AWAL-AWAL pagi lagi Jasmyn meminta Isniza menghantarnya ke kampus. Sejak semalam dia berasa resah meninggalkan skuternya di hadapan fakulti itu. Selesai sahaja menuang minyak ke dalam tangki dia cuba menghidupkan skuter tersebut.
Beberapa kali mencuba, akhirnya enjin skuter itu berjaya dihidupkan. Jasmyn menarik nafas lega. “Nasib baiklah kau hidup. Kalau tak, banyak kerja aku nak menghantar kau ke workshop.” Jasmyn bercakap sendirian dengan skuternya.
“Woi! Kau cakap dengan siapa tu?” sergah satu suara.
Jasmyn terperanjat. Serta-merta pandangannya teralih pada Natalia yang berada di hadapannya.
“Terkejut aku! Kau tak reti nak tegur perlahan-lahan ke?” Jasmyn mengurut-urut dadanya.
Natalia tersengih. “Tak adalah, aku dengar kau cakap-cakap sorang tadi. Manalah tahu kot-kot ada orang halimunan ke kat sini.”
Jasmyn mencebik.
“Apasal motor kau kat sini, ni?” tanya Natalia sebaik sahaja menghampiri Jasmyn.
“Semalam tiba-tiba tak ada minyak. Aku tinggalkan semalaman kat sini.”
“Eh, bukan kau dah balik ke lepas kelas Dr. Syamaizar semalam?”
“Aku singgah library sekejap. Lepas tu ambik barang kat studio. Sedar-sedar minyak dalam tangki dah kering, motor tak boleh start... Haaa, kau tunggu sini sekejap aku nak letak motor kat sana,” ujar Jasmyn lantas menghidupkan skuternya menuju ke ruang meletak motosikal.
Jasmyn dan Natalia jalan seiringan menuju ke kelas. Sebaik sahaja tiba, mereka mengambil tempat duduk biasa di barisan belakang.
“Dah tu kau balik macam mana semalam?” soal Natalia ingin tahu. Semalam dia, Qaisyah dan Natalia terus pulang sebaik sahaja kelas terakhir tamat. Tidak tahu pula Jasmyn melencong ke perpustakaan.
“Naik teksi...” bohong Jasmyn dengan riak wajah bersahaja.
“Mana datang teksinya kat sini?” Dahi Natalia sudah berkerut seribu.
“Ada....” Jasmyn menjawab dengan intonasi mendatar. Dia pura-pura sibuk membelek telefon bimbitnya. Mujurlah Natalia tidak bertanya lagi. Dia menarik nafas lega.
Sesi kelas teori pagi itu berjalan seperti biasa. Suara Profesor Zam Tuah yang perlahan itu sedikit sebanyak melarikan tumpuan para pelajar. Sungguhpun begitu, masing-masing setia mencatit setiap patah kata yang keluar dari mulut pensyarah separuh abad itu.
Fokus Jasmyn teralih pada Faris di hujung sana. Kelihatan lelaki itu begitu tekun menyalin sesuatu di bukunya. Serta-merta peristiwa semalam menjengah ingatannya.
Satu situasi yang meletakkan mereka di luar kebiasaan. Yang selama ini tidak pernah berhenti dari bertelingkah menjuarai diri sendiri. Tatkala bersabung pandang pula, hanya kebencian yang kelihatan. Seakan mimpi rasanya menempuh detik sedemikian rupa.
Sikap timbang rasa Faris sedikit sebanyak membuat hatinya tersentuh. Namun dikalih perasaan itu supaya tidak menjadi mainan perasaannya.
Tatkala berada di dunia nyata, kedengaran Profesor Zam Tuah memberi salam lantas meninggalkan kelas.
“Payung kau ke ni?” soal Qaisyah sambil menunjukkan payung berwarna merah kepada itu kepada Jasmyn yang sudah bangun meninggalkan tempat duduk.
“Hah? Aaa... Ha’ah.” Teragak-agak Jasmyn mengangguk. Lantas payung itu dicapai.
Ketika di luar kelas, kelihatan Faris dan rakan-rakannya sedang berdiri di situ. Payung yang dipegang disorok ke belakang. Baru sahaja dia ingin memulangkan payung itu kepada Faris namun memandangkan keadaan tidak sesuai, ada baiknya dia berlalu.
Tambahan lagi, kehadiran Qaisyah, Natalia dan Zaihan mematikan niatnya. Langkahnya dihayun meninggalkan kawasan kelas.
Seperti biasa, destinasi selepas kelas; tandas! Jasmyn hanya menanti ketiga-tiga rakannya di luar. Tiba-tiba satu suara menyapanya.
“You bring it to the class?”
Seraut wajah Faris sudah terlayar di tabir mata. Entah bila masa lelaki itu muncul dia langsung tidak sedar.
“Dah tak ada tempat aku nak letak. Kang letak merata-rata kena curi pulak. Harta orang kena jaga...” balas Jasmyn bersahaja lantas menghulurkan payung itu kepada Faris.
Faris sekadar tersenyum. “Skuter kau dah okey ke belum?”
“Ha’ah...dah okey dah,” jawab Jasmyn sekadar perlu sambil mengangguk.
“Okeylah...” Faris berkira ingin beredar. Sebentar lagi dia ingin menjenguk studio. Azril dan Nizam sedang menantinya di sana.
“Anyway,thank you pinjamkan aku payung tu...” ucap Jasmyn sekadar ingin menyatakan penghargaannya. Oh lidah, sila jangan tergeliat okey!
Faris hanya tersenyum lantas berlalu pergi.
“Aik? Kenapa payung tu ada kat Faris? Bukan ke tadi kau yang pegang payung tu?” persoal Zaihan hairan sambil memerhati sebatang tubuh Faris yang sedang menyusuri kaki lima.
Jasmyn tersengih memandang ketiga-tiganya.
“Apa hal kau tersengih-sengih?” sergah Natalia. Sikap Jasmyn hari ini dirasakan sedikit pelik dari biasa. Apakah temannya itu menyembunyikan sesuatu?
“Lapar...” Jasmyn menggosok-gosok perutnya yang rata. Sengaja ingin mengalih tajuk.
“Hmm, kau tu memang tak ada kerja lain. Asyik lapar aje! Makan bukan main kuat mengalahkan orang kerja melombong!” tempelak Zaihan becok.
PECAH juga rahsia yang cuba dipelihara. Bermain dengan kepekaan rakan-rakannya sudah tentu dia akan tewas. Kecoh suasana di dalam studio petang itu. Sudah bernanah telinga Jasmyn diusik. Yang paling giat siapa lagi kalau bukan Zaihan. Minah ni gamaknya kena gam dulu mulutnya baru reti diam!
“Eloklah kalau dah berbaik. Dari dulu sampai sekarang asyik bergaduh aje tak sudah-sudah,” kata Qaisyah dengan senyuman di bibir. Seakannya senyuman itu membawa seribu satu makna.
“Mana tahu esok-esok ada jodoh... kita tak tahukan? Lagi lima enam tahun jumpa tengok-tengok kau kahwin dengan dia.” Natalia berdongeng sambil tangannya menggunting beberapa helaian kertas untuk dijadikan bahan projeknya.
“Ha’ah... pulak tu berderet anak siap boleh buat satu pasukan ragbi. Siapa bapak dia? Faris Aqiel!” Giliran Zaihan pula mengusik. Terkekeh-kekeh gadis itu ketawa.
Jasmyn mencapai beberapa kertas kajang di atas mejanya. Kertas-kertas itu kemudian direnyuk sehingga menjadi satu gumpalan berbentuk bulat. Ketika itu, Qaisyah, Natalia dan Zaihan sedang leka dengan kerja masing-masing.
Siap tiga gumpalan Jasmyn memusingkan tubuhnya. Pantas sahaja tangannya membaling kertas bergumpal itu ke muka ketiga-tiga rakannya. Serentak juga mereka memberi respon.
Kertas yang dibaling tadi dilempar semula ke arah Jasmyn. Hilang segala konsentrasi mereka saat itu. Kertas itu dibaling sesama sendiri tanpa mengenal siapa sahaja sasarannya. Masing-masing menyerang antara satu sama lain. Riuh rendah jadinya bunyi studio kerja itu dengan gelak tawa mereka.
PINTU studio dikuak separuh. Beberapa orang rakan sekelas yang lain kelihatan sedang tekun melakukan kerja masing-masing. Faris mengorak langkah menghampiri meja kerjanya.
Tiba-tiba bebola matanya terarah pada seraut wajah di hujung sana. Serentak juga pandangan gadis itu bersabung dengan pandangannya. Namun seketika kemudian gadis itu mengalih tumpuan ke arah lain.
Faris menarik kerusinya. Bahan projek yang berupa struktur sebuah bangunan yang masih belum siap diangkat dari almari lalu diletakkan di atas meja. Sudah dua minggu dia berhempas pulas menghadap struktur itu. Tidak cukup masa di studio, dia akan membawa struktur itu pulang ke rumah.
Boleh dikatakan sejak kebelakangan ini masanya hanya dipenuhi dengan mengerjakan struktur rumit yang bakal dinilai oleh pensyarah itu. Untuk projek kali ini, sepenuh komitmen telah dicurahkan. Maklumlah setiap projek bakal menjadi projek yang terakhir buatnya sebelum bergelar graduan.
Tekanan pertengahan semester semakin dirasai. Kuiz, peperiksaan pertengahan, tugasan bertulis mahupun projek datang silih berganti tanpa henti. Semuanya harus diutamakan tatkala setiap darinya menyumbang carry mark sebelum peperiksaan akhir.
Sedang asyik meneliti bahan projek, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi sesuatu berlaga dengan meja dan serentak kedengaran sesuatu jatuh ke lantai. Spontan Faris berpaling.
Dilihat Jasmyn sudah terduduk sambil memegang kepalanya di bawah meja. Suara tawa beberapa orang rakan lain mula kedengaran.
“Apasal wei?” Lantas dia menghampiri Jasmyn. Sambil mencangkung dia menghadap gadis itu.
“Adoiiiii...” Wajah Jasmyn berkerut sambil menekan bahagian kepala yang terasa sakit.
Faris mengutip beberapa buah buku Jasmyn yang berteraburan di atas lantai. Serentak juga gadis itu mengutip beberapa alatan tulis lain yang terjatuh.
“Pehhh! Nasib baik tak berlubang kepala aku!” gumam Jasmyn sambil menggosok-gosok kepalanya.
Faris menahan tawa. Perasaannya seakan digeletek mendengar nada gadis itu berkata-kata. Buku-buku yang dikutip tadi diletakkan semula di atas meja.
“Macam mana kau boleh terhantuk?” soal Faris memandang hairan ke muka Jasmyn. Pelik juga tatkala melihat gadis itu sudah terduduk di sisi meja. Apa sahaja yang dilakukannya sehingga berubah posisi seakan itu?
“Aku kejar lipas,” balas Jasmyn dengan lagak bersahaja. Anak matanya melilau-lilau ke bawah meja mencari lipas tadi.
Sedang enak dia menumpukan perhatian pada kerja, tiba-tiba sahaja terasa ada sesuatu merayap di kaki. Tatkala menilik ke bawah, kelihatan dua ekor lipas besar sedang berseronokan di bawah mejanya. Perlahan-lahan satu pembaris panjang di atas meja dicapai lalu dia menyusup perlahan di bawah meja.
Belum pun sempat menghalakan pembaris tersebut pada sasaran, laju sahaja lipas-lipas itu melarikan diri dicelah-celah almari studio dan serentak juga kepalanya terhantuk di bucu meja. Dalam masa yang sama juga segala buku yang disusun di tepi meja jatuh ke lantai.
Tawa Faris terhambur. “Kau tak ada kerja lain ke?” soal Faris dengan tawa yang masih kedengaran. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
Jasmyn lekas-lekas bangun. Tidak peduli dengan kata-kata Faris. Matanya masih melingas mencari lipas-lipas tadi. “Kurang ajar punya lipas! Nasib baik kau kecik. Kalau kau besar aku tampar sampai mati. Tak apa... tak apa... Sekali lagi aku jumpa memang aku tenyeh sampai leper!” marah Jasmyn menzahirkan rasa bencinya terhadap spesis serangga yang tidak berdosa itu.
Faris menahan tawa. “Okey tak kepala kau tu?”
Jasmyn sedikit tersentak. Mengapa pula lelaki itu mengambil berat? Seketika pandangannya terarah pada Faris. Rasa kepala yang masing puyeng membuatkan dia terdiam seketika.
“Helooo... are you okay?” Faris memetik-metik jarinya ke muka Jasmyn. Gadis itu seakan-akan mengelamun.
Cepat-cepat Jasmyn mengalih tumpuannya. “Yeah. I’m just okay...” Jasmyn terpinga-pinga. Kepalanya ditumbuk-tumbuk perlahan. Mujurlah Faris beredar semula ke mejanya.
Tanpa mempedulikan rasa sakit itu, dia meneruskan kerjanya yang tergendala. Namun sesuatu seakan-akan terdetik di fikirannya ketika itu.
Sekilas dia menjeling Faris yang sedang kusyuk melakukan kerjanya. Mengapa pula lelaki itu bersikap baik dengannya sejak kebelakangan ini?
No comments:
Post a Comment