ROMBONGAN meminang pihak lelaki selamat sampai ke kediaman mewah milik Zahirin dan Raziqah. Kedatangan yang semestinya dialu-alukan itu disambut mesra dengan senyuman di bibir. Sebentuk cincin tanda ikatan pertunangan selamat disarung ke jari manis si dara.
Hati Armel remuk-redam. Satu demi satu wajah asing di depan matanya hanya membuatkan air matanya tumpah. Sampai hati Raziqah dan Zahirin. Langsung tidak mahu berkompromi walau sedikit pun. Langsung tidak memberinya ruang dan waktu untuk memutus kata sendiri.
Hanya kerana satu kesalahan yang dilakukan, mudah sahaja Zahirin dan Raziqah mengenakan hukuman. Hukuman yang bakal merenggut masa depannya. Lalu dia tidak punya pilihan lain kecuali terpaksa akur dengan kemahuan kedua-dua orang tuanya. Walhal baginya masih ada ruang untuk dia memperbetulkan silap namun kali ini Zahirin dan Raziqah langsung tidak mahu bertolak ansur.
Mujurlah ada Daria di sisi. Selesai majlis, dia terus berlari ke bilik dan menangis semahu-mahunya di atas katil. Tidak peduli lagi dengan keluarga lelaki yang masih berada di bawah. Biar Zahirin dan Raziqah sahaja yang melayan bakal besan pilihan hati mereka.
Namun, kelibat sang lelaki yang sudah bergelar tunangannya itu langsung tidak kelihatan. Kata mereka, pemuda itu tidak dapat menghadirkan diri atas urusan-urusan lain.
Esak tangis Armel semakin kuat kedengaran. Segala perhiasan di kepalanya sudah tercampak entah ke mana. Malah cincin yang tersarung di jari manisnya juga dicabut lalu dibaling ke lantai, namun cepat-cepat Daria mengutipnya semula.
Dia duduk di sisi Armel yang sudah tertiarap di atas katil. Cincin belah rotan itu diletakkan di sisi Armel. “Tak baik kau buat macam ni Mel. Kau kena sabar, kuatkan hati. Janganlah macam ni. Aku tak sampai hati tengok kau macam ni tahu tak?” Rambut Armel diusap perlahan. Hatinya turut sebak.
“Aku tak nak, Daria. Aku tak sedia lagi untuk semua ni. Kenapa dia orang sanggup buat aku macam ni? Aku ni anak dia orang. Anak kandung bukannya anak angkat!"
Daria tertunduk hiba. “I’m so sorry, Mel. I can’t help you. Tapi kalau ALLAH dah cakap ni jodoh kau, nak tak nak kau kena terima, Mel.” Situasi sedemikian tidak memungkinkan dia untuk ikut campur. Tambahan lagi, ketegasan Raziqah tidak boleh disangkal-sangkal lagi. Betul-betul lain macam ibu Armel itu. Namun entah kenapa hatinya lebih berpihak pada tindakan kedua-dua orang tua Armel.
Malah dia dapat menaakul sesuatu kebaikan dan hikmah dari semua itu. Apatah lagi melihat keluarga pihak lelaki yang menunjukkan mereka orang baik-baik. Ibu bapa mana yang mahu menjahanamkan masa depan anak sendiri? Cuma ia boleh jadi rumit jika perasaan itu dipaksa dan terpaksa.
“Tapi bukan secepat ni. Dan bukan dengan orang yang aku tak kenal!”
“Mel, kadang-kadang kita takkan dapat apa kita nak dalam hidup ni. ALLAH tu Maha tahu segala apa yang berlaku. Aku yakin, lambat-laun kau akan dapat terima semua ni.”
Armel hanya diam. Rasa amarah yang tinggal pun sudah tidak mampu dikeluarkan. Hatinya sudah lelah dan tubuhnya seperti sudah hilang segala tenaga yang ada.
HARI ini, setelah genap usia pertunangan mereka tiga minggu. Sebagaimana yang telah dijanjikan, Faezrul akan bertemu dengan keluarga Armel dan melihat sendiri wajah si tunang yang masih belum tidak diketahui rupa parasnya. Sengaja dia tidak mengendahkan perihal Armel selama mereka disahkan menjadi tunangan dek kesibukan kerja. Kalau boleh soal gadis itu biar dilupakan buat seketika. Malah dia menolak untuk melihat gambar Armel dari foto-foto yang sudah dirakam adik dan kakak-kakaknya ketika majlis pertunangan beberapa minggu yang lalu.
Jam di tangan menunjukkan pukul 8.00 malam ketika dia turun ke ruang tamu. Kelibat Azad yang sedang menonton televisyen di ruang tamu mencuri perhatiannya seketika. “Aku pergi dulu, Zad,” beritahunya sambil melangkah ke muka pintu.
“Good luck, bro. Kontrol darah gemuruh kau tu. Facial countenance tu yang paling penting. Aku tunggu kau balik,” ujar Azad yang sudah berdiri di belakang Faezrul.
Lelaki itu tersengih-tersengih memandang Faezrul. Namun, tidak dipedulikan Faezrul. Panjang pulak cerita nanti kalau melayan mamat ni.
20 minit memandu, akhirnya dia tiba di sebuah kawasan perumahan elit yang belum pernah dijejakinya. Dia membelok memasuki salah satu simpang di situ. Mengikut alamat yang dihantar menerusi SMS oleh Zahirin, rumahnya terletak di lorong itu.
Akhirnya dia berhenti di salah sebuah rumah lot tepi dua tingkat di situ. Setelah diamati nombor rumah, dia yakin kediaman itu yang dicarinya.
Dilihat ada sebuah kereta Vios yang terparkir di garaj. Faezrul memarkir keretanya di tepi di antara kediaman itu dengan kediaman sebelah. Telefon bimbitnya dicapai di tempat duduk sebelah. Nombor Zahirin dihubungi. Tidak sampai beberapa saat panggilannya dijawab.
“Haa Zill... Dah jumpa rumah pak cik?”
“Err... saya tak pastilah pak cik. Rumah nombor 13 kan? Yang ada kereta Vios putih tu ke?” Faezrul meminta kepastian. Setahunya Zahirin memakai Volkswagen Touareg berwarna brown ketika datang ke kampungnya dahulu. Namun, tidak kelihatan pula kereta itu di garaj.
“Ya... Rumah pak ciklah tu. Zill kat mana ni? Dah sampai ke?”
“Oh...” Faezrul tergelak kecil. “Saya baru aje sampai. Ada kat luar sekarang.”
“Haa nanti sekejap ya pak cik bukakan pintu pagar.”
Talian dimatikan. Faezrul terus melangkah keluar dari kereta. Seketika, dia terpegun melihat kediaman besar yang tersergam gah itu.
Tiba-tiba pintu pagar automatik itu terbuka sendiri. Semerta wajah Zahirin kelihatan di dalam menyambut kedatangannya.
“Assalamualaikum...” Faezrul memberi salam lantas disalam dan dicium tangan lelaki itu.
“Waalaikumussalam. Alhamdulillah, sampai jugak kamu ke rumah pak cik.” Zahirin pantas meraih tubh Faezrul ke dalam pelukannya.
“Jemputlah masuk,” pelawa lelaki itu lalu memaut mesra bahu Faezrul.
Ketika di muka pintu, Faezrul di sambut pula oleh seorang lelaki. Barangkali itulah abang Armel yang pernah diceritakan oleh Zahirin dahulu. Lelaki itu tersenyum manis sambil mempelawanya masuk membawa dia ke ruang tamu. Faezrul melabuhkan punggung di sofa. Tidak lama kemudian, Raziqah muncul dari arah dapur. Wanita itu kelihatan anggun dengan baju kurung dan tudung yang senada.
“Mak cik...” sapa Faezrul dengan senyuman.
“Bertolak pukul berapa tadi dari rumah? Cepat pulak Zill sampai?” soal Raziqah lalu duduk di sisi Zahirin.
Ilhan pula hanya menjadi pemerhati di sofa tunggal di sebelahnya. Kali pertama dia melihat bakal adik iparnya itu, hatinya terdetik sesuatu. Namun, dia hanya mendiamkan diri. Membiarkan kedua-dua orang tuanya berbicara.
“Pukul 8.00 tadi. Nasib baik jalan tak jam. Kalau tak jenuh jugak nak sampai ke mari.” Faezrul cuba membiasakan diri. Berada di dalam kediaman mewah itu benar-benar membuatkan dia jadi canggung. Namun, hati masih berdebar-debar menanti kemunculan si gadis yang bernama Armel Aisya.
“Err... Armel keluar pergi kedai sekejap. Sekejap lagi baliklah tu,” beritahu Zahirin. Di dalam hati, dia berdoa Armel tidak buat perangai. Sebentar tadi, anak gadisnya itu sudah bertelagah dengan Raziqah untuk keluar ke kedai membeli kad top up. Macam tak boleh tunggu esok hendak membeli. Dia dapat rasakan Armel sengaja mencari alasan untuk melepaskan diri.
“Dia nervous tu. Sebab tulah sibuk nak keluar pergi kedai. Selalunya tak pernah-pernah pergi kedai malam-malam macam ni. Yalah, first time nak jumpa tunang, kan?” celah Ilhan yang sedari tadi membisu lantas ketawa.
Dia tahu dia harus menyelamatkan keadaan. Walaupun masih bersimpati dengan nasib Armel, namun dia masih geram dengan tindakan Armel yang suka benar memprotes. Cakap-cakap Zahirin dan Raziqah langsung tidak diendahkan.
Hampir setengah jam mereka berbual di ruang tamu, tiba-tiba kedengaran ngauman enjin kereta Volkswagen Touareg milik Zahirin memasuki garaj.
“Haa tu pun dia dah balik.” Raziqah bersuara lantas bingkas untuk mendapatkan anak gadisnya di muka pintu.
Dada Faezrul seakan-akan dipalu. Namun, dia cuba untuk tenang barang seminit dua. Kemunculan yang sebetulnya dinanti benar-benar membuatkan jiwanya keluh kesah. Telinganya menangkap jelas bunyi tapak kasut dari luar rumah. Matanya tertunak tepat ke muka pintu.
Sesaat kemudian, wajah yang dinanti terpacul di muka pintu. Serentak pandangan mereka bersabung. Tidak berkelip pandangan Faezrul memanah penglihatan pada wajah gadis berambut lurus separas bahu yang mengenakan blaus labuh berwarna putih dan seluar hitam itu.
Begitu juga Armel. Seakan tidak bisa dikalihkan lagi mukanya ke arah lain tatkala melihat kehadiran Faezrul di ruang tamu rumahnya itu. Seakan-akan tidak percaya itulah jejaka yang sudah menjadi tunangannya selama ini.
Tiba-tiba lengannya ditarik Raziqah menghampiri ruang tamu. Terasa berat kakinya hendak melangkah, namun terpaksa juga dia menapak.
“Zill, kenalkan Armel Aisya. Mel, mama kenalkan, tunang kamu, Zill Faezrul,” ujar Raziqah.
Zill? Armel tersentak. Sungguh nama itu terus mengheret ingatannya pada Raizil. Dia juga memanggil nama singkatan pemuda itu dengan gelaran yang sama. Selama ini dia tidak pernah mengambil tahu siapa nama tunangannya itu.
“Assalamualaikum...” Faezrul memberi salam seraya menentang pandangan gadis itu. Wajah itu tampak dingin menyambut kehadirannya. Tiba-tiba hatinya jadi tidak sedap.
“Waalaikumussalam... Dah lama sampai?” soal Armel sekadar berbasa basi.
“Dah lama dah. Nak dekat seminggu dah dia sampai. Tunggu awak bukan main lama lagi,” sampuk Ilhan selamba.
Armel menjeling abangnya. Namun, Ilhan selamba menayang wajah tidak bersalahnya.
“Armel dah balik. Jomlah kita makan. Nanti sejuk pulak lauk-lauk kat atas meja tu,” kata Zahirin seraya bangun lalu mempelawa Faezrul ke ruang makan. Bahu Faezrul dipaut mesra.
Perasaan Armel membara. Layanan baik keluarganya terhadap Faezrul membuatkan hatinya jadi geram tiba-tiba.
“Muncung tu, control sikit. Depan tunang kenalah buat muka cantik sikit.” Sempat Ilhan mengusik sebelum dia membuntuti langkah Zahirin, Raziqah dan Faezrul.
Ikutkan hati, mahu sahaja Armel mengatur langkah ke ke tingkat atas. Dia tidak sanggup menghadap lelaki yang tidak dikenali itu sepanjang berada di meja makan.
“Armel, buat apa lagi kat situ tu?” panggil Zahirin.
“Yes. Coming!”
Ketika di meja makan, Armel terpaku seketika melihat kerusi yang bersetentang dengan Faezrul dikosongkan oleh abangnya. Wajah Ilhan dipandang dengan seribu satu perasaan. Rasa nak lempang-lempang melihat wajah Ilhan yang dari tadi tersengih-sengih ke arahnya. Terpaksa juga dia menghenyakkan punggungnya ke kerusi tersebut. Seketika dia meneliti raut wajah pemuda di depannya itu.
“Banyaknya mak cik masak?” Faezrul bersuara.
“Tak banyak pun ni, Zill. Lauk gulai aje yang banyak jenis. Mak cik kamu ni kalau memasak bukan nak dua tiga jenis lauk. Kalau tak sepuluh jenis masakan, tak keluarlah dia dari dapur tu,” seloroh Zahirin.
“Hisy... awak ni! Ada tetamu nak datang kenalah masak special sikit. Orang cakap kalau nak jamu tetamu ni, kenalah lain dari hari biasa. Jemput makan Zill. Jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri.” Celoteh Raziqah meriuhkan suasana.
Armel menjerut rasa. Panggilan Zill yang digunakan oleh Zahirin amat menyakitkan telinga.
“Hai dik... Takkan kau nak penyek nasi tu sampai jadi bubur? Kot ya pun excited jumpa tunang, janganlah sampai macam tu sekali,” tegur Ilhan yang sedari tadi memerhati gelagat Armel di sebelahnya. Seketika semua mata tertumpu ke arah Armel.
Armel menarik muka masam. Dijeling Ilhan bagai hendak terkeluar biji mata. Jelas warna dan reaksi wajah seperti itu dapat ditafsir lebih jelas oleh Faezrul. Gadis itu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk memulakan perbualan sejak dari tadi.
“So... Zill Faezrul... Hmm... Can I call you Faez? Zill sounds little bit...” Armel tidak meneruskan kata-katanya. Hanya reaksi yang jengkel dipaparkan betapa dia tidak suka mendengar nama Zill itu disebut-sebut.
Zahirin dan Raziqah saling berpandangan. Terlukis riak risau di wajah mereka melihat cara Armel melontar kata.
“Oh... tak ada masalah. Panggil apa-apa pun boleh.” Faezrul mengukir senyuman manis. Sedangkan hatinya sedikit tersentak mendengar kata-kata Armel. Panggilan itu hanya digunakan oleh Esyana.
“Jemputlah makan ya? Lepas ni bolehlah kita berbual-bual.” Tiba-tiba suara Armel berubah ceria. Roman wajah yang tadinya begitu masam mencuka tiba-tiba dihiasi senyuman selebar hingga ke telinga.
Ilhan, Zahirin dan Raziqah saling berpandangan. Hairan dengan perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Armel. Senyuman yang terpamer seakan-akan dilihat plastik. Namun masing-masing hanya mendiamkan diri.
Sepanjang berada di meja makan, hanya gelak tawa keluarganya yang lain kedengaran. Armel, sekadar menjadi pendengar. Dia tidak ada hati untuk menyertai kemeriahan suasana yang tercipta.
Kehadiran Faezrul seolah-olah mencampakkan dirinya jauh ke daerah terpencil dan jasadnya cuma mampu berlegar-legar di situ tanpa perlu menanti siapa-siapa pun muncul untuk membawa dia pergi. Terasing. Ya, istilah itu barangkali lebih tepat!
No comments:
Post a Comment