DENDANGAN lagu tema Syawal berkumandang di sana sini. Biarpun sudah ramai warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing, namun masih ada segelintir dari mereka yang meraikan hari lebaran di kota. Barangkali tidak mempunyai kampung halaman atau mungkin tidak berpeluang untuk pulang dek kerana terpaksa bertugas di aidilfitri yang bakal dirai esok.
Suasana bazar di daerah Klang itu masih dikunjungi ramai yang barangkali gemar membuat persiapan saat-saat akhir. Suara penjual dan pembeli yang saling tawar menawar menjadi ‘suara latar’ di sekeliling Jasmyn. Adakala membingitkan telinga.
Jasmyn melangkah perlahan melintasi satu per satu kedai yang ada. Seketika dia berhenti melihat pelbagai jenis fesyen baju kurung yang dijual. Hanya seketika, dia akan bergerak ke kedai seterusnya. Tidak ada satu pun yang menarik minat.
Sekejap-sekejap telinganya menangkap suara penjaga kedai yang cuba mempromosikan harga. Murahlah, kain berkualitilah, itu ini dan sebagainya. Jasmyn hanya menayang muka tauhunya. Tidak berminat dengan sebarang tawaran yang disuarakan.
Tiba di satu kedai, pandangannya tertancap pada sepasang baju kurung kapas motif bunga-bungaan berwarna biru, merah dan hijau lumut. Coraknya tampak klasik namun ceria.
Lantas dia mengorak langah menghampiri baju yang tersarung di badan patung itu. Seketika dia menyentuh fabrik kain tersebut. Cantik... desis hatinya sendirian.
Sedang asyik meneliti baju tersebut tiba-tiba terasa kakinya dipijak seseorang. Sakitnya begitu terasa. Mujur sahaja tidak menjerit. Serentak seorang perempuan memegang lengannya.
“Sorry, sorry...” ucap wanita bertudung itu memohon maaf. Jelas riak bersalah di wajahnya.
Jasmyn tersenyum plastik. Mujur sahaja perempuan itu minta maaf. Mereda sedikit sakit yang terasa. Sempat dia mengerling kasut tumit tinggi yang dipakai oleh perempuan itu. Tu dia... Itu kalau kuat sikit tekanannya mahu berlubang kaki aku.
“Jasmyn!”
Spontan Jasmyn berpaling. Dia terkejut tatkala melihat wajah Faris yang sudah berada di depan mata. Dia terpinga-pinga.
“Kenal ke?” soal perempuan tadi teragak-agak.
Wajah Faris dan perempuan di hadapannya di pandang silih berganti. Apa pula hubungan kedua-duanya?
“Kawan satu kampus...” balas Faris seraya menguntum senyum. Tidak menyangka bertemu dengan Jasmyn di situ.
“So, kawan Rislah ni?” soal Faziela memandang Faris. Sebentar kemudian pandangannya tertancap kembali ke wajah Jasmyn.
“Err... Jadi ni...”
“My sister...” belum sempat Jasmyn bersuara Faris terlebih dahulu membalas. Faziela sekadar mengangguk seraya menayang gigi.
“What happened just now?” soal Faris ingin tahu. Hairan juga tatkala sampai kelihatan Faziela dan Jasmyn sedang bertatapan seakan-akan berbual akan sesuatu. Sangkanya mereka saling mengenali.
Jasmyn tergelak kecil. “Tak ada apa-apa...” jawab Jasmyn ringkas. Tidak mahu memanjangkan cerita.
“Datang sorang aje ke ni?” soal Faziela ramah. Kakaknya yang satu itu tidak kira siapa, cepat betul mesra.
“Ha’ah... saja jalan-jalan tengok orang ramai,” balas Jasmyn. Seketika pandangannya teralih pada baju kurung yang dilihat sebentar tadi.
“Berminat ke?” soal Faziela lagi.
“Hmm... Entahlah...” Sekilas wajah Faziela ditatap kemudian kembali menancap pandangan pada baju tersebut. Tiba-tiba tangan Faziela menyentuh baju kurung itu.
“Kain dia pun okey. Kalau dah suka beli aje. Tak payah fikir banyak-banyak kali.” saran Faziela. Macam dah lama kenal aje gayanya.
“Itulah... tapi banyak lagi kedai nak pusing. Takut nanti dah beli yang ni jumpa yang lain yang lagi cantik.” Jasmyn masih teragak-agak. Benar, dia sudah berkenan namun fikiran masih ragu.
“By the way, apa nama tadi ek? Akak lupa pulak...”
“Jasmyn...”
“Haa, Jasmyn beli ajelah yang ni. Tak rugi sebab cantik...” Faziela terus mengulas ramah.
Seketika wajah Faziela dipandang. Kemudian beralih ke wajah Faris yang masih setia berdiri di sisi Faziela. Jauh di sudut hati dan perasaan dia kurang selesa dengan kehadiran kedua-duanya. Entah kenapa terasa janggal sekali.
Namun sifat Faziela yang peramah sedikit sebanyak mengikis rasa yang menghuni hatinya. Dia perempuan cantik, barangkali terpelajar dan tentunya seorang yang datang dari keluarga yang bukan sembarangan. Namun perawakannya cukup mesra. Tidak sedikit pun beriak angkuh.
“Yup.. It’s kind of beautiful...” Giliran Faris menyuarakan pandangan.
“Don’t worry Jasmyn. Fine feathers make fine birds.”
Kata-kata Faziela membuat Jasmyn tergelak besar. Tanpa berfikir lagi dia terus memanggil penjaga kedai tersebut. Tidaklah teralu mahal harganya. Cuma RM80 ringgit sahaja.
“Dah nak balik ke?” soal Faris ketika keluar dari kedai.
“Belum lagi kot. Awal lagi ni. Kalau balik awal nanti kena tolong mak kat rumah,” ujar Jasmyn berterus-terang menunjukkan sikap pemalasnya. Memang tak tahu malu!
Faziela dan Faris sama-sama tergelak.
“Kalau nak jalan sama, marilah. Akak pun bosan jugak berjalan dengan dengan budak ni. Bukannya tahu apa,” ucap Faziela memandang seketika ke arah Faris.
“Errr...” Jasmyn tergagap-gagap.
“Ha’ah, betul jugak. Jomlah jalan sekali?” pelawa Faris pula. Sekurang-kurangnya tidaklah dia jadi bosan setiap kali dicop sebagai teman lelaki Faziela setiap kali bertemu dengan pelajar mahupun rakan-rakan kakaknya itu. Pelik... Banyak benar kenalannya. Merata-merata!
Jasmyn menayang gigi. Nyata senyumannya tahap plastik! Apa perlukah aku menerima pelawaan itu? Seketika dia menilik jam di tangan. Baru pukul 9.30 malam. “Hmm, kalau macam tu bolehlah...” Terus dia bersetuju.
MENJADI mesra itu adakala tidak mengenal waktu. Sungguh, meluangkan masa buat beberapa ketika bersama-sama menjadikan mereka seolah-olah sudah saling mengenali bertahun lamanya. Jasmyn pandai melayan kerenah Faziela dan kelihatannya mereka berdua-dua mula menjadi rapat.
Setiap kali ada sahaja aksi kedua-dua yang mencetuskan tawa. Seketika dia memerhati gelagat Jasmyn dan Faziela menawar harga sehelai baju kebaya dengan penjual di situ. Puas dia menahan tawa tatkala mendengar Faziela dan Jasmyn bercakap dalam loghat Kelantan dengan peniaga itu.
Entah betul entah tidak dia sendiri tidak tahu. Namun kedengarannya cukup lucu. Masam kelat wajah peniaga itu menghadap mereka. Puas dipujuk akhirnya dia mengalah juga.
“Waa.. pandai jugak Jasmyn cakap Kelantan kan?” tegur Faziela tatkala beredar dari kedai tersebut.
“Pandai ke apa, Kak Fazie. Saya pun main hentam aje tadi. Janji ada bunyi sikit-sikit, sudah.” Jasmyn tertawa lepas.
“Tapi kira okeylah orang tu boleh percaya kita ni dari Kelantan. Hmm, ada untung jugak berjalan dengan Jasmyn ni...” ucap Faziela masih dengan sisa tawanya. Dia sendiri menahan tawa mendengar Jasmyn berbahasa dalam loghat Kelantan sebentar tadi.
“Hoo la!” sahut Jasmyn menggayakan cara orang kelantan berbahasa. Serentak tawa Faris dan Faziela terburai.
Puas berjalan di sekitar deretan kedai, mereka beredar ke arah gerai-gerai biasa di satu pekarangan tidak jauh dari situ. Faziela sudah berada di hadapan meninggalkan Jasmyn dan Faris. Entah apa lagi yang dicarinya. Namun dibiar sahaja Faziela bersendirian.
“Rajin jugak kau datang dari PJ ke sini?” Faris mencetuskan interaksi. Ketika itu kepala Jasmyn tidak diam memerhati segala yang ada di situ.
Seketika Jasmyn beralih tumpuan ke arah Faris. “Rajin!” Jasmyn mengangguk.
Faris tersenyum sumbing. Kelihatannya gadis itu lebih berminat memerhati setiap gerai yang ada di sekeliling.
Sejam kemudian, tatkala kaki mula lenguh melangkah, akhirnya mereka berpisah. Bazar yang masih meriah dengan orang ramai itu ditinggalkan.
No comments:
Post a Comment