PERMUKAAN tanah di dalam pasu bunga itu digembur-gembur dengan menggunakan sejenis alat pengembur di tangannya. Selesai sahaja menggembur tanah di pasu itu, Jasmyn berganjak pula ke pasu sebelah. Kesekian kali dia mencangkung.
Rumpai-rumpai liar yang tumbuh dicabut kesemuanya. Sekali-sekala waktu cuti begini, dia memang gemar mengerjakan taman mini di laman kediamannya itu. Tambahan lagi, Ainul memang rajin menguruskan pokok-pokok di laman.
“Aduh... sakit pingganglah,” adu Jasmyn lantas bangun memusing-musingkan tubuhnya yang terasa sengal. Kemudian dia mengorak langkah ke arah Ainul yang sedang sibuk menyiram pokok-pokok renek yang tumbuh melata di tepi pagar.
“Eleh... baru buat kerja sikit macam-macam dah sakitnya. Mama yang dah tua ni tak ada pun sakit-sakit,” ujar Ainul sambil menghalakan hos getah ke arah tumbuhan yang di dalam pasu pula.
“Mama memanglah... dah biasa buat-buat kerja macam ni. Myn mana biasa...” ujar Jasmyn bernada keanak-anakkan. Perlahan sahaja suaranya mengeluarkan kata-kata itu. Bimbang juga disergah oleh Ainul. Tidak sanggup rasanya telinga ini mendengar kata-kata pedas dari ibunya itu.
“Yang ni kenapa tak gembur?” tanya Ainul sambil matanya tertancap tepat pada pokok Bunga Kertas bersaiz sederhana besar yang kelihatan merimbun di dalam pasu.
“Pokok ni dah patut kena alih ke tanah dah ma. Dah berselirat akar kat dalam tu,” saran Jasmyn sambil membongkok lalu mengangkat pasu tersebut. Akar-akar pokok yang keluar dari lubang pasu sudah pun mencengkam tanah di luar.
Apa-apa jenis tumbuhan sekalipun jika dibiar lama di dalam pasu, tumbesarannya akan terbantut disebabkan ruang yang terhad untuk akar membesar.
“Ye kot. Tapi mama ingat mama nak kahwinkan dengan satu warna lagilah. Putih, pink, kuning, purple satu lagi... hmmm...” Mata Ainul meliar mencari warna lain di sekelilingnya. Memang banyak pokok Bunga Kertas yang ditanam di sekeliling rumahnya itu.
Selain mudah dijaga, Bunga Kertas juga tahan panas dan sentiasa mengeluarkan bunga di sepanjang tahun. Tidak perlu lama menanti untuk melihat ia berbunga. Banyak juga spesis pokok yang jarang mengeluarkan bunga di tanam di ruang laman itu seperti pokok Orkid Harimau yang hanya mengeluarkan bunga lapan tahun sekali.
Jasmyn turut meneliti satu per satu pokok Bunga Kertas yang lain di laman. Tiba-tiba pandangannya tertancap pada salah satu pokok Bunga Kertas berwarna merah di situ.
“Merah ma?” Jarinya tertuding ke arah pokok tersebut.
“Haa! Merah...” Ainul tersenyum sendirian. “Nanti Myn kahwinkan pokok ni dengan warna tu pulak ya?” Wajah Jasmyn dipandang tepat.
“Yalah... asal kahwinkan pokok aje Myn, asal Myn aje kahwinkan pokok.”
Ainul tergelak besar dengan kata-kata anak bongsunya itu. “Tak apalah... Bukan mama mintak tolong benda berat pun. Myn kan pandai, sebab tu mama suruh Myn,” puji Ainul sambil menepuk-nepuk pipi Jasmyn.
“Mama tu bukan tak pandai, tapi jenis tangan panas kot?” Selamba Jasmyn bersuara. Memang sejak dari dahulu lagi, asal sahaja melibatkan kerja sistem-sistem pembiakan pokok, dialah orang yang akan disuruh oleh Ainul. Segala kepandaian itu dipelajari dari Ramizan.
Dari kecil lagi Ramizan sudah mengasuhnya menyukai bunga-bungaan. Malah ketika masih kecil lagi sudah banyak nama saintifik bunga yang dihafalnya dan hingga kini kesemua nama itu masih melekat di kepalanya.
Kata mama, nama Jasmyn itu sendiri diambil dari nama spesis bunga dek kerana minatnya yang begitu mendalam terhadap bunga. Nasib baik mama tidak terlalu taksub. Jika tidak mahu gamaknya nama Iskandar dan Jeffry diberi sempena nama bunga. Lalu, apa pula nama bunga yang sesuai untuk lelaki? Fikiran Jasmyn menerawang merapu yang bukan-bukan.
“Orang kalau tangan panas ni, tanam pokok susah nak hidup. Mama tanam pokok mudah aje hidup. Itu namanya bukan tangan panas, tapi skill kurang. Mama ni bukan tangan seni macam kau dengan papa,” tutur Ainul seraya menutup paip. Hos getah yang digunakan digulung lalu diletakkan di tepi paip.
Jasmyn beredar ke garaj. Dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan sliding door rumah. Tidak lama kemudian Ainul menghampiri lalu duduk di sebelahnya.
“Ma, Myn ingat nanti lepas habis belajar Myn nak bukak nurseri bungalah...” Tiba-tiba Jasmyn menyuarakan hasratnya.
“Haa baguslah tu. Tapi mula-mula ajaklah sorang dua kawan sama-sama tolong. Kalau buat sendiri banyak modal kau kena keluarkan.”
Jasmyn terdiam seketika. Sebenarnya, sejak dari dahulu lagi dia memasang angan-angan untuk membuka kedai bunga sendiri. Sudah beberapa kali juga dia bersuara menyatakan impiannya itu kepada Ramizan dan Ainul. Masing-masing menyokong niatnya itu.
Namun jika difikir-fikirkan, memang banyak duit yang diperlukan untuk membangunkan semua itu. Bukan sahaja wang, namun tenaga juga diperlukan untuk menjayakan perancangan sedemikian rupa.
“Itulah... Myn ingat nak ajak Lia, Syah dengan Zai aje. Tapi tak tahulah dia orang nak ke tak nak. Tapi kalau dia orang tak nak, Myn ajak mama ajelah.... boleh?” Jasmyn berpaling memandang wajah Ainul sambil menayang gigi.
“Boleh... apa salahnya. Kalau tak ada duit, mama dengan papa boleh tolong. Yang penting kau kena betul-betul minat. Nak buat biar sungguh-sungguh. Jangan hangat-hanyat tahi ayam sudah...”
“Insya-ALLAH, kalau ada rezeki ma...” Satu keluhan kecil dilepaskan. Di kepalanya sudah membayangkan keadaan nurseri bunga yang diimpikan itu. Ada pejabat kecil untuk tempatnya menguruskan segala kerja merekod, melukis dan sebagainya kerana bukan sahaja menjual bunga, malah khidmat lain seperti merunding hiasan dan landskap dan kemahiran lain turut akan disediakan.
Di paparan angan yang lain pula, dia membayangkan suasana redup di bawah lindungan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok hiasan. Di kelilingi pula dengan pohon Pasiflora yang menjalar ke bumbung struktur pelindung dan spesis tumbuhan yang mempunyai juntaian-juntaian akar beralun-alun di beberapa tempat. Waaa.. macam dalam cerita Tarzanlah pulak...
“Jasmyn!”
Serentak awan-awan lamunannya lesap tatkala suara Ainul singgah di pendengaran. Wajah Ainul dipandang tanpa sebarang ekspresi.
“Amboi kalau bab berangan, nombor satu!” Ainul menggeleng-gelengkan kepalanya. Masak benar dengan sikap Jasmyn yang satu itu. Mudah sangat mengelamun tak tentu pasal!
Jasmyn tersengih. “Mana ada berangan ma. Ini mencongak masa depan namanya...”
Ainul mencebik. Memang ada sahaja modalnya menjawab! “Dah, mama nak masuk dulu. Dah pukul 12 dah ni satu apa pun tak masak lagi.” Ainul bangkit lantas beredar masuk ke dalam rumah.
Jasmyn tersenyum sendirian lantas memanggung kepala. Angan yang terbantut tadi tercipta untuk kesekian kali.
No comments:
Post a Comment