Rindu Tercipta #4

ANIS terus melangkah ke luar ke stesyen Putra LRT KLCC sebaik sahaja pintu terbuka. Keadaan begitu sesak pagi itu dengan orang ramai yang ingin ke tempat kerja masing-masing.
Anis terus mengatur tapak menuju ke dalam bangunan KLCC. Kebanyakan kedai masih baru dibuka. Kelihatan pekerja-pekerja masih sibuk mengemas dan sebagainya.
Anis bertanya di beberapa buah kedai di situ kalau-kalau ada kekosongan yang ditawarkan namun setakat ini semuanya telah penuh.
Namun dia tidak berputus asa. Dia ke tingkat atas pula. Meninjau di beberapa buah kedai lain tetapi kelihatannya semua kedai tidak memerlukan pembantu baru.
Sejam berikutnya, Anis menaiki eskalator ke tingkat paling atas yang menempatkan kedai buku Kinokuniya. Hanya kedai itu satu-satunya harapannya. Jika tidak ada kekosongan, bermakna dia harus mencari kerja di tempat lain pula.
Sebaik sahaja masuk ke kedai buku tersebut, Anis mendapatkan seorang pekerja perempuan yang berpakaian seragam di situ.
Sekilas Anis memandang tag nama yang terpin di baju gadis itu. ‘SALINA’. Gadis itu cukup ramah dan murah dengan senyuman. Katanya, memang ada beberapa kekosongan di situ.
Akhirnya setelah berunding dengan ketua di situ, Anis diterima bekerja. Alangkah gembira hatinya menerima peluang tersebut. Esok dia akan memulakan tugasnya.

“ANIS dah dapat kerja, bu!” beritahu Anis gembira. Ketika itu Azizah baru sahaja pulang dari kerja.
“Oh ye ke? Dekat mana?” soal Azizah seraya melucutkan tudung di kepalanya.
“KLCC. Kat kedai buku Kinokuniya. Esok pagi Anis mula kerja,” beritahu Anis pantas. Perasaannya begitu teruja ketika itu.
“Pukul berapa pergi?”
“Mula pukul 9. Pukul 8.30 tu dah boleh pergi kot. Sempatlah hantar nasi lemak. Ibu pergilah mandi dulu. Lepas tu kita makan sama-sama ya?” ucap Anis lantas berlalu ke dapur.
Azizah terdiam seketika di situ. Entah kenapa perasaan ini tiba-tiba jadi sayu mengenangkan Anis. Dia tahu niat sebenar Anis untuk bekerja hanya untuk membantunya.
Kesian anak aku...

BANYAK benda baru yang dipelajari Anis. Di situ, Salinalah yang banyak memberinya tunjuk ajar. Dari aturan keselamatan sehinggalah ke bahagian-bahagian pengurusan buku di situ.
Gadis yang berusia 22 tahun itu cukup baik dengannya. Tiba waktu rehat, Salina akan mengajaknya makan bersama rakan-rakan yang lain di food court. Solat bersama-sama dan pulang juga bersama-sama.
Sebulan kemudian, Anis semakin cekap bekerja. Dengan kemahirannya berbahasa Inggeris, dia tidak canggung berkomunikasi dengan pelanggan-pelanggan dari negara luar. Bekerja di situ tidaklah begitu memenatkan. Kerjanya hanya menyusun buku di rak.
“Anis, tolong ganti Kak Lina sekejap...” pinta Salina mencuit bahunya.
“Kak Lina nak pergi mana?”
“Nak pergi toilet. Dah tak tahan ni.” Salina tersengih.
“Okey...” Anis terus berlalu ke kaunter pembayaran. Mujurlah dia sudah tahu menggunakan mesin tersebut kerana pernah diajar oleh Salina dahulu.
Sempatlah juga lima orang pelanggan sebelum Salina kembali dan kemudian dia meneruskan kerjanya yang tergendala sebentar tadi. Sehinggalah jam menunjukkan pukul 5 petang. Anis bersiap-siap untuk pulang lantas meninggalkan kedai buku itu.
Seperti biasa dia, dia akan menaiki LRT dalam keadaan yang sesak dengan orang ramai yang pulang dari kerja. Mujurlah hanya satu stesyen untuk ke stesyen Kampung Baru. Tidaklah begitu sengsara sepanjang berada di dalamnya.
Sebaik sahaja Putra LRT itu berhenti di stesyen Kampung Baru, Anis terus melangkah keluar menaiki tangga menuju ke luar bangunan.
Ketika hendak melintas jalan dari perhentian bas, entah macam mana dia tidak perasan pada sebuah kereta yang sedang menghala ke arahnya. Bunyi hon kereta mengejutkannya. Serentak kedengaran bunyi tayar bergeseran dengan jalan. Anis  menekup telinga. Matanya terpejam rapat. Dia terduduk.
“Adik, adik tak apa-apa ke?” Kedengaran satu suara lelaki di telinganya. Tatkala dia membuka mata kelihatan seorang pemuda berkaca mata gelap sedang tunduk memandangnya.
Dalam ketakutan yang bersisa dia mengangguk-angguk. Sekilas dia mengerling kereta jenis lama millik pemuda itu yang berhenti di hadapannya.
 “Betul ni tak ada apa-apa?” soal pemuda itu meminta kepastian. Wajahnya jelas kelihatan bimbang. Kaca mata yang dipakai tadi ditanggalkan menyerlahkan parasnya yang sebenar. Anis terpaku seketika. Namun cepat-cepat dia tersedar lantas bangun menyapu-nyapu tapak tangannya.
“Betul. Saya okey,” balas Anis terpinga-pinga sambil menggosok-gosok sikunya yang terasa sakit.
“Tak ada luka-luka ke cedera apa-apa ke?” si lelaki itu masih kelihatan cemas.
“Tak.. tak ada. Betul tak ada.” Bersungguh-sungguh Anis menggeleng. “Mintak maaf ya? Salah saya jugak tadi tak tengok betul-betul sebelum melintas.”
“No, no... Abang pun salah jugak sebab bawak kereta laju-laju kat kawasan macam ni. Tapi betul ni adik tak cedera apa-apa?”
Untuk kesekian kali Anis mengangguk. Baiknya budi bahasa lelaki ini. Desis hatinya.
“Okeylah, kalau tak ada apa-apa abang pergi dulu. Lain kali hati-hati ya?” pesan pemuda itu lantas masuk ke dalam keretanya. Sebelum beredar, sempat dia melemparkan senyuman buat Anis.


No comments: