AKHIRNYA Anis memberi kata putus biarpun keputusan itu cukup berat untuk dipilih. Lagipun selama beberapa hari ini, Qistina kerap berulang alik menjenguknya di rumah. Adakalanya sahabatnya itu akan bermalam di rumah semata-mata ingin menemaninya.
Pertama kali menjejakkan kaki di kediaman Qistina, perasaan Anis diselebungi rasa canggung yang teramat. Terpaku seketika tatkala melihat banglo yang tersergam indah itu.
Menjengah ke dalam kediaman, perasaan Anis jadi takjub apabila melihat setiap material dan ruang yang ada di situ. Semuanya kelihatan mewah. Kini, barulah dia tahu Qistina bukan datang dari keluarga yang sembarangan. Namun gadis itu tidak pernah melewati batas-batas negatif. Persis kedua-dua orang tuanya yang cukup baik dan merendah diri.
“Duduk dulu, Anis...” pelawa Azizul sambil meletakkan beg pakaian Anis di ruang tamu. Tiba-tiba datang seorang pembantu rumah ke arah mereka.
“Mak Mah tolong buatkan air,” pinta Zarina sambil memegang bahu wanita separuh abad itu.
Wanita itu hanya mengangguk sambil tersenyum lantas berlalu semula ke dapur. Beberapa minit kemudian Mak Mah keluar sambil menatang dulang berisi empat gelas air sejuk.
“Minumlah,” suruh Qistina lantas menghulurkan gelas berisi jus oren itu kepada Anis.
“Terima kasih...” Gelas itu disambut. Perlahan-lahan Anis menghirup air itu. Terasa nyaman tekaknya.
“Makcik dengan pakcik ada hal kat luar. Anis dengan Qis berbual-buallah dulu ya? Kalau nak apa-apa mintak aje dengan Qis. Jangan malu-malu,” pesan Zarina sambil melemparkan senyuman kepadanya.
“Qis, nanti jangan lupa bawa Anis ni ke bilik. Nanti berbual punya berbual, tak ingat pulak..” Giliran Azizul pula berpesan.
“Ye pa...” Qistina mengangguk-angguk.
MALAM itu buat pertama kalinya Anis menyertai momen makan malam bersama sebuah keluarga yang lengkap. Semua itu belum pernah dilaluinya selama ini. Sedikit sebanyak membuat perasannya tersentuh.
“Karl mana?” soal Azizul tiba-tiba.
“Studiolah. Mana lagi,” jawab Zarina sibuk membantu Mak Mah mengisi nasi ke pinggan.
Anis hanya diam mendengar perbualan Zarina dan Azizul mengenai anak sulung mereka itu. Selama dia berada di rumah itu tidak pula dia terserempak dengan abang Qistina itu.
Dahulu ketika di sekolah, kerap juga Qistina menceritakan perihal abangnya. Mereka hanya berdua beradik dan agak rapat. Dan seperkara lagi yang pernah diberitahu oleh Qistina, abangnya itu pelajar jurusan seni bina di Universiti Malaya.
“Qis, pergi panggil abang...” arah Azizul.
Tanpa banyak soal, Qistina bangun namun belum sempat dia melangkah ke tangga, kelibat Hykal muncul. Pemuda itu mengambil tempat di sebelah Azizul.
Perasaan Anis mula tidak menentu dengan kehadiran lelaki itu. Rasa segan mula menerpa. Perasaannya jadi tidak betah.
“Karl, inilah Anis...” Zarina memperkenalkan Anis pada anak sulungnya itu.
“Oh...” Kepala Hykal terangguk-angguk. Ekspresi wajahnya tampak serius. “Welcome,” ucapnya dengan senyuman nipis di bibir. Perawakannnya tampak bersahaja.
Anis sekadar membisu. Tidak tahu respon apa yang sepatutnya diberikan pada teguran itu. Sekilas dia memandang Hykal.
Lelaki itu tinggi lampai orangnya. Wajahnya persis Azizul. Melalui pergerakannya, dia dapat mengagak pemuda itu berperibadi baik. Cara Hykal bertutur dengan kedua-dua ibu bapanya jelas menunjukkan lelaki itu seorang yang berpekerti.
“Makanlah Anis. Jangan malu-malu dengan kami. Mulai sekarang Anis dah jadi sebahagian dari keluarga ni. Lepas ni jangan panggil pakcik atau makcik lagi. Panggil mama dengan papa ya?” tutur Zarina kedengaran cukup mesra di pendengaran. Wanita itu tidak lekang dengan senyuman di bibir.
Anis mengangguk perlahan sambil tersenyum. Terharu benar rasanya mendengar segala kata itu. Tidak terbalas budi yang ditabur oleh Qistina dan keluarganya.
Dia tidak berharap apa-apa yang istimewa. Cukuplah sekadar dia boleh menumpang kasih pada yang sudi membela nasibnya.
SEAKAN-AKAN tidak ada bezanya di antara anak kandung dan anak angkat. Bagi Zarina dan Azizul, Anis kini sepenuhnya sudah menjadi tanggungjawab mereka. Jika Qistina diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran, sama juga seperti Anis.
Setelah beberapa bulan menghabiskan masa di rumah, akhirnya Qistina dan Anis sama-sama mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di matrikulasi. Bezanya mereka ditempatkan di matrikulasi yang berlainan. Anis di Johor manakala Qistina pula di Melaka. Mujurlah jarak kedua-dua negeri itu tidak terlalu jauh. Memudahkan Zarina dan Azizul menghantar kedua-duanya mendaftar pada hari yang sama.
“Terima kasih mama, papa...” ucap Anis sejurus sahaja hal-hal pendaftarannya selesai. Ketika itu Zarina dan Azizul sudah ingin pulang ke Kuala Lumpur.
“Kami balik dulu ya, Anis? Kalau ada apa-apa, contact aje papa ataupun mama. Nah, ambek handphone ni.” Tiba-tiba Azizul menghulurkan sebuah telefon bimbit kepadanya.
Anis teragak-agak untuk menerima pemberian itu.
“Ambil telefon ni Anis. Senang kalau ada apa-apa nak call mama dengan papa,” pinta Zarina.
Hendak tidak hendak, Anis menerima juga pemberian itu. Tiba-tiba tubuhnya dipeluk Zarina lantas dahinya dikucup. “Jaga diri ya? Ingat pesan mama, belajar rajin-rajin...”
“Baik mama...” Anis mengangguk perlahan. Sebak dadanya ketika itu.
Kereta Azizul perlahan-lahan bergerak dan terus meluncur pergi meninggalkan kediaman asramanya.
No comments:
Post a Comment