BOEING 777 Passenger dari Malaysia akhirnya selamat mendarat di Amsterdam Airport Schiphol setelah 13 jam penerbangan tanpa henti.
Di luar lapangan terbang, sebuah kenderaan yang dikhaskan membawa krew-krew penerbangan sudah sedia menanti untuk membawa mereka ke hotel penginapan yang berhampiran.
Lebih kurang 10 minit perjalanan, akhirnya mereka tiba di Sheraton Amsterdam Airport Hotel. Di situ mereka akan menginap menanti penerbangan seterusnya beberapa hari lagi. Setelah selesai urusan check-in mereka terus mendapatkan bilik masing-masing.
Faezrul melabuhkan punggungnya di birai katil. Satu per satu butang seragamnya ditanggalkan. Kemudian dia mencapai sehelai T-shirt warna putih di dalam bagasi lalu disarung ke tubuh. Seketika dia melemparkan pandangan ke luar jendela dengan langit yang masih gelita. Waktu di Amsterdam sedang menunjukkan pukul 6 pagi.
“Aku nak tidur sekejap. Penat sangatlah rasa badan ni. Nanti pukul 6.30 kau tolong kejutkan aku solat subuh okey?” pesan Azad yang sudah terlentang di atas katil tanpa sempat membuka seragamnya.
Faezrul tidak memberi respon. Faham sendiri dengan pesanan temannya itu. Lantas dia mencapai tuala di atas meja lalu menuju ke bilik air.
Selesai mandi dan berwuduk, dia mendirikan solat subuh. Bermunajat menitip doa mencari ketetapan hati yang sejak kebelakangan ini begitu kerap tersasar di landasan yang sepatutnya.
Berita kepulangan gadis yang bakal ditemui nanti ke Malaysia membuatkan rasa hatinya bertambah tidak keruan. Armel Aisya namanya. Hingga kini dia masih belum pernah melihat rupa paras gadis yang dimaksudkan. Biarlah dulu... Dia masih tidak punya waktu untuk memikirkan soal itu.
Setiap kali Iqbal mengutarakan soal Armel di talian, dia tidak begitu berlapang dada untuk mendengar. Hatinya diburu resah yang amat. Seperti ingin lari jauh. Ya, sangat jauh kini di Amsterdam. Namun atas urusan kerja dan tugasan cuma. Cis.
Selama ini dia tidak pernah menyoal Iqbal bagaimana ciri-ciri gadis bernama Armel itu. Yang dia tahu, gadis itu berkelulusan universiti luar negara, anak bongsu Zahirin dan Raziqah. Itu sahaja.
Sehari sebelum dia berlepas ke Amsterdam, Zahirin ada menghubungi mengajaknya bertemu. Kata lelaki itu, ada hal lain yang ingin dibincangkan. Namun memandangkan keesokan hari dia ingin berangkat ke sini, pelawaan itu terpaksa ditolak. Janjinya, selepas pulang dari Amsterdam dia akan bertemu dengan Zahirin.
Dalam hatinya berdoa, tidak ada Armel ketika pertemuan itu nanti. Dia belum bersedia untuk bersemuka dengan gadis itu. Masih berbelah bahagi. Namun, janji tetap janji. Dalam tempoh yang sudah ditetapkan dia akan bertemu juga dengan gadis itu muka ke muka.
Apatah lagi tatkala mengingatkan cerita-cerita tentang Zahirin dan Aslah satu masa yang lalu. Rupa-rupanya, itu juga merupakan harapan arwah Aslah sejak sekian lama. Mahu meneruskan hubungan kekeluargaan agar tidak putus begitu sahaja. Namun, Iqbal masih berhati-hati dalam tutur katanya agak tidak kedengaran terlalu mendesak. Sedangkan hatinya mula berbolak-balik.
Ditambah pula dengan solat istikharah yang pernah dilakukannya sebelum ini. Petunjuk yang dilihat seakan-akan berpihak pada hasrat Iqbal. Namun hatinya masih sukar untuk menerima.
Lama mengelamun sendiri, baru dia tersedar jam sudah menunjukkan pukul 6.40 pagi. Lekas-lekas dia bangun mendapatkan Azad yang masih lena di katil.
“Zad, bangun...” Lengan Azad ditepuk-tepuk perlahan. Dilihat sahabatnya itu bergerak-gerak. Namun, matanya masih terpejam rapat. Mamat ni kalau tidur memang susah nak kejutkan.
“Oii Zad... Bangunlah. Dah lewat ni.” Faezrul meninggikan suaranya sedikit.
Hmm...” jawab Azad dengan mata yang masih lagi terpejam. Langsung tidak menunjukkan tanda untuk bangkit sebaliknya terus beralih ke posisi lain seolah-olah ingin memanjangkan terus waktu tidurnya.
“Woi!” Akhirnya dia menjerit ke telinga Azad. Serentak mata sahabatnya terbuka luas kerana terkejut.
“Bangunlah... Nak dekat pukul 7.00 dah ni,” ujar Faezrul sambil memandang tepat ke wajah Azad yang tampak mamai. Kemudian dia beredar ke sofa.
Televisyen dihidupkan lalu dia berbaring di sofa. Sekilas dia mengerling Azad yang sudah bangkit menuju ke bilik air. Soal temannya itu sudah tidak dihiraukan lagi. Fikiran dan fokusnya sudah tertumpu pada TV.
“LET’S paint the town, dude. Takkan you nak duduk bilik aje? We only have three days to explore the city you know?” ucap Tameka, pramugari berbangsa India itu sambil memandang Faezrul. Ketika itu mereka sedang menikmati minuman ringan di lounge yang dibuka khas untuk orang ramai di hotel tersebut.
“You tak mahu join kami ke, Zill?” soal Irene pula, pramugari peranakan Cina dan India itu menyoal merenung tepat ke wajah Faezrul. Wajahnya sudah berkerut-kerut seakan kecewa. Bukan setiap kali penerbangan dia dapat bertugas dengan Faezrul.
Sekali-sekala berpeluang sememangnya dia mahu meluangkan waktu santai di bumi asing itu dengan pemuda itu. Dia senang berkawan dengan Faezrul yang sering mengambil berat dan cukup mudah membantu tatkala diperlukan.
“Tak kot, Irene. Rasa tak sedap badanlah. I nak berehat aje kat bilik,” ujar Faezrul, mengurut-urut lehernya menunjukkan kondisinya tidak begitu stabil untuk memanjangkan langkah menyusuri daerah Amsterdam bersama rakan-rakan seperjuangan yang boleh dikira rapat itu.
Biarpun berlainan bangsa dia selesa berkawan dengan Irene dan Tameka. Mereka tidak seperti sebilangan pramugari lain yang agak sosial kehidupan mereka. Jika bertugas di luar negara mereka lebih banyak berkunjung ke tempat-tempat pelancongan mengambil gambar dan membeli-belah di pusat membeli-belah.
“Tak apa, tak apa... I boleh teman you all hari ni. Cakap aje you all nak pergi mana, biar I jadi bodyguard.” Azad bersuara sambil memandang ke arah Tameka dan Irene sambil tersengih.
“Allright! Nanti pukul 4.00 petang kita jumpa dekat foyer,” putus Tameka ceria.
“Betul ni Zill you tak nak ikut kami?” soal Irene sambil merenung tepat ke wajah Faezrul meminta kepastian. Masih berharap agar temannya itu merubah fikiran.
Faezrul hanya menggeleng sambil mempamerkan segaris senyuman.
No comments:
Post a Comment