ADA seribu satu perasaan yang menggelangi jiwa Armel tatkala melangkah keluar dari Burton-Judson Courts. Sebuah teksi sudah sedia menanti dia dan Daria di perkarangan pangsapuri yang bakal ditinggalkan itu.
Instant Camera Fujifilm 8s kuningnya ditarik keluar dari beg sandang. Seketika dia memfokuskan lensa kameranya ke arah bangunan pangsapuri itu. Punat rakam dipetik. Semerta sekeping filem menyusur keluar dari mulut kamera. Lantas ditarik dan dikibas-kibas sehinggalah gambar di filem itu kelihatan terang dan lengkap semuanya.
Seketika dia merenung gambar itu. Kemudian dia melangkah semula. Namun, hanya beberapa tapak melangkah dia berpaling semula ke belakang. Meneliti segenap sekitar tempat itu. Dalam hati memungkinkan hari ini merupakan hari terakhir dia berada di situ.
Dia akan pulang semula ke Malaysia. Berada di samping keluarga yang sedang menanti kepulangannya. Mengenangkan keadaan yang bakal dilalui di Malaysia nanti, jiwanya bertambah walang.
Tidak ada hati langsung untuk pulang ke tanah air rasanya. Kalau boleh dia mahu tinggal di situ selama-lamanya. Tanpa sedar, air matanya menitis. Namun, lekas-lekas diseka. Aib sangat rasanya menangis depan orang yang lalu lalang.
“Mel... dahlah tu. Kita gerak sekarang okey?” tutur Daria yang sejak dari tadi memerhati gelagat sahabatnya itu. Malah dari semalam lagi Armel kelihatan murung. Tidak mahu bercakap dan mengasingkan diri di dalam bilik.
Armel mengangguk. Menurut langkah Daria menuju ke arah teksi yang sedang menanti. Sebaik sahaja barang-barang mereka dimuatkan di dalam but, mereka terus bertolak Chicago O’Hare International Airport.
Setelah selesai segala prosedur sebelum penerbangan, pengumuman pesawat yang bakal dinaiki mereka berkumandang.
“Let’s get going Armel,” ujar Daria sambil tunduk memandang Armel yang asyik dengan Ipadnya dari tadi.
“Dah announce ke?” soal Armel, mendongak memandang Daria yang masih tersengih-sengih.
“Dah... Jomlah cepat. Kau nak balik naik tongkang ke kalau kena tinggal nanti?”
Armel mengeluh. Perlahan-lahan dia bangun. Seketika dia memerhati ke sekeliling. Jauh di sudut hati, dia mengharapkan kehadiran seseorang, namun hanya mampu menelan rasa hampa. Seketika dia memejamkan mata. Sudah-sudahlah tu, Armel. Dia mengingatkan dirinya.
“Jomlah...” ajak Armel perlahan sambil melangkah lesu.Selamat tinggal Illinois. Tinggallah semua kenangan lalu, bisik hati Armel sayu. Jiwanya sudah menangis.
SEAKAN baru seketika tadi berada di bumi Amerika, kini kakinya sudah mencecah tanah Malaysia. Hatinya langsung tidak ada rasa untuk bersorak gembira kerana telah tiba di tanah air sendiri.
“Whoaa... Malaysia’s air is sooo fresh.” Daria menarik nafas panjang dihembuskan semahu-mahunya seakan menikmati udara di situ. Siap pejam-pejam mata lagi. Overnya mengalahkan 30 tahun tak balik Malaysia.
Armel mengeluh sambil terus menolak troli bagasinya menuju ke ruang legar. Dibiarkan Daria melayan perasaan terujanya sendirian.
“Armel!”
Pandangan Armel serentak terkalih pada wajah seorang lelaki yang sedang mengorak langkah ke arahnya. Rasa hati yang tadi lembik macam agar-agar bertukar suka melihat wajah Ilhan. Lantas tangan Ilhan disalam dan tubuh abangnya itu didakap sesaat dua.
“Baru sampai ke?” soal Ilhan sambil memandang Armel dari atas hingga ke bawah. ‘Hai, patutlah mama dengan abah risau sangat dengan kau, Mel. Dah macam Gothic jalanan dah aku tengok,’ desis hatinya tatkala melihat imej terkini Armel yang bertindik di kening yang dicukur halus. Telinganya mengalahkan telinga lembu bertindik kalau boleh mahu sampai ke bahagian atas. Seketika dia menyedari seorang gadis bertudung di sebelah Armel.
“Saya kenalkan diri sendiri, Daria...” ucap Daria spontan.
Armel tercengang seketika sebelum tawanya meletus. Perempuan ni tak menyempat-nyempat betul!
Ilhan tergelak dengan aksi bersahaja Daria.
“Ni kawan serumah Mel kat sana. Daria... Gelojoh sikit orangnya,” tutur Armel sengaja ingin mengenakan Daria. Ah, gadis itu macamlah tahu malu depan orang lain.
Senyuman Daria yang tadi melebar hingga ke telinga mengendur serta-merta. Pandangannya terkalih pada wajah Armel. Serentak rusuk Armel disigung.
“Siapa ambil Daria?” soal Ilhan.
“Oh... Mak ayah saya datang ambil sekejap lagi. Dah on the way...”
Kepala Ilhan terangguk-angguk. “Tinggal dekat mana?” Sahabat Armel itu memang jauh beza dengan adiknya. Walau pakaiannya agak moden mengikut fesyen terkini, namun dia mengenakan tudung di kepala. Tidaklah togel seperti Armel. Sudahlah rambut berkarat, dikerintingkan pula macam Negro. Masya-ALLAH.
“Saya tinggal kat USJ aje. Tak apa. Jangan risau, saya okey aje kat sini. Kalau korang nak balik dulu, pergilah balik. Sekejap lagi parents aku sampailah tu.” Sekejap saya sekejap aku. Celaru aku nak cakap dengan siapa tak tahu.
“Hmm... kalau macam tu aku balik dululah Daria. Kau tunggu kat tempat ramai orang tahu? Jangan tinggal luggage kau merata-rata,” pesan Armel.
Daria mengangguk-angguk sambil tersenyum. “Jangan risau. I’m big enough to take care of myself here. Okey, nanti apa-apa contact kat Facebook ajelah ya?”
Facebook? Armel terdiam sejenak. Namun, kemudian dia mengangguk perlahan. Teringat peristiwa yang bersabit dengan laman sosial itu. Dari situ kegiatan-kegiatannya di Chicago terbongkar. Bodoh sangat aku.
No comments:
Post a Comment