HARI ini merupakan hari terakhir Anis mengambil peperiksaan. Bererti selepas ini pembelajaran akan dijalankan seperti biasa. Awal pagi lagi Anis sudah bangun untuk membantu ibunya memasak nasi lemak.
“Harap-harap hari ni semua nasi lemak kita laku kan ibu?” Nasi lemak itu kemudian dikira. Bilangannya berlebihan seperti hari biasa.
Azizah tersenyum seraya mengangguk. “Semalam Anis cakap nak bawakkan nasi lemak untuk kawan Anis tu. Siapa namanya?”
“Qistina, ibu.”
“Qistina...” Kepala Azizah terangguk-angguk. Selalu juga Anis menceritakan kisah Qistina kepadanya namun setiap kali hendak menyebut nama rakan Anis itu dia jadi lupa.
Anis mengangguk-angguk mengiyakan kata-kata Azizah. Suasana jadi hening seketika. Anis tekun menyusun nasi lemak yang telah siap dibungkus ke dalam bakul. Kemudian dia bangun mengambil beg sekolah yang disandar di tepi pintu dapur.
“Jalan baik-baik. Nanti kirim salam pada kawan Anis tu ya?”
“Okey, bu. Anis pergi dulu. Sayang ibu!” Tangan Azizah disalam lalu dicium. Kemudian kedua-dua pipi ibunya itu dikucup.
Azizah memerhati gerak langkah Anis. Perasaan sayu datang kembali tatkala melihat Anis menjinjing bakul yang diisi dengan nasi lemak itu. Itulah rutin harian Anis sebelum ke sekolah. Namun tidak pernah barang sekalipun anaknya itu merungut.
Agak lama dia berdiri di muka pintu sehinggalah kelibat Anis hilang di sebalik rumah-rumah setinggan di situ. Ya ALLAH berikanlah kekuatan hati pada anakku. Tabahkanlah hatinya menempuhi kehidupan yang serba daif ini dan lindungilah dia dari sebarang keburukan. Doa hatinya lantas menutup daun pintu.
“ANIS!” panggil satu suara.
Anis berpaling ke belakang. Kelihatan Cikgu Shuhada sedang berdiri tidak jauh darinya. Guru itu menghampirinya. Ketika itu dia baru sahaja hendak menuruni tangga. Waktu persekolahan sudah pun tamat.
“Kenapa cikgu?” tanya Anis ingin tahu. Pelik jga kenapa Cikgu Shuhada tiba-tiba memanggilnya.
“Cikgu nak jumpa kamu sekejap,” jawab guru itu lalu tersenyum.
Berkerut dahi Anis. “Ada apa cikgu?”
“Cikgu ada hal sikit dengan kamu,” beritahu Cikgu Shuhada dengan riak muka yang tenang.
Anis mengangguk. Hanya menurut.
“Duduk, Anis,” pelawa Cikgu Shuhada seraya menarik kerusinya lalu melabuhkan punggung. Dia menyusun beberapa fail yang sedikit berselerak di sudut meja.
Perlahan-lahan Anis melabuhkan punggung di kerusi menghadap Cikgu Shuhada. Guru itu merupakan guru disiplin di sekolah dan juga guru subjek kimia kelasnya.
“Macam mana dengan pelajaran kamu setakat ni?”
“Alhamdulillah. Semuanya baik-baik.”
Cikgu Shuhada mengangguk-angguk. Kemudian dia menunduk mencapai sesuatu di bawah meja. “Baguslah... Cikgu cuma nak sampaikan benda ini pada kamu.” Satu beg kertas besar dihulurkan kepadanya.
“Apa ni?” soal Anis seraya menyambut huluran berupa bungkusan di dalam beg kertas itu. Saiznya agak besar dan sedikit berat.
“Anggaplah semua ni hadiah dan bantuan dari pihak sekolah. Saya cuma wakil untuk menyerahkannya pada kamu,” ujar Cikgu Shuhada lembut.
Anis kehilangan kata-kata. Dia agak terkejut dengan pemberian itu. “Apa ni, cikgu? Macam berat aje?” soalnya sambil menilik-nilik bungkusan besar itu.
Cikgu Shuhada hanya mempamerkan senyuman. “Kamu tengoklah sendiri nanti. Dah, itu aje yang cikgu nak sampaikan. Sekarang kamu boleh balik.”
Anis tersenyum. Terharu menerima pemberian tersebut. “Terima kasih cikgu. Saya mintak diri dulu.”
Sebaik sahaja tiba di rumah, terus bungkusan tadi dibuka. Alangkah terkejutnya Anis tatkala melihat ada empat buah buku rujukan fizik, kimia, biologi dan sejarah di dalamnya. Terharu benar rasanya menerima pemberian itu. Sememangnya dia tidak mampu untuk membeli semua itu. Selama ini pun jika ingin mengulangkaji dia hanya meminjam dari perpustakaan. Tidak menyangka masih ada yang sudi memberi pertolongan.
Syukur, alhamdulillah...
PEPERIKSAAN SPM akan bermula hari ini seluruh Malaysia. Dengan lafaz Bismillah, Anis melangkah masuk ke dewan. Debaran di dada semakin kuat. Beberapa minit kemudian, ketua pengawas peperiksaan mengumumkan peperiksaan akan dimulakan.
Logo Lembaga Peperiksaan di muka depan kertas soalan itu dipandang seketika. Selepas mengisi semua butir peribadinya di situ, dia mula menjawab dengan tenang.
Jarum jam bergerak perlahan melengkapi pusingannya. Tidak sedar masa yang berlalu, tiba-tiba kedengaran pengumuman masa menjawab telah tamat. Semua alatan tulis disimpan di dalam uncang kecil miliknya. Tidak lama kemudian semua kertas dipungut.
Sehinggalah kertas terakhir, semuanya berjalan dengan lancar. Sebaik sahaja diumumkan masa menjawab kertas telah tamat, Anis menarik nafas lega. Setelah berminggu menempuh tempoh sukar itu, akhirnya segalanya berakhir.
Suasana di sekolah agak bising ketika semua pelajar keluar dari dewan. Masing-masing bersorak gembira. Jeritan dan tempikan dari pelajar-pelajar lelaki menggamatkan lagi keadaan.
Di luar dewan Anis menghabiskan masanya bersama rakan-rakan sekelas untuk hari terakhir. Masing-masing saling bermaafan dan berpelukan.
“Ada jodoh, jumpa lagi ya Anis?” ucap Qistina sambil menyalami tangan Anis.
Anis mengangguk sambil tersenyum. Entah kenapa hatinya berasa sayu tatkala menatap wajah temannya itu. Lantas tubuh Qistina didakap.
Puas menghabiskan waktu bersama, akhirnya masing-masing membawa haluan sendiri. Perpisahan kali ini barangkali akan mengambil waktu yang lama lagi untuk bertemu kembali.
No comments:
Post a Comment