Rindu Tercipta #34

TAHAP kesihatan Hykal benar-benar membimbangkan keluarganya. Kondisi tubuhnya kelihatan agak lemah. Wajahnya juga tampak pucat.
Awal pagi tadi dia mengadu sakit kepala. Apabila diajak ke hospital, dia menolak. Katanya cuma pening biasa yang mungkin disebabkan kekurangan tidur. Zarina dan Azizul sudah tidak berdaya lagi untuk memaksanya.
Qistina sudah pun pulang ke Skudai awal pagi tadi. Kali ini Azizul membenarkan dia membawa kereta bersama. Lagipun Qistina sudah arif memandu sendirian. Sekurang-kurangnya dapat memudahkan dia pergi balik dari Johor ke Kuala Lumpur.
Anis gelisah. Berat hatinya untuk pulang ke Shah Alam pada hari itu mengenangkan keadaan kesihatan Hykal. Dia juga sudah berputus asa memujuk tunangnya itu ke hospital.
Semalam, Hykal tiba-tiba pengsan tatkala sedang berbual di laman bersama Zerril dan rakan-rakan lain. Gamat seketika majlis tersebut dengan insiden itu. Orang ramai mula mengerumuninya.
Ketika sampai, kelihatan Nazri dan Zerril sedang memapah Hykal untuk dibawa ke dalam rumah. Tubuh Hykal dibaringkan di atas sofa. Lelaki itu masih belum sedarkan diri. Semua yang berada di situ cemas. Zarina tidak henti-henti memanggil nama Hykal. Kepala anaknya itu diusap-usap.
Seketika kemudian, Zerril muncul dari dapur sambil membawa semangkuk air. Air itu kemudian diraupkan ke muka Hykal. Beberapa saat kemudian, Hykal tersedar.
Ketika pulang, Hykal terpaksa dipapah sehingga ke kereta. Tubuhnya benar-benar lemah. Sepanjang perjalanan pulang pun Hykal hanya tidur.
Siang merangkak ke petang, Qistina sudah pun pulang ke Johor selepas solat Asar sebentar tadi. Hanya tinggal Anis dan Zarina di rumah itu. Anis bergegas ke tingkat bawah mencari kelibat Zarina. Kelibat Zarina kelihatan di dapur.
“Mama..” panggil Anis perlahan.
Spontan Zarina berpaling. “Eh, kenapa Anis tak siap lagi ni?” soal Zarina tatkala melihat Anis yang masih memakai T-shirt dan track suit. Anis menghampirinya.
“Biar Anis buat, mama...” pintanya untuk membasuh pinggan yang sedang dibasuh oleh Zarina. Zarina hanya membiarkan Anis. Wajah anak gadis itu ditatap seketika.
“Anis balik esoklah, mama,” beritahu Anis sambil menyusun pinggan-pinggan yang telah dibasuh di sinki bersebelahan.
“Anis, mama tahu Anis risaukan abang. Kalau ikutkan semua orang dalam rumah ni risaukan dia. Tapi mamakan ada? Mak Mah pun ada boleh tengok-tengokkan abang tu. Mama pun sem ni kelas sampai pukul empat aje. Lepas tu dah boleh balik,” tutur Zarina. Dia mengerti apa yang sedang dirasa oleh Anis tika ini.
Gadis itu tidak duduk diam memantau keadaan Hykal setiap hari. Malah hampir setiap masa dia menjenguk Hykal di dalam bilik. Keadaan Hykal yang terbaring di katil benar-benar membuatkan perasaaannya dilanda resah.
“Mama tolonglah pujuk abang pergi hospital. Dah dua hari dia macam tu. Anis takut...”
“Anis...” Tangan Anis ditarik Zarina lalu digenggam kemas. “Jangan fikir yang bukan-bukan. Insya-ALLAH abang tak apa-apa. Bukan mama tak nak pujuk dia, tapi Anis faham sendirikan perangai abang. Mama tak boleh paksa dia. Papa pun tak boleh paksa dia. Biarlah dalam masa seminggu ni mama jaga dia. Anis balik Shah Alam ya?”
Anis terdiam. Dia mengeluh berat. Hatinya benar-benar tidak tenang memikirkan Hykal dan dia tahu jika dia tidak pulang ke Shah Alam, banyak tugasannya akan tertangguh nanti.
“Anis dengar cakap mama. Anis balik ya? Pergi siap-siap. Lepas Asar nanti mama hantar,” pujuk Zarina sambil mengusap-usap rambut Anis.
Akhirnya Anis mengangguk akur.

“ABANG jaga diri ya? Anis dah nak balik. Ingat, abang kena janji, kalau mama suruh makan abang kena makan. Seminggu ni abang kena rehat cukup-cukup. No drawings, no studio!” pesan Anis persis seorang ibu yang prihatin.
Hykal tersenyum di pembaringannya. Dia mengangguk-angguk. “Ya Anis. Abang ingat semua tu.”
“Jangan ingat-ingat. Kena buat! Tahu?” kata Anis lagi.
“Baiklah, Puan Anis...”
Anis memandang ke atas seketika. Seolah-olah cuba mengingati perkara-perkara lain yang ingin dipesan. Seketika kemudia dia kembali bersuara. “Satu lagi... Selagi tak sihat, abang kena duduk dalam bilik ni. Tak boleh keluar.”
“Hai, takkan nak duduk aje dalam bilik ni?“
“Hmm, mesti!” respon Anis pantas.                           
“Aduhh... Haa, lagi apa lagi, mak nenek?” soal Hykal merenung tepat ke dalam anak mata Anis. Dia berpura-pura tidak senang dengan segala pesanan tersebut namun jauh di sudut hati dia benar-benar gembira tatkala Anis mengambil berat tentang dirinya. Rasa sayang terhadap gadis itu semakin menggebu.
“Tak boleh drive kereta sampai hujung minggu ni. Kalau nak pergi mana-mana, mesti dengan mama atau papa!”
“Dah tak boleh keluar dari bilik, macam mana nak drive cik kak oi. Yelah yelah... Adoi... Kalah perlembagaan Malaysia!” rungut Hykal menggeleng-glengkan kepalanya.
Zarina yang hanya menjadi pemerhati sedari tadi tersenyum lucu. Gelagat mereka berdua-dua begitu mencuit hatinya.
Seketika wajah Hykal ditatap. Ada rasa sayu yang menyusur di dasar hati. Namun Anis menguatkan hati. “Anis balik dulu. Kalau ada apa-apa, abang mintak dengan Mak Mah ya?” Anis bangun dari birai katil Hykal lantas mendapatkan Zarina.
“Mama pergi dulu ya, Carl,” ujar Zarina lalu beredar keluar dari bilik.
Ruang bilik menjadi sunyi. Sayup-sayup kedengaran bunyi enjin kereta Zarina perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah. 
Hykal memejam matanya rapat. Kepalanya masih terasa pening namun rasa itu tidak dihiraukan. Entah kenapa perasaannya jadi kurang enak ketika itu. Pening yang dirasakan kali ini agak berlainan seperti biasa

No comments: