutnya hukum Mel macam ni. Mel tak boleh kahwin dengan Faez. It’s too early, papa. Mel tak sedia lagi. Mel nak kejar cita-cita Mel dulu. Tak boleh ke papa kasi Mel peluang? Mel janji Mel akan berubah. Mel janji, papa,” ngongoi Armel seperti anak kecil. Air matanya sudah mengalir laju. Tangan Zahirin digenggam erat. Wajah Zahirin direnung tepat. Dia benar-benar memohon pengertian bapanya itu. 

Perasaan Zahirin terusik. Hatinya tidak setegar Raziqah untuk memaksa, namun harus bagaimana dia berpatah semula untuk menghadap Iqbal? Apa kata lelaki itu nanti?

Tambahan lagi, dia dan Raziqah sudah nekad untuk menyatukan kedua-duanya. Apatah lagi Faezrul yang datang sendiri untuk melamar anak gadisnya. Walau dia sedar dia tidak berlaku pada Armel kerana soal hati tidak boleh dipaksa-paksa. 

“Okey...” Tubuh Armel ditegakkan. Bahu anak gadis itu dipegang. “Papa takkan paksa Armel lagi. Papa akan batalkan pertunangan Armel dengan Zill. Tapi Armel kena janji dengan papa. Armel kena berubah. Ya?”


“Thank you so much, pa.” Pantas tubuh Zahirin dirangkul. Tangisannya kian reda. Berharap Zahirin benar-benar mengotakan janjinya.

No comments: