“ZILL!” Tubuh sahabatnya itu digoncang beberapa kali. Seketika kemudian Faezrul tersedar. Seolah-olah terkejut melihat kehadiran Azad di situ. Dia lantas bangkit sambil terpisat-pisat. Tanpa menghiraukan Azad, dia mencapai Macbooknya lalu dibawa ke riba. Gambar Esyana masih terpapar di skrin komputernya.
Azad duduk di sebelah temannya itu. Satu keluhan panjang dilepaskan. Pandangannya tertancap pada skrin komputer Faezrul kemudian beralih pula pada wajah pemuda itu. “Zill, dah dah lah tu... Sampai bila kau nak macam ni?” Bahu Faezrul dipegang kemas. Dia tahu apa yang ditanggung oleh temannya itu selama ini.
Namun, dia tidak sanggup lagi melihat Faezrul hidup dengan bayang-bayang memori semalamnya. Memori yang menjadikan lelaki itu seolah-olah kosong dan ketandusan rasa hati.
Sebagai teman, dia harus sentiasa mengingatkan hakikat itu pada Faezrul. Agar lelaki itu tidak terus jauh dari realitinya. Supaya lelaki itu merapatkan semula jurang antara hakikat dan imaginasi yang meletakkan dia di antara dua situasi di tengah-tengah.
Faezrul diam. Komputernya sudah terpadam. Segala imbauan masa lalu sudah pecah berderai. Dia mengeluh berat sambil meraup wajah.
“Awal kau balik?” Faezrul cuba mengalih topik. Dia tahu Azad sudah melihat gambar Esyana sebentar tadi. Sebelum dia diberi ceramah percuma, lebih baik dia tidak memberi sebarang komen tentang itu.
“Irene terseliuh kat Albert Cuyp Market tadi. Dah tak larat nak berjalan. Orang pulak bersesak-sesak. Terpaksalah balik.”
“Macam mana boleh terseliuh?”
“Pakai kasut nak dekat 18 inci, mana tak terseliuh.”
“Habis tu macam mana keadaan dia sekarang?” soal Faezrul lagi.
“Okey aje... Aku dah hantar dia ke bilik. Bukan teruk mana pun. Terseliuh sikit aje. Alah time keluar dengan aku baru nak terseliuh. Kalau kau ada, terseliuh pun boleh berlari lagi.”
“Apa kau merepek ni?”
“Aku tengok Irene tu macam suka kat kau aje. Dari dulu lagi aku perhati. Takkan kau tak perasan?”
Kening Faezrul bertaut. “Mengarutlah kau ni...”
“Ah! Lantak kaulah! Kau bukannya ada perasaan pun sampai orang tengok kau dengan perasaan cinta yang mendalam pun kau tak perasan,” seloroh Azad sambil mencapai alat kawalan jauh televisyen.
Kata-kata Azad langsung tidak masuk di kepala Faezrul. Fikirannya masih melayang-layang.
“Eh, malam ni jomlah keluar. Takkan kau nak duduk dalam bilik aje? Tak mendap ke kepala otak kau berkurung dalam ni?”
“Keluar pergi mana?”
Azad tersenyum penuh makna sambil menjongketkan keningnya.
“Apahal kau sengih-sengih? Kau jangan nak buat kerja gila.” Bukan dia tidak tahu perangai Azad yang sedikit tiga suku itu. Ada sahaja idea nakalnya merencanakan sesuatu.
Tawa Azad meletus. “Apa? Kau ingat aku nak ajak kau pergi clubbing?”
Faezrul mencebik.
“Aku nak bawak kau kat satu tempat. Tempat baik punya. Lepas maghrib kita pergi,” beritahu Azad ceria masih dengan sengihannya.
“Kau ni asal boleh aje. Irene dengan Tameka ikut sekali ke?”
Azad berdecit. “Aku dengan kau ajelah. Lagipun dah lama aku tak dating berdua dengan kau. Dah kemaruk ni...”
“Argh! Dah, dah!” Tubuh Azad ditolak Faezrul.
TIUPAN angin malam di sekitar Amstel River cukup menenangkan jiwa yang resah gelisah. Sungai yang menjadi nadi dan pusat di Amsterdam itu merupakan tarikan utama pelancong yang datang ke situ. Dari Magere Brug Bridge yang menghubungkan Amstel River dan pusat bandar Amsterdam, Faezrul dan Azad berdiri menghadap sungai yang tampak tenang itu.
Terleka seketika menikmati keindahan pemandangan di sekitar kawasan jambatan yang disinari dengan 1200 lampu itu. Menyaksikan bangunan-bangunan binaan ala-ala klasik yang berdiri indah di pinggir sungai dengan barisan bot yang terolang aling dipukul ombak sungai kala ditiup pawana.
Musim luruh menampakkan pohon-pohon yang sudah togel tanpa daun memberi impak suasana yang cukup dramatik pada pemandangan di situ. Begitu mengasyikkan.
Tiba-tiba hati Faezrul dijerut rasa sayu yang amat. dia teringatkan Esyana. Kalau Esyana ada bersama, pasti gadis itu teruja menyaksikan keindahan panorama di situ.
Dia masih ingat akan cerita-cerita impian Esyana ingin menjejakkan kaki ke negara-negara Eropah. Dan dia pernah berjanji akan membawa gadis itu ke negara-negara yang ingin dikunjunginya selepas mereka berkahwin. Namun, semuanya hanya tinggal janji yang tidak sempat ditunaikan.
“Kau fikir pasal Syana lagi?”
Suara Azad membelah lamunan Faezrul.
“Aku tahu sangat apa yang ada kat dalam kepala otak kau tu. Come on, Zill. Esyana tu pun kawan aku. Aku pun terasa bila dia tak ada. Tapi takkan sampai bila-bila kau nak macam ni. Bukak Facebook dia, tengok gambar dia sampai kau hanyut menerawang entah ke mana fikirkan benda-benda yang dah berlaku. Kalau kau redha dengan pemergian dia, bukan macam tu cara yang sepatutnya. Kita manusia ni sama aje, Zill. Penghujung kita tetap kat sisi DIA jugak nanti. Mati tu pasti. Takkan ada satu pun yang terkecuali. Cukuplah Zill... Kesian kat Esyana. Biarlah dia pergi dengan tenang,” nasihat Azad sambil menyentuh lembut bahu temannya.
Walau sudah beribu kali dia mengingatkan perkara yang serupa, namun Faezrul masih dengan penerimaan yang sama. Jika telus sekalipun kata-katanya ke hati lelaki itu barangkali cuma sekejap. Seketika kemudian, hilang semula diusir kenangan yang begitu tegar mendiami nubarinya.
Hati Faezrul sedikit tersentuh. Dia berpaling memandang wajah Azad. Wajah lelaki itu jelas memohon dia akur pada hakikat. Ya, sebetulnya dia sudah akur dengan hakikat.
Namun, memori yang ada tidak mampu diusir walau sesekali dia benar-benar tidak rela ia hadir menganggu fikiran. Kalaulah melupakan seseorang itu semudah memejamkan mata kemudian membuka mata dan segala nostalgia yang ada lenyap begitu sahaja, tidak perlulah dia bersusah payah melawan perasaan yang sebegini rupa.
Sungguh, dia tidak pernah menjangka yang dia bakal menjadi selemah itu menghadapi pemergian Esyana. Malah tidak pernah sama sekali menduga sekuat itu bayang Esyana yang sudah tiada mengekori setiap langkahnya. Faezrul beristighfar di dalam hati.
“Thanks, Zad.” Tangan Azad ditepuk-tepuk perlahan. Segaris senyuman terukir pada bibirnya.
“Aku ingat nanti kalau aku kahwin, aku nak bawak bini aku pergi honeymoon kat sinilah. Netherlands is not bad what. Look...” Azad membuang pandang ke panorama di depannya dengan perasaan asyik.
Mata Faezrul kembali membuang pandang pada panorama yang terbentang luas di depan matanya. Benar, tempat itu cukup indah untuk dinikmati dengan yang tersayang. Ia boleh dikira antara tempat yang romantis untuk pasangan bercinta selain dari Paris dan Venice yang biasa diagung-agungkan oleh orang ramai.
“Tinggal sebulan lagi aku nak jumpa budak perempuan tu,” beritahu Faezrul tenang.
“Sebulan? Alah... lambat lagi. Apasal? Kau dah nervous?” Ada senyuman nakal yang tersungging di bibir Azad.
Faezrul tergelak kecil. “Tak ada perasaan.” Suaranya mendatar.
“Hai... untunglah ayah kau carikan calon. Aku ni, suruh mak aku cari sikit pun dia tak layan. Dia suruh aku cari sendiri. Mana aku ada masa.”
“Kau pernah suruh mak kau cari ke?”
Azad menyengih. “Pernahlah... tapi dia buat tak tahu aje.”
“Kau tak kisah ke kalau mak ayah kau jodohkan kau dengan perempuan yang kau tak kenal?” soal Faezrul hairan.
“Apa salahnya? Asalkan perempuan yang mak aku cari tu cun, pandai jaga kehormatan diri dan hormat orang tua.”
“Cun kau memang tak nak tinggal, kan?”
“Yalah... mestilah kena cantik. Nabi pun suruh kita cari perempuan yang elok rupa parasnya untuk buat bini. Alah, aku bukan demand lebih-lebih sangat pun. Janji sedap mata memandang. Lagipun lepas kahwin nanti aku nak tengok dia jugak. Hari-hari menghadap muka dia. Sekurang-kurangnya tak adalah mata aku melilau kat perempuan lain kalau bini kat sebelah dah terbaik.”
Faezrul ketawa seraya menggeleng, namun seketika kemudian dia senyap. “Aku risaulah, Zad...”
“Kau nak risau apa? Kau bukan nak pergi berperang. Kau jumpalah dulu budak perempuan tu, tengok dulu dia macam mana.”
“Bukan masalah jumpa tak jumpa.”
“Habis tu?”
“Pasal mimpi istikharah aku tu.”
“Hah... kau dah nampak, kan? Itu maknanya budak perempuan tu memang jodoh kau. Bakal isteri kau!” kata Azad yakin.
Faezrul terdiam. Mimpi selepas melakukan istikharah dua malam berturut-turut beberapa minggu lalu menjengah ingatan. Menurut apa yang pernah dibaca, seandainya sesuatu itu diperkenankan oleh-NYA, dia akan melihat air, atau pun sesuatu yang hijau dalam mimpinya.
Mimpi malam pertama dia melihat air laut yang berwarna biru terhampar luas di depannya. Mimpi malam kedua pula dia melihat pokok-pokok besar yang rendang dan menghijau di sekelilingnya.
“Kau tak payah fikir banyak lagi, Zill. ALLAH tu dah bagi kau petunjuk. Dah jelas dah. Kau tak boleh nafikan lagi. Kalau akulah, aku pinang terus budak perempuan tu. Tak payah fikir apa-apa lagi. Nak tunggu lama mana lagi? Umur kau dah lanjut.”
Kata-kata Azad membuatkan Faezrul tersentak. Walau nadanya kedengaran seakan gurauan, namun terpasak dalam ke lubuk hatinya.
“Tapi aku takutlah. Kau tak rasa ke 23 tahun tu muda lagi ke?”
“23 muda? Okeylah tu. Kau nak tua mana lagi? Zaman mak bapak kita dulu, umur 15 tahun pun dah boleh kahwin. Ni kan pulak zaman sekarang. Pemikiran dah jauh lebih matang. Setakat 23 tu... Baru tujuh tahun beza. Lagi mudalah lagi bagus, senang nak atur, bro. Senang nak bimbing. Kalau tua-tua, dah keras, nak lentur pun kena pakai parang dulu,” ungkap Azad penuh makna. Kemudian dia tertawa.
“Banyaklah kau senang nak bimbing. Budak muda sekarang ni lain, Zad. Kalau tak kena gaya, dengan aku-aku sesat barat.”
“Come onlah. Cuba kau positifkan sikit kepala otak kau tu. Kau belum jumpa pun lagi budak perempuan tu. Kau jumpa dulu apa-apa hal, bro. Lepas tu baru kau datang cerita, habaq mai kat aku. Ini jumpa pun tak lagi, dah menceceh tak habis-habis,” bebel Azad. “Hai, tak sabar dah aku nak makan nasi minyak ni. Terbau-bau pulak kat hidung ni tiba-tiba.”
Pantas buku lima Faezrul dilayangkan ke perut Azad. Tidak sempat pemuda itu mengelak. Dia mengaduh kesakitan. Tanpa menanti lagi, Faezrul terus melangkah meninggalkan Azad. Terpinga-pinga pemuda itu menuruti langkahnya.
Di dalam hatinya, dia sudah menetapkan sesuatu. Ya! Dia sudah yakin dengan apa yang bakal dia pilih. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar.
No comments:
Post a Comment