KAMERA polaroid Fujifilm Instax 8s berwarna kuning yang sering dikelek ke mana-mana itu dibelek seketika. Habuk-habuk halus yang melekat di lensa ditiup beberapa kali. Tali kasut yang sudah terlerai diikat kemas.
Seketika kemudian, Armel melepaskan keluhan berat sambil meliarkan pandangan ke sekitar Taman KLCC yang mula dipenuhi dengan orang ramai. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 5.30 petang.
Dompet duit di dalam beg sandangnya dikeluarkan. Ada tiga keping not RM10 di dalamnya hasil pendapatan hari ini. Dia mengeluh. Dia perlu mencari wang lagi untuk menampung perbelanjaan hariannya.
Semenjak peristiwa perselisihan faham dengan mamanya seminggu yang lalu, dia memboikot seisi rumah, tidak mahu menerima wang belanja dari sesiapa pun. Walau setiap hari ada sejumlah wang yang ditinggalkan oleh papanya di meja ruang tamu, namun dibiar tidak berusik. Buku-buku rujukan dan perbelanjaan lain-lain semuanya ditanggung sendiri.
Tengkingan mama yang menusuk sehingga ke jantung tempoh hari masih terngiang-ngiang di telinga. Kata-kata mama yang pedas cukup membuatkan hatinya terasa panas.
Seminggu lalu dia ditangkap oleh guru disiplin atas kesalahan merokok di kawasan sekolah. Akibat kesalahan itu, dia digantung sekolah selama dua minggu. Mengamuk sakan mamanya. Kerana itu dia nekad mencari wang dengan usaha sendiri dengan menggunakan kamera polaroid yang sudah dibeli setahun yang lalu.
Dia mahu membuktikan pada mamanya yang dia mampu memperoleh wang perbelanjaan sendiri tanpa mengharapkan ihsan mama dan papa. Biar mama tahu, dia lebih dari mampu untuk hidup berdikari.
Bebola mata Armel terpandang sepasang kekasih yang baru sahaja melabuhkan punggung di sebelahnya, berhampiran dengan bangku panjang di tepi pancuran air. Seketika Armel membiarkan mereka mendapatkan tempat duduk yang selesa. Memerhati gerak geri kedua-duanya untuk beberapa waktu.
Beberapa minit memerhati gerak-geri pasangan di sebelahnya itu, perlahan-lahan Armel bangun mencapai begnya lalu disangkut ke bahu. Dia menghampiri kedua-duanya dengan senyuman seikhlas yang mungkin.
“Hai, mintak maaf kalau saya menganggu sekejap ya. Akak dengan abang berminat tak nak ambil gambar macam ni? Murah aje. Satu keping RM4. Kalau dua keping, RM7,” tutur Armel mesra sambil menunjukkan contoh gambar yang tersisip di tempat letak kad di tali yang tergantung di lehernya.
Pandangannya tertancap pada pasangan muda yang tampak terpinga-pinga disapa itu. Si gadis tampak sopan mengenakan blaus labuh separas lutut dan tudung biru, manakala si lelaki tampak segak mengenakan jeans dan baju-T berkolar berwarna hijau lumut.
“Satu keping RM4, kalau dua keping RM7?” soal lelaki itu meminta kepastian.
“Yup! It’s affordable tau, abang? Murah aje saya offer. Haa... nanti bolehlah simpan dalam wallet buat kenangan. Saiz gambar polaroid ni biasanya memang muat-muat untuk letak dalam wallet. Lagipun gambar dia dah nampak macam dalam frame,” kata Armel sambil membetul-betulkan rambut pendek paras telinganya yang menutupi sebahagian muka tatkala ditiup angin.
“Hmm... cantik jugakkan,” ujar si gadis sambil memandang lelaki itu seraya tersenyum.
“Adik ni student lagi ke?” soal lelaki itu ramah.
“Ha’ah... Nak ambil SPM tahun ni. Saja cari duit lebih nak beli buku sekolah,” jawab Armel lembut. Walhal cara pergaulannya yang sebenar jauh berbeza dengan caranya bertutur sekarang. Hakikatnya, dia ialah ketua segala keganasan yang selalu mendatangkan masalah kepada orang sekeliling. Tidak kira di sekolah mahupun di rumah.
“Oh.. pandai awak cari duit ya? Hmm, okey... bolehlah... Akak ambil dua keping.”
“Allright!” Armel mengangguk sambil tersenyum.
