AKHBAR yang baru dibeli sebentar tadi di selak sementara menanti kereta api tiba. Mata Anis tertancap pada satu tajuk di situ. ‘Keputusan SPM Mac Ini’.
Hatinya berdebar-debar. Takut juga memikirkan keputusan yang bakal diumumkan itu. Tiba-tiba fikirannya didatangi pelbagai kebakalan.
Hala tuju seterusnya, dia sendiri tidak pasti. Hajat di hati ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina. Sejak dari dahulu dia sudah bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek satu hari nanti. Nak buat rumah banglo untuk ibu, ada kolam renang, ada taman yang cantik... Anis semakin mengelamun.
Bunyi kereta api yang menghampir stesyen mengejutkannya. Lekas-lekas dia bangun dari bangku untuk beratur.
“ANIS, apa pasal? Monyok saja?” tanya Vincent, rakan sekerjanya. Pemuda Cina itu seusianya dan juga sedang menanti keputusan SPM.
“Vincent tahu tak result SPM keluar bila?”
Vincent menggeleng.
“Bulan ni!” Anis membulatkan matanya memandang Vincent.
“Oh, ini risau pasal resultlah ni?” tekanya sambil tersenyum-senyum.
Anis mempamerkan ekspresi wajah sedih yang dibuat-buat.
“Apa yang kita usahakan, itulah yang kita dapat. Awak jangan risau ma... Mesti cemerlang!” Vincent menaikkan ibu jari tangannya. Seakan-akan memberi semangat.
“Betul!” Kepala Anis terangguk-angguk. Tercuit hati dengan sifat Vincent yang lurus-lurus kelakar itu. “Eh, dulu waktu trial Vincent dapat berapa ya?” soal Anis ingin tahu.
“Oh.. Tak banyak. 8A saja,” beritahu Vincent seakan merendah diri. Sepertinya dia mensasarkan keputusan yang lebih cemerlang.
“Oh, banyaklah tu, Vincent.”
“Awak?” tanya Vincent pula.
“Alah, tambah satu aje dari Vincent...” Anis tersengih.
“Sembilan?”
Anis mengangguk sambil tersenyum.
“Lagi bagus... Dahlah, tak payah risau pasal result. Nanti fikir otak jadi berat. Kalau trial best, real mesti lagi baik punya,” ucap Vincent menyedapkan hatI Anis.
“Baguslah Vincent ni. Boleh jadi kaunselor!” gurau Anis.
Vincent ketawa kuat.
PAGI itu, Anis bangkit lebih awal seperti biasa. Dia tidak bekerja kerana bercuti untuk mengambil keputusan SPM yang akan diumumkan hari ini. Seperti biasa sebelum rutin bekerja di kedai buku, dia akan menyiapkan nasi lemak.
“Ibu nak pergi dah ke?” soal Anis memandang Azizah yang sedang menghirup air teh di atas meja.
“A’aa..” balas Azizah sambil mencapai sarung kaki lantas disarungkan ke kaki.
Anis menjeling jam di dinding. “Awal lagilah, bu. Baru pukul 7.30 ni.”
“Hari ni ibu nak cepat sikit. Boleh balik awal. Anis nak pergi sekolah pukul berapa ni?”
“Lepas hantar nasi lemak ni kot. Ibu tak makan dulu ke?”
“Tak apalah. Perut ibu kenyang lagi ni. Anis jaga diri ya? Jangan dok risau sangat pasal keputusan tu. Ibu tak kisah apa-apa pun keputusan Anis. Jangan fikir pasal ibu, fikir pasal diri Anis tu dulu. Ya sayang? Ibu nak pergi dah ni...” ujar Azizah lantas ke pintu depan.
Anis mengangguk-angguk lantas membuntuti langkah Azizah.
“Jaga diri ya bila ibu tak ada. Ibu sayang sangat kat Anis.” Seluruh muka Anis dicium. Tubuh Anis juga dipeluk erat. Entah kenapa dia terasa berat benar untuk meninggalkan anak itu. Namun dia harus menggagahi rasa untuk mencari rezeki buat dirinya dan Anis.
Entah kenapa tiba-tiba terasa ada air hangat yang mengalir dari bucu mata Anis tatkala batang tubuh Azizah semakin jauh. Entah kenapa hatinya terasa sedih melihat keadaan ibunya. Sehinggalah bayang Azizah lenyap dari pandangan matanya.
PELBAGAI jenis gelagat yang dapat diperhati di sekolah hari itu. Bermacam gaya dan fesyen pelajar juga yang dapat dilihat Di sudut yang agak tersorok, Anis bersendirian menanti guru mengedarkan slip peperiksaan. Sejak dari tadi dia mencari wajah Qistina tetapi masih tidak kelihatan.
“Anis!”
Anis tersentak tatkala disergah. Serentak Qistina melompat di depannya.
“Qis!” Anis turut sama melompat. Pantas tubuh temannya itu didakap.
“Dah lama ke sampai?” soal Qistina setelah meleraikan pelukan.
“Baru aje. Tunggu awaklah ni. Ingatkan tak datang hari ni.”
“Mana boleh tak datang. Semalam tak tidur fikir pasal result. Takutlah Anis...” adu Qistina. Mereka kemudian beredar ke kantin sekolah di mana kelihatan pelajar-pelajar sedang berkumpul di situ. Malah ramai juga para penjaga yang hadir pagi itu.
Cikgu Yusmizul dan Cikgu Shuhada turut berada di situ untuk mengedarkan slip peperiksaan. Seketika kemudian, seorang demi seorang mengamil keputusan masing-masing beserta sijil-sijil termasuk sijil berhenti sekolah.
“Ini dia best student SPM sekolah kita,” ucap Cikgu Shuhada seraya menghulurkan slip peperiksaan kepada Anis.
Anis termangu-mangu seketika.
“Anis best student, cikgu?” soal Qistina seakan tidak percaya.
Cikgu Shuhada mengangguk sambil tersenyum. Qistina pantas mejenguk pada slip peperiksaan Anis.
“11A1! Wow!” Qistina separuh menjerit.
“Tahniah Anis. Tak sia-sia usaha kamu selama ni,” ucap Cikgu Shuhada turut menumpang gembira melihat kejayaan pelajarnya itu.
“Terima kasih cikgu,” ucap Anis seraya menyalami tangan guru tersebut. Rasa gembira tidak mampu diungkap lagi.
JENUH Anis menerima kata tahniah dari rakan-rakan yang lain. Hanya TUHAN sahaja yang tahu betapa gembiranya dia menerima kejayaan ini.
Wajah Qistina ditatap. Gadis itulah yang menghebohkan kepada semua tentang keputusannya. Namun gadis itu apa kurangnya. Qistina mendapat 9A1 dan turut dikategorikan sebagai golongan pelajar yang berjaya meraih keputusan cemerlang tahun ini.
“Qis ikut Anis balik boleh?” soal Qistina sebaik sahaja Anis meminta diri untuk pulang.
“Nak ikut saya balik? Buat apa?” soal Anis hairan.
“Saja nak datang nak berziarah. Boleh kenal dengan ibu Anis.”
“Betul ke ni?” Anis meminta kepastian. Manalah tahu kalau-kalau Qistina sekadar bergurau.
“Iyelah. Lagipun Qis tak pernah jumpa ibu Anis lagi kan? Teringin jugak nak jumpa dia,” beritahu Qistina menyatakan niatnya. Entah kenapa dia teringin benar mengenali ibu kepada sahabatnya itu. Anis kerap bercerita mengenai kisah ibunya. Sepertinya gadis itu cukup menyangjungi ibunya itu.
“Tapi saya naik bas aje. Boleh ke?” soal Anis meminta kepastian. Manalah tahu kalau-kalau Qistina tidak selesa menaiki kenderaan awam itu.
“No problem!”
“ADA apa kat depan tu Anis?” soal Qistina memanjangkan lehernya memandang ke luar. Jalan raya kelihatan agak sesak.
“Macam accident aje?” teka Anis turut mengalihkan tumpuan ke arah depan sana. Kelihatan ada sebuah lori terbabas. Orang ramai sudah berkerumun di situ. Sah ada kemalangan!
Dek kerana kesesakan lalu lintas ketika itu, bas yang dinaiki mereka bergerak perlahan sehinggalah sampai di tempat kemalangan. Semua mata sudah tertumpu di situ.
Sebuah lori trailer kelihatan sudah tersadai di tepi jalan. Tiada pula kenderaan lain yang dilihat selain lori itu.
“Trailer ni langgar dengan apa?” soal Qistina kepada Anis. Tidak pula kelihatan mana-mana kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Entah...” Tiba-tiba anak mata Anis menangkap sekujur tubuh kaku yang sudah dibungkus dengan surat khabar.
Tin-tin minuman berselerakan di sana sini. Kasihannya si mati. Barangkali telah dilanggar oleh trailer tersebut.
Tiba-tiba... Tin?! Anis tersentak. Matanya dialih kembali pada sebatang tubuh yang terbujur kaku itu. Ketika itu bas sudah hendak melepasi tempat kejadian. Mata Anis tertumpu pada bahagian kaki mayat yang masih belum ditutup.
Ya ALLAH! Kasut itu! Jantung Anis bagai direntap kuat. Serentak Anis bangkit.
“Pakcik, tolong buka pintu!” pintanya cemas pada pemandu bas tersebut.
“Anis!” panggil Qistina yang turut bangun mendapatkan Anis yang ingin keluar dari bas tersebut. Tatkala pintu bas dibuka, Anis terus melompat turun. Dengan pantas Qistina mengejar Anis.
Anis berjalan sederas yang mungkin. Air matanya berguguran. Dia cukup yakin dengan apa yang dilihat sebentar tadi. Ditolak semua orang ramai yang sedang berkerumun. Belum sempat dia mendekati mayat tersebut tubuhnya ditarik oleh seorang anggota polis yang berada di situ.
“Lepaskan! Itu ibu saya!” Anis meronta-ronta. Dalam lelehan air mata dia dapat melihat jelas kasut milik Azizah yang sering dipakai ketika hendak keluar bekerja.
“Anis!” panggil Qistina cuba menarik tangan sahabatnya itu. Namun pantas Anis melepaskan pegangan tangannya.
“Lepassssss!!” Sekuat hati Anis meronta lantas merempuh anggota polis yang cuba menahannya. Qistina tidak mampu berbuat apa-apa. Kejadian tidak disangka-sangka itu benar-benar mengejutkannya.
Anis melutut di hadapan sekujur tubuh yang telah kaku itu. Air matanya sudah bercucuran jatuh ke bumi bersama esak tangis yang mula kedengaran. Beberapa orang anggota polis cuba menenangkan Anis.
“Ibu...” ucapnya bersama rasa yang tidak tertahan lagi.
Surat khabar yang menutupi mayat itu dibuka. Tangannya terketar-ketar saat itu. Perasaan takut dan gementar dan pilu tidak dapat dibendung lagi. Tatkala surat khabar itu tersingkap, alangkah terperanjatnya Anis apabila mendapati wajah itu adalah wajah ibunya. Biarpun keadaan mayat itu sudah tidak sempurna dengan darah yang memenuhi muka namun dia masih mampu mengecam ibunya.
“Ibu! Jangan tinggalkan Anis ibu. Ibu, bangunlah ibu...” rintih Anis sambil me-meluk tubuh Azizah yang sudah tidak bernyawa itu.
Seakan-akan mimpi semua ini. Baru tadi dia melihat Azizah. Merasai kucupan dan pelukan dari ibunya itu dan kini sekelip mata Azizah sudah pergi buat selama-lamanya.
“Ibu bangun, bu...” rintih Anis lagi.
Keadaan jadi senyap. Semuanya bagai patung bernyawa menyaksikan kejadiaan tersebut. Anggota polis yang berada di situ juga tidak mampu berbuat apa-apa. Semuanya tercegat bagai patung. Qistina yang berada di belakang Anis sudah tidak mampu lagi melihat kejadian di hadapan matanya itu.
Anis menyentap surat khabar yang menutup bahagian tubuh ibunya. Kali ini raungannya semakin kuat. Hatinya bagai dirobek demi melihat sebahagian tubuh ibunya yang hancur. Tangan Azizah yang hampir putus itu kelihatan tersembul dari kulit dan terlipat ke belakang bersama dengan darah-darah yang mengalir di atas jalan. Keadaannya terlalu ngeri.
Ya ALLAH.. Pandangannya tiba-tiba jadi kabur. Tubuhnya terasa sepeti melayang. Tidak sedar jasadnya rebah ke bumi.
“Anis!” Qistina kaget. Cepat-cepat dia berlari mendapatkan Anis. Orang ramai mula berkerumun. Anggota polis cuba mengawal keadaan. Beberapa minit kemudian sebuah ambulans dan Land Rover polis tiba.
No comments:
Post a Comment