RUTIN harian Anis masih sama seperti waktu persekolahan dahulu. Setiap pagi dia akan bangkit seawal lima pagi untuk membantu Azizah menyediakan nasi lemak. Segala kerja dilakukan tanpa sebarang rungutan. Malah dia berasa lega kerana dapat membantu ibunya sepenuh masa. Apalah yang dikisahkan sangat dengan kudrat yang tidak seberapa itu jika dibandingkan dengan pengorbanan Azizah yang membesarkannya sejak kecil.
Selepas selesai membungkus nasik lemak, Azizah akan keluar bekerja mengutip tin-tin kosong di sekitar kawasan bandar.
Pagi itu, selepas selesai melakukan kerja-kerja rumah, Anis menapak ke gerai Mak Kiah. Bersendirian di rumah pun tidak ada apa yang boleh dilakukan. Jadi lebih baik dia ke gerai wanita itu. Dapat juga dia berbual dengan orang tua itu.
“Anis nak sambung belajar kat mana lepas ni?” soal Mak Kiah yang baru keluar dari dapur sambil membawa segelas Milo panas untuk diberikan kepada Anis.
“Entahlah Mak Kiah... Kalau Anis sambung belajar, siapa yang nak jaga ibu? Dahlah belajar tu pakai banyak duit. Manalah ibu mampu nak tanggung semua tu,” luah Anis kedengaran sedikit sayu.
Memang sedari dahulu angannya untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebuh tinggi. Namun tatkala memikirkan kewangan dan pendapat ibu yang cukp-cukup makan, dia mula terfikir kembali, apakah dia masih boleh terus merealisasikan azamnya itu.
“Alah Nis. Sekarang dah banyak pinjaman kerajaan bagikan? Bukannya Anis tak boleh mohon...”
“Memanglah Mak Kiah.. Tapi Anis serba salah. Ibu tu bukannya sihat sangat. Lagipun Anis sorang aje anak dia. Kalau Anis tak ada, macam mana dengan ibu? Siapa nak tengok-tengokkan dia?”
“Alah, bukannya tak boleh balik rumah jenguk ibu. Lagipun Mak Kiah kan ada? Ibu Anis tu sihat sangat lagi. Tak ada apa-apalah.”
Anis terdiam. Fikirannya menerawang seketika. Dia mula berfikir. Seandainya dia terus berada di situ, mustahil dia boleh memperbaiki taraf hidupnya satu hari nanti. Hidup sekarang perlukan ilmu untuk maju.
Aku nak bahagiakan ibu... Tak mahu ibu hidup susah... Ah, aku mesti bangkit dari kesusahan ini. Duitkan boleh dicari? Bisik hati kecil Anis menanam tekad.
“IBU...”
Panggil Anis lantas menghampiri Azizah yang baru sahaja selesai solat Subuh. Dia bersila di sisi ibunya sambil melemparkan senyuman.
“Ni kenapa ni tersenyum, tersengih ni?” soal Azizah seolah-olah dapat mengagak Anis ingin menyampaikan sesuatu kepadanya.
Anis memanjangkan senyumannya. “Anis nak cakap sikit dengan ibu ni...” Anis memulakan bicaranya.
Azizah hanya membisu sambil terus merenung tepat ke muka anak gadis tunggalnya itu.
“Anis nak cari kerja kat luar boleh tak, bu?” Seperti teragak-agak Anis menyuarakan niatnya itu.
“Nak kerja kat mana? Nak pergi dengan siapa?” Tenang Azizah menyoal.
“Kat luarlah.. Kat pusat beli belah ke? Kedai buku ke? Mana-mana aje.. Anis ingat nak cari duit sendiri. Nak cari pengalaman...” jelas Anis. Dia berharap benar agar Azizah memberi kebenaran kepadanya.
“Anis sorang?”
Anis mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Hmm.. Ibu bukan tak bagi tapi ibu bimbang kalau Anis sorang-sorang kat luar tu. Ajaklah siapa-siapa ke?”
“Nak ajak siapa bu... Anis mana ada kawan sangat kat sini. Alah bu, janganlah risau. Macam Anis tak biasa pulak kat KL ni. Lepas habis kerja Anis baliklah terus ke rumah. Bolehkan bu?”
“Hmm, ikut Anislah. Tapi janji, lepas balik kerja jangan merayau ke mana-mana. Apa-apahal telefon ibu!” pesan Azizah mengingatkan Anis.
“Baik puan besar!” balas Anis sambil menunjukkan isyarat tabik.
No comments:
Post a Comment