“Okey, abang dengan akak posing cantik-cantik tahu? Keep smiling...”
Lensa kamera ditarik keluar. Matanya difokuskan pada viewfinder. Seketika dia menggerakkan kepala mencari sudut yang terbaik. Tingkahnya mengalahkan jurugambar professional sahaja.
“Satu... dua... tiga.” Sesaat dua kemudian, jarinya menekan punat di depan kamera. Satu gambar mereka terakam. Sekeping filem yang keluar dari atas kamera ditarik lalu dikibas-kibas perlahan dan kemudian dihulurkan kepada wanita di hadapannya itu.
“Akak tiup-tiup sikit gambar tu. Cuba tengok okey tak,” pinta Armel sambil menanti respon wanita bertudung biru itu.
“Hmm, cantik,” puji perempuan itu ceria sambil menunjukkan gambar yang terakam itu kepada sang lelaki.
“Tak terang sangat, kan?” Armel meminta kepastian. Sebetulnya dia takut juga seandainya gambar yang dirakam tidak menepati kepuasan pelanggannya.
Harga filem itu bukan seringgit dua. Satu kotak filem polaroid yang mengandungi 10 keping filem menelan belanja RM30 ke atas. Itu pun bergantung dengan jenis kedai.
Kalau gambar tidak jadi terpaksalah dia menanggung kerugian untuk sekeping filem dalam lingkungan harga RM2.50. Namun, setakat itu belum pernah mana-mana orang yang ditemuinya tidak berpuas hati dengan hasil tangannya.
“Okey dah ni. Cantik!” Gadis itu bertutur sambil mengangguk-angguk.
“Okay then. One more. Hmm... abang dengan kakak duduk dekat sikit boleh tak?” Ah, memandai-mandai aje aku menyuruh orang.
“Kita orang kawan aje, tak boleh duduk dekat-dekat, dik,” seloroh lelaki itu lalu tertawa. Si gadis di sebelahnya hanya tersipu-sipu.
“Oh ya ke. It’s okay then. Okay... ready ya? One... two... three!”
Punat rakam di hadapan kamera ditekan dan sejurus kemudian filem yang sudah tercetak dengan gambar itu menjulur keluar dari mulut kamera. Filem itu diserahkan kepada si lelaki pula. Seketika Armel menanti respon pemuda itu sebelum beredar pergi.
“Hmm... cantik. Pandai awak ambil gambar, kan?” puji lelaki itu pula sambil tersenyum memandang ke arahnya. Kemudian dia mengeluarkan dompet duitnya dari poket seluar. Dua keping not RM10 dihulurkan kepada Armel. “Just keep the change...”
“Eh, RM7 aje abang,” ujar Armel tidak menyambut huluran lelaki itu.
“Tak apa... yang ni abang kasi. Buat belanja beli buku sekolah ya?”
Armel mula tidak betah. “No no no... Thanks but no thanks. Saya tak boleh ambil duit abang ni. Kalau abang nak, saya boleh ambil gambar abang dengan akak dua keping lagi. Nak tak?”
Sesengkek-sengkek mana sekalipun, dia tidak akan pernah menerima wang dari orang lain apatah lagi dari orang yang tidak dikenali seperti itu. Itu bukan prinsip hidupnya.
“Tak apa dik... abang ikhlas nak bagi. Lagipun abang tahu filem kamera ni mahal, kan?”
Armel menggeleng seraya melemparkan senyuman. Dia enggan menerima pemberian lelaki itu kalaupun ikhlasnya sepenuh jiwa sekalipun.
“Saya mintak diri dulu. Nice meeting both of you.” Dia berkira-kira ingin beredar dari situ. Tiba-tiba laju sahaja tangan wanita bertudung itu menarik tangannya lantas meletakkan dua keping not RM10 ke dalam tangannya.
“Ambil duit ni ya? Anggap aje hadiah dari kita orang. Terima kasih tau?” ucap wanita itu dengan segaris senyuman sambil menepuk-nepuk tangan Armel.
Armel terpinga-pinga seketika. Entah kenapa hatinya terasa cukup tenang melihat raut wajah bersih milik perempuan itu. Belum pernah dia bertemu dengan orang sebaik itu sepanjang dia menjadi jurugambar polaroid jalanan. “Terima kasih banyak-banyak. Saya pergi dulu. Bye...” Tanpa menanti lagi Armel terus beredar pergi tanpa sedikit pun berpaling. Sungguh dia malu sendiri.
No comments:
Post a Comment