SEBAHAGIAN besar laman kediaman Hasliza dan Nazri sudah dipenuhi dengan para tetamu. Kata ucap selamat tidak putus-putus dari sanak saudara dan rakan dan kenalan. Warna-warni cahaya lampu yang terpasang seolah-olah menceriakan lagi majlis ulang tahun kelahiran Hasliza malam itu.
“Happy birthday, Liza,” ucap Zarina dan Azizul serentak. Seketika kemudian tubuh Hasliza didakap.
Hykal, Qistina dan Anis turut sama mengucapkan selamat hari ulang tahun buat wanita itu sambil masing-masing menghulur pemberian kepada Hasliza.
“Thank you so much you all. Buat susah-susah aje belikan hadiah ni kat aunty,” tutur Hasliza sambil melemparkan senyuman kepada Qistina, Hykal dan Anis. Hykal dan Anis kelihatan sedondon mengenakan baju berwarna hijau pucuk pisang.
Mereka kemudian beredar ke meja tempat memotong kek. Kelihatan Zerril dan Zahin sedang berada di situ melayan para tetamu.
Perasaan Anis jadi tidak menentu tatkala melihat Zahin. Dan semakin tidak betah untuk terus melangkah tatkala kehadirannya disedari Zahin.
“Dah boleh potong kek dah ni mama,” beritahu Nina Afni sambil mengerling jam di tangan yang menunjukkan pukul 9.15 malam.
Hasliza merapati meja. Semua hadirin sudah berkumpul di situ. Nyanyian Selamat Hari Jadi mula kedengaran di situ. Sebaik sahaja selesai lagu itu dinyanyikan, beberapa batang lilin yang menyala tadi ditiup Hasliza. Sesaat kemudian, satu tepukan gemuruh kedengaran.
Satu kucupan hangat dari Nazri singgah di dahinya. Biarpun sudah lama mendirikan rumah tangga, hubungan mereka masih mesra dan romantis seperti muda-muda dahulu. Kek dipotong lantas disuapkan ke mulut suaminya. Sekali lagi tepukan meriah mengisi suasana.
Ciuman dari Nina Afni, Zerril dan Zahin menambahkan lagi rasa bahagia tatkala menyambut ulang tahun yang ke-50 ini. Maklumlah, jarang sekali dia berpeluang menyambut hari lahir dengan kehadiran ketiga-tiganya.
Selepas upacara memotong kek, para hadirin dijamu pula dengan hidangan ala-carte yang disediakan. Azizul dan Zarina sudah ke sudut lain menyertai perbualan Hasliza dan Nazri.
Hykal pula sudah pergi bersama Zerril bertemu dengan beberapa kenalan mereka di majlis itu. Anis lebih selesa bersama Qistina duduk berbual bersama Nina Afni di salah satu sudut yang lain pula. Sambil berbual, mereka melayan keletah nakal kedua-dua anak lelaki Nina Afni.
“Along, Qis nak ke toiletlah,” beritahu Qistina sambil mencuti bahu Nina Afni.
“Laa, pergilah masuk rumah. Macam tak biasa pulak,” ujar Nina Afni. Sekilas dia memerhati gelagat kedua-dua anaknya yang sedang bermain tidak jauh dari situ.
“Ala jomlah teman sekejap... Bukannya ada siapa-siapa kat dalam rumah tu.”
Nina Afni menggeleng kepalanya. “Haa, jomlah. Tapi akak kena bawak dua-dua rambo ni. Kalau tak, habis semua orang dia orang nak kacau,” ujar Nina Afnia sambil menarik tangan kedua-dua anak lelakinya.
“Anis tunggu sekejap kat sini ya,” pesan Qistina lantas beredar dari situ.
Anis melayani perasaan sendiri. Anak matanya dilemparkan pada sekumpulan tetamu yang memenuhi kawasan kediaman itu. Kebanyakkan mereka bukan calang-calang orang. Gaya yang dikenakan sudah cukup memberi andaian sedemikian di kepala Anis
“Hai Anis...” Tiba-tiba satu suara menyapanya. Serta-merta lamunannya terhenti. Serentak pandangannya berkalih pada sebatang tubuh yang berdiri di sebelahnya.
“Zahin...” Tidak semena-mena mulutnya menyebut nama pemuda itu.
“Mana Qis dengan Along?” soal Zahin sambil melarikan pandangan ke sekitar kawasan untuk seketika mencari kelibat Qistina dan Nina Afni.
“Dia orang masuk rumah sekejap,” jawab Anis pendek.
“Ooh.. Boleh aku duduk?”
“Eh, duduk ajelah. Ni kan rumah kau? Buat apa nak mintak izin?” Anis berlagak tenang. Namun perasaannya sudah tidak tentu arah ketika itu.
Zahin melabuhkan punggung di situ menghadap Anis. Sejak tadi perasaannya begitu kuat untuk menghampiri gadis itu. Namun tatkala melihat Hykal, niat itu dilupakan. Lagipun, tidak ada kata yang boleh dibicarakan bersama Anis. Tambahan lagi, sikap Anis dilihat tidak begitu mesra seperti dahulu.
Namun entah kenapa rasa hatinya tidak boleh ditahan. Ternyata masih sukar untuk melupakan Anis biarpun dia tahu dan sedar gadis itu sudah dimiliki Hykal. Ah, tidak ada salahnya jika aku ingin mewujudkan hubungan persahabatan yang sudah terputus itu.
“So, how’s your study so far? Berapa tahun kat sana?” Zahin memulakan perbualan seperti biasa.
“Okey macam biasa. Kalau tak ada apa-apa, Insya-ALLAH 4 tahun. Kau?” Anis mengaju soalan kembali. Dia ingin berbual seperti biasa. Tidak mahu Zahin mengesan kecanggungannya.
“Aku pun okey...” balas Zahin ringkas. Sepertinya tidak mahu mengulas apa-apa lagi. Anak matanya merenung tepat ke muka Anis. Sekilas dia menjeling sebentuk cincin yang tersarung di jari manis gadis itu.
Anis mengalihkan pandangannya. Kurang selesa ditenung seperti itu. Ikutkan hati mahu sahaja di berlalu dari situ.
Tiba-tiba Zahin tertawa kecil. “Tak sangka kau dah bertunang,” luah Zahin tidak semena-mena.
Anis tersenyum nipis. “Aku pun tak jangka seawal ni. Dah jodoh, aku terima ajelah.”
Zahin mengangguk-angguk kecil. Entah kenapa ada satu rasa yang begitu perit berhimpun di dadanya tika itu. Namun dia menguatkan hati. Tidak mahu perasaan itu terus membelenggu sukmanya. Selayang keluhan terluncur dari mulut dan sesaat kemudian dia bersuara.
“Memang dah takde ruang untuk aku kan?”
Seuntai kata itu membuat Anis tersentak. Serentak bebola matanya teralih pada wajah Zahin. Seketika dia menatap wajah pemuda di hadapannya itu. Nyata ekspresi yang teriak pada permukaan wajah Zahin kelihatan begitu kecewa.
“Kenapa kau tak beritahu aku kau dah bertunang?” Dia tahu setakat mana anggapan Anis terhadapnya. Dia tahu dia langsung tidak penting dalam hidup gadis itu. Namun dia tetap rasa terkilan. Biarpun tidak terlalu rapat, namun mereka tetap berkawan. Tambahan lagi, dia kerap juga menghantar SMS pada gadis itu biarpun jarang sekali mendapat balasan.
Persoalan itu membuatkan Anis terus bungkam. Namun beberapa saat kemudian dia membuka mulut.
“Aku mintak maaf Zahin. Lagipun, pertunangan ni dirancang secara tiba-tiba. Waktu pun aku tak bersedia apa-apa lagi. Kau faham kan?”
Tak.. Aku tak faham.”
Anis tergamam.
“Aku tahu kau tak senang dengan aku. Kau tak suka aku kan? Sebab tu kau tak nak contact aku lepas habis matrik dulu kan?”
“Aku tak pernah fikir macam tu, Zahin. Kalau kau rasa selama ni aku pinggirkan kau, aku minta maaf.” Anis akur. Dia tidak mahu memanjang cerita.
Sebetulnya dia tidak pernah lupa pada Zahin. Apa tidaknya, lelaki itu ialah lelaki pertama yang meluahkan rasa cinta kepadanya.
Memiliki seorang lelaki sesempurna Hykal tidak pernah membuatkan dia lupa pada pemuda itu. Baginya Zahin mempunyai ciri istimewa yang tersendiri. Namun, tidak ada apa yang boleh dilakukan tatkala cinta itu tiada dalam hati.
“Aku doakan kau bahagia, Anis...” tutur Zahin sayu.
Sejenak ruang di antara mereka sepi. Yang kedengaran hanyalah sayup-sayup suara hadirin yang sedang rancak berbual di ruang laman.
“Anis!” Tiba-tiba Qistina muncul secara mengejut. Wajah gadis itu tampak cemas.
“Kenapa, Qis?” soal Anis juga mula bimbang. Zahin di sebelahnya turut sama kelihatan terkejut.
“Abang pengsan!”
No comments:
Post a Comment