PULANG dari solat Jumaat, Zerril terus bergegas masuk ke biliknya menyalin pakaian. Hari ini seperti yang telah dijanjikan beberapa hari lepas, dia akan menjemput Zahin di kampus. Tidak sabar rasanya ingin bertemu dengan adik bongsunya itu. Sekurang-kurangnya jika Zahin pulang, tidaklah dia kebosanan bersendirian di rumah itu.
Selesai menyalin pakaian, dia terus ke tingkat bawah. Kunci kereta dicapai. Volvo 240 GL edisi lama kesayangan miliknya dipandu perlahan membelah jalan raya. Kereta itulah yang sering dipandunya ke mana sahaja dia pergi.
Asalnya kereta itu milik Nazri ketika zaman muda-muda dahulu. Hendak dijual sayang. Kata Nazri, banyak kenangan masa mudanya dengan kereta tua itu. Dan kini, kereta itu sudah pun menjadi milik Zerril memandangkan tidak ada sesiapa yang mahu menggunakannya. Sayangnya pada kereta itu seolah-olah melebihi segala-galanya. Tua-tua pun masih berfungsi dengan baik.
Sepanjang perjalanan, anak matanya melilau-lilau memerhati setiap tanda jalan yang ada. Sudah lama tidak memandu di sekitar jalan Kuala Lumpur menjadikan dia sedikit teragak-agak.
Akhirnya dia berjaya juga sampai di pintu masuk Universiti Malaya. Keretanya dipandu terus memasuki kawasan kampus dan menuju ke kolej kediaman Zahin.
Tiba diperkarangan kolej, nombor telefon Zahin dihubungi meminta adiknya itu turun. Tidak sampai lima minit, wajah Zahin muncul.
“Apa khabar, Ngah?” soal Zahin sejurus sahaja masuk ke dalam perut kereta. Tangan Zerril disalami.
“Sihat Alhamdulillah. Kau amacam? Makin bergaya nampak?”
Zahin tergelak. Namun dia tidak ambil pusing dengan kata-kata Zerril itu. “Makan dulu, Ngah. Lapar ni. Dari pagi tak makan apa-apa,” beritahu Zahin sambil menepu-nepuk perutnya yang sedang berkeroncong.
“Ha’ah, Angah pun belum makan lagi. Nak makan kat mana ni?”
“Angah keluar aje dulu dari kawasan ni, nanti Zahin tunjukkan jalan.”
Kereta yang dipandu bergerak dengan kelajuan sederhana. Akhirnya mereka tiba di sebuah gerai makan di sekitar kawasan Petaling Jaya. Kata Zahin masakan buffet di situ sedap-sedap belaka.
Sambil makan, mereka berbual-bual kosong. Masing-masing ada sahaja cerita sendiri yang ingin dikongsi. Maklumlah, sejak kecil lagi kedua-duanya agak rapat biarpun jarak umur mereka agak jauh.”
Selesai makan dan membayar harga makanan mereka terus pulang ke rumah. Hendak merayau ke tempat lain, masing-masing tidak tahu ke mana ingin dituju.
Tiba di rumah masing-masing membanting tubuh di sofa. Untuk seketika mereka membiarkan suasana sepi mengisi ruang tamu itu.
“Angah tak keluar ke? Duduk rumah hari-hari mana tak bosan,” tutur Zahin sambil
“Keluar gitu-gitu aje. Nak jumpa siapa aje? Kawan memang ramai tapi dah merata-rata duduk entah ke mana.”
“Habis kalau weekend Angah buat apa kat rumah?”
“Lepak dengan Hykal. Haa, lupa nak tanya. Kau pergi tak hari dia tunang hari tu?”
Soalan itu serta-merta menganggu gugat perasaannya. Serta merta ingatannya terkenangkan Anis. “Tak pergi...” Dia menjawab acuh tidak acuh.
Masakan dia mahu menghadirkan diri di majlis pertunangan itu. Sekadar ingin melukakan perasaan sendiri. Mungkin juga kehadirannya tidak disenangi. Jadi, dia hanya mendiamkan diri memendam perasaan sendiri.
“Kau kenalkan tunang Hykal tu?” Zerril bertanya lagi. Hykal ada memberitahunya Zahin dan Anis pernah sematrik dahulu.
“Kenal gitu-gitu aje. Kenal pun melalui kawan satu kelas. Angah dah jumpa ke tunang dia tu?” soal Zahin sekadar ingin tahu.
“Hari tu Hykal ada bawak datang rumah kenalkan kat ibu dengan abah. Tak tahu pulak dia tu anak angkat Auntie Za dengan Uncle Zul.”
Zahin diam. Tidak mahu berkata-kata lagi. Lagipun dia sudah mengetahui semua sekali mengenai kisah hidup Anis melalui Qistina. Entah kenapa tiba-tiba hati jadi sakit. Walhal dia sudah pun membuang jauh nama gadis itu dari sanubarinya.
“Tapi bagus jugak dia orang bertunang awal. Awal bertunang, awal sikit kahwin. Lagipun tinggal serumah macam tu macam-macam boleh jadi,” ulas Zerril lagi.
“Ikut dia oranglah, Ngah. Tak payah sibuk nak masuk campur? Lantak dia oranglah nak kahwin lambat ke awal. Angah tu, bila nak bawak balik calon menantu ibu dengan abah?”
Zerril tergelak besar. Lucu dengan intonasi suara berserta mimik muka yang ditunjukkan Zahin. Dah serupa macam Joyah Kepoh lagaknya.
“Angah lain...”
“Lain apa benda? Gay?” Selamba Zahin membidas. Riak wajahnya masih serius seperti tadi.
“Perghh kau punya mulut boleh tahan. Nabi tak mengaku umat tu. Kau ni nak menuduh orang tak beragak.”
“Manalah tahu kot-kot lama duduk Ireland tu selera bertukar kat kaum sejenis pulak.”
Zerril sekadar tersenyum nipis. “Nanti-nantilah. Ada jodoh tak ke mana.”
Zahin mencebik. Ayat yang sama juga yang didengar. Dia juga sudah terlalu arif dengan sikap Zerril setiap kali berbicara tentang perempuan. Ada waktunya dia berasa pelik, apakah Zerril mempunyai hati dan perasaan yang sama seperti orang lain?
Jika diikutkan, jumlah kenalannya terlalu ramai. Baik lelaki mahupun perempuan. Namun belum pernah seumur hidupnya mendengar Zerril bercerita dengan serius mengenai soal perempuan. Kadang-kadang runsing juga jiwa dibuatnya. Seperti yang selalu diadu oleh Hasliza; ‘Abang kamu tu normal ke?’
“BALQIS!!” panggil Anis separuh menjerit pada Balqis yang berada tidak jauh dari tempatnya berdiri. Keadaan Plaza Alam Sentral yang tidak sesak memudahkan Balqis mencari pemilik suara yang memanggil namanya itu. Serentak pandangannya terarah pada Anis.
“Wei, Anis!” Lantas dia berlari mendapatkan Anis. Tubuh sahabatnya itu dipeluk. Gembira benar rasanya bertemu dengan Anis di situ. Seakan-akan tidak percaya bertemu dengan temannya itu.
“Kau buat apa kat sini? Kenapa datang tak beritahu aku?” soal Anis sebaik sahaja meleraikan pelukan.
“Aku datang rumah abang aku kat sini. Sorry, bukan aku tak nak beritahu. Baru-baru ni handphone aku hilang kena curi. Entah keldai terencat mana kebas telefon aku. Kalau telefon mahal tak apa jugak, ini telefon zaman Alexander Graham Bell. Semua nombor hilang termasuklah nombor kau,” cerita Balqis becok.
Anis tergelak lucu. “Habis, sekarang kau pakai nombor mana? Patutlah aku contact tak dapat.”
“Nombor barulah. Aku dah malas nak guna nombor yang dulu. Leceh nak pergi ofis, buat itu buat ini. Haa, aku beli nombor lain terus. Tak payah banyak hal. Kau apa khabar? Sorang aje ke datang sini?”
“Aku sihat. Ha’ah, sorang aje. Dah biasa datang sorang ke sini. Saja jalan-jalan cuci mata. Kau pulak apa macam? Makin berseri-seri muka tu aku tengok. Ei. Kau dah cubby sikit kan?” ujar Anis sambil menepuk-nepuk pipi Balqis yang kelihatan montel itu sambil tertawa.
“Biasalah, hati bahagia,” ungkap Balqis sambil tersenyum penuh makna.
“Bahagia? Ada orang baru ke?” soal Anis kelihatan begitu teruja ingin tahu.
“Adalah...Tapi skandal dalam lima enam orang.”
“Fuyyo!”
Balqis ketawa lepas. “Eh, jom aku bawak kau naik kereta nak? Kita pusing-pusing Shah Alam ni. Boleh jugak kau tunjuk-tunjukkan jalan,” ajak Balqis.
“Kau drive ke datang sini?”
“Iyelah.. Aku bawak kereta kakak ipar aku. Jomlah. Kita cari port-port menarik sikit. Boleh cerita panjang.” Lantas tangan Anis ditarik. Mereka terus keluar dari pusat membeli belah itu.
TIDAK berakhir pada siang, Balqis dan Anis berjumpa lagi malam itu. Terlalu banyak cerita yang ingin dikongsi oleh mereka. Anis membawa Balqis bersantai di Tasik Shah Alam yang terletak di Seksyen 7. Mereka duduk di bangku yang menghadap tasik.
“Kau ada jumpa Zahin?” tanya Balqis memulakan bicara.
“Ada... Yang last aku jumpa kat kedai buku hari tu lah. Kau tak contact dia ke?”
Balqis menjeling Anis.
“Oh lupa... Handphone kau hilang ek?” Anis tersengih-sengih. “Kau nak nombor dia tak? Aku ada simpan.”
“Hmm, boleh jugak!” respon Balqis kelihatan ceria.
Anis menghulurkan telefon bimbitnya kepada Balqis lalu menyuruh gadis itu menyalin nombor telefon Zahin. Selesai menyalin, telefon Anis dikembalikan.
“Kau tunggu dia lagi ke, Balqis?” tanya Anis sambil merenung tepat ke wajah Balqis.
“Ish, mengarutlah kau!” nafi Balqis sambil menongkat dagunya di lutut.
“Alaah, macam aku tak tahu aje hati perut kau tu. Nanti kau contactlah dia balik. Kau tahu tak, abang kepada Zahin tu kawan baik tunang aku.”
“Really? Handsome tak? Mana lagi handsome dengan Zahin?” soal Balqis sambil tersengih-sengih.
Spontan pipi Balqis ditolak. “Takde soalan lain ke?”
Balqis menayang gigi. Namun sesaat kemudian suasana antara mereka jadi hening. Masing-masing melarikan pandangan melihat gelagat orang ramai yang sedang bersantai di sekitar kawasan tersebut.
“Balqis... Kau suka Zahin kan?” soal Anis tidak semena-mena sambil merenung tepat ke dalam anak mata sahabatnya itu.
Soalan tidak tiba-tiba itu membuat Balqis tersentak.
MALAM itu sebelum menanti mata lelap sepenuhnya, Zahin memeriksa mesej pesanan ringkas di telefon bimbitnya. Ada 5 mesej dan 2 missed call tertera di skrin. Satu nombor yang tidak dikenali menghubunginya sebentar tadi. Siapa ya? Lantas mesej-mesej yang dihantar tadi dibaca. Satu nombor yang tidak dikenali juga tertera di dalam inbox.
Zahin, balqis here. Ni nombor baru aku. Nanti kalau nk contact pakai nombor ni ya...
Balqis? Ya, sudah lama dia tidak menghubungi gadis itu dan lama juga mereka tidak bertanya khabar antara satu sama lain. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 12.30 pagi. Agak-agak sudah tidurkah Balqis? Terlintas pula di kepalanya untuk menelefon gadis itu. Ah, call ajelah..
Beberapa saat menunggu akhirnya panggilan dijawab. Suara balqis kedengaran di talian.
“Assalamualaikum.” Zahin menghulur salam.
“Wa’alaikumussalam,” balas Balqis. Suaranya kedengaran ceria.
“Belum tidur lagi ke?”
“Aku tengah baca buku cerita dekat anak buah aku ni. Dari tadi tak nak tidur-tidur. Dah nak dekat 15 buah buku dah aku khatam.”
Zahin tergelak mendengar kata-kata Balqis yang bernada lucu itu. “Kau cuti ke sekarang?”
“Ha’ah. Aku kat Shah Alam ni kat rumah abang aku. Apa cerita kau sekarang? Lama tak dengar khabar?”
“Macam dulu jugak. Tak ada apa-apa perubahan pun. Kenapa dengan nombor kau yang lama?”
“Ah, hari tu telefon aku kena curi. Aku dapat nombor kau ni pun dari Anis. Kebetulan terserempak dengan dia kat Alam Sentral semalam.”
Nama itu lagi... Desis hatinya. “Oooh.. Kau sihat? Boyfriend sihat?”
“Mana aku ada boyfriend. Kan aku tunggu kau? Hari tu cakap nak masuk meminang tapi tunggu tak ada pun?” seloroh Balqis lantas tertawa.
“Eh, aku pernah cakap macam tu ke?” soal Zahin turut sama tertawa.
Balqis sudah ketawa di talian. Hilang seketika rasa mengantuknya melayan celoteh bekas teman sematriknya itu.
“By the way, kau kat Shah Alam kan? Sabtu ni kalau kau ada masa datanglah ke rumah aku. Aku celebrate birthday party ibu aku,” maklum Zahin.
“Macamlah aku tahu jalan nak ke rumah kau tu, Zahin oi. Next time ajelah...” tolak Balqis. Sedangkan jauh di sudut hati dia teringin amat bertemu dengan lelaki itu.
“Alah, kau ajaklah abang kau. Bukannya susah mana pun jalan KL ni. Kau follow aje signboard.””
“Tak apalah. Lagipun aku dah nak balik esok lusa.”
“Okey. Maybe next time. Eh, Anak buah kau dah tidur belum?”
“Dah. Baru terlelap ni. Fuh, lega aku. Kalau tak mahu 20 buah buku aku baca malam ni.”
Zahin tertawa lepas mendengar kata-kata temannya itu. “Hmm, okeylah Balqis. Aku mengantuklah. Nanti ada masa kita sembang lagi ya,” ucap Zahin ingin menamatkan perbualan.
“Okay. Good night!”
Talian dimatikan. Selayang keluhan keluar dari mulutnya. Belum puas dia bersembang dengan lelaki itu. Namun apakan daya. Takkan dia mahu menghalang. Nanti apa pula kata Zahin? Akhirnya dia terlena jua. Wajah Zahin yang sedari tadi menari di ruang mata semakin jauh menghilang dan hanyut bersama mimpi-mimpi yang tercipta di alam lenanya.
No comments:
Post a Comment