TENGAH HARI itu setelah tamat kelas, Anis ke kafe berdekatan untuk makan tengah hari. Di sana dia bertemu dengan Balqis, Zizie dan Nashrah, rakan-rakan sebiliknya.
Selepas membeli makanan, Anis mengambil tempat di sebelah Nashrah. Tanpa membuang waktu mereka sama-sama menjamah nasi. Selepas ini mereka ingin ke surau pula untuk solat Zohor. Selepas itu, kelas akan bersambung seperti biasa. Jadual seharian agak padat. Jadi, masing-masing tidak punya waktu yang panjang untuk pulang ke bilik.
“Woi!!” Sergah satu suara tiba-tiba. Masing-masing sedikit tersentak. Seraut wajah seorang lelaki sedang tersengih-sengih memandang Balqis.
Tergeleng-geleng kepala Balqis. “Kau ni tak reti bagi salam dulu ke, Zahin?” tegur Balqis sinis. Namun dia langsung tidak mengambil hati akan sikap rakan sejurusannya itu. Tahu sangat perangai Zahin yang satu itu. Dia nak buat apa, dia buat aje. Bukan ambil kira pandangan orang lain.
Zahin tersengih-sengih. Pandangannya teralih pada Anis. Gadis itu dikenali beberapa minggu yang lepas. Teman sebilik Balqis itu ramah juga orangnya tetapi ada masa dia boleh menjadi seorang yang sangat pendiam. Pelik, pelik...
“Eh, ada siapa-siapa yang tercekik ke?” soal Zahin berpura-pura menunjukkan reaksi risau.
Zizie, Balqis dan Nashrah mencebik. Anis berwajah kosong seolah-olah berada di alam lain.
Zahin tersengih-sengih. “Sorry guys. I didn’t mean to interupt this lunch. Aku sebenarnya tengah tunggu kawan aku ni. Dari tadi batang hidung pun tak nampak. Aaaa, aku duduk lepak sekejaplah dengan korang ya?” Tanpa dipelawa Zahin menarik kerusi di meja sebelah lantas menyertai mereka.
Biarpun tidak begitu mengenali rakan-rakan Balqis yang lain, namun dia biasa bertegur sapa dengan mereka jika terserempak di kawasan kampus. Sikapnya yang peramah memudahkan dia cepat terbiasa dengan semua orang.
Hanya Anis, gadis itu baru sahaja dikenali sebulan yang lepas. Sifat gadis itu adakalanya mengelirukan. Sekejap kelihatan mesra, kadang-kadang seperti baru kenal. Tidak seperti Nashrah dan Zizie. Masing-masing ramah seperti Balqis. Tidak pula bertukar-tukar.
Sepuluh minit berbual, akhirnya Zahin meminta diri untuk beredar tatkala sahabat yang dinanti sudah muncul.
“Okeylah... Nanti ada masa kita borak-borak lagi. Chow...” ucap Zahin kemudian beredar mendapatkan rakan-rakannya.
“Hai... Kalaulah mamat tu jadi pakwe aku, bertuahnya badan,” ucap Balqis tiba-tiba.
Bagai hendak tersembul mata Anis dan yang lain mendengar kata-kata Balqis.
“Kau biar betul, Balqis?” ujar Nashrah lalu tertawa.
Balqis menayang gigi. “Aku gurau ajelah.”
“Eleh.. Gurau konon. Padahal hati dengan mulut sama aje,” sampuk Anis kemudian mencebik. Dia tersenyum mengejek.
“Untunglah kalau Zahin tu melayan. Dia tu Mr. Cool. Dengan semua orang dia baik. Manalah nak layan cinta-cinta ni. Hee korang ni dahlah. Jom pergi solat. Dah pukul lewat dah ni.” Balqis menyedut minumannya dan berkira-kira untuk beredar.
Nashrah, Zizie dan Anis bepandangan. Masing-masing mencebik sambil tersenyum penuh makna.
KEESOKAN harinya ketika mengikut Balqis ke perpustakaan, sekali lagi mereka terserempak dengan Zahin. Kali ini Zahin bersama rakan-rakannya yang juga merupakan rakan-akan sekelas Balqis.
“Uit, buat apa kat sini?” soal Zahin seakan-akan terkejut ketika mereka terserempak di pintu utama.
“Saja datang nak berkaraoke,” balas Balqis sinis sehingga mencetus tawa dari mulut Zahin dan rakan-rakannya yang lain.
“Alah, takkan tak boleh berbasa-basi kot? Garanglah kau ni,” ujar Zahin merenung tepat ke muka Balqis.
“Dah nak balik ke?” Anis membuka mulut bertanya.
“A’ah. Nak rush pergi terminal ni. Nak balik KL. Biasalah, Isnin ni kan cuti. Rugi masa spend time kat Johor ni. Baik balik rumah jumpa mak bapak. Okeylah... Selamat belajarlah korang berdua ya? Aku pergi dulu,” ucap Zahin lantas keluar dari pintu perpustakaan.
Balqis dan Anis meneruskan langkah ke dalam perpustakaan lantas duduk di sebuah meja kosong berhampiran dengan rak buku.
Anis mula membuka buku untuk menelaah pelajaran. Sekilas pandangannya teralih pada Balqis. Gadis itu kelihatan sedang bermenung.
“Balqis...” panggilnya perlahan. Tiada respon dari Balqis. Fikiran gadis itu seakan melayang. Berangan ke apa perempuan ni?
“Oi Balqis!” Dikuatkan sedikit nada suaranya. Terpinga-pinga sebentar sahabatnya itu.
“Aaa, apa dia? Dah jumpa dah buku yang kau cari tu?” soal Balqis tiba-tiba.
Anis mengerutkan dahi. “Apa kau ni? Bila masa pulak aku cari buku? Kan baru duduk ni? Kau ni kenapa? Nak kata lapar, tadi baru lepas makan...”
“Takde apa-apa...” balas Balqis berpura-pura sibuk membuka buku.
“Haaa.. Ingatkan Zahin ya?” Anis tersenyum nakal.
“Hish kau ni... Takdelah!” nafi Balqis beria-ia.
“Eleh...” Anis mencebik.
“Tak payahlah nak sorok-sorok lagi. Aku boleh bacalah hati kau tu.”
Balqis tersengih. “Memanglah aku suka dia tapi just suka as friend. Kawan okey? Tak lebih dari tu. Lagipun aku ni siapalah Anis nak kat orang macam Zahin tu. Bukan cun pun,” ujar Balqis memimikkan wajahnya sedih..
“Dah, jangan nak melalut, Balqis. Kalau suka pun apa salahnya kan? Tak salahkan?” Baginya tidak ada kurangnya pada gadis berkulit kuning langsat itu. Dia gadis manis yang ada tarikan yang tersendiri. Malah, Zizie dan Nashrah juga turut mengakui benda yang sama. Cuma, tidaklah disampaikan kepadanya. Hah, boleh kembang satu badan kalau dipuji. Perasannya boleh tahan jugak!
“Hmmmm...” balas Balqis endah tidak endah. Sebenarnya dia sendiri kurang pasti dengan perasaannya. Memang diakui dia menyenangi Zahin tetapi tidak tahulah sejauh mana rasa itu mampu pergi buat rakan sekelasnya itu.
Lagipun Zahin tidak seperti lelaki lain. Dia seorang yang ceria dan mesra. Malah dia tahu ramai lagi yang menyukai lelaki itu dalam diam. Namun tidak ada seorang pun yang berani mengaku. Barangkali mereka juga beranggapan lelaki itu tidak akan menghiraukan hal-hal sedemikian kerana masing-masing tahu akan sifat dan peribadi Zahin.
No comments:
Post a Comment