Rindu Awak 200% #10



APPLE MacBook daripada beg pakaiannya dikeluarkan lalu dibawa ke meja kecil di sudut biliknya. Perlahan-lahan Faezrul mengambil tempat di sofa. Ditarik meja itu dekat sedikit ke arahnya. Komputer dibuka. 

Seketika kemudian jarinya lincah menaip satu per satu huruf di papan kekunci. Kemudian berhenti seketika merenung skrin komputer seolah-olah sedang melihat sesuatu yang amat menarik perhatian. Jari telunjuknya dimainkan pada satu kekunci sahaja sambil matanya tertunak tepat pada skrin.

Pandangannya tertancap pada nama Esyana Rahman di senarai rakan-rakan di laman Facebooknya. Terus nama itu diklik dan terpapar profil gadis itu sepenuhnya.

Entah yang ke berapa kali hatinya dicengkam rasa sayu yang amat dalam tatkala melihat segala tulisan di wall Facebook milik Esyana. Puluhan ucapan takziah yang dititip di situ meninggalkan kesan yang cukup sukar digambarkan dengan kata-kata. Kini, laman itu sudah sunyi tanpa sesiapa. Hanya dia yang menjadi pelawat setia membaca apa sahaja yang termaktub di situ.

Setiap kali dia cuba mengawal dirinya dari membuka Facebook Esyana, namun setiap kali rasa hatinya bagai tidak mampu ditahan-tahan untuk melihat laman sosial yang pernah menjadi penghubung antara mereka satu masa yang lalu. Setiap kali berjauhan hanya laman itu yang menjadi medium interaksi mereka berdua. 

Faezrul mencari status-status lama Esyana yang sudah jauh terperosok ke bawah. Itulah yang selalu dilakukannya setiap kali profil Facebook Esyana dibuka. Dan nombor telefon yang pernah digunakan Esyana masih lagi disimpan di dalam telefon bimbitnya.

Lama mencari status-status yang pernah ditulis Esyana. Tidak terkira banyaknya ucapan takziah menenggelamkan status asal milik gadis itu. Akhirnya matanya terpacu pada status terakhir Esyana. Dibaca ayat itu berulang kali.

‘Seandainya masih ada esok, aku ingin memaknakannya dengan kata-kata yang lebih terang untuk dia tahu betapa aku rindu.’

Faezrul menarik nafas dalam. ‘Dia’ di dalam petikan tentu sekali dirinya yang dimaksudkan. Apakah sememangnya Esyana sudah dapat merasa pemergiannya tidak lama lagi?

Benar, gadis itu begitu sukar melafazkan kata-kata sayang dan rindu buatnya. Berjauhan jauh mana sekalipun, jarang sekali Esyana menyatakan kalimah cintanya buatnya. Itulah uniknya gadis yang menduduki hatinya satu ketika dahulu. Dia tidak melihat sesiapa lagi yang boleh menandingi Esyana waima bayangnya sekalipun tidak akan pernah ada. 

Seketika kemudian Faezrul tersedar dari lamunan. Beberapa gambar Esyana yang ada di dalamnya di klik satu per satu. Rasa yang ada di hati masih kekal sama. Setiap kali melihat wajah itu, hatinya bagai dijirus air dingin yang begitu menyamankan. 

Sepasang mata redup milik Esyana seolah-olah menyatakan tulusnya hati gadis itu pada pemilik jiwanya. Bertudung litup mengikut syariat. 

Ya TUHAN, ada lagikah gadis sebaik Esyana di muka bumi ini? Apa sememangnya KAU hadirkan dia untuk aku tahu betapa seorang wanita itu cukup mulia di sisi seorang lelaki. Sebagaimana mulianya ibuku yang selalu dikhabarkan oleh abah sejak dari dulu. Supaya aku jelas akan kasih seorang wanita yang sebenar-benarnya. Namun, mengapa hanya seketika dia hadir dan kemudian pergi selama-lamanya?

Tidak sedar, lamunan Faezrul berpadu semula mencipta bayang memori semusim yang lalu.

MYVi berwarna kuning yang baru masuk ke perkarangan rumah sebelah mencuri perhatian Faezrul dan Azad yang sedang sibuk mengangkat barang-barang untuk dibawa masuk ke dalam rumah. 

Sebaik sahaja kereta itu berhenti di garaj, kelihatan dua orang gadis berbaju kurung keluar dari perut kereta. Faezrul dan Azad sama-sama terpegun.

“Awek ke duduk sebelah rumah kita ni, Zill? Rezeki ni, bro,” tutur Azad nakal sambil tersengih-sengih. Namun kata-katanya tidak dihiraukan oleh Faezrul. Lelaki itu menonong sahaja masuk ke dalam rumah dengan sebuah kotak besar di tangannya.

“Assalamualaikum...” Si gadis berbaju kurung hijau pucuk pisang menyapa lalu menghampiri pagar pemisah kediaman mereka bersama rakannya.

“Waalaikumussalam...” jawab Azad seolah-olah begitu teruja disapa oleh gadis-gadis itu. Pandangannya tertancap pada wajah kedua-duanya. ‘Hmm... boleh tahan,’ desis hatinya. 

“Baru pindah sini ke?” soal gadis yang bertubuh genit itu berbaju kurung kuning itu pula.

“Eh tak adalah. Dah setahun dah duduk kat rumah ni. Takkan cik tak perasan kot?” balas Azad tersengih-sengih.

Si gadis mengerutkan dahi seraya memandang rakannya. Kemudian kedua-duanya mempamerkan reaksi hairan.

“Ha’ah... kita orang baru aje pindah hari ni.” Tiba-tiba kedengaran suara Faezrul menyampuk. Dia melemparkan senyuman ke arah kedua-dua gadis itu. 

Azad sudah tersengih-sengih. Pandangannya terkalih pada tag nama yang dipakai oleh mereka. Cikgu ke?

“Ish, saya ingat betullah tadi memang ada orang tinggal kat rumah sebelah ni selama ni. Terkejut jugak. Manalah tahu selama ni halimunan, hari ni tiba-tiba boleh nampak,” tutur gadis yang berbaju kurung kuning yang memakai tag nama ‘JASLIEYATUL’ itu pula lalu tertawa. 

Azad dan Faezrul turut sama tertawa. 

“Bergurau aje. Jangan marah.” Azad tersengih-sengih macam kerang busuk. Pantang nampak perempuan mulalah nak menggatal.

“Saya Azad, yang ni kawan saya, Zill.” Azad memperkenalkan dirinya dan Faezrul.

“Esyana...” tutur gadis berbaju kurung hijau itu dengan seulas senyuman di bibir mungilnya.

“Jaslieyatul,” ucap rakannya yang seorang lagi pula.

“Cik berdua ni cikgu ke?” soal Azad ingin tahu. Tergendala seketika kerja-kerjanya mengangkat barang berbual dengan kedua-dua gadis yang tampak ramah itu.

“Ha’ah... Cikgu dekat-dekat sini aje. Tinggal berdua aje ke?” soal Esyana lagi.

“Ha’ah... Berdua aje. Kami tak kahwin lagi,” balas Azad bersahaja tidak semena-mena membuatkan kedua-duanya tertawa untuk kesekian kalinya.

“Oh okey... Hmm, tak apalah... kami masuk dululah ya? Mintak maaflah menganggu encik berdua.” Esyana meminta diri. Tidak elok pula rasanya berdiri di situ menghadap kedua-dua lelaki yang baru dikenali itu. Nanti apa pula kata jiran sebelah menyebelah. 

“Eh tak apa... Nak ganggu lama-lama lagi pun boleh. Tak ada masalah pun,” usik Azad nakal membuatkan kedua-duanya tertawa kesekian kali. 

Faezrul di sebelahnya sekadar tersenyum tipis melihat telatah sahabatnya itu. Mamat ni kalau dengan perempuan mengalahkan Kak Senah jual jamu.

MALAM itu usai solat isyak, Faezrul bergegas keluar dari biliknya turun ke tingkat bawah. Tiba-tiba dia teringat netbooknya yang tertinggal di dalam kereta. Satu beg kecil di tempat duduk hadapan ditarik keluar. 

Ketika berpaling, matanya tertancap pada sebatang tubuh yang sedang membongkok di laman sebelah. Seketika dia mengamati gelagat seorang gadis bertudung yang sedang asyik membelek-belek pokok bunga di taman kecil di sudut rumah itu.

Entah kenapa, terasa ringan sahaja mulutnya menegur. Padahal selama ini setiap kali melihat gadis itu rengkungnya seakan-akan disekat dengan seketul batu membuatkan dia tidak mampu bersuara. 

“Buat apa tu, Cik Esyana?”

Suaranya meraih perhatian Esyana. Gadis itu berpaling. Segaris senyuman dilemparkan. Manis. 

“Tengok pokok-pokok bunga ni.” 

Faezrul memanjangkan leher ingin melihat pokok bunga yang dimaksudkan oleh gadis itu. Dalam kesamaran cahaya lampu neon di laman rumah gadis itu, dia dapat melihat jelas pokok-pokok bunga renek yang tumbuh subur di taman mini kediaman jirannya itu.

Hairan... malam-malam membelek pokok bunga? “Oh... ingatkan buat apalah tadi malam-malam macam ni. Err... rumah ni rumah sewa ke rumah sendiri?”

Tiba-tiba Esyana bangkit lalu menghampiri pagar pemisah. Dapat dilihat jelas wajah gadis itu yang disimbah cahaya lampu yang terang benderang. Seketika Faezrul bagai terpaku. Betapa mulusnya kulit gadis itu sehinggakan urat-urat di pipinya jelas kelihatan. 

“Rumah sewa aje. Tapi dah lama duduk kat sini. Rasa sayang pulak nak biar kawasan kat depan tu semak dengan rumput-rumput. Kalau tanam bunga ada jugak benda yang boleh tengok bila bosan-bosan kat rumah,” cerita Esyana ramah. Masih ada segaris senyuman pada bibirnya.

Faezrul tertawa kecil. “Ooh... rajin ek? Yalah selalunya kalau rumah sewa ni, setakat duduk nak berteduh aje. Dalam rumah pun belum tentu terjaga, nak jaga laman rumah. Siap buat lanskap lagi.” Dia tertawa kecil. Selama beberapa lama tinggal di situ, baru dia perasan, laman di kediaman sebelah itu cukup dijaga rapi. Rumput-rumput yang dipotong pendek seakan-akan karpet yang dibentangkan di kawasan laman tersebut. Tenang mata yang melihat.

“Rumah sewa pun, kena jaga elok-elok. Bukan orang lain yang duduk, kita jugak yang duduk, kan? Orang dah bagi rumah tempat berteduh, apa salahnya kita jaga baik-baik. Hmm... memang duduk berdua aje ke kat rumah ni ya?” soal Esyana sambil merenung tepat ke wajah pemuda itu. Jarang sekali lelaki itu menegurnya. Kalau terserempak di luar pun mereka sekadar berbalas senyuman. 

Melalui pengamatan Esyana, lelaki itu lebih pendiam berbanding dengan rakan serumahnya yang seorang lagi. Pantang bersua muka ada sahaja yang keluar dari mulutnya.

“Ha’ah... Berdua aje. Asalnya kita orang dulu lima orang tapi yang tiga orang lagi tu dah kahwin, tinggal saya dengan dia ajelah. Macam nilah hidup orang bujang. Bermastautin kat banyak tempat. Sekejap kat sini sekejap kat sana.”

“Oh... Habis sebelum ni duduk dekat mana?”

“Sebelum ni tinggal kat Seri Kembangan. Tapi Seri Kembangan tu jauh sikit dengan tempat kerja. Itu yang pindah Putrajaya ni. Lagipun kawan-kawan dah kahwin rasa tak seronok pulak bila duduk berdua. Aktiviti pun dah kurang, nak pergi kerja pun makan masa.”

“Biasalah tu... macam kat rumah ni pun gitu jugak. Eh, lama pulak berbual kat sini. Dah lewat ni, saya masuk dululah ya? Takut nanti kalau bersembang sampai pagilah jawabnya berdiri dekat sini,” seloroh Esyana lalu tertawa.

“Oh... okey... Sorrylah ganggu awak tadi,” kata Faezrul.

“Ish, tak menganggu pun. Okey Zill... Saya masuk dulu ya. Selamat malam. Assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam...” balas Faezrul lalu tersenyum. Serentak kedua-duanya meninggalkan laman rumah. Namun, perbualan yang singkat tadi telah membibit rasa aneh di hati Faezrul. 

DARI mata turun ke hati. Begitu dekatnya perumpamaan itu dengan Faezrul dan Esyana. Setiap kali berada di rumah, pasti dia akan bersua muka dengan Esyana. Esyana menjemur pakaian, Esyana mengerjakan laman, Esyana menyiram pokok-pokok bunga dan bermacam lagi kegiatan gadis itu di luar rumah. 

Ya, Esyana memang tidak reti duduk diam berbanding dengan rakan-rakan serumahnya yang lain. Setiap kali ada sahaja yang ingin dilakukan oleh gadis bertudung litup itu.

Dan setiap kali pulang dari tempat kerja, pasti wajah Esyana yang dilihat terlebih dahulu seakan-akan menyambut kepulangannya. Walhal sebetulnya dia yang terperasan sendiri seolah-olah benar-benar gadis itu sengaja mahu menjengulkan wajah setiap kali dia pulang. Sedangkan memang dari dahulu dia ligat melakukan pelbagai kerja di luar rumah.

Sehingga satu hari secara kebetulan ketika dia berada di luar rumah membasuh kereta, Esyana tiba-tiba muncul dengan keadaan basah kuyup. 

“Zill, boleh mintak tolong tak?” soal gadis itu sambil menyapu mukanya kebasahan. Tudungnya juga kelihatan huru-hara terkelepet ke sana sini terkena air.

“Apahal basah kuyup ni?” 

“Paip dapur rumah ni bocor. Saya nak mintak tolong awak betulkan boleh tak? Dah banjir satu dapur rumah kita orang ni,” maklum gadis itu teragak-agak. 

“Sekejap ya saya ambil barang-barang kat dalam rumah.”

“Eh tak payah, kat rumah saya ada. Guna aje yang kat rumah ni.”

Tanpa menanti lagi Faezrul menutup pili air lantas bergegas ke rumah sebelah. Kali pertama menjejaki ke dalam laman yang bersih itu setelah hampir lima bulan dia tinggal di situ. 

“Macam mana boleh bocor?” soal Faezrul menghampiri sinki. Segala alatan kerja paip sudah tersedia di tepi sinki. Dia menahan tawa melihat aksi ketiga-tiga sahabat itu. 

“Tak tahulah... Tadi bocor sikit aje. Si Jas ni haa nak tunjuk terer sangat, konon tau repair. Dipulas dengan spanar tu, entah macam mana habis tercabut paip tu,” beritahu Sophia sambil menyiku lengan Jaslieyatul. 

“Eh kau yang suruh aku pulas, aku pulas ajelah. Manalah aku tahu sampai boleh tercabut kepala paip tu,” balas Jaslieyatul sambil menuding jarinya ke arah Sophia.

“Tak apa, tak apa, boleh repair ni. Sikit aje ni.” 

15 minit kemudian, akhirnya paip itu berjaya dibaiki. Namun sebaik sahaja berpaling ke belakang, dilihat hanya Esyana yang berada di dapur. Gadis itu sedang leka mengelap meja makan yang basah. 

“Dah siap ke?” soal Esyana tatkala melihat lelaki itu berhenti melakukan kerjanya.

“Dah... Paip tu pun saya tukar baru. Yang lama dah rosak. Nasib baik semua benda dah ada. Kalau tak jenuh jugak nak pergi kedai cari semua tu.”

Esyana tertawa kecil. Membuatkan Faezrul bagai dipukau sesaat dua. Namun segera dia mengusir pergi rasa hati itu.

“Err... Sophia, Bella dengan Jas mana?”

“Dia orang naik atas tukar baju. Terima kasih, Zill... Kalau tak ada awak tadi entah macam manalah jadi paip tu kita orang jahanamkan.” Esyana menarik nafas lega. 

“Tak ada apa-apalah. Benda sikit aje. Saya mintak diri dululah.” Tidak manis pula rasanya berduaan seperti itu di dalam rumah. Lantas dia mengorak langkah ingin beredar keluar.

“Eh, tak mahu minum dulu ke? Saya dah buat air ni untuk awak... minumlah sekejap,” ujar Esyana menunjukkan mug yang berisi teh o’ di atas meja.

Mahu tidak mahu terpaksa juga Faezrul menerima pelawaan gadis itu. Dia menyisip mug itu ke mulut. Perlahan-lahan air itu dihirup. 

“Terima kasih. Saya balik dulu. Nanti kalau ada paip bocor lagi bolehlah panggil saya repair. Saya memang kadang-kadang buat part-time jadi plumber,” usik Faezrul membuatkan Esyana tersipu-sipu malu.

Rentetan peristiwa itu meninggalkan kesan di hati mereka berdua. Sehinggalah satu masa rahsia di sukma tidak mampu lagi disimpan. Akhirnya Faezrul meluahkan perasaannya tanpa ragu. Rupa-rupanya selama ini Esyana juga menyimpan rasa yang serupa terhadapnya. Begitu mudah aturan hubungan mereka.

Namun selama menyemai benih cinta, mereka tidak pernah melebihi batasan. Proses mengenali hati buti bukan menjadi tiket untuk mereka bermesra berlebih-lebihan. 

Tambahan lagi masing-masing selalu sibuk dengan kerjaya sendiri. Bertemu dan berbual pun sekadar di laman kediaman masing-masing. Untung juga bercinta dengan jiran sebelah rumah. 

“BOLEH tak kalau saya nak panggil awak Faez?” Esyana menyoal secara tiba-tiba.

“Kenapa tiba-tiba aje?” Kening Faezrul bertaut. Hairan dengan permintaan gadis itu. 

“Sebab saya suka nama tu,” balas Esyana ringkas sambil tersenyum memandang pemuda di hadapannya.

“Sebab tu aje?” Faezrul memandang Esyana dengan pandangan ragu. Gadis itu melarikan pandangannya ke arah lain. Seolah-olah malu ditenung seakan itu. Kepalanya diangguk sekali.

“Faez akan jadi nama yang istimewa sebab tak ada orang lain yang panggil awak dengan nama tu, kan?” Esyana kembali menoleh menentang pandangan Faezrul.

No comments: