PERMULAAN semester seterusnya membawa kenangan hati yang tidak mungkin dapat dilupakan seumur hidupnya. Anis masih beruntung kerana masih diberi peluang tinggal di asrama kampus. Johanna dan Fairuz masih kekal menjadi rakan sebiliknya.
Seperti yang sudah dijangka, Fairuz dan Johanna tidak habis-habis mengusiknya. Masing-masing sibuk hendak melihat cincin yang tersarung dijari Anis.
Persis seorang artis, dia diwawancara. Soalan-soalan yang tidak munasahab pun ada ditanya. Hai, nasiblah aku bertemu dengan minah kepoh dua orang ni.
Keesokan harinya, kelas bermula. Rutin sebagai pelajar kembali semula memenuhi jadual harian mereka. Hari ini tidak ramai pensyarah yang masuk ke kelas. Barangkali masing-masing masih sibuk membuat persiapan untuk pengajaran baru.
Petang itu, selepas Zohor Anis sudah pulang ke biliknya. Tiba di bilik dia mendapati Ryana ada di situ. Gadis itu sedang mengemas barang-barangnya di dalam almari. Mungkin baru sampai agaknya.
“Hai Anis. Baru habis kelas ke?” tegur Ryana ramah. Gadis itu tersenyum memandangnya.
“Ha’ah..” Anis terpinga-pinga sebentar. Hairan juga tiba-tiba gadis itu menyapanya mesra. Gadis itu bukan begitu pada kebiasaannya.
Namun Anis malas menghiraukan semua itu. Apa salahnya hendak bertegur sapa? Orang tanya elok-elok, kenalah balas baik-baik. Tak guna menyombong diri. Dia ke bilik air untuk mengambil wuduk. Ketika masuk ke bilik, dilihat Ryana masih kelihatan sedang mengemas pakaiannya.
“Anis, kau nak solat ke?”
“Ha’ah.. Kenapa?” soal Anis kelihatan bingung. Ketika itu dia baru sahaja membentang sejadah ke lantai.
“Aaa, tunggu sekejap. Aku nak solat sekali.” Tiba-tiba Ryana bangkit lalu bergegas keluar.
Anis terlopong. Benarkah apa yang didengar sebentar tadi? Ryana ingin mendirikan sembahyang bersamanya? Benaknya diserbu rasa hairan. Kelakuan Ryana benar-benar kelihatan ganjil. Mana tidaknya, selama dia mengenali Ryana, gadis itu tidak pernah dilihat mendirikan solat.
Tidak lama kemudian, Ryana muncul. Gadis itu terpacak di hadapannya. Baru Anis perasan, wajahnya kelihatan sembab dan tidak bermaya. Seolah-olah baru sahaja menangis.
“Kenapa Ryn?” soal Anis hairan dan ingin tahu.
“Aku.. Aku tak ada kain telekung,” beritahu Ryana seolah-olah kedengaran begitu sedih. Wajahnya tampak begitu sugul.
“Tak apa. Kau pakailah telekung Fairuz,” saran Anis sambil mencapai kain telekung Fairuz di atas katil lalu dihulurkan kepada Ryana.
Ryana terus menyarungkan kain telekung itu ke kepalanya. Pergerakannya kelihatan sedikit kekok namun Anis sekadar memerhati.
Sebaik sahaja selesai solat dan berdoa, Anis bangun menanggalkan telekung. Ryana masih bersila di atas sejadah. Gadis itu sedang termenung merenung lantai.
“Ryn, kau tak sihat ke?” soal Anis sambil merenung tepat ke muka Ryana.
Ryana kaku tanpa sebarang reaksi. Tiba-tiba Anis lihat ada air mata yang mengalir di pipi gadis itu.
“Ryana?” panggil Anis lembut lalu menyentuh bahu Ryana perlahan. “Kenapa kau menangis ni?” soal Anis. Rasa ingin tahu semakin membuak-buak.
Esak tangis Ryana mula kedengaran. Anis semakin gelisah. Namun perlahan-lahan dia cuba memujuk gadis itu.
“Kenapa ni Ryn? Kalau kau ada masalah, bagi tahulah aku. Kalau aku boleh tolong, aku akan tolong,” bicara Anis lembut. Dia seperti dapat merasa ada sesuatu yang begitu berat yang sedang ditanggung oleh Ryana.
“Anis, selama ni aku dah banyak buat dosa. Hidup aku dah jauh menyimpang. Banyak benda terlarang yang aku dah buat. Aku menyesal Anis...” ratap Ryana bersama rembesan air mata yang menodai pipinya.
“Apa yang kau dah buat?” tanya Anis masih kurang jelas.
Tangisan Ryana semakin menjadi-jadi. Kain telekung yang dipakainnya sudah lencun dengan air mata yang tidak henti-henti keluar mengalir. Ryana menekup muka.
Anis menggosok-gosok perlahan belakang tubuh gadis itu. Dia tidak mahu bertanya lagi. Biarlah Ryana tenang untuk beberapa waktu.
“Aku tak tahu nak cerita kat siapa lagi. Aku takut, Anis. Aku takut sangat-sangat...” luah Ryana bersama esak tangis.
“Ryn, bawak mengucap... Cuba terus-terang dengan aku apa sebenarnya yang dah berlaku? Ingat TUHAN Ryn, susah mana pun, itu dugaan dari DIA,” pujuk Anis sambil mengenggam tangan Ryana.
“Aku mengandung, Anis...” ucap Ryana terus-menerus. Tangisannya semakin kuat kedengaran.
Anis terpempan. “Astargfirullahalazim...” Dia benar-benar terkejut dengan kenyataan yang keluar dari mulut Ryana itu. Namun perlahan-lahan tubuh gadis itu dihadapkan ke arahnya.
“Betul ke, Ryana?” soal Anis meminta kepastian.
Ryana mengangguk-angguk. “Aku dah buat medical check up and doktor dah sahkan aku pregnant tiga bulan. I’m so scared, Anis. What am I supposed to do?”
“Parents kau dah tahu?”
Ryana menggeleng.
“Boyfriend kau?”
Untuk kesekian kalinya Ryana menggeleng. “I don’t know who’s the father of this baby. Aku selalu bertukar boyfriend. In a month, I slept with more than 5 men. So, aku betul-betul tak tahu anak ni, anak siapa.”
“Ryana.. Astargfirullahalazim.” Pengakuan Ryana benar-benar membuatkan Anis tersentak. Melopong mulutnya sebentar.
“Aku jijik, Anis. Nak menyesal memang dah tak guna. Aku dah tak boleh fikir lagi, sekarang. Should I abort it?” tanya Ryana sudah hilang pertimbangan. Dia benar-benar kebuntuan di saat ini.
“Ryana, kalau kau gugurkan kandungan tu sama macam kau membunuh satu nyawa. It has already been there in you. It’s a soul that has been given by HIM. Jangan tambahkan lagi dosa, Ryn,” nasihat Anis bersunguh-sungguh. Dia benar-benar tidak bersetuju seandainya Ryana mengambil keputusan untuk menggugurkan bayi itu.
“Habis, apa aku nak jawab kat parents aku nanti? Macam mana aku nak cari bapa pada bayi yang aku kandungkan ni? Siapa yang nak mengaku, Anis?” soal Ryna bertubi-tubi.
“Kalau kau mampu cari siapa bapa bayi ni, kau cubalah dulu. Mana tahu dia sanggup mengaku anak tu anak dia?”
Ryana menggeleng laju. “Siapa yang nak mengaku, Anis? Sia-sia aje kalