BERDENYUT-DENYUT kepala Hykal menahan rasa pening yang tiba-tiba menyerang kepalanya. Pandangannya pada lukisan yang dilukis tiba-tiba jadi berbayang. Rasa sakit itu itu semakin menyengat sehingga pensil yang dipegang terjatuh ke lantai. Minyak angin yang sudah sedia diletakkan di atas meja dicapai lalu dioles ke dahi.
Beberapa saat Hykal menekup mukanya ke meja. Menahan rasa sakit yang seolah-olah menekan-nekan sebahagian besar kepalanya. Beberapa minit kemudian, rasa sakit tadi semakin beransur hilang. Pandangannya menjadi normal kembali. Hykal menggeleng-gelengkan kepala. Masih terasa sedikit pening namun tidaklah sekuat tadi. Dia tersandar di kerusi. Matanya dipejam rapat. Merasai minyak angin yang masih terasa panas dan berangin di dahi. Sesaat kemudian dia menarik nafas dalam.
“Carl..,” Tiba-tiba terasa bahunya disentuh. Lantas matanya dicelikkan. Wajah Zarina kelihatan kabur dari penglihatan dan perlahan-lahan menjadi jelas semula.
“Mama...”
“Kenapa ni?” soal Zarina mempamerkan reaksi bimbang.
“Tak ada apa, ma. Pening kepala sikit,” beritahu Hykal sambil meraup wajahnya.
“Itulah. Lama sangat menghadap benda ni. Ni, Zerril dengan Zahin datang tu. Jom turun,” beritahu Zarina sambil merenung tepat ke dinding wajah Hykal yang tampak lesu.
Hykal mengangguk-angguk. Tanpa banyak soal dia menuruti langkah Zarina keluar dari studio. Sampai di bawah, kelihatan Zahin dan Zerril sedang menanti di ruang tamu. Zarina mengajak mereka ke meja makan.
“Semua ni auntie masak ke? Wah, masak lemak cili api. Favourite Zahin ni! Auntie ni macam tahu-tahu aje Zahin nak datang?” ujar Zahin sambil tersengih-sengih.
Zarina tertawa. “Mestilah auntie yang masak. Hari ni kan auntie tak kerja. Rezeki Zahinlah ni dapat makan masakan auntie hari ni. Hmm, makanlah,” pelawa Zarina sambil menghulur nasi kepada anak muda itu.
“Uncle mana, auntie? Tak ajak makan sekali?” soal Zerril pula.
“Uncle keluar. Kamu semua makanlah dulu. Zahin, makan kenyang-kenyang ya?”
Selepas Hykal membaca doa, mereka mula menjamu selera. Kehadiran Zahin dan Zerril menggamatkan suasana. Celoteh mereka seringkali mencetuskan tawa Zarina dan Hykal. Ada-ada sahaja jenaka yang keluar dari mulut mereka.
Sebab itu, Zarina gemar jika Zahin dan Zerril berkunjung ke rumahnya. Kedua-dua anak muda itu pandai mengambil hati dan menghormati orang tua. Tambahan lagi, mereka berdua sama-sama membesar di depan mata. Kedua-duanya sudah dianggap seperti anak sendiri.
“Ahad ni datanglah ke rumah. Kami buat majlis hari lahir ibu,” maklum Zerril.
“Insya-ALLAH. Tak ada apa-apa auntie datang. Wah, meriahlah ulang tahun ibu kali ni ek? Semua anak dia ada depan mata. Kalau tak, sorang seberang laut, sorang luar daerah...”
“That’s why nak celebrate meriah sikit. Auntie kalau ikutkan wajib datang. Nanti membebel ibu tu nanti,” ujar Zahin pula.
“Ye, Insya-ALLAH auntie datang.”
“Wei, kau apahal monyok semacam aje? Bergaduh dengan tunang ke?” usik Zerril sambil tersenyum nakal.
“Tak tahulah. Kepala ni tiba-tiba aje rasa pening,” maklum Hykal sebaik sahaja menelan nasi di dalam mulut.
“Ai, orang bekerja siang malam macam tulah, Ril. Tak panggil, duduklah dalam studio tu. Lepas tu mulalah pening lah apa,” sampuk Zarina sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Selalu ke pening kepala?” tanya Zerril seakan-akan mengambil berat.
“Kadang-kadang aje. Lagipun malam semalam aku tak tidur. Tu pening sikit kot,” bohong Hykal tidak mahu siapa-siapa risau akannya. Sedangkan tadi, kepalanya terasa seolah-olah ingin pecah dengan sakit yang tiba-tiba menyerang.
“Kau tak boleh selalu macam tu. Tidur tu penting. Pening tu sebab otak kau tak cukup rehat untuk proses semua maklumat yang diterima. Kalau selalu pening, better kau buat medical check-up. Takut ada effect lain,” nasihat Zerril serius.
“Dengar tu, Carl. Nanti Carl pergi checklah ya?” Zarina menyampuk. Tiba-tiba hatinya jadi tidak enak mendengar kata-kata Zerril.
“Baiklah mama!” Hykal mengangguk sambil tersenyum-senyum memandang Zarina.
Zarina mencebik. “Itulah jawapan dia bila auntie cakap. Hai, terjal sungguh!”
“Kena jaga tidurlah, Abang Carl. Sleep helps us to build up our strength from depleting. Masa tidur semua physical fatigue and intellectual demands will be refreshed. Sebab tu tidur tu penting. On average we need 8 hours for sleep tapi ada juga incredible case orang yang cuma tidur 15 hingga 30 minit atau lebih dari 11 jam. But that’s abnormal case that will only happen to certain people. Kita yang normal ni perlu tidur sekurang-kurangnya 7-8 jam sehari,” sampuk Zahin pula. Dia sekadar mengeluarkan sedikit sebanyak pengetahuan yang diketahuinya.
“Haa, dengar tu Carl. Bukan sembarang nasihat tu. Dua-dua bakal doktor ni,” seloroh Zarina bersahaja.
Zerril dan Zahin ketawa serentak.
MINGGU ini Qistina dan Anis pulang ke rumah. Gamat seketika keadaan di dalam rumah dengan senda-gurau mereka. Hubungannya dengan Tengku Nazril sudah diketahui semua. Heboh serumah!
Hykal dan Azizullah orang yang paling giat mengusik. Memandangkan sudah lama tidak berjumpa, Anis itu Anis tidur di bilik Qistina malam itu. Mereka berbual panjang sehingga lewat malam.
“Bila nak bawa dia jumpa mama dengan abah?” soal Anis sambil duduk bersila di atas katil menghadap Qistina yang sedang menyikat rambut di hadapan cermin.
“Uih, awal lagi. Tungguhlah setahun dulu. Ni sebulan pun tak sampai lagi.”
“Bagus apa bawak jumpa mama dengan abah. Untung-untung dapat tunang awal.” Anis tersenyum nakal.
Qistina terus berpaling. Bulat matanya memandang Anis. “Amboi, ayat bisa nampak?”
Anis tergelak. “Gurau ajelah.” Dia merebahkan tubuh ke tilam.
“Eh, esok ke birthday Auntie Liza?” soal Qistina tiba-tiba. Dia ingat-ingat lupa.
“Ha’ah, malam esok. Qis pergi tak?”
“Pergi kot sebab hari tu dia dah pesan awal-awal, kalau kebetulan Qis balik KL, dia suruh Qis datang,” jawab Qistina lantas menarik selimut sehingga ke paras dada. Anak matanya semakin layu.
Anis terdiam seketika. Di dalam kepalanya mula bersarang pelbagai jenis kemungkinan. Berkemungkinan besar dia akan bertemu dengan Zahin. Hatinya diburu resah tatkala memikirkan kebakalan detik itu. Entah kenapa hatinya terasa kurang senang setiap kali memikirkan soal lelaki itu.
Ah, barangkali aku sahaja yang bersangka yang bukan-bukan sedangkan lelaki itu tidak ada perasaan apa-apa pun. Desis hati Anis cuba mengusir sangkaan yang belum tentu sahih seperti yang difikir itu dari kepalanya.
Sekilas dia memandang Qistina. Gadis itu sudah terlelap. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Anis bangun menutup lampu bilik. Sebaik sahaja merebahkan tubuh ke tilam, matanya terus terpejam lantas terlena.
No comments:
Post a Comment