Rindu Awak 200% #7

“MAMA dengan papa ada kat rumah ke?” soal Armel sebaik sahaja kereta Ilhan memasuki perkarangan kediaman mereka.

“Mestilah ada. Nak sambut kepulangan anak kesayangan dia orang, kan?” tutur Ilhan sambil ketawa.

Serentak Armel berpaling memandang wajah Ilhan. Anak kesayangan mama dan papa? Kenapa kenyataan itu menyakitkan telinganya?

“Tak payahlah nak perli orang!” Wajah Armel sedikit tegang. Geram dengan sindiran Ilhan. Abangnya itu memang sejak dulu lagi gemar menyakat. Lagi dia tak suka, lagi dia giat mengusik! Menyampah betul aku!

“Apa pulak abang perli? Betul apa?” Tawa Ilhan bersisa sambil melucutkan tali pinggang keselamatannya. 

“Dah... keluar cepat. Duduk lama-lama dalam ni buat apa? Angkat semua luggage kat belakang tu.”

Armel merengus. Lantas dia keluar dari kereta ingin mendapatkan beg-beg pakaiannya di booth. Malas melayan Ilhan yang memang gemar mengusiknya. Serentak juga wajah Zahirin dan Raziqah muncul di muka pintu. Namun, dia buat tidak tahu sahaja. Pura-pura tidak nampak. Satu per satu bagasinya dikeluarkan. Perasaannya bercampur baur saat itu. Marah, takut, geram, sakit hati semuanya bercampur baur.

“Oii... kalau ya pun janganlah tunjuk muka macam tu kat mama dengan papa,” bisik Ilhan yang turut sama membantu Armel mengeluarkan beg daripada booth.

Jauh di sudut hati, dia bimbang Armel akan bertindak di luar jangkaan. Dengan penampilan diri Armel, semestinya Raziqah dan Zahirin akan membebel sebentar lagi. Zahirin mungkin masih boleh dikawal lagi tapi Raziqah... Ya TUHAN... Dia beristighfar berkali-kali di dalam hati. Berdoa agar keadaan baik-baik sahaja seketika nanti.

Selesai semua bagasi dikeluarkan, hendak tidak hendak terpaksa juga Armel melangkah mendapatkan kedua-dua orang tuanya yang masih setia menanti di muka pintu.

Dia menyalami tangan kedua-duanya. Dia menerima kucupan dari Raziqah dan Zahirin.


“Welcome home, daughter,” ucap Zahirin sambil menepuk-nepuk bahu anak bongsu perempuannya. Seketika dia mengisyaratkan matanya ke arah Raziqah supaya tidak bersuara apa-apa. Walaupun saat itu sudah hampir terbuntang biji matanya melihat penampilan Armel.

“Armel apa khabar? Sihat tak?” Dari riak yang ditunjukkan Armel, Zahirin tahu kata-kata berunsur diplomasi adalah cara yang terbaik untuk diaplikasi tika ini.

Walau matanya sedikit ‘sakit’ melihat penampilan Armel yang dah serupa manusia hidup zaman kegelapan lagaknya. Bertindik sana sini.

“Okey aje... Badan aje lenguh-lenguh sikit. Hmm, Mel penatlah papa. Mel nak berehat kat atas dululah.”
Tidak ada langsung riak-riak mesra pada wajah Armel. Rasa rindunya seolah-olah langsung tiada pada kedua-dua orang tuanya. Apatah lagi tatkala memandang wajah Raziqah. Hatinya terasa panas.
Tambahan lagi wajah Raziqah juga seperti tidak begitu ceria menyambut kepulangannya.

“Hmm... pergilah rehat dulu ya. Nanti lepas solat maghrib, turun bawah. Kita makan sama-sama okey?” Bicara Zahirin lembut memujuk hati si anak gadis.

Tanpa menanti lagi, Armel terus melangkah ke atas. Menuju ke biliknya yang sudah lama ditinggalkan. Sedikit sebanyak terubat juga hatinya melihat keadaan bilik yang sedikit pun tidak berubah. Setiap barang peribadi miliknya terletak elok di tempat asal sama seperti empat tahun yang lalu.

“Macam mana saya tak bising, abang? Hah? Abang cuba tengok macam mana dia pakai? Dengan seluar pendek tercarik-cariknya, T-shirt macam orang baru keluar dari hutan, Bertindik kat kening, kat lidah, rambut macam sarang tebuan! Ya ALLAH... Saya ni kalau ada sakit jantung, mahu mati berdiri saya, bang!” Suara lantang Raziqah bergema di setiap penjuru rumah. Dia menghempaskan tubuhnya di sofa ruang tamu. Nafasnya berombak kencang.

Ilhan yang berada di dapur hanya diam membisu. Dia mengeluarkan minuman dari dalam peti kemudian duduk di meja sambil memasang telinga. Dia malas masuk campur soal kedua-dua orang tuanya. Bimbang dia yang terkena tempias amarah kedua-duanya. Balik-balik soal kahwin juga topik yang akan keluar. Rimas!

“Ya... saya nampak. Tapi kot ya pun biarlah budak tu cool dulu. Kan dia baru sampai. Jangan nak main sesah aje. Sepatutnya awak tu sebagai ibu, kenalah tahu kawal emosi. Nak tegur, nak marah biarlah kena dengan keadaan.” Zahirin menggeleng. Wajah isterinya yang mencuka dipandang sejenak.

“Encik Zahirin oi, saya ni kalau tak berbunyi macam awak, memang jadi hantulah anak bongsu kesayangan awak tu. Kalau tak mulut saya yang membebel kat dia dari dulu, mungkin entah-entah dah tak macam orang dah anak kesayangan awak tu. Itu sebab ditegur, kalau tak ditegur dari dulu entah dah jadi apa dah budak tu. Kalau keluarga Abang Iqbal tu tengok mana nak letak muka ni, bang? Kalau Zill sendiri yang datang tengok rupa si Armel tu, boleh koma setahun budak tu agaknya.”

Zahirin mengeluh. Lantas dia duduk di hadapan isterinya yang sedang mencuka. “Bukan awak yang cakap hari tu, pandai-pandailah awak nak uruskan anak awak tu? Ini awal-awal dah pening? Haa... sekarang baru nampak, kan? Awak tengok sendiri keadaan anak awak tu macam mana. Baru awak fikir malu. Saya dah cakap dari dulu lagi kat awak. Banyak kali saya cakap. Kita ni Cik Ziqah, orang cakap beli dulu cermin besar-besar kat kedai. Lepas tu cermin dulu muka kita tu tengok macam mana. Zill tu budak baik. Cakap dengan orang tua pun bukan main lembut. Nak bandingkan dengan anak awak tu. Macam langit dengan bumi.”

Raziqah mendengus seraya memalingkan pandangan ke arah lain tanda protes.

“Macam nilah. Nak batalkan semua rancangan ni pun dah terlanjur benda ni kita bincang dengan Abang Iqbal. Abang Iqbal pun dah sampaikan pada Zill. Zill pun dah setuju nak kenal-kenal Armel. Sekarang ni kita panjangkan sikit tempoh sebelum ajak Zill datang ke rumah jumpa dengan Armel. Dalam tempoh sebulan tu, pandai-pandailah kita didik Armel tu jadi orang semula.” Zahirin memberi saranan.

Hatinya berlagu bimbang tatkala mengenang perlakuan Armel yang tampak begitu dingin sebentar tadi. Ditambah lagi dengan citra terkininya yang mengejutkan. Mujur sahaja dia tidak pengsan melihatnya. Barangkali anaknya itu sengaja mengubah penampilannya sebegitu. Tanda protes.

“Amboi sedapnya mulut awak. Nak panjangkan tempoh apa lagi? Dah janji kan dengan Abang Iqbal dua minggu lepas Armel balik Malaysia? Awak nak panjangkan lama mana? Sebulan? Dua bulan? Setahun?” Bagai hendak terbeliak biji mata Raziqah memandang wajah suaminya.

“Apa yang susah sangat? Cakap ajelah dengan Abang Iqbal, bagi sikit masa lagi. Awak tak segan dengan Abang Iqbal? Awak tak malu kalau Zill datang nanti tengok Armel macam sekarang ni? Biar hati Armel tu reda dulu. Awak jangan nak push dia sangat. Cuba cakap elok-elok, berdiplomasi. Awak ingat dua minggu tu boleh ubah perangai anak awak tu? Dua bulan pun belum tentu tahu?

Saya tahu awak memang nak sangat bermenantukan Zill tu, kan? Sabar Ziqah. Benda macam ni kena ada strategi. Saya tahu niat awak tu elok tapi ni melibatkan hati. Soal hati ni, kita tak boleh nak paksa. Saya rasa sebelum apa-apa, lebih baik kita jumpa dengan Zill dulu. Berbincang dengan dia elok-elok. Abang Iqbal pun dah cakap, kalau boleh dia memang nak jodohkan Zill dengan Armel. Tapi awak tu... tak menyempat-nyempat. Jangan nanti nampak kita yang terhegeh-hegeh, orang sana tak sudi sudah. Kalau kita ni belah lelaki tak apa jugak. Hai, pening kepala saya ni.”

Ilhan menggeleng. Suara Raziqah masih kedengaran mengemukan hujah. Namun beberapa saat kemudian dipangkah oleh Zahirin dan kemudian disangkal lagi oleh Raziqah. Ini sampai esok pun tak habis. Hai, tengok ajelah apa yang berlaku nanti...

No comments: