ALAT kawalan jauh kereta ditekan. Hari ini Jasmyn terpaksa memandu ke kampus kerana ingin mengambil beberapa barang di studio termasuk segala pelan dan bahan projek semester lalu.
Memandangkan semester ini semester akhir, segala jenis barang peribadi di studio harus dibawa pulang. Sudah penuh boot kereta Kembara mamanya itu diisi dengan pelbagai jenis alatan. Malah di tempat duduk belakang juga sudah penuh dengan struktur-struktur bangunan bahan projeknya yang lepas.
Dengan cermat dia menyusun semua itu agar tidak terjatuh. Sungguh bernilai harga setiap hasil kerja tangannya itu. Hendak menyiapkannya bukanlah mudah. Banyak masa dan tenaga yang dikorbankan. Dan lagi, setiap projek yang dihasilkan menggunakan duitnya sendiri.
Sebaik sahaja memastikan semua barang berada di tempat yang stabil, Jasmyn menutup pintu kereta. Namun sebaik sahaja berpaling kelihatan Faris sedang menghampiri keretanya yang diparkir selang dua buah kereta dari keretanya.
“Nak balik dah ke?” sapa lelaki itu ramah.
“Ha’ah... banyak barang nak kena angkut. Petang nanti datang balik,” balas Jasmyn. Dengan sendiri dia boleh berbahasa secara baik dengan pemuda itu. Hairan...
“Oh... aku malas nak angkut lagi. Biarlah dulu berhabuk kat studio tu. Lagipun nak mengangkut tu kena ulang alik ke studio. Leceh...” ucap Faris sambil berdiri di pintu keretanya yang sudah dibuka.
“Hmm, nak senang kau bawak aje troli... Dua tiga kali angkut, habis...” balas Jasmyn bersahaja lalu menutup pintu kereta.
Faris tergelak. Tercuit hati dengan kata-kata gadis itu. “Nak mengangkut troli tu pun satu hal jugak.. Hmm, okeylah... aku balik dulu,” ucapnya lantas memboloskan tubuh ke dalam perut kereta. Sebelum berlalu sempat dia mengangkat tangan ke arah Jasmyn.
SELESAI solat isyak, Faris mendapatkan notebooknya lalu dibawa ke katil. Rangkaian internet diaktifkan. Jari jemarinya mula mengetip sesuatu di papan kekunci. Seketika kemudian satu laman web tertera di skrin komputernya. Sekilas dia memandang perkataan MySpace di situ. Sebaik sahaja memasuki butiran yang perlu, sekelip mata sahaja akaun peribadi miliknya terpampang di skrin.
Serentak pandangannya tertancap pada informasi mesej-mesej yang diterima. Ada 30 mesej yang belum dibaca di peti masuk dan lebih kurang 50 komen yang ditinggalkan. Seketika dia memeriksa beberapa komen dan mesej yang perlu.
Sudah lama dia tidak meninjau laman sosial itu. Begitu ramai yang bertanya khabar termasuk rakan-rakan sekolah yang terdahulu. Faris mengambil masanya membalas semua mesej mereka. Sungguh pun terasa malas benar hendak mengetip di papan kekunci membalas mesej mereka, diluangkan juga waktu untuk semua itu.
Rakan-rakan bertanya khabar perlulah dijawab sekali sekala. Lagipun itu sahaja cara yang paling mudah untuk berinteraksi dengan cepat. Hendak berbalasan mesej di telefon manalah dia sempat.
Hampir sejam dia menghadap ruang sosial itu melayani setiap komen yang dihantar oleh rakan-rakan. Tiba-tiba terdetik dihati untuk mencari nama seseorang. Lantas tangannya mengetip nama ‘Airis Jasmyn’ di ruang carian akaun pengguna lain. Namun cariannya tidak berhasil. Tiada sebarang profil yang menggunakan nama tersebut.
Kesekian kali dia mencuba. Kali ini nama dia menaip nama ‘Jasmyn’. Sesaat kemudian, tertera beberapa profil di skrin komputer. Jumlahnya melebihi 30 orang.
Faris mengeluh. Ramainya... Macamlah rajin aku nak mencari, desisnya dalam hati. Seketika dia melihat gambar-gambar profil yang tertera. Tiada wajah Jasmyn di situ.
Tiba-tiba terdetik sesuatu di kepalanya. Lantas dia mengetip nama ‘Airis Jasmyn’ di carian Google. Anak mata Faris meneliti satu per satu keputusan yang tertera. Meliar matanya mencari link yang berkaitan dengan nama Jasmyn sehinggalah matanya tertancap pada perkataan yang tertulis ‘Blogger: User Profile: Airis Jasmyn Ramizan’s Words of Wisdom’
Terus sahaja link itu diklik. Tertera satu ruangan blog yang berlatar belakangkan corak abstrak di skrin komputernya. Faris tersenyum sendirian tatkala melihat ada gambar Jasmyn di salah satu entrydi blog tersebut. Sah blog itu kepunyaan gadis itu.
Satu demi satu coretan yang tertulis dibaca. Sesekali Faris ketawa sendirian tatkala membaca beberapa rangkap ayat yang terasa lucu. Agak lama dia meluangkan waktu membaca segala post peribadi gadis itu.
Entah kenapa tumpuannya tidak berkalih dari membaca luahan hati Jasmyn. Kebanyakkan post Jasmyn berkisar mengenai kisah kehidupannya dan beberapa cerita mengenai minatnya yang mendalam terhadap kamera dan bunga-bungaan.
Faris tertawa sendirian tatkala membaca satu coretanyang bertajuk ‘Airis ’. Ada satu gambar skuter milik Jasmyn di atas coretan itu.
Skuter yang dibeli sempena hari lahir aku yang ke-20. Pertama kali aku tengok skuter ni, sumpah mata aku sakit! Pink?! Tak tahu ke mama dengan papa satu-satu warna yang paling aku benci dalam dunia ni adalah warna merah jambu? Mengapa sahaja warna itu yang dipilih? Argh!
Paling ‘menggembirakan’ hati bila ada nama ‘Airis ’ yang tertera kat depan skuter ni. Oh... sungguh ‘megah’ nama itu...
After a few days, I asked my mom, “Why must pink and why must Airis ?” Then she replied; “It sounds and looks much more girlie!”
Okay, fine mama!
Betapa sifat Jasmyn yang dikenali terserlah melalui cara penulisannya. Sungguh, sudah jenuh dia ketawa seorang diri di dalam bilik membaca setiap luahan Jasmyn di blog itu.
Sudah banyak benda yang telah dijelajah di dalam blog peribadi Jasmyn sehinggalah dia berjaya menemui profil MySpace gadis itu. Lantas dia menghantar permintaan untuk menjadi senarai rakan di akaun Jasmyn.
Untuk kesekian kali tawanya meletus tatkala melihat gambar profil Jasmyn di MySpace. Gambar gadis itu sedang memegang donut besar dengan mulut yang sudah comot di sana sini. Perangai...
No comments:
Post a Comment