Sekebun Bunga Cinta #22


SEDAR tidak sedar cuti semester berakhir. Bermakna tidak lama lagi ‘tekanan’ seterusnya akan bermula. Sungguh tempoh tiga bulan seakan-akan belum cukup untuk melunaskan segala beban di kepala.
Bagi Jasmyn, mood semester baru ini agak berbeza kerana ini merupakan semester terakhirnya melangsaikan sisa-sisa hidup di kampus itu. Biar adakalanya terasa tidak sabar lagi menanti hari graduasi, namun jauh di sudut hati ada rasa sayu mengisi perasaan tatkala mengenangkan dia bakal meninggalkan dunia tersebut.
Satu masa yang bakal hadir nanti mengajar dia menghargai semua kenangan selama di situ. Waktu itu barangkali masing-masing sudah terpisah jauh memulakan episod kehidupan lain. Ah, mengapa pula semua ini terdetik di hatinya?
Sudah menjadi kebiasan pada pelajar yang bernaung di bawah Fakulti Alam Bina memulakan tugasan lebih awal dari yang lain. Tidak perlu menunggu minggu yang kedua untuk bercanda dengan tugasan. Minggu pertama sahaja mereka sudah mengulang studio menyediakan bahan-bahan baru untuk projek yang diberi.
Kelas Kaedah Penyelidikan yang diajar oleh Profesor Syamaizar pagi itu cukup ceria diselangi gelak tawa para pelajar. Setiap kali ada sahaja lawak jenaka pensyarah yang bertubuh kecil itu mencuit hati mereka. Sekurang-kurangnya tidaklah terasa mengantuk menghadiri kelas sesi petang seperti itu.
Kelas tamat lebih awal dari waktu yang sepatutnya. Mereka hanya membincangkan mengenai pengenalan dan topik yang bakal dipelajari sepanjang semester ini.
“Woi, tunggu kejap!”
Langkah Jasmyn mati. Ketika itu dia baru sahaja sampai di tempat letak motor di hadapan bangunan fakulti. Qaisyah, Natalia dan Zaihan masing-masing sudah pulang. Dilihat sebatang tubuh Faris sudah berdiri di belakang skuternya.
“Apa kau nak?!” Bulat biji mata Jasmyn memandang pemuda itu.
“Aku nak bayar ganti rugi...”
Jasmyn mengerutkan dahinya. “Ganti rugi?”
“Nah...” Sekeping cek dihulurkan kepada Jasmyn.
“Apa ni?” soal Jasmyn lagi. Ganti rugi apa yang dimaksudkan oleh lelaki itu? Dia kurang mengerti.
“Ini cek ganti rugi kereta kau yang aku langgar hari tu!” kata Faris sedikit keras.
Baru kini Jasmyn faham. Cek di tangan pemuda itu dipandang seketika. Kemudian dia berpaling ke belakang membuka tempat duduk skuternya. Topi keledarnya dikeluarkan. “Kau ingat aku hadap sangat ke duit kau ni?” Dengan lagak sombong Jasmyn bersuara.
“Habis kau ingat aku nak ke bagi duit aku saja-saja kat kau? Aku ni bukan jenis yang lepas tangan. Salah aku, aku bayar...”
“Hahh, tak payah nak tunjuk baguslah wei. Kau simpan ajelah duit kau tu kat Tabung Haji. Boleh jugak menabung pergi Mekah. Dah, ketepi! Menyibuk aje duduk kat belakang motor aku!” tempelak Jasmyn lantas menaiki skuternya.
Faris berganjak ke tepi tatkala gadis itu mengundur skuternya. “Kau nak tak nak duit ni lantak kaulah! Yang penting tanggungjawab aku dah selesai.” Faris bertegas. Malas rasanya bertekak dengan perempuan itu. Spontan tangan Jasmyn ditarik cek tersebut diletakkan di tangan gadis itu. Dia terus beredar.
“Woiii!!! Aku tak naklah duit kau!” pekik Jasmyn kuat. Dilihat Faris terus melangkah laju ke kereta. Belum sempat dikejar, lelaki itu sudahpun memecut laju keretanya meninggalkan kawasan fakulti.
Jasmyn mengeluh. Dipandang cek tunai yang berada di dalam tangannya itu. “Mak ai, dua ribu? Banyaknya...” katanya sendirian. Rasanya tidak setimpal langsung jumlah wang tersebut dengan kerosakan keretanya. Bukannya kena langgar sampai remuk. Bahagian bumper sahaja yang kemek sedikit.
Ah, orang kaya.... Mudah sahaja menyelesaikan segala perkara dengan wang.

ALUNAN muzik rancak yang menggegarkan bangunan Zouk itu seakan-akan membingitkan telinganya tika itu. Selalunya muzik seakan itulah yang akan merangsang moodnya tetapi hari ini satu kelainan asing dirasakan.
Kepalanya terasa pening-pening lalat. Cahaya spotlight yang berpusing-pusing, gerak tari pengunjung yang kelihatan seperti hilang kawalan dan segala benda yang berada di situ menambahkan lagi rasa tekanan di kepalanya.
Tanpa menanti lagi, Faris terus bangun meninggalkan ruangan bar. Sebaik sahaja keluar, dia menarik nafas lega. Serta-merta segala rusuhan di kepalanya tadi beransur hilang.
Jam di tangan dikerling. Pukul 3 pagi. Seketika pandangannya dihalakan ke kawasan sekeliling. Beberapa pasangan sedang bercumbuan di situ.
Lantas dia mengatur tapak menuju ke kereta. Keretanya dipandu laju membelah jalan raya yang lengang.
Tiba di rumah, dia terus masuk ke bilik membersihkan tubuh. Selesai berpakaian, dia merebahkan tubuh ke tilam. Tubuhnya benar-benar selesa kini.
Namun, kesekian kali terasa seperti ada sesuatu yang sedang menghuni perasaannya waktu itu. Mengapa sejak kebelakangan ini moodnya cepat benar hilang jika menghabiskan masa bersama kawan-kawan di luar. Jika dahulu, sampai subuh dia akan berhabis masa di tempat seperti itu.
Hinggalah azan subuh berkumandang menunjuk masuknya waktu, Faris masih tidak mampu melelapkan matanya. Sedari tadi mindanya tidak berhenti berfikir.
Tiba-tiba hatinya tergerak untuk mendirikan solat. Seakan-akan baru tersedar akan kebatilan yang selama ini menjadi pengisian hidupnya. Rasa halus itu begitu meruntun perasan.
Bertahun lamanya dia meninggalkan kewajipan yang satu itu tanpa sedikit pun rasa bersalah di hati. Dan buat pertama kalinya, seakan ada satu gerak hati yang cukup sayu mengarahnya menunaikan tanggungjawab itu.
Lantas dia bangkit mengambil wuduk’ di bilik air. Selesai berwuduk’ dia beristighfar di dalam hati. Sejadah dan kain pelekat yang tersimpan sekian lamanya di dalam almari dikeluarkan.
Saat melafaz niat, seakan ada damai yang menyelusuri dasar hatinya ketika itu. Sungguh rasa itu tidak terungkap dengan kata-kata. Dengan rasa tenang dia sujud kepada PENCIPTA.
Selesai solat, dia menadah tangan memanjat doa. Tidak sedar saat menitip doa memohon keampunan, tiba-tiba ada air mata yang mengalir.
Betapa segala kejahilan yang dilakukan selama ini disesali. Bukan salah kedua-dua ibu bapanya menjadikan dia seperti itu. Datin Syahifah dan Datuk Roslan tidak pernah lupa mendidiknya dengan ilmu agama. Malah, Faziela dan Farisya sendiri pun sudah bertudung sejak berada di sekolah menengah lagi. Dan hingga kini kedua-dua kakaknya itu kekal dengan citra bertudung mereka.
Sungguh jiwanya benar-benar terasa amat tenang kala ini. Dan sepi subuh telah menjadi saksi tunduknya seorang hamba yang wujud kerana kehendak-NYA itu.

MELANGSAIKAN waktu di dalam studio sememangnya mengalpakan mereka pada masa. Seakan-akan menjalani kehidupan terasing dari masyarakat luar lagaknya, mereka akan bekerja sesama sendiri menyiapkan apa jua bahan tugasan yang diberi.
Faris berhenti seketika memberi ruang untuk dirinya beristrirehat. Sekilas dia mengerling Nizam yang sedang melakukan sesuatu di mejanya. Kemudian, bebola matanya terarah pula Azril di sudut sana. Pemuda itu tampak tekun melekatkan sesuatu di papan kenyataan kecil di hadapan mejanya.
“Laparlah...” Faris bersuara memecah keheningan yang tercipta sedia tadi. Dia menggeliat ke kiri dan ke kanan. Jam di tangan ditatap seketika melihat waktu. Pukul 3 petang.
“Pergilah kafe kejap. Aku boleh kirim sekali,” respon Nizam sambil matanya terus tekun pada kertas yang terbentang di depan matanya.
“Hmm, kau nak kirim apa?” soal Faris seraya bangun.
Azril dan Nizam berpaling serentak. Masing-masing menayang gigi sambil memandang ke arah Faris.
“Aku sekali ya?” ujar Azril setia tersengih.
“Hmmm...” balas Faris acuh tidak acuh lantas bangkit dari kerusi. 
“Teh ais dengan bihun goreng!” Nizam memesan menunya.
Faris mengangguk. Pandangannya beralih pula pada Azril. “Kau?”
“Sama ajelah. Senang order sekali,” balas Azril tidak banyak kerenah.
Selepas memberikan sejumlah wang kepada Faris, pemuda itu hilang dari muka pintu. Dia terus mengorak langkah menyusuri kaki lima menuju ke kafe berdekatan.
Sampai sahaja di kafe, dia terus memesan menu. Lima belas minit kemudian, makanan yang dipesan tadi siap dibungkus. Selepas membayar, Faris kembali menapak menuju ke studionya.
“Woi!!” Tiba-tiba perjalanannya dihalang. Figura Jasmyn sudah berdiri di hadapannya sambil menayang wajah tidak puas hati. Apa lagi minah ni nak cari pasal dengan aku?
“Apa lagi kau nak?” soal Faris menentang pandangan tajam gadis itu. Serasa mahu sahaja dicungkil-cungkil biji mata gadis itu.
“Nah, ambik ni duit kau!” Cek tunai yang pernah diberikan oleh Faris itu dihulurkan kepada pemuda itu.
Faris memandang cek itu sekilas lalu. Kemudian, pandangannya tertumpu semula ke dinding wajah Jasmyn. “Ini duit kau, bukan duit aku. Aku ulangi, duit ni duit kau bukan duit aku! Faham?” soal Faris sinis lantas terus menapak meninggalkan Jasmyn. Tak jadi kerja aku melayan perempuan tak reti bahasa ni! gumamnya dalam hati.
Faris terus menapak. Namun kesekian kali langkahnya terhenti tatkala Jasmyn menghalang laluannya. Ketika itu dia sudah menghampiri studio.
“I don’t need this money. Just take it back!” Cek tersebut dimasukkan ke dalam plastik makanan yang dipegang Faris.
Hati Faris jadi panas tiba-tiba. Mencerlang matanya memandang gadis tinggi lampai di hadapannya itu. “Kau ni memang tak reti bahasalah... Duit tu duit ganti rugi aku langgar kereta kau hari tu. Bukan duit sedekah! Do you understand what is the meaning of compensation and indemnity?”
“Kau tak payah nak mengajar aku kat sini. Ganti rugi ke apa-apa ke, aku takkan terima duit dari kau!” tegas Jasmyn masih mahu memenangi perbalahan itu. Sememangnya hatinya tidak pernah puas setiap kali bertegang leher dengan Faris.
“You are such a silly!” Ada senyuman sinis yang terukir pada bibir Faris. Cek yang dimasukkan oleh Jasmyn ke dalam plastik makanan itu dikeluarkan. “It seems like you never learn anything about right, Miss Jasmyn. This is your compensation. Tak apalah kalau kau tak nak. Duit aku pun tak luak... Aku untung kau rugi. Lepas ni, kalau ada orang terlanggar kereta kau, tak payah bayar ganti rugilah ya? Ish... mulia betul hati kau ni...” tutur Faris sinis sengaja ingin bermain dengan emosi gadis di hadapannya itu.
Wajah Jasmyn berubah bengang. Seperti selalu. Namun dia seakan kehilangan kata-kata.
“Dahlah... tak ada masa aku nak mengadap kau kat sini...” Faris terus beredar pergi. Dia sudah malas melayan kerenah Jasmyn. Kedegilan gadis itu seakan-akan mengatasi segala-galanya.
Ikutkan hati, mahu sahaja dia melawan. Namun kala ini cuba sedaya mungkin dipahatkan rasa sabar di dalam diri. Ditentang pun bukannya reti bahasa!


No comments: