Rindu Awak 200% #8

“ILHAN nak keluar sekejap, pa,” beritahu Ilhan sambil tersengih-sengih ketika Zahirin dan Raziqah sudah bersiap-sedia untuk makan malam.

“Nak ke mana pulak? Mama dah masak ni. Kot ya pun, makanlah dulu. Macam tak menyempat sangat nak keluar tu kenapa? Dahlah jarang balik. Dah balik asyik nak merayap aje kerjanya,” bebel Raziqah sambil memandang tepat ke wajah anak terunanya itu.

Ilhan hanya tersengih. Tahu akan nasibnya yang bakal dibebel. Dia sudah lali dengan sifat Raziqah yang satu itu.

“Ilhan janji dengan kawan pukul 8.30. Ni dah pukul 8.15, ma. Tak apalah, balik nanti Ilhan makan. Ilhan dah lambat ni.” Dia menilik jam di tangan. Seolah-olah sudah kesuntukan masa. Walhal dia sengaja melepaskan diri dari momen makan malam itu. Dah tentunya ceramah Raziqah dan Zahirin akan berkumandang. 
Ditambah-tambah pula dengan mulut Armel yang boleh tahan menjawab. Tak sanggup aku nak mendengarnya.

“Budak bertuah ni. Kita dah masak untuk dia, dia nak keluar pulak. Hisy!” Geram Raziqah dengan anak sulungnya itu. Balik bercuti pun bukan tahu nak lekat kat rumah. Meraban tak kira masa.

“Sorrylah, ma. Ilhan memang betul-betul dah janji dengan kawan ni. Lagipun, Armel kan ada? Okeylah, Ilhan pergi dulu.” Tanpa menanti lagi Ilhan terus membuka langkah beredar dari situ. Bimbang kalau Raziqah akan terus memaksa dan membebel.

“Hai, satu-satu perangai anak-anak awak ni. Semua ada trademark masing-masing. Sorang macam ni, sorang macam tu. Kalau elok tak apa jugak, ini buat serabut perut aje. Nasib baik ada dua orang aje. Kalau ada 12, tak cukup nafas saya gamaknya,” leter Raziqah sambil menyenduk nasi ke pinggan. Pinggan Ilhan diambil lalu diletakkan di tepi.

“Kalau tak elok, anak sayalah. Kalau baik semuanya anak awak. Hai nasib, nasib...” Tergeleng-geleng kepala Zahirin. Namun, dia tidak ambil hati dengan kata-kata Raziqah. Sudah masak dengan perangai Raziqah yang suka membebel. Mulutnya sahaja pot pet pot pet, tapi hatinya baik. Peranannya sebagai suami, hanya perlu bersabar dan terus bersabar menadah telinga dengan leteran Raziqah.

Satu jelingan maut dilemparkan pada Zahirin. Tiba-tiba kelibat Armel muncul. Dengan rambut kerinting menggerbang yang dibiar tidak berikat dan berbaju pijama belang-belang, sikit lagi boleh buat kedua-dua orang tuanya pitam. Dengan selamba dia menarik kerusi di hadapan Zahirin.

“Haa Mel... ni mama masak masakan kesukaan Mel. Ikan kerisi masak asam pedas Melaka. Mesti Mel rindu masakan mama, kan?” Zahirin bersuara. Cuba menceriakan suasana antara mereka tiga beranak.
Armel membatu. Sekilas wajah Raziqah dikerling. Ibunya itu cukup bersahaja membuat reaksi tidak peduli. 

Hatinya terasa bagai dicubit dan dicengkam-cengkam. Namun, dia tidak berani bersuara. Pasti sahaja dia akan kalah. Dan lagi dia tahu betapa dasyatnya kalau mama mengamuk dan betapa tertekannya kalau mama sudah mengamuk. Jadi, adalah lebih baik dia diam sahaja.

“Abang mana?” soal Armel tatkala melihat kerusi Ilhan yang masih kosong.

“Abang keluar. Dah... makanlah. Nanti sejuk, tak sedap pulak gulai mama ni,” tutur Zahirin lagi. Seketika dia mengerling Raziqah yang senyap dari tadi. Kemudian pandangannya terkalih semula pada Armel. Kepalanya menggeleng.

“Rambut tu, fesyen jenis apa? Mama tak pernah nampak pun tengok orang kat Malaysia ni buat rambut macam tu? Kalau ada pun yang duduk-duduk tepi jalan tu yang berambut macam tu,” tempelak Raziqah tanpa memandang wajah Armel.

Bagai mahu tercekik nasi di celah kerongkong Zahirin mendengar suara Raziqah yang amat tajam intonasinya.

“Ramai aje kot buat hairstyle macam ni.” Pantas mulut Armel menjawab. Hatinya mendongkol geram. Sudu yang berisi nasi yang dibawa ke mulutnya sengaja digigit kuat, menzahirkan rasa geramnya. Sebetulnya selera dia langsung tidak ada waktu ini. Nasi yang dikunyah rasa macam butir-butir pasir.

“Itulah jadinya kalau tak tengok cara orang pakai, tak sedar asal usul. Hantar belajar tinggi-tinggi ingatkan perangai makin elok. Rupanya makin tak elok,” sindir Raziqah berbisa.

Perasaan Armel kian bernanah. Seboleh mungkin dia mahu memekakkan telinga. Raziqah tidak sudah-sudah mahu memangkah apa sahaja yang dilakukannya.

“Awak ni, kan tengah makan? Kalau ya pun nak membebel, tunggulah lepas makan. Depan rezeki ni, tak baik,” celah Zahirin sambil memandang Raziqah.

Raziqah menjeling geram. Wajahnya jelas tidak puas hati. Seketika kemudian pandangannya beralih pula ke wajah Armel yang sudah masam mencuka. Nasi di pinggannya hanya dibuat main. Dipicit sesuka hati. Berkemungkinan besar sudah tidak ada hati ingin menjamahnya.

“Armel, makan nasi tu. Lepas makan ni papa ada hal sikit nak cakap.”

“Pasal kahwin?” Pantas Armel memotong. Nada suaranya sinis. Matanya menentang pandangan Zahirin yang tampak redup. Namun, keredupan renungan mata sang ayah tidak mampu meneduhkan kepanasan suhu hatinya.

“Kenapa? Nak cakap apa lagi? Mel ada pilihan ke? Sama ada setuju atau pun tak?” Armel menyoal sinis.

“Mulut tu kalau tak menjawab cakap orang tua tak boleh ke?” Raziqah mula naik hantu.

“Tak semua yang orang tua buat dan cakap tu betul. Dan tak semestinya anak tak ada hak bersuara untuk betulkan salah silap ibu bapa dia. Kan?” Armel kian berani bersuara.

Bergegar otak Raziqah mendengar kata-kata Armel. Namun, tiba-tiba terasa tangan Zahirin mengenggam erat tangannya. Meminta dia mengawal emosi.

“Armel, Ziqah. Please stop it. Kita bincang lepas makan. Ya ALLAH... korang dua beranak ni. Tengah makan, menghadap rezeki TUHAN, takkan nak bertekak?” Suara Zahirin kedengaran tegas. Sebagai ketua dalam keluarga, tanggungjawabnya meleraikan sebarang kekusutan yang berlaku. Dia harus berlaku tegas dalam keadaan itu.

Armel dan Raziqah terdiam. Akur dengan kata-kata Zahirin.

SEKETIKA ruang antara mereka dibungkus sepi. Hanya nafas-nafas kecil yang mengisi suasana lapang di ruang tamu itu. Armel duduk di sofa tunggal menghadap Raziqah dan Zahirin. Jiwanya berombak lara, namun hatinya penuh dengan api kemarahan.

“Armel, dengar apa yang papa nak cakap ni. Tak manis kalau Armel terus berpenampilan macam ni. Kat Amerika tu lain. Budaya dia orang tak macam kita kat Malaysia ni. Lagipun kita ni saudara mara ramai. Nanti apa pulak dia orang cakap kalau nampak Armel macam ni.” Berhati-hati Zahirin mengeluarkan kata-kata. Api tidak harusnya dilawan dengan api.

“Papa, Mel macam ni pun sekurang-kurangnya Mel tak pakai dedah sana, dedah sini. Rambut ni tak jejas apa-apa pun. It is just a hairstyle okay? Tak fahamlah kenapa benda kecik macam ni pun nak dijadikan isu besar.” Pantas mulut Armel menjawab.

“Habis, yang kat kening tu?” Zahirin menjongketkan kening. Matanya tertancap pada anting-anting bulat berwarna perak yang tertindik di hujung kening kiri Armel.

Armel diam. Hanya mempamerkan reaksi tidak suka ditegur.

“Armel, papa tegur ni untuk kebaikan kamu bukan saja-saja nak marah kamu. Armel tu kan perempuan. Sekurang-kurangnya jagalah nama baik papa dengan mama. Sepatutnya umur macam Armel ni, boleh bezakan mana baik mana buruk. Boleh fikir sendiri.”

“Kalau papa dengan mama rasa Mel ni dah cukup dewasa, boleh fikir sendiri dan boleh buat keputusan sendiri, kenapa mama dengan papa nak Mel kahwin dengan lelaki tu sekali gus buat keputusan yang sebetulnya Mel ada hak 100% untuk putuskan sama ada setuju atau pun tak?”

“Mel tahu tak kenapa mama buat semua ni? Mama buat semua ni untuk kebaikan Mel. Empat tahun Mel kat Amerika tu, hati mama tak pernah tenang. Itu pun kami nampak apa yang Mel buat kat sana tanpa pengetahuan kami. Yang kami tak nampak? Mama dengan papa tak pernah ajar Armel jadi macam ni. Kalau saudara-mara lain tengok, apa kata dia orang? Mel tak fikir ke semua tu?” Raziqah berhenti seketika. 

Teringat gambar-gambar Armel di Facebook yang dilihatnya dahulu. Gambar yang memperlihatkan Armel berpelukan dengan seorang lelaki yang tidak diketahui bangsa di dalam sebuah rumah yang dipenuhi dengan botol-botol minuman keras. Dia rasa mahu pengsan waktu itu!

“Jadi, apa alasan mama paksa Mel kahwin?”

Raziqah terdiam. Hampir bungkam.

“Sebab gambar-gambar dekat Facebook dulu tu?” Armel tertawa sinis. “Senangnya mama dengan papa fikir, kan? Senang mama dengan papa cari alasan. Mama dengan papa ingat Mel ni apa hah? Tak ada hati dengan perasaan? Kahwin dengan lelaki entah datang dari mana. Mana-mana anak dekat dunia ni sekalipun takkan boleh terima kalau mak bapak dia orang buat macam ni! Pernah tak mama letak diri mama dalam diri Mel? Walaupun Mel lahir dari perut mama, mama tak ada hak nak atur hidup Mel!” luah Armel lantang. Mukanya sudah merah padam menahan amarah.

Dia tidak peduli lagi dengan apa yang bakal berlaku. Sekalipun ditampar oleh Raziqah, dia tidak gentar. Selama ini pun, sudah berapa kali pipinya menjadi sasaran Raziqah. Untuk waktu ini, dia sedia menjadi kebal untuk tamparan yang seterusnya.

“Kurang ajar!” Raziqah bingkas. Membara rasa hatinya mendengar kelancangan suara Armel. Namun, cepat-cepat Zahirin menarik semula tangannya.

“Armel, pergi naik atas sekarang,” arah Zahirin. Mungkin waktu ini bukan waktu yang sesuai untuk duduk berbincang. Tambahan lagi Armel baru sahaja pulang dan tidak seharusnya mereka berdua terlalu menekan anak itu.

Armel terkaku di situ. Air matanya sudah merembes keluar. “Mama tahu kenapa Mel jadi kurang ajar macam ni? It’s because of you. Dari dulu lagi memang Mel tak boleh tahan dengan perangai mama! Ikutkan hati memang Mel tak nak balik Malaysia! Mel rela tinggal terus kat Amerika tu!” Suara Armel meninggi lantas berlari mendaki tangga menuju ke biliknya.

“Awak ni kenapa naik angin sampai macam tu sekali? Tak boleh ke sabar sikit?”

“Awak nak saya sabar macam mana? Awak tengok cara dia menjawab. Macam tu ke cara bercakap dengan orang tua?” luah Raziqah sebal dengan nafas yang berombak-ombak kencang.

Zahirin menggeleng.

“Awak ni berlakon ke, betul-betul ni?” Pandangannya dipacu tepat pada wajah isterinya.

“Berlakon apa pulak?”

“Yalah... awak cakap nak gertak aje. Tapi ni dah macam betul-betul suruh kahwin ni. Kot ya pun janganlah over sangat,” tutur Zahirin bersahaja.

Raziqah merengus kasar. Zahirin mengeluh berat. Tiba-tiba fikirannya menerawang jauh mengimbau kenangan lama.

No comments: