ANIS bergegas pulang ke asrama sebaik sahaja tugasan studionya selesai. Jam di tangan dikerling. Pukul 4 petang. Hari ini dia sudah bercadang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Lagipun sudah lama dia tidak pulang bertemu Zarina dan Azizul semenjak majlis pertunangannya beberapa bulan yang lepas. Sebentar lagi Hykal akan datang untuk menjemputnya.
Selesai solat Asar dia bersiap ala kadar lantas turun ke perkarangan kolej. Kelihatan pemuda itu sedang menantinya sambil melemparkan senyuman.
Pertama kali bertemu, jantungnya sudah berdendang resah. Sejak dulu lagi rasa itu sentiasa menghuni perasaannya tatkala menatap sepasang mata milik Hykal.
Waktu bersama di dalam kereta terasa begitu singkat. Sedar-sedar kereta Hykal sudah memasuki perkarangan rumah. Kelihatan Zarina dan Azizul sedang bersantai di laman.
“Assalamualaikum,” sapa Anis mendapatkan Zarina dan Azizul. Tangan Azizul dan Zarina disalam lantas dikucup.
“Mari duduk, minum...” ajak Zarina sambil menarik kerusi di sebelahnya.
“Tak apalah, mama. Anis dengan abang baru lepas minum tadi,” tolak Anis lembut.
“Ha’ah, kami baru aje lepas minum tadi,” sampuk Hykal yang sedang berdiri di sebelah Anis.
Zarina dan Azizul saling berpandangan. Masing-masing tersenyum penuh makna.
“Dah dating awal-awal dengan tunanglah ni ya?” perli Zarina sambil menghirup teh di cawan.
Anis sudah tersenyum malu.
“By the way, malam ni Carl nak ingat nak pergi rumah Auntie Liza sekejap. Nak kenalkan Anis kat family dia orang. Mama dengan papa nak ikut sekali?”
“Tak apalah. Mama dengan papa ada hal malam ni. Carl bawak ajelah Anis. Balik tu jangan lambat-lambat. Kamu tu kalau dah jumpa dengan Zerril tak ingat siang malam dah,” pesan Zarina mengingatkan anaknya.
Hykal tersenyum. Tanpa menunggu lagi mereka meminta diri untuk beredar.
“Siapa Auntie Liza dengan Uncle Nazri tu?” soal Anis sebaik sahaja dia dan Hykal masuk ke dalam rumah.
“Adik beradik angkat mama... Anis ingat tak orang yang kecoh-kecoh kat majlis pertunangan kita dulu tu?”
Anis terdiam seketika. Cuba mengingati sesuatu. “Ramai yang kecoh-kecoh, abang,” balas Anis dengan ekspresi wajah yang bersahaja.
Hykal tergelak. “Takpelah. Malam nanti abang akan kenalkan Anis kat dia orang.”
PERTAMA kali melangkah masuk banglo kediaman Nazri dan Hasliza, anak mata Anis terpegun seketika melihat keindahan landskap dan susun atur laman rumah tersebut. Bayangan air dari kolam renang di sudut terpencil dari laman hadapan kelihatan terbias pada dinding rumah mencetuskan ilusi damai di situ.
Langkah Hykal hanya dituruti. Seorang wanita menyambut kedatangan mereka di muka pintu sambil tersenyum mesra. Lantas mereka dipelawa masuk.
“Inilah Auntie Liza yang abang cerita kat Anis tu,” ucap Hykal memperkenalkan Hasliza kepada Anis.
Anis hanya tersenyum memandang wanita itu. Baru kini dia dapat mengecam seraut wajah itu. Seingatnya juga Qistina pernah menceritakan kepadanya mengenai perihal wanita tersebut dahulu tetapi dia sudah lupa. Namun dari riak wajah Hasliza, dia dapat merasa wanita itu seorang yang baik hati.
“Lah, Anis tak kenal auntie ke?” soal Hasliza sambil tersenyum memandang tunangan Hykal itu.
“Bukan tak kenal, tapi tak cam,” tutur Anis turut melemparkan senyuman.
“Tak apa, malam ni kita berkenalanlah nanti,” seloroh Hasliza bersama lirikan matanya.
Hykal dan Anis tergelak serentak.
“Ish, mana pulak dua beranak ni? Kejap ya, auntie naik ke atas. Maklumlah uncle dengan Zerril tu kalau tak berjemput dengan tepak sirih, tak mahu turun. Anak dengan bapak sama aje fe’elnya,” bebel Hasliza lantas beredar ke tingkat atas.
Sementara menanti, anak mata Anis memerhati setiap inci ruang di dalam rumah itu. Tiba-tiba bebola matanya terkalih pada sebuah gambar besar yang tergantung di dinding di ruang bersebelahan ruang tamu.
Agak lama matanya meneliti gambar Hasliza bersama anak-anak dan suaminya itu. Tiba-tiba Anis tersentak. Dia kaku seketika di situ.
“Kenapa Anis?” soal Hykal sedikit hairan melihat ekspresi wajah Anis ketika itu.
“Err.. Auntie Liza ni ibu kepada Zahin ke?” soal Anis meminta kepastian. Saat itu perasaannya sudah tidak menentu.
“Oh ya... Abang terlupa nak bagi tahu Anis. Lupa dulu Anis pernah satu matrik dengan dia. Zahin tu anak dia yang bongsu.” Hykal sudah terlupa dahulu Qistina pernah memberitahunya Anis dan Zahin saling mengenali dan pernah belajar di matrik yang sama.
Anis terkesima. Berderau darahnya tika itu. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa tidak enak berada di situ. Mana dia tahu Hasliza itu ialah ibu kepada Zahin. Ah, kecilnya dunia ini! Desis hati kecilnya.
Bunyi suara yang datang dari arah tangga mengalih tumpuan mereka. Tidak lama kemudian muncul Hasliza bersama Nazri dan Zerril di sisinya.
“Bersembanglah dulu ya? Auntie nak ke dapur dulu siapkan makan malam,” ujar Hasliza lantas beredar ke dapur.
Anis tersentak. Spontan pandangannya terarah pada wajah Nazril dan Zerril. Seketika kemudian Hykal bersalaman dengan mereka.
“Anis kenalkan, Uncle Nazri dan yang kat sebelah tu Zerril, kawan abang,” perkenal Hykal sambil menunjuk ke arah Zerril dan Nazri.
Anis hanya mengangguk lalu tersenyum. Seketika bebola matanya terarah pada Zerril. Entah kenapa dia seolah-olah pernah melihat seraut wajah itu. Sepasang mata milik Zerril seolah-olah mengingatkan seseorang yang pernah berada di ingatannya satu ketika dahulu. Namun dia tidak pasti siapa dan di mana dia melihat wajah semirip itu. Ah, barangkali pandangannya sahaja yang tersilap.
“Mama dengan papa tak ikut sama?” soal Nazri sambil melabuhkan punggung di sofa bersebelahan.
“Tak... Dia orang kirim salam aje kat uncle. Uncle apa khabar? Sihat ke?”
“Alhamdulillah, sihat. cuma biasalah sibuk uruskan business. Sekejap ke sana, sekejap ke sini. Maklumlah sorang-sorang. Anak bini semua nak jadi doktor.”
Kata-kata Nazri mencetuskan tawa pada setiap yang ada di situ. Lelaki itu kelakar juga orangnya.
“Tak apalah uncle. Nanti sakit pening senang kalau anak-anak dengan isteri semua doktor,” celah Anis cuba menyertai perbualan mereka. Rasa canggung itu ditolak jauh. Dia mahu menjadi seorang yang fleksibel pada semua keadaan.
Nazri mengangguk-angguk sambil tersenyum. “Yelah Anis... Betul jugak tu. Hmm, Anis ambil course apa ya kat UiTM?” soal Nazri sekadar ingin tahu.
“Anis ambil architecture...”
“Waaa.. Pasangan sehati sejiwalah ni?” sampuk Zerril spontan. “Ah, senanglah aku lepas ni nak buat rumah. Tak payah susah-susah cari arkitek. Hire korang berdua pun jadilah. Untung-untung dapat diskaun,” tutur Zerril sekadar berjenaka.
“Eh, mana pulak? Dengan kawanlah charge kena tinggi. Barulah nama kawan tolong kawan,” balas Hykal.
“Betul tu Hykal. Kamu nanti kalau nak buat rumah dia, charge lebih sikit. Dia banyak duit. Anak takde, bini takde... Maklumlah dengar cerita, cita-cita nak hidup solo sampai tua.”
Sekali lagi kata-kata Nazri disambut tawa oleh Anis dan Hykal.
“Peluang besar ni, abang. Untuk buat pelan rumah dia aje kita dah boleh jadi kaya. Itu belum termasuk lagi dengan decoration luar dan dalam rumah. Tak payah fikir projek lain dah. Projek construction rumah dia aje kita dah boleh jadi jutawan!” bicara Anis sambil menjungkit keningnya memandang Hykal.
“Betul tu... Setahun kita boleh goyang kaki dapat duit buat rumah dia,” sahut Hykal giat mengenakan Zerril.
“Pergh, dua-dua mata duitan. Kopak duit aku!”
Serentak tawa yang lain terburai.
“Amboi-amboi meriahnya kalau dah berborak tu. Dengar sampai ke dapur. Anis, Hykal mari jemput makan. Semua dah siap tu,” ajak Hasliza yang tiba-tiba muncul di ruang tamu.
Tanpa menunggu lagi, mereka bangun lantas beredar ke ruang makan. Sambil menjamu selera, perbualan mereka masih berterusan. Setiap kali ada sahaja senda gurau yang keluar dari mulut masing-masing. Untuk semalam sahaja, Anis mula dapat menyesuaikan dirinya dengan keluarga itu.
No comments:
Post a Comment