Rindu Tercipta #6

BUNGA-BUNGAAN yang bertaburan di tanah pusara Azizah direnung sayu. Talkin sudah selesai dibaca. Seorang demi seorang mengucapkan takziah dan beredar dari tanah perkuburan. Hanya Anis kaku di situ. Hatinya berat untuk berlalu pergi.
Semangatnya sudah tiada. Bertebaran pergi entah ke mana. Longlai dan terasa cukup lemah. Dia masih tidak mampu menerima hakikat ibunya sudah pergi buat selama-lamanya. Kesan yang dirasa tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
Benar dia harus redha namun setakat mana sahaja dia mampu bertahan untuk bangkit dan berdiri dengan tabahnya. Tidak ada upaya lagi rasanya mencari kekuatan untuk meneruskan hidup.
 “Anis...”
Lembut suara itu menampar gegendang telinganya. Serentak dia berpaling. Kelihatan wajah Mak Kiah merenungnya simpati. “Kita balik ya, nak?” ajak Mak Kiah merenung tepat pada anak mata Anis yang merah dan bengkak.
Anis menggeleng perlahan. Kembali tunduk merenung pusara ibunya.
 “Makcik, biar kami aje yang temankan Anis ya? Mak cik baliklah dulu...” bisik Qistina pada telinga Mak Kiah.
Mak Kiah hanya mengangguk lantas berlalu pergi dengan hati yang berat.
“Anis... Mari balik...” pujuk Qistina lembut sambil menyentuh bahu Anis.
Untuk kesekian kalinya Anis menggeleng.
Qistina berpaling memandang Zarina dan Azizul yang berdiri di sebelahnya. Zarina mengangguk perlahan tanda meminta Qistina terus memujuk hati gadis itu.
“Anis, yang pergi tetap pergi. Dari DIA kita datang, kepada DIA jugak kita pulang. Kita yang hidup, hanya perlu berdoa untuk kesejahteraan dia kat sana. Awak kena tabah, Anis. Awak kena kuat,” ujar Qistina persis seorang kakak.
Kata-kata Qistina mengundang sebak di dada. Perlahan-lahan air matanya mengalir. Lantas bahu Qistina dirangkul. Perasaannya sudah tidak tertahan lagi.
“Saya cuma ada dia dalam dunia ni, Qis...” ratapnya sambil mengeratkan lagi pautan pada tubuh sahabatnya itu.

SLIP peperiksaan SPM yang terletak di atas meja dipandang sepi. Semuanya tidak bermakna lagi. Keputusan cemerlang yang diperolehinya seakan-akan tidak mempunyai nilai buatnya. Seharusnya kejayaan itu dikongsi bersama Azizah. Anis benar-benar terkilan.
Satu persatu kelakuan Azizah pada hari terakhir itu terbayang-bayang di ruang mata.
 ‘Jaga diri ya bila ibu tak ada. Ibu sayang sangat kat Anis.’
Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga Anis. Mana tahu pesanan itu merupakan satu petanda bahawa Azizah akan pergi buat selama-lamanya.
Setiap material dan ruang yang ada di teratak kecil itu hanya mengingatkannya pada arwah. Sayu yang terasa seperti mengigit-gigit tangkai hatinya. Jiwa Anis menangis lagi.
Dia beredar ke ruang dapur. Perasaaanya terusik untuk kesekian kali tatkala melihat longgokan daun pisang dan ketas surat khabar di salah satu sudut di situ. Seperti terlihat-lihat bayang arwah ibunya sedang membongkok bertungkus lumus menyediakan bahan-bahan nasi lemak seperti kebiasan rutinnya.
TUHAN... Anis terduduk. Air matanya mengalir laju. Sebak yang merusuh di hatinya tidak mampu dikawal lagi. Kala ini, perasaannya seakan disentap-sentap.
 Bagaimana harus aku meneruskan hidup ini tanpa ibu? Terfikir segala kebarangkalian masa depannya yang masih jauh. Segalanya harus ditempuhi tanpa seorang yang setia mendengar segala luahan gundah dan dukanya selama ini.

BERITA kematian Azizah yang menjadi tajuk utama di beberapa buah akhbar tempatan menggemparkan penduduk di Kampung Baru. Kebanyakan pelanggan yang datang ke gerai Mak Kiah sibuk bertanya mengenai berita kemalangan yang menimpa Azizah itu.
Mereka semua tahu Mak Kiah merupakan orang yang palingt rapat dengan arwah. Jenuh juga mulut Mak Kiah menjawab pertanyaan mereka. Sehinggalah lewat petang ketika wanita itu ingin menutup kedai, sebuah kereta Toyota Harrier putih berhenti di hadapan kedainya.
Sebaik sahaja enjin kereta di matikan, muncul Qistina dari dalam perut kereta diikuti kedua-dua ibu bapanya. Selepas bersalaman, Mak Kiah menjemput mereka duduk.
“Nak jumpa Anis ke?” soal Mak Kiah lantas melabuhkan punggung di hadapan Zarina.
Ketiga-tiga beranak itu saling berpandangan. Kelihatannya seperti ada sesuatu yang ingin mereka sampaikan.
“Mak Kiah, sebenarnya Qis datang ni sebab nak minta izin Mak Kiah untuk ambil Anis. Kami semua nak bawak Anis tinggal dengan kami,” beritahu Qistina mengenai niat sebenarnya ke situ.
Wajah Mak Kiah berubah serta-merta. Sedikit terkejut mendengar permintaan Qistina itu. Dalam serba salah dia bersuara juga. “Mak Kiah bukan tak setuju apa, Qis. Hal ni kena tanya pada Anis dulu. Lagipun, arwah ibu dia pernah pesan pada Mak Kiah supaya jaga Anis bila dia tak ada nanti.”
“Kami faham kak, tapi niat kami memang ikhlas nak jadikan Anis tu sebagai anak angkat. Bukanlah nak kata kami ni mampu sangat nak tanggung dia tapi sikit-sikit tu, Insya-ALLAH. Lagipun Qistina ni memang dah kenal lama dengan dia.” Berhati-hati Zarina menuturkan setiap katanya. Bimbang kalau-kalau tersalah anggap oleh Mak Kiah. Namun niatnya memang benar-benar tulus untuk menjaga Anis.
“Ya, saya tahu Puan Zarina memang ikhlas nak tolong dia. Saya pun tak ada halangan apa-apa kalau semua ni untuk kebaikan dia. Cumanya, kena tanya dia dululah,” ucap Mak Kiah.
“Kalau macam tu, akak bawa kami ke rumah dia ajelah,” pinta Azizul.
Mak Kiah mengangguk tanda setuju.

TIDAK terfikir pula dek Anis akan tujuan sebenar kedatangan Qistina sekeluarga itu. Selepas menghirup teh panas yang dihidang, Azizul terus menyatakan hajat sebenar mereka pada Anis. Tercengang seketika gadis itu. Namun pantas juga dia menolak.
“Saya tau niat pakcik dengan makcik ikhlas sebab nak tolong saya tapi selagi saya mampu, saya nak hidup berdikari. Lagipun rumah ni tinggalan arwah ibu. Tak tergamak rasanya nak tinggalkan rumah ni...” tutur Anis memandang Zarina dan Azizul.
Terdiam sejenak kesemua yang mendengar luah kata Anis itu. Tiba-tiba Mak Kiah bersuara.
“Anis, Mak Kiah bukan nak paksa Anis tapi Anis kena fikir pasal diri Anis. Anis kena teruskan pelajaran untuk masa depan Anis. Banyak lagi benda yang Anis kena buat lepas ni...”
Anis menggeleng. “Dah tak penting semua tu, Mak Kiah...” Sudah pudar segala hasratnya untuk menyambung pelajaran. Semangatnya juga telah luntur sama sekali. Kalaupun dia ingin meneruskan niat itu, siapa yang mahu menyara segala perbelanjaan untuknya?
“Dulu awak jugak yang cakapkan, awak nak sambung belajar, capai cita-cita awak? Kenapa sekarang awak boleh cakap macam tu?”
Lantas Anis berpaling memandang wajah Qistina. Ekspresi wajahnya kosong. Tak ada perasaan!
“Rumah ni Mak Kiah boleh jaga. Bila-bila masa Anis nak datang, Anis boleh datang. Takde siapa yang larang. Tapi Mak Kiah minta sangat Anis setuju tinggal dengan keluarga Qistina. Mereka memang ikhas nak tolong Anis,” pujuk Mak Kiah lagi.
Dia tahu gadis itu berhati waja. Namun, Anis masih kurang mampu untuk mengharungi hidup untuk masa-masa mendatang. Bukannya dia tidak mahu bertanggungjawab terhadap arwah sahabatnya itu. Namun, apalah kemampuannya untuk menjamin kehidupan yang baik buat Anis. Lagipun Azizul dan isterinya ikhlas ingin membantu Anis.
“Tak apalah... Makcik faham perasaan Anis. Anis perlu waktukan? Anis fikirlah baik-baik. Bila-bila masa Anis dah bersedia untuk tinggal dengan kami, Anis bagitahu makcik dengan pakcik ya?” tutur Zarina lembut. Persis seorang ibu yang cukup baik.
“Betul tu Anis. Anis fikirlah masak-masak. Kami takkan paksa...” sampuk Qistina pula.
Tidak lama kemudian ketiga-tiga beranak itu beredar pulang.








                                                                      





No comments: