Sekebun Bunga Cinta #26

RAMADHAN yang dinanti tiba jua. Menyubur kembali rasa tanggungjawab dan ibadat kepada-NYA. Bulan yang dibuka segala pintu di syurga dan ditutup segala pintu di neraka. Juga bulan yang dikaitkan dengan penurunan al-Qur’an yang menjadi petunjuk sekalian manusia.
Bagi Faris, bulan Ramadhan kali ini disambut dengan penuh rasa keinsafan di hati. Sudah bertahun lamanya dia meninggalkan ibadah itu tanpa rasa sedikit pun rasa berdosa. Betapa selama ini dia begitu jahil dalam menunaikan rukun Islam yang ketiga itu.
Kedatangan yang baru ini, dia sudah nekad untuk berpuasa penuh. Malam itu sebelum permulaan Ramadhan, dia sudah ke masjid menunaikan solat terawih di masjid berhampiran. Selesai solat, dia terus pulang. Tatkala tiba di rumah kelihatan kereta Farid dan Farisya sudah terparkir di garaj.
“Pak Su!!” Serentak dia diterpa oleh anak-anak buahnya di muka pintu. Masing-masing berebut-rebut menyalami tangannya.
“Wah, meriahnya...” ucap Faris sambil menghampiri keluarganya yang sedang berkumpul di ruang tamu. Songkok di kepala ditanggal lalu diletakkan di atas meja. Sudah lama rasanya dia tidak melihat seisi keluarganya berkumpul seperti itu.
 “Apa mimpi ramai-ramai balik ni?” soal Faris sambil mengambil Irfan, anak bongsu Farid dari dukungan kakak iparnya, Nadzirah. Wajah si comel berusia sembilan bulan itu dicium beberapa kali. Terloncat-loncat dia di atas riba Faris.
“Esok ingat nak sahur ramai-ramai sekeluarga. Malam tu kita boleh iftar jami’e sama-sama,” jawab Farid sambil tersenyum.
“Iftar jami’e? Apa benda tu?” soal Faziela memandang tepat ke wajah abang sulungnya.
“Berbuka puasa beramai-ramai,” balas Nadzirah lalu tertawa.
“Ceh... cakap Arab manalah Fazie faham. Amboi... mentang-mentang dua-dua graduate UIA, bukan main lagi ya?”
“Alah, certain words aje yang tahunya, Fazie. Macamlah Kak Zira dulu ambil course Arabic. Setakat belajar dua sem kat matrik subjek Arab tu apalah sangat.”
“Oh, bukan semua budak-budak UIA kena belajar bahasa Arab ke?” soal Faziela ingin tahu.
“Memang semua students wajib belajar Bahasa Arab tapi tengok course apa yang dia orang ambil. Kalau macam kita orang yang course engineering ni, waktu matrik aje kita orang belajar. Dekat main campus dah tak belajar,” maklum Nadzirah sekadar berkongsi cerita mengenai kampusnya.
Terangguk-angguk kepala Faziela mendengarnya. Suasana di ruang tamu semakin gamat dengan suara Yaish, Afreena dan kedua-dua putera Farid, Danish dan Nafidz. Sesekali Datuk Roslan dan Datin Syahifah menggeleng kepala melihat keletah cucu-cucu mereka.
Lintang pukang kedudukan bantal-bantal di sofa dihenyak oleh Yaish dan Danish yang seusia. Dua-dua itu kalau sudah bertemu bergusti sahaja kerjanya!
“Haa, esok jangan lupa bangun awal-awal tolong Mak Jah masak kat dapur,” pesan Datin Syahifah memandang Farisya dan Faziela.
“Alah, tengoklah esok siapa yang paling liat nak bangun,” sampuk Faris sambil menjeling Faziela sekilas.
“Ha’ah, biasanya kalau kaum-kaum ibu ni tak ada masalah nak bangun pagi. Kaum yang belum jadi ibu ni yang masalah.” Farisya bersuara sambil tersenyum penuh makna.
“Esok kunci alarm awal sikit ya, Fazie...” Giliran Nadzirah pula bersuara. Dia tersenyum seraya melirik matanya penuh makna.
“Habis, selama ni siapa yang kejut kau pagi-pagi kalau bukan Kak Fazie?” Terasa dirinya dihentam, Faziela akhirnya bersuara. Wajah Faris direnung geram.
“Hari kerja bolehlah cakap. Cuba kalau hari cuti, bukan setakat tunggu matahari terpacak kat kepala, matahari dah terbenam nak masuk subuh esok baru celik bijik mata,” ujar Faris lantas mencebik. Tumpuannya masih pada Irfan yang semakin lasak di ribanya.
“Dah, esok yang penting mama nak semua ada sahur sama-sama. Jangan ada yang tak turun,” pesan Datin Syahifah lagi.
“Danish sekali ke nenek?” soal Danish tiba-tiba menyampuk. Dengar pula telinganya akan perbincangan mereka.
“Iya... Danish, Yaish, Abang Nafidz semua kena turun bersahur!” jawab Datin Syahifah bersungguh-sungguh.
“Adik, nenek?” Suara kecil Afreena kedengaran tatkala suasana antara mereka diam seketika. Serentak tawa mereka semua meletus.

“NI nak pi mana plak dah pakai baju kurung bagai?” tegur Zaihan dengan loghat utaranya. Sedikit terkejut melihat Jasmyn mengenakan baju kurung ke kampus hari ini. Seingatnya selama ini belum pernah temannya itu mengenakan pakaian sedemikian.
Jasmyn melangkah ke tempat duduknya dengan wajah mencuka. Panas hatinya mengenangkan desakan Ainul menyuruhnya memakai baju kurung hari itu. Alasannya, permulaan bulan yang baik harus disambut dengan cara berpakaian yang baik.
“Pergi kelaslah... Apa? Salah ke pakai baju kurung?” bidas Jasmyn bersahaja. Padahal berasap juga telinga mendengar sindiran rakan-rakannya.
 “Eh, tak salah aih. Buat selalu pun takpa...” celah Natalia. Sejak bila pulak amoi ni boleh berbahasa utara?
“Apa mimpi kau pakai baju kurung ni wei?” soal Qaisyah tersenyum mengulum.
“Mak akulah... dari semalam dok pot pet pot pet suruh aku pakai baju kurung pergi kampus. Aku pun sarung ajelah... Mak aku kalau membebel, kau bukan tak tahu...” rungut Jasmyn menceritakan perihal mamanya.
“Tapi okey apa kau pakai baju kurung? Lagipun bulan puasa ni, eloklah pakai sopan-sopan sikit... sejuk mata memandang... ye dak?” celoteh Zaihan seperti nenek tua.
Jasmyn mencebik.
“Anyway, you really got me hypnotized... seriously,” ujar Qaisyah bersungguh. Entah ya entah entah tidak. Entahkan sengaja ingin mengambil hati.
“Kau jangan... ini baru aku pakai baju kurung, belum aku pakai kebaya, kebarung, kebetong lagi. Haa... bukan takat hypnotized, pengsan terus kau nanti,” balas Jasmyn mencetus tawa rakan-rakan lain.
Dek kerana itu, hari ini dia terpaksa memandu kereta ke kampus. Kerja gila namanya menunggang skuter dengan memakai baju kurung.
 “Ini baju kurung zaman sekolah-sekolah dulu apa?” tanya Zaihan ingin tahu sambil memegang lengan baju Jasmyn yang berfabrik satin itu.
“Wei, kau beragak sikit baju zaman sekolah. Ni baju raya tahun lepaslah,” beritahu Jasmyn sambil menarik-narik kain yang menutupi kakinya. Sungguh, dia benar-benar tidak selesa. Mana tidaknya, selama ini enak sahaja dia duduk bersila di atas kerusi, menggerakkan kaki sesuka hati dan sebagainya. Namun kali ini, pergerakkan kakinya terasa sedikit terbatas. Bimbang juga kalau tersalah duduk nanti kain itu terselak.
“Yang kau orang tengok aku macam jakun darat ni apa hal?” sergah Jasmyn pada rakan-rakannya yang asyik memerhati.
“Aku tak mimpi tengok kau sekarang kan? Tak mengigau kan?” Natalia menepuk-nepuk pipinya. Sengaja ingin mengusik Jasmyn.
Jasmyn menepuk dahinya seraya melepaskan keluhan berat. Malas mengendahkan mereka.

PARA pelajar bergerak perlahan untuk keluar dari kelas. Seperti biasa keadaan akan jadi gamat setiap kali kelas tamat. Ketika di pintu Jasmyn dan Faris bersabung pandangan. Faris terpaku seketika. Apa benarkah matanya melihat? Namun Jasmyn sudah pun menyusup keluar bersama rakan-rakan sekelas yang lain.
“Did I see something real or it is just a delusion of my sight?” soal Azril sambil pandangannya tertancap pada sebatang tubuh Jasmyn yang sedang melangkah.
Faris dan Nizam kelihatan terkebil-kebil di sebelahnya. “This is not the figment of imagination! Fuh...” Nizam bersuara mempamerkan reaksi terpesona. Kepalanya digeleng-gelengkan beberapa kali.
“Astaghfirullah... bulan puasa ni, Nizam.” Faris menepuk-nepuk bahu Nizam.
“Astaghfirullahalazim...” Nizam menggeleng-geleng kepalanya. Mereka terus berjalan meninggalkan kawasan kelas. Nizam dan Azril masing-masing beredar untuk menguruskan urusan mereka. Sejam lagi mereka akan bertemu semula di kelas berikutnya.
Faris melewati kaki lima menuju ke luar bangunan fakulti. Tiba-tiba pandangannya terarah pada sebatang tubuh yang sedang berdiri menghadap papan kenyataan di situ. Entah kenapa ringan sahaja mulutnya menegur gadis itu.
“Sorang aje ke?”
Jasmyn tersentak seraya berpaling. Dilihat wajah ‘kegemaran’nya sudah berada di depan mata.
“Ha’ah...” Jasmyn terpinga-pinga namun seketika kemudian kembali menumpukan perhatian ke arah papan kenyataan membaca beberapa artikel yang tertampal di situ.
“Waa... Sedondon pulak aku tengok kau orang berdua ni!” ujar Zaihan yang tiba-tiba muncul bersama Qaisyah dan Natalia.
Jasmyn membulatkan matanya memandang Qaisyah. Namun kelihatannya gadis itu tidak mahu menghiraukan apa jua jenis pandangan mahupun bahasa isyaratnya sekalipun.
Faris tertawa. Baru sedar warna bajunya seakan sama dengan warna baju kurung Jasmyn. Hijau pucuk durian! “Korang ni seronok aje, puasa ke tak ni?”
“Haish! Puasalah! Apa pulak tak puasa?” ucap Natalia.
“Manalah tahukan...” Faris tersenyum penuh makna. Qaisyah, Zaihan dan Natalia sudah tersengih-sengih.
“Okeylah. Aku nak ke library sekejap ni. Jumpa nanti kat kelas...” ucap Faris lantas beredar.
“Apasal kau diam? Jadi bisu?” sergah Zaihan lalu tersenyum penuh makna.
Satu jelingan diberikan oleh Jasmyn buat temannya itu. “Sedondon ya?” Wajah Jasmyn tampak sinis memandang Zaihan.
Zaihan menayang gigi. Tahu Jasmyn tidak senang dengan tingkahnya sebentar tadi. “Ha’ah... Sama cantik sama padan. Macam durian kena kapak!” Spontan satu cubitan Jasmyn mengenai lengannya. Dia menyeringai kesakitan.


No comments: