KENDERAAN bertali arus memenuhi jalan raya waktu itu. Di dalam kereta, baik Jasmyn mahupun Faris masing-masing diam seribu bahasa. Sepatah kata pun tidak terungkap sedari tadi. Hanya dendangan lagu dari corong radio mengisi ruang antara mereka.
Faris memandu tenang. Seolah-olah tidak menyedari kehadiran Jasmyn di sebelah. Fokusnya tertumpu pada jalan raya yang mengalami kesesakan.
Jasmyn kian tidak betah. Dia sudah mati kutu di situ. Hendak berbual, dia sendiri tidak tahu apa yang patut dibualkan. Manalah dia pernah bersembang dengan pemuda itu. Kalau bercakap pun, hanya kerana ingin menyuarakan rasa tidak puas hati. Cara interaksi mereka tidak pernah berlaku secara aman.
“Kalau aku nak singgah beli makanan sekejap agak-agak sempat tak sampai rumah kejar waktu maghrib?” Akhirnya Faris bersuara setelah sekian lama.
Jasmyn termangu-mangu seketika. Spontan bebola matanya terarah pada jam di dashboard yang sedang menunjukkan pukul 7.35 malam.
“Sempat kot kalau nak beli. Tapi kena bungkuslah. Nak makan kat kedai memang sahlah tak sempat,” jawab Jasmyn bersahaja.
“Agak-agak ramai orang tak kat KFC depan ni?” tanya Faris sambil melontarkan pandangannya ke restoran KFC yang berada di seberang jalan.
“Entah... Cubalah tengok dulu,” saran Jasmyn. Sedikit sebanyak rasa canggung yang mengisi hatinya tadi beransur reda. Namun dalam hatinya mula berbicara sendiri. Apakah lelaki itu patuh dengan solat 5 waktunya? Dia tertanya-tanya sendirian.
Sangkanya orang seperti Faris tidak pernah kisah akan kewajipan yang satu itu. Serta-merta tanggapan dan andaian buruk yang bermain di kepalanya sebentar tadi hilang. Entah kenapa mudah sahaja persepsinya beralih terhadap pemuda itu.
“Kau nak pesan apa-apa ke?” soal Faris sebaik sahaja keretanya berhenti di hadapan restoran KFC itu. Payung di tempat duduk belakang dicapai.
“Errr... tak... tak kot.” Jasmyn menggeleng kepala.
“Hmm, kalau macam tu kau tunggu sekejap dalam kereta,” ucap Faris lantas keluar bersama payungnya. Gerak-geri pemuda itu diperhati sehinggalah bayangan Faris lenyap di dalam bangunan berwarna merah itu.
Sementara menanti di dalam kereta, anak matanya meliar meneliti setiap aksesori di dalam kereta Faris. Betapa setiap apa yang ada di dalam kereta itu menunjukkan lelaki itu mempunyai citarasa yang tinggi pada apa jua barang miliknya.
Teringat satu ketika dahulu dia pernah memancitkan tayar kereta itu gara-gara ingin membalas dendam. Siapa sahaja lelaki itu, langsung tidak dihiraukan. Yang penting, rasa sakit hatinya terbalas. Jasmyn tersenyum sendirian. Sungguh waktu itu dia bertindak tanpa memikirkan sebarang kemungkinan apa sekalipun.
Beribu yang menyatakan kehebatan Faris. Namun, bukanlah pada pandangannya. Mendengar nama lelaki itu sahaja, hatinya sudah dipenuhi dengan rasa jelik yang teramat, apatah lagi memandangnya.
Satu per satu bayang peristiwa pertengkaran yang pernah berlaku antara dia dan Faris mendatangi memorinya. Sehinggalah Faris muncul lantas segala lamunannya terhenti begitu sahaja.
Bau ayam goreng menusuk ke hidung. Tiba-tiba sahaja perutnya terasa lapar.
“Nah... ambik... Kau makanlah,” Secawan minuman dan sebungkus fun fries dihulurkan kepadanya.
“Eh, bila masa pulak aku suruh kau beli?” soal Jasmyn terpinga-pinga.
“Makan ajelah... Aku memang nak bagi kau pun ni,” ujar Faris lagi. Wajah gadis itu tampak serba-salah saat itu.
“Eh, tak payahlah...” tolak Jasmyn sambil mengeleng.
“Ambik ajelah.” Faris terus memaksa.
“Rezeki jangan ditolak,” ucap Jasmyn bersahaja. Sekilas Faris menjeling ke arah gadis itu. Dia tersenyum sendirian.
“Okay, thanks for sending me home,” ucap Jasmyn tatkala kereta Faris sudah berada di hadapan kediamannya. Rasa hendak tergeliat lidahnya menutur kata penghargaan itu kepada lelaki tersebut.
“Eh sekejap... Kau pakai dulu payung aku ni.” Payung yang tadi dihulurkan kepada Jasmyn.
“Tak payahlah... Dah dekat dah pun. Aku boleh redah aje,” balas Jasmyn cuba menolak.
“Just take this. Hujan lebat lagi ni nak redah pun. Nanti basah pulak benda-benda yang kau bawak ni.”
Ah, serba salah dibuatnya. Untuk seketika Jasmyn seakan terpaku seketika. Namun cepat-cepat dia keluar dari kereta Faris lantas payung tadi dibuka. Sebaik sahaja pintu ditutup, dia terpandangkan plastik KFC yang berada di tangannya.
Spontan cermin tingkap Faris diketuk-ketuk. Perlahan-lahan cermin kereta itu diturunkan.
“Yang ni tak payah bayar balik kan?” soal Jasmyn sambil tunduk memandang pemuda itu.
Faris tergelak. “Tak payahlah wei!”
Jasmyn tersenyum. “Thank you!”
Sebaik sahaja cermin kereta dinaikkan semula, Faris terus memecut keretanya dari situ. Sekelip mata sahaja bayang kereta pemuda itu hilang dari pandangannya.
No comments:
Post a Comment