BAZAR Ramadhan yang berdekatan dengan Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa itu masih dipenuhi dengan orang ramai walaupun jam sudah menunjukkan pukul 6.45 petang.
Jasmyn meninjau-ninjau beberapa juadah yang dijual di situ. Ikutkan rasa, semua benda ingin dibelinya. Namun dia masih beringat akan lumrah waktu berpuasa. Apa yang dilihat sekadar nafsu semata-mata. Bak kata Ainul, lepas berbuka puasa tergoleklah segala kuih muih dibiar tidak bersentuh.
Namun, untuk petang ini dia bakal berbuka puasa dengan rakan-rakan sekelas. Banyak kerja yang harus dibereskan di studio. Sungguh pun jarak rumahnya dengan kampus begitu dekat, namun waktu itu terasa cukup terhad buatnya untuk melangsaikan segala tugas.
“Hai...” satu suara menyapa dari belakang membuatkan Jasmyn berpaling. Ketika itu baru sahaja dia ingin memesan nasi kerabu kepada jurujual perempuan di situ.
“Hei, hai...” Jasmyn terpaku seketika. Spontan mengukir senyuman. Tidak pernah-pernah melemparkan senyuman buat pemuda itu, hari ini tiba-tiba sahaja aku tersengih. Apa kes?
“Sorang aje ke? Mana krew-krew lain?” soal Faris yang juga dilihat berseorangan.
“Ada kat studio. Ni tengah nak beli makanan untuk dia oranglah ni.”
“Oh, bukak puasa kat fakulti ke?”
Rajin pulak mamat ni bertanya.
“Ha’ah.” Jasmyn mengangguk-angguk. Kembali menumpu perhatian pada jurujual. Setelah berkira-kira untuk pulang. Sudah penuh tangannya dengan plastik-plastik yang berisi juadah. Mahu berbirat jari-jari aku yang tak berapa nak runcing ni!
“Nak balik dah?” tanya Faris yang tiba-tiba berjalan seiring dengannya.
“Yalah.. Sekejap lagi dah nak azan ni,” balas Jasmyn melihat jam di tangan yang sudah menunjukkan pukul 7.05 malam.
Faris mengangguk-angguk. Terus mengekor gadis itu sehinggalah barisan orang menjual di bazar itu tamat. Jasmyn mendapatkan keretanya. Sekilas dia menjeling kereta Faris yang diparkir bersebelahan dengan keretanya.
“Balik UM jugak ke?” tanya Jasmyn lantas menghidupkan menekan punat kawalan jauh kereta.
“Ha’ah. Okeylah. Apa-apa nanti jumpa kat kampus.”
Jasmyn terangguk-angguk bak pekaka.
AZAN maghrib sayup-sayup kedengaran di telinga ketika melintasi masjid di tepi jalan berhampiran Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa itu. Kelajuan motor ditingkatkan. Sepuluh minit kemudian dia sampai juga ke bangunan fakulti.
Rakan-rakan sekelas yang lain sedang menanti di kafe. Lekas-lekas Jasmyn ke sana. Tiba di kafe, dilihat wajah Qasiyah, Zaihan dan Natalia sedang menanti di salah sebuah meja.
“Kesian kawan-kawan aku...” ucap Jasmyn tersengih-sengih memandang wajah mereka satu persatu. Masing-masing tampak lesu dan tidak bermaya. Nampak benar laparnya...
Selesai membaca doa, mereka mula menjamah makanan. Betapa semuanya kelaparan sehingga tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut mereka.
“Excuse me, may I join this table?”
Serentak keempat-empat mereka mendongak memandang wajah Faris yang sedang berdiri.
“Duduklah!” balas Zaihan mengangguk-angguk.
“Betul ni?” soal Faris meminta kepastian. Direnung satu per satu wajah empat gadis di hadapannya itu.
“Alah, duduk ajelah. Tak kena bayar pun...” ucap Natalia bersahaja.
“Thanks...” ucap Faris lantas menarik kerusi bersetentang dengan Jasmyn lantas melabuhkan punggung di situ. Sekilas dia menjeling gadis itu yang seakan-akan tidak menyedarai kehadirannya.
“Mana Nizam dengan Azril? Tadi rasanya aku ada nampak dia orang kat studio?” tanya Qaisyah sambil memerhati gelagat Faris yang sedikit kekok menyuap nasi putih yang dibelinya.
“Dia orang balik...” balas Faris sekadar perlu. Perutnya sudah berkeroncong teramat saat itu. Daya tubuhnya benar-benar terasa lemah hari itu. Maklumlah, seakan baru belajar untuk berpuasa lagaknya tatkala sudah bertahun dia meninggalkan ibadah wajib itu.
Selang beberapa saat ada sahaja perbualan di antara empat sekawan itu. Hanya Faris yang membatu di situ menyantap nasi berlauk ayam masak merah yang dibelinya tadi.
“Selalu jugak kau duduk kat studio semenjak dua menjak ni erk?” Zaihan bersuara meraih perhatian pemuda itu. Dia perasan sejak kebelakangan ini Faris kerap berada di studio. Adakala hari minggu pun wajah lelaki itu akan kelihatan di studio.
Kalau dahulu, wajah itulah yang sukar ditemui. Ke kelas pun culas bukan main. Kini, rajin benar pula dia meluangkan waktu senggangnya di kampus. Hairan...
Faris mengukir senyuman nipis. “Sacrifice for final semester. Studio matters are everything. Cepat siap, cepat boleh rest even though macam tak ada harapan nak siap awal.”
“Tak apalah, this is our last phase. Lagipun bulan puasa ni tak elok kalau banyak merungut. Selagi mampu, buat selagi boleh,” sampuk Natalia bersemangat. Melebih-lebih pulak. Biasanya dialah yang paling liat bercakap mengenai soal tugasan dan projek kelas.
“Tapi fikir-fikir balik sayang jugak nak tinggal UM ni.” Jasmyn yang sedari tadi membatu bersuara. Nasi kerabu yang dibelinya tadi sudah licin dimakan.
“Kalau sayang, sambunglah master kat sini. Untung-untung boleh ikut jejak langkah Dr. Noni. Bangga aku dapat kawan macam kau,” perli Qaisyah tersenyum mengulum.
“Cerita master tu lambat lagi. Degree ni tak habis lagi. Kalau waktu degree dah terkebil-kebil, nak sambung master... Hmmmm...” Jasmyn mencebik lantas bangun membawa plastik makanannya untuk dibuang ke dalam tong sampah.
Seketika gelagat gadis itu diperhati Faris. Entah kenapa matanya tidak mahu berkalih dari memerhati Jasmyn. Gadis itu tampak lain benar dengan citra berbaju kurungnya. Ayu dan sopan.
Tidak seperti selalu hanya tahu memakai t-shirt, seluar jean dan sneaker. Ah, mengapa sahaja dalam diam hati ini mengakui pandangan sedemikian terhadap Jasmyn?
Selesai makan, mereka kembali semula ke studio menyambung kembali kerja. Sehinggalah jarum jam menunjukkan pukul 11 malam, barulah mereka pulang.
SEKILAS Jasmyn menjeling imejnya yang terpantul di cermin. Tidak jadi pula ingin ke bilik air. Seketika dia berdiri memakukan pandangan ke cermin.
Sesekali dia tersenyum dan tersengih, seketika kemudian dia memusingkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan menggayakan tingkah seorang model. Menggedik tak memasal!
“Aku ni kalau jadi model mahu meletup jugak agaknya.” ucapnya sendirian. Sesekali ingin perasan tidak ada salahnya.
Asyik dia menilik dirinya di cermin. Maklumlah, julung kali menyarung baju kurung ke kampus. Sungguh perasaannya semacam tiap kali melangkah. Terasa banyak mata yang memandang walaupun sebenarnya tidak. Oh, perasannya aku.
Puas berdiri Jasmyn melabuhkan punggung di birai katil. Hendak mandi, waktu sudah lewat. Sedari dulu dia tidak biasa mengamalkan mandi malam. Bimbang menjejaskan kesihatan. Kata doktor, mandi waktu malam boleh mendatangkan risiko penyakit paru-paru berair.
Perlahan-lahan Jasmyn merebahkan tubuh. Malas benar rasanya ingin menukar pakaian. Mindanya tidak lepas dari memikirkan projek-projek yang belum dibereskan. Bertindih pula dengan beberapa repot yang perlu dihantar minggu ini. Mujurlah semester akhir. Kalaulah ada lima semester lagi, gondol kepala aku.
Saat memejamkan mata, tiba-tiba ada bayang wajah Faris menjengah. Spontan matanya terbuka. Mengapa pula tiba-tiba wajah itu menganggu gugat fikrahnya?
Sesaat kemudian dia kembali memejamkan mata, kesekian kali wajah Faris terbayang-bayang. Jasmyn bangun. Wajahnya diraup-raup. Tidak mengerti mengapa wajah itu terlampir setiap kali ingin memejamkan mata.
Sikap Faris yang baik sejak kebelakangan ini menjadi isu di kepala. Lelaki itu sudah jauh berbeza dari dahulu. Tanpa sedar, dia mula ‘menerima’ pemuda itu.
Ikutkan bukan mudah untuk dia berbaik-baik dengan lelaki yang sudah banyak mencipta sengketa dengannya itu. Zahirnya dia cuba bersikap dingin namun dalam hati diam-diam dia sudah mampu untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Faris.
Satu keluhan terluncur keluar. Dia bingkas menukar pakaian. Tidak mahu soal Faris terus menerus menjelajah hati dan mindanya.
No comments:
Post a Comment