DETIK dan masa terus berlalu. Terdapat beberapa perubahan yang berlaku pada diri Hykal baik dari segi luaran dan dalaman. Emosinya kadangkala tidak stabil dan acap kali dia mengalami kekeliruan dalam sesetengah perkara yang dilakukan setiap hari. Daya sensitivitinya turut dirasakan seperti semakin berkurang. Pendengaran yang adakalanya kurang jelas dan pandangannya kerap kali kabur sehingga dia terpaksa memakai cermin mata.
Sudah beberapa lama dia tidak menghubungi Anis. Malah menghantar mesej pun semakin jarang. Perjalanan hidup Hykal seakan tidak konsisten. Kebelakangan ini, fikirannya benar-benar terganggu. Hanya pada Dr. Zarkasyi dia mengadu. Boleh dikatakan setiap hari dia akan bertemu dengan lelaki itu.
Hubungan persahabatan yang sudah terputus dahulu kembali terjalin. Dr. Zarkasyi banyak membantunya dalam memberi kata-kata perangsang dan semangat. Esok, dia akan menjalani pembedahan pembuangan tumor.
Segala kegiatan dan kelakuannya tidak dapat dihidu oleh Azizul mahupun Zarina. Mana tidaknya, seharian berada di dalam studio. Zarina dan Azizul jarang memantau kegiatannya. Mereka sudah terbiasa dengan sikap Hykal sejak dari dulu yang gemar menghabiskan waktu di dalam studio.
Hari pembedahan akhirnya tiba. Selepas bersarapan bersama kedua-dua orang tuanya, Hykal meminta diri untuk keluar dengan mengunakan alasan ingin bermalam di rumah rakan untuk menyiapkan tugasan. Hanya alasan itu yang paling wajar untuk digunakan.
Tiba di hospital Dr. Zarkasyi terus membawanya ke satu bilik khas. Setelah siap berpakaian lengkap untuk menjalani pembedahan, dia diusung ke bilik pembedahan dengan menggunakan stretcher.
Selesai pembedahan, Hykal terus tidak sedarkan diri sehingga keesokkan hari. Sebaik sahaja tersedar, dia melihat satu keadaan asing di sekelilingnya. Untuk beberapa ketika fikirannya jadi celaru. Namun kepalanya terasa ringan jika dibandingkan seperti sebelumnya. Barulah dia teringat yang dia kini berada di hospital.
“Macam mana hari ni? Feeling better?” sapa Dr. Zarkasyi yang tiba-tiba muncul dari pintu. Lelaki itu tersenyum memandangnya.
“Alhamdulillah. Rasa lega sikit. Kepala ni taklah rasa berat macam sebelum,” balas Hykal juga turut tersenyum.
“Baguslah kalau macam tu. Tapi awak masih perlu banyak berehat. Tubuh awak perlukan tenaga selepas pembedahan,” tokok Dr. Zarkasyi lagi. Di sebelahnya kelihatan seorang jururawat sedang menyediakan sarapan.
Hykal hanya mengangguk-angguk. Matanya teralih pada hidangan sarapan yang disediakan. Segelas jus oren, 3 keping roti bakar bersama butter dan sebiji muffin berperisa coklat.
“Ini menu yang disarankan untuk awak ambik setiap kali waktu sarapan. Selain tu, awak boleh ambik teh hijau, fresh fruits, sup sayur and lain-lain makanan yang kurang kolestrol.”
Hykal hanya mengangguk-angguk mendengar penerangan Dr. Zarkasyi. “Bila saya boleh keluar, Syi?” soal Hykal ingin tahu. Bimbang juga keluarganya tertanya-tanya akan kehilangannya nanti. Lagipun dia masih banyak tugasan yang perlu diselesaikan di kampus.
“Dalam dua tiga hari lagi? Okey Carl, kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu. Tengah hari nanti saya datang balik untuk pastikan condition awak. Ya?”
“Thanks, Syi,” ucap Hykal sambil tersenyum.
Dr. Zarkasyi hanya mengangguk dan tersenyum lantas beredar dari bilik tersebut.
Hykal mencapai roti di pinggan. Roti tersebut dibelek-belek seketika. Seleranya tidak ada ketika itu. Jiwanya dipenuhi pelbagai rasa. Dia mula risau. Hasliza dan Azizul pasti mencarinya. Ah, terpaksalah aku berbohong lagi. Bisik hati kecilnya.
DERINGAN telefon rumah mengejutkan Zerril yang sedang membaca buku di ruang tamu. Ketika itu dia hanya bersendirian di rumah. Lekas-lekas dia bingkas bangun untuk menjawab panggilan.
“Helo,” sapa Zerril sebaik sahaja telefon melekap di telinga.
“Zerril, Aunti Za ni. Aunty nak tanya, Hykal ada tak kat rumah Zerril?”
“Tak ada, aunty.”
“Semalam ada tak dia datang rumah?” tanya Zarina lagi.
“Tak ada. Kenapa auntie?” soal Zerril hairan. Dia seperti dapat mengagak sesuatu yang sedang berlaku.
“Hari isnin baru ni dia cakap dia nak tidur rumah kawan dia. Tapi sampai hari ni dia belum balik. Aunty tak tahu dia ke mana. Call tak dapat. Dia off phone. Ingatkan dia ada dengan Zerril,” cerita Zarina kedengaran risau.
“Zerril memang tak ada jumpa dia lagi minggu ni. Aunty tak cuba call kawan dia?”
“Aunty dah call, Zerril. Kawan dia cakap Hykal tak ke sana pun. Risau betul aunty. Ke mana aje dia pergi. Tak pernah dia buat perangai macam ni,” adu Hasliza.
“Pelik jugak ek? Takpelah aunty. Nanti Zerril try call dia. Aunty janganlah risau sangat. Tak ada apa-apa tu. Nanti apa-apa hal Zerril bagitahu aunty ya?”
“Hmm yelah. Terima kasih ya, Zerril?”
Telefon kembali ke gagang. Zerril mengeluh kecil. “Ke mana pulak mamat ni?” Bicaranya sendirian.
Zerril kembali ke ruang tamu. Telefon bimbitnya dicapai untuk menghubungi Hykal. Berbelas-belas kali dia cuba memanggil nombor sahabatnya namun hanya peti suara yang kedengaran. Telefon Hykal tidak diaktifkan.
Entah kenapa tiba-tiba hatinya terasa kurang enak. Sikap Hykal sejak kebelakangan ini sedikit aneh. Lelaki itu selalu sahaja menolak jika diajak keluar. Berbual pun seperti hendak tidak hendak. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang menganggu fikirannya.
Sebulan lagi dia akan pulang ke Ireland untuk meneruskan pelajaran bagi semester terakhirnya. Selepas tamat, dia akan kembali semula menetap di Malaysia meneruskan kerjaya sebagai seorang doktor. Tidak sabar pula rasanya menanti saat itu. Namun dia masih mahu menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana Muda jika diberi peluang.
Agak lama dia mengelamun sendirian di ruang tamu. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Nama Hykal tertera di skrin.
“Zerril, kau boleh tolong aku tak?” Tanpa salam mahupun sapaan yang sepatutnya, Hykal terus meminta pertolongan darinya.
“Wei, kau ke mana? Mama kau telefon aku tanya pasal kau tadi.”
“Aku ada hal sikit ni... Semalam bateri aku flat. Tak sempat nak cas. Aku nak mintak tolong kau ni, boleh tak?” tanya Hykal lagi.
“Kot ya pun ada hal, informlah kat parents kau. Ini tak, main lesap aje. Bukan sehari, tiga hari kau tak balik. Mana tak risau orang tua kau? Haa, nak tolong pebenda ni?” Menyedari pertanyaan Hykal yang tidak diendah tadi lantas Zerril bertanya.
“Esok petang, kau tolong jemput Anis kat Shah Alam, boleh? Aku ada hal sikit. Maybe tak sempat nak ambik dia.”
“Hal apa lagi kau ni? Tak sudah-sudah lagi kerja kau?”
“Alah, adalah hal sikit. Kau tolong aku eh. Aku betul-betul tak sempat esok ni.”
“Bukan aku tak nak tolong tapi Anis tu tunang kau. Nanti apa pulak dia kata kalau tengok aku yang datang ambik dia. Adoi, kau ni fikirlah sikit.”
“Tak ada apa-apanyalah. Kau pergi aje esok kolej dia. Kau bajet-bajetlah masa sampai sana. Dalam pukul 4 lebih tu kau dah boleh gerak. Takut jam. Kelas dia sampai pukul 6,” maklum Hykal. Suaranya kedengaran tenggelam timbul.
“Yelah, yelah.. Aduii.. Ni bila pulak kau nak balik rumah? Mama kau tu dok risau pasal kau.”
“Esok lusa aku baliklah. Okey Ril. Terima kasih banyak. Kaulah sahabat aku dunia akhirat,” ucap Hykal sebelum terus mematikan talian.
No comments:
Post a Comment