Rindu Awak 200% #13

PERMINTAAN Armel untuk mengajak Faezrul ke luar kediaman meninggalkan seribu satu persoalan di benak ahli keluarganya yang lain. Tingkah Armel yang tidak mampu diduga itu benar-benar diragui oleh Raziqah. Sebagai ibu dia lebih arif membaca setiap kelakuan anak gadisnya itu.

Langkah Armel diekori Faezrul sehinggalah gadis itu berhenti di laman yang dihiasi dengan pelbagai jenis tanaman hiasan. Sinar lampu spotlight yang memencar memperlihatkan hampir keseluruhan taman indah buatan tangan manusia itu.

“You betul-betul serius ke dengan semua ni?” soal Armel. Dia tidak mahu berbunga kata, bermukadimah dan sebagainya. 

Faezrul terdiam. Sejenak matanya menjamah raut gadis itu. Beberapa saat kemudian bibirnya menguntum senyum. “Awak rasa kalau saya main-main, saya boleh datang sampai ke sini jumpa keluarga awak?” 

Armel tertawa sinis. “I tak suka cakap meleret-leret. Tapi nak tak nak kita perlu jugak bercakap untuk jelaskan lagi keadaan. Mana tahu you tertinggal mana-mana cerita yang you patut tahu pasal I ke. Kan? Yalah cakap-cakap tukang sampai ni bukan boleh percaya sangat. Sekurang-kurangnya, apa-apa nanti you tak perlu persoalkan kat orang lain sebab semuanya keluar dari mulut I sendiri.” Seketika Armel berjeda dan kembali menyambung kata. Matanya masih tertancap tepat pada wajah Faezrul yang kelihatan tenang dan bersahaja. 

“I rasa tak ada orang dalam dunia ni tiba-tiba boleh buat keputusan drastik nak bertunang dengan orang yang dia tak pernah jumpa, yang dia tak pernah kenal, tak pernah tengok. Walaupun kita diberi tempoh setahun untuk kenal diri masing-masing, tempoh tu masih tak cukup. Inikan pulak sebulan dua. Lepas tu nak kahwin? You tak rasa ke semua ni crap? Mungkin semua orang boleh terima 'cinta kilat' tapi bukan 'kahwin kilat'.. Kan?" Faezrul tersenyum. Suara Armel yang kedengaran lantang dan yakin itu sedikit pun tidak mencubit emosinya. 

“Kahwin kilat ke cinta kilat ke, kalau TUHAN dah cakap tu jodoh kita, nak tak nak kita kena terima. Sebenarnya apa yang awak nak cakap ni erk?” Faezrul berpeluk tubuh. Menampakkan dia langsung tidak hairan sekalipun wajah gadis itu seperti mahu menelannya hidup-hidup.

“Mana you tahu I ni jodoh you?” 

“Mana awak tahu kalau saya bukan jodoh awak?” Faezrul terus memutar soalan. Dilihat wajah Armel berubah bengang.

“Tak semua benda yang dipanggil jodoh tu kekal. Berapa ramai yang kahwin lepas tu bercerai-berai. Apa alasan you untuk teruskan perkahwinan ni?”

“Jodoh?”


“That’s it?” Kening Armel terjongket.


“Tak semua benda kena pakai alasan, kan? Kalau semua benda pakai alasan kenapa kita tak pernah tanya mak kita apa alasan kita keluar dari perut dia. Betul tak?” 

Ekspresi wajah Armel kian ketara perubahannya. Sungguh, dia bagai tertelan batu mendengar kata-kata pemuda itu. Tiba-tiba hatinya terasa jengkel yang amat. Ketenangan Faezrul menjentik emosinya. Sangkanya dia mampu tampil sebagai yang lebih dominan. Namun, jangkaannya meleset. Lelaki itu bijak bermain kata.

“You cakap tak semua benda kena pakai alasan, kan? Maknanya ada jugaklah benda yang kena ada alasan. Tak payah nak putar-belit sangatlah!” tutur Armel geram.

Faezrul hanya mengukir senyuman kecil. Hatinya sedikit tercuit. Bukan dia tidak tahu menilai reaksi gadis seperti Armel. Luaran sahaja tampak tenang, padahal jiwanya sudah dilanda sebal. “Sekurang-kurangnya saya menjawab soalan.”

“Jadi alasannya sebab jodoh? Sebab jodoh semata-mata you setuju dengan perkahwinan ni?”

“Kenapa awak prejudis sangat dengan soal jodoh ni?”

“Jawab dulu soalan I!” 

“Untuk orang yang tak percaya pasal jodoh, angguk geleng pun tak guna. Lagipun saya tak ada banyak masa nak jelaskan satu-satu. Saya pun bukan jenis suka cakap meleret-leret,” tutur Faezrul bersahaja. Memulang paku buah kerasnya.

Berdesing telinga Armel mendengat bait-bait kata yang berbaur sinis itu. Hatinya sedikit tercabar. Apatah lagi dia langsung tidak memandang tinggi akan lelaki yang menjadi pilihan kedua-dua orang tuanya itu.

“I tak cakap pun I tak percaya dengan jodoh, kan? I cuma cakap tak semestinya jodoh tu kekal.”

“Tak ada yang kekal kat dunia ni, Cik Armel...”

Kenyataan itu membuatkan Armel bungkam seketika. “Look... ini soal masa depan I. Kalau you tak peduli dengan masa depan you, itu you punya pasal... tapi ni soal masa depan I okey? I ada hak untuk tentukan cerita masa depan I. You faham tak?”

Tidak perlu lagi Faezrul menebak fikiran gadis itu. Cakap-cakapnya sudah jelas untuk ditafsir sendiri. Armel sememangnya tidak sudi dengan hubungan yang sudah termeterai itu. Tapi... petunjuk istikharah itu sekali lagi mengelilingi ruang fikirnya. 

Seketika ruang antara mereka sepi. Beberapa waktu Armel berjeda. Merenung tepat ke sepasang mata Faezrul yang tampak redup itu. Betapa selama ini hatinya tidak pernah terjurus untuk mengetahui lebih lanjut tentang pemuda bernama Zill Faezrul itu waima usia dan apa pekerjaannya sekalipun dia tidak berminat untuk peduli.

“Kalau saya cakap saya ikhlas nak kenal awak?” Terpacul soalan tidak semena-mena itu dari mulut Faezrul. Sesungguhnya hatinya sedang dihimpit dengan seribu satu rasa kini. Cuba mencari sedikit ruang untuk dia terus percaya pada petunjuk yang dilihat. Walau separuh hatinya sudah mula goyah. 

Seandainya yang berdiri di hadapannya itu bakal menggantikan tempat Esyana yakni yang sebenarnya harus dipilih sebagai seorang isteri, dia harus mengasuh hati yang sudah bertahun menanggung kesakitan itu untuk membuka ruang buat Armel. Dia perlu berserah pada takdir dan hikmah. 

Armel tertawa sinis. Dia menggeleng. “Well... I percaya lelaki macam you ni mesti nakkan perempuan yang baik untuk buat isteri. Perempuan yang solehah yang boleh jadi isteri yang taat setia dengan you... Right? Cukuplah dengan semua nonsense ni! I dah tak boleh terima apa-apa lagi. Otak I ni dah overload dan sendat, tahu tak?” Tidak mungkin dia dapat membuka walau seinci ruang untuk Faezrul dan mustahil lelaki itu boleh menjadi sebahagian dalam galeri hidupnya. 

Hati Armel mula berprasangka. Entah-entah lelaki itu ada agendanya sendiri menerima rancangan Zahirin dan Raziqah untuk menyatukan mereka. Jika tidak masakan lelaki itu beria-ia ‘bermain politik’ dengannya. 

“Tak ada orang pun dalam dunia ni nak isteri atau suami yang jahat.”

“Itu I tahu! Tapi I tak nak kahwin dengan you. Tak kisahlah kalau nak extend masa untuk kenal hati budi masing-masing ke, apa ke. I memang tak nak. Tak... nak!” Armel mendengus kasar. Rambutnya diraup kasar sebelum menyambung semula kata-katanya.

“I tak faham kenapa mama dengan papa I pilih lelaki macam you ni untuk jadi suami I. I rasa dia orang memang tak ada taste langsung!” tutur Armel dengan riak angkuh sekali. Sikap sombongnya memansuhkan pada hakikat yang dilihat pada diri lelaki itu.

Sedikit kata-kata Armel menusuk ke gegendang telinga Faezrul. Namun, dia tidak cepat melatah. “Saya pun tak terfikir saya akan jumpa monster malam ni.”

“What?! What did you call me? Cuba you ulang sekali lagi?”

“M.O.N.S.T.E.R... Monster,” jawab Faezrul selamba siap dieja satu demi satu huruf yang merangkumi perkataan itu. Barangkali gadis itu perlu ‘diajar’ sedikit.

Armel jadi bengang. Ikutkan hati mahu sahaja dicekik-cekik leher pemuda tinggi lampai di hadapannya itu. Apatah lagi melihat wajahnya yang tidak berperasaan itu! Lelaki macam ni ke yang mama dengan papa kata baik sangat tu? Muka tu pun dah macam nak mintak pelempang aje! 

“Boleh tahan jugak mulut you ni, kan?” Gigi Armel sudah berlaga menahan rasa geram yang teramat. Sedikit masa lagi boleh bersikap haiwan di rimba barangkali. Namun, dia cuba mengawal rasa. 

Faezrul menjongketkan kening. “TUHAN bagi mulut... kalau orang dah tanya, jawab ajelah apa yang patut. Nanti cakap tak menjawab soalan pulak.” Faezrul memulangkan paku buah kerasnya.

Kesekian kali Armel terpempan mendengar jawapan spontan lelaki itu. 

“Dalam dunia ni, semua orang ada hak masing-masing. Dan semua orang ada hak untuk pilih jalan hidup sendiri. Tapi kadang-kadang kita kena buang sikit sikap prejudis yang tak berasas dan tak patut ada tu. Tak salah bagi peluang pada orang lain, kan?” 

“You ni memang tak faham ke atau you sengaja buat-buat tak faham?” Armel berpeluk tubuh. “Listen! I tak pernah rela untuk jadi isteri orang yang I tak pernah kenal. Sedetik pun I tak pernah ada rasa, terlintas kat fikiran nak terima you jadi suami I. Kalau kita berkahwin, itu atas kehendak parents I, bukan atas kerelaan I! So far, I tak perlukan suami untuk jaga I, tanggung I, lindung I whatsoever... I’m still young. I ada kemampuan, ada kelayakan, I boleh berdikari sendiri dan I ada cita-cita yang jauh lagi penting dari soal nikah kahwin yang mengarut ni. Lagipun I belum terdesak lagi nak berlaki. Dan I tak nak jadi mangsa jadi isteri lelaki yang desperate nak kahwin macam you!” 

Kata-kata terakhir yang dilontarkan Armel ibarat muntahan bom yang menujah-nujah dada. Pedihnya kata-kata perempuan itu seakan-akan bilah-bilah buluh yang menghiris hatinya. Sungguhpun begitu dia masih cuba menghadkan stimulasi emosi yang terkesan. Armel tidak perlu tahu ‘siapa’ dirinya selama ini. Sedetik dua dia cuba membuka sedikit ruang untuk mengendurkan rasa sabar ke dalam hati. Mana tahu saat hatinya sudah jurus untuk menerima seseorang dalam hidup, begini pula jadinya.

“Jadi, memang awak tak pernah setujulah dengan semua ni?” Faezrul meminta kepastian sekalipun dia mampu menerka jawapan yang bakal didengari.

“Buat apa I nak jawab soalan bodoh ni lagi? Yes! In fact I dipaksa dengan mama dengan papa I untuk kahwin dengan you. You tak tahu? Or again you buat-buat tak tahu?” 

Kerana tindakan Raziqah yang tidak masuk akal, dia terpaksa berdepan dengan pemuda itu. Namun, tidak sama sekali dia membuka pekung di dada menceritakan perihal sebenar yang berlaku. Hukuman Raziqah itu langsung tidak setimpal dengan kesalahannya. Ada waktu dia kesal kerana punya ibu yang cukup tidak memahami seperti itu. 

Faezrul terpempan. Pengakuan Armel benar-benar membuatkan dia bungkam. Tanpa sebarang kata, gadis itu terus melangkah pergi.

No comments: