Sekebun Bunga Cinta #21


“MR.FARIS!”
Panggilan dari Steve mengalih tumpuannya pada surat khabar yang sedang dibaca. Dilihat lelaki Cina berambut perang itu sedang menggamit ke arahnya. Lekas-lekas dia bangun mendapatkan pemilik bengkel kereta itu.
“Finished?” soal Faris memandang wajah Steve sekilas lalu dan kemudian memakukan pandangan ke arah lampu belakang keretanya yang sudah siap dibaiki. Seketika bahagian tersebut dibelek.
“You accident dengan apa ni?” soal Steve ingin tahu. Wajah pemuda yang sudah menjadi pelanggan tetapnya itu dipandang tepat.
Faris mengukir senyuman. “Langgar puaka...”
Steve terkebil-kebil tidak mengerti. “Puaka? You langgar hantu ke?”soal lelaki Cina itu. Wajahnya jelas terkejut.
Faris tergelak lucu. “Tak ada apa-apalah, Steve. I terlanggar kereta orang hari tu. Dah lama dah tapi tak ada masa nak hantar workshop.”
“It’s okay ma. You got a lot of cars. No problem punya...” Bahu Faris ditepuk-tepuk. Lelaki Cina itu sudah tersengih-sengih.
“Kereta banyak pun bukan I punya...” ucap Faris lantas menghidupkan enjin kereta. Tujuh keping not RM50 dikeluarkan dari dompet duit lalu dihulurkan kepada Steve.
“Okay. Thank you,” ucap Steve lantas menutup pintu kereta Faris. Dia mengangkat tangannya ke arah pemuda itu.
“Okay Steve. Thanks too...” balas Faris pula. Perlahan-lahan keretanya diundur lalu keluar dari bengkel tersebut. Dia menarik nafas lega. Selesai satu kerja!
Keretanya terus dipandu laju membelah jalan raya. Jalan raya yang lengang memudahkan dia menyusup dari satu jalan ke jalan yang lain.
Ketika berhenti di lampu isyarat, telefon bimbitnya berbunyi. Lantas alat bluetooth yang sedia tersisip di telinga diaktifkan. Nama Azril kelihatan tertera di skrin telefon bimbit.
“Helo...”
“Kau free tak sekarang?” soal Azril terus-menerus.
“Aku on the way balik rumah ni. Kenapa?”
“Tak ada, kalau kau free aku nak ajak kau keluar sekejap. Cari hadiah untuk Suraya,” beritahu Azril.
“Oohh... Birthday dia ke?” tanya Faris lagi. Keretanya memasuki simpang ke stesyen minyak PETRONAS di kanan jalan.
“Ha’ah... Serius aku blurred gila nak beli hadiah apa ni. Kau teman aku boleh?”
“Ek eleh... apasal kau tak ajak kawan perempuan kau yang lain? Manalah aku tahu nak beli apa. Awek kau kot... Senang kau bawak aje dia sekali. Sampai kat kedai kau suruhlah dia pilih apa-apa yang dia nak,” ujar Faris lalu tertawa. Enjin kereta dimatikan lantas dia keluar dari kereta menuju ke kaunter pembayaran.
“Cet! Tak guna punya idea. Ingatkan mat Romeo macam kau boleh pakai. Rupanya... haram... Hmm, tak apalah macam tu.”
Setelah membayar harga minyak Faris kembali ke keretanya. “Alahh... takkanlah tak tahu nak beli apa untuk birthday dia. Dah berapa lama korang couple?” sindir Faris sambil tangannya menghalakan muncung pam minyak ke mulut tangki minyak keretanya.
“Aduh... aku betul-betul tak ada idea ni!” keluh Azril bernada kusut. Seakan-akan terbayang wajah rakannya itu tika ini. Dia cukup arif dengan sikap Azril.
Demi Suraya, apa sahaja sanggup dilakukan. Sayangnya pada gadis itu seolah-olah tiada hadnya. Ada waktunya dia sedikit hairan, tidak jemukah Azril berkepit dengan gadis itu setiap masa?
Sudahlah sekelas, keluar dari kelas pun lagi mahu meluangkan waktu bersama-sama. Ah, sahabatnya itu memang setia orangnya. Apa mungkin satu hari nanti dia mampu menjadi seperti Azril?
“Senang-senang kau bagi cincin aje...”
“Cincin aku dah buat dengan dia hari tu. Kau kat mana ni? Ikut ajelah aku nanti. Aku dah tak tahu nak ajak siapa ni. Nizam dari tadi aku call tak angkat-angkat.”
“Kau nak suruh aku fetch kau ke apa ni?”
“Kau ambik aku ajelah. Kereta kat rumah adik aku pakai pulak ni.”
“Hmm yalah. Kau tunggu sekejap lagi aku datang.” Tanpa banyak soal Faris terus bersetuju. Lekas-lekas dia masuk semula ke dalam kereta lantas memandu keretanya menuju ke rumah Azril.
Sepuluh minit kemudian keretanya memasuki satu taman perumahan di Bangsar. Sebaik sahaja tiba di depan rumah Azril, dia memberhentikan keretanya. Kelihatan Azril sedang tersengih-sengih dari pintu.
“Cepat gila. Kau terbang apa?” tanya Azril sebaik sahaja memboloskan tubuh ke dalam perut kereta.
“Biasalah baru lepas servis...”
“Kau dari workshoplah ni?”
Faris sekadar mengangguk.
Tiba-tiba kedengaran Azril tertawa. Faris memandang gelagat sahabatnya dengan pandangan hairan.
“Kau dengan si Jasmyn tu memang jodoh kuat kan? Mana-mana pergi mesti terserempak... Kau tak rasa macam tu ke?”
“Lutut kau!”
Azril meledakkan tawanya. “Betullah wei...” Wajah Faris dipandang. Riak wajah pemuda itu tampak bersahaja.
“Ni kau nak pergi mana ni?” Faris mengalih topik. Tidak mahu ejekan Azril meleret-leret. Kang entah apa-apa dia merapu. Buat sakit teling aje mendengarnya.
“Pergi Mid Valley ajelah. Dekat sikit...” jawab Azril menyandar tubuhnya ke tempat duduk. Masing-masing tidak bersuara. Hanya melayan perasaan sendiri. Akhirnya kereta Faris memasuki kawasan meletak kereta.
“Bila birthday awek kau?” tanya Faris sebaik sahaja pintu lif terbuka. Lantas mereka mengorak langkah keluar menghala ke shopping mall.
“Isnin ni... Aduh, agak-agak apa erk hadiah paling sesuai? Kau takkan tak tahu?”
Faris terdiam seketika. Kepalanya cuba memikirkan sesuatu. “Okey, bajet kau berapa?” tanya Faris memandang tepat ke muka temannya.
“Tak kisah...”
“Oh, kalau tak kisah kau beli keretalah kat dia,” gurau Faris lalu tersengih-sengih.
“Oih, aku sendiri pun kereta belas ihsan mak bapak, nak bagi orang kereta. Adoi, cepatlah bagi idea. Kasi aktif sikit otak kau tu.” Gaya Azril seperti benar-benar buntu. Matanya melilau mencari apa-apa sahaja di sekeliling.
“Kalau kau tak kisah, aku cadangkan kau belikan dia rantai ataupun gelang tangan. Lain benda macam handbag ke baju aku tak tahu sangat....”
“Manalah aku tahu nak pilih benda-benda macam tu...”
Dah apa guna pekerja-pekerja yang ada kat situ? Kalau tak reti jangan buat-buat reti. Tanyalah... Malu bertanya sesat jalan.” Faris merapu.
“Ish, benda lain tak boleh? Sebab aku tengok dah banyak dah gelang dengan rantai yang dia pakai. Lagipun barang-barang perhiasan ni, aku tak berapa mampu lagilah...” Azril tersengih.
“Dah kau cakap tak kisah. Peninglah kau ni. Hmm, sekejap biar aku fikir.”
Seketika masing-masing membisu. Seminit berlalu Faris bersuara.
“Aku tahu dah... Kau belikan dia kasut! Kau tak tahu kan saiz kaki dia?”
Azril mengerutkan dahi. Seketika cuba mencari kesesuaian cadangan Faris. “Hmm, tahu...”
“Haa bagus! Jom cepat!”

KEDAI kasut Lewre itu ditinggalkan sebaik sahaja Azril selesai membauar harga kasut yang dibelinya.
“Tak sangka aku kau ni expertkasut perempuan,” ujar Azril seolah-olah kagum. Dia tertawa kemudiannya. Sungguh dia benar-benar terkejut tatkala mendengar Faris menyuarakan pandangannya mengenai beberapa jenis kasut di situ. Malah, penjaga kedai kasut itu tadi pun turut mengakui kebolehan Faris menilai jenis-jenis kasut tertentu.
“Aku bukan nak cakap besar. Kalau setakat kasut perempuan ni, orang cakap ilmu kat dada dah cukup beb. Kalau kat kedai kasut ambik masa nak dekat setengah jam. Kau bayangkan kalau ada sepuluh buah kedai? Standard boleh bertapa weh!”
Azril ketawa. “Tak sia-sia kau keluar dengan ramai perempuan. Banyak ilmu kau dapat,” sindir Azril lalu tersengih.
“Bagus... Berfikir kena positif. Ilmu kasut pun ilmu jugak,” ujar Faris sudah tergelak-gelak.
“Tapi betul ke cantik kasut ni? Agak-agak dia suka ke?” soal Azril bernada ragu. Raut wajahnya kelihatan agak bimbang. Seketika dia membelek kasut di dalam beg kertas yang dijinjit itu.
“Don’t worry. Every woman will look damn hot wearing stilettos. Comfirm!” ucap Faris yakin. Bahu Azril ditepuk beberapa kali.
Azril ketawa. Lega hatinya mendengar kata-kata Faris. “Jomlah aku belanja kau makan,” ajak Azril. Perutnya sudah berkeroncong saat itu.
“Haa, itu yang aku nak dengar tu!” balas Faris tersenyum lebar.

No comments: