Rindu Tercipta #1

DUMM!!! Dentuman  guruh yang luar biasa kuat itu mengejutkan Anis yang sedang tekun mentelaah pelajaran di dalam bilik. Dia mengurut dada sambil beristighfar.
Di luar hujan turun mencurah-curah. Keadaan sunyi dan gelap gelita. Jam di meja sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Waktu-waktu begini dia percaya semua penduduk di kawasan setinggan itu telah lena dibuai mimpi.
Beberapa minit kemudian Anis meneruskan pembacaannya. Cuaca buruk yang diselangi dengan guruh yang berdentum dentam sedikit pun tidak menggugat perasaannya untuk terus menghadap buku.
“Nis, kenapa belum tidur lagi ni?”
Suara itu menghentikan konsentrasinya.
“Ibu?” Serentak Anis berpaling. Dia sedikit terkejut. Kelihatan ibunya sedang menapak menuju ke arahnya.
“Buat apa ni, sayang? Belum habis lagi ke kerja sekolah?” soal Azizah pada anak perempuan tunggalnya itu. Anis adalah satu-satunya zuriat yang ditinggalkan oleh arwah suaminya. Suaminya telah meninggal sejak Anis berusia tiga tahun. Dan sejak itu dialah yang bertanggungjawab membesarkan Anis sehingga kini.
“Nis nak habiskan baca buku ni. Esok Nis ada ujian. Ibu janganlah risau. Ibu pergi tidur dulu ya? Kejap lagi Anis masuk tidur,” ujar Anis sambil menggengam erat tangan Azizah.
Azizah jadi sayu. Kasihan dan simpati terhadap Anis menghimpit dadanya. Sudahlah awal-awal pagi lagi Anis akan bangun untuk membantunya membuat nasi lemak untuk dihantar di gerai berhampiran. Malam pula terpaksa bersengkang mata mentelaah mata pelajaran. Ruang untuk anak itu berehat seakan-akan begitu terhad.
Tahun ini Anis akan menghadapi peperiksaan SPM. Semestinya Anis memerlukan banyak masa untuk mengulangkaji pelajaran. Namun walau dilarang, Anis tetap berdegil mahu membantunya. Setiap pagi Anis akan bangun awal semata-mata untuk membantunya. Kadang-kadang dia dapat melihat wajah Anis yang lesu. Dia jadi serba-salah. Hanya air mata yang mampu menzahirkan perasaannya.
 “Tak apalah. Biar ibu teman Nis ya?”
“Ibu, tak apalah. Sekejap lagi Anis masuk tidur. Ibu tidurlah dulu. Ibukan penat? Anis nak habiskan sikit lagi ni.”
Azizah akur. “Baiklah. Janji lepas habis sahaja baca buku, terus tidur ya?”
Anis hanya mengangguk sambil tersenyum. Satu kucupan singgah di dahinya. Damai jiwanya menerima kucupan hangat itu. “Selamat malam ibu.”

BAKUL yang diisi penuh dengan nasi lemak bungkus itu diletakkan perlahan di atas meja.
“Mak Kiah, ni nasi lemak ya? Saya pergi dulu,” teriaknya pada Mak Kiah yang sedang berada di dapur. Kelihatannya Mak Kiah sedang sibuk. Lantas dia beredar keluar. Sekilas dia mengerling jam di tangan yang sudah menunjukkan pukul 7.00 pagi. Ah, dah lambat!
“Anis, Anis!!”
Anis berpaling. Kelihatan Mak Kiah kelam-kabut sambil melambai-lambai ke arahnya.
“Tunggu sekejap. Duit nasi lemak semalam Mak Kiah tak kasi Anis lagi.”
Anis tersenyum. Kalut benar orang tua ini. Bisik hatinya. Tiga keping not RM10 sudah diserahkan kepadanya.
“Terima kasih Mak Kiah. Saya pergi dulu ya,” ucap Anis sambil mengukir senyuman.
Orang tua itu mengangguk-angguk. Anis melajukan langkahnya. Sebaik sahaja tiba di pintu pagar sekolah, kelihatan para pelajar sedang berkumpul di tempat perhimpunan.
Sebaik sahaja perhimpunan tamat, Anis bergegas ke dewan utama peperiksaan bersama rakan-rakan sekelas yang lain. Peperiksaan akan dimulakan pukul 8.30 nanti. Dia berjalan menuju ke satu sudut di tepi tangga. Nota kecil di dalam poket bajunya dikeluarkan. Sementara ada sedikit masa terluang ada baiknya dia membelek-belek nota untuk kali terakhir.
“Hai Anis,” sapa satu suara.
Tumpuan Anis teralih pada seraut wajah di depannya. Wajah Qistina yang sedang tersenyum menjadi tatapan.
“Hai Qis...” Seketika dia membalas senyuman dan kemudian kembali memerhati nota di tangan.
Hai, last minute pun sempat lagi nak belek nota?”
“Alah, tengok mana yang sempat aje, Qis. IQ rendah macam saya ni kenalah lebih sikit. Bukan macam awak, genius...”
Qistina tertawa kecil. “Kalau genius, dah lama kita ni jadi best student sekolah. Ni nak perli ke apa ni?” Qistina bercekak pinggang.
Anis tertawa kecil. “Saya cakap yang betul apa?” Qistina menjuihkan bibirnya.
Sejak berada di tingkatan satu lagi dia dan Qistina bersahabat baik. Sedari dahulu mereka tidak pernah berenggang sesama sendiri. Malah boleh dikatakan di mana ada dia, di situlah ada Qistina.
Baginya, Qistina seorang rakan yang cukup baik. Sungguh pun luarannya kelihatan ekstrovet dan lasak, namun hatinya cukup luhur dan ikhlas. Dek kerana itu, sehingga kini dia cukup selesa bersahabat dengan gadis itu.

RIUH RENDAH keadaan di kantin tatkala berdudyun-duyun pelajar keluar dari kelas sebaik sahaja loceng rehat dibunyikan.
“Eh Anis! Nak pergi mana?” soal Qistina sebaik sahaja melihat Anis melencong dari arah kantin.
“Nak pergi library kejap. Pulang buku,” beritahu Anis sambil menunjukkan buku rujukan Kimia yang berada di tangannya.
“Ooh... Tak apalah, kita ikut sekali.”
“Eh, tak payahlah. Qis pergilah kantin dulu. Sekejap aje ni. Lepas pulang kita pergi kantin.”
“Alah tak apa. Sekejap aje pun,” ucap Qistina lalu menyaingi langkah Anis.
Sebaik sahaja selesai memulangkan buku. Mereka bergegas ke kantin.
“Selalu jugak awak pinjam buku kat library ek?” Qistina bersuara seraya menjeling Anis di sebelahnya.
“A’ah, selalulah jugak,” balas Anis dan kemudian terus membisu. Tidak sedar ketika itu Qistina sedang memerhatikannya.
Qistina tahu, setiap minggu Anis akan meminjam buku-buku rujukan di perpustakaan. Buku-buku tersebut digunakan untuk rujukan tambahan selain buku teks dan latihan-latihan yang diberikan guru.
Bukannya dia tidak tahu Anis melakukan itu semua kerana dia tidak mampu untuk membeli setiap buku rujukan mata pelajaran yang diambil. Pernah gadis itu mengikat perut semata-mata ingin mengumpul duit membeli buku rujukan Matematik Tambahan dahulu.
Adakalanya dia cukup simpati mengenang perihal sahabatnya itu. Namun, tidak pernah barang sekalipun Anis menyatakan kesusahan yang ditanggung.
“Saya tak mahu makan hari ni. Diet!” Anis tersengih sambil menayang gigi. Belum pun sempat Qistina bersuara dia sudah melangkah ke meja berhampiran.
“Nah, makan ni.” Qistina menyuakan pinggan yang berisi dua biji karipap kepada Anis.
“Eh, tak naklah. Kan saya dah cakap saya on diet? Dah... Tak mahu tak mahu. Awak makan ajelah.” Anis menggeleng.
“Banyaklah awak punya diet. Badan dah kurus melengking. Alaslah perut tu sikit. Lepas ni kita ada satu paper lagi. Kalau awak tak makan nanti perut tu masuk angin. Kalau masuk angin nanti tak boleh fokus nak jawab soalan macam mana?” ceramah Qistina dengan percakapan yang cukup pantas. Gadis itu kalau bercakap, laju macam roket!
“Eleh, selama ni tak pernah pun saya kena macam tu.” Anis mencebik.
“Haa, cakap besar ya? Nanti kalau kena tahulah. Nahlah.. Ambik ni makan. Kita beli untuk awak ni tahu? Tak baik menolak rezeki.” Qistina tersengih. Pinggan itu dihulurkan pada Anis.
“Hmm.. Nah...” Sekeping not seringgit dihulurkan kepada Qistina.
“Tak payah! Kita belanja,” tolak Qistina sambil menggeleng-geleng.
“Belanja lagi?! Beapa kali awak nak belanja ni, Qis? Nah, ambik duit ni. Saya tak sukalah macam ni.” Selama ini Qistina kerap membelanjanya makan di kantin. Malah, Qistina juga kerap memberikannya hadiah. Sempena hari itulah, hari inilah... Entah berapa banyak sempena dalam hidupnya gamaknya!
“Bukannya hari-hari. Sekali sekala aje. Dah memang hari ni saya datang sekolah niat pagi-pagi nak belanja awak. Dahlah. Makan aje karipap tu. Jangan banyak bunyi. Dah takde masa ni. Sekejap lagi nak masuk dewan,” gesa Qistina sambil tersengih-sengih.
 Anis akur. Tidak mungkin Qistina akan menerima wang itu. Dia kenal benar dengan sifat rakannya itu. “Niat pagi-pagi nak belanja konon. Qis, kalau macam awak ni, tauke balak pun boleh bankrap tahu?” ujar Anis sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.


                                  





























   








No comments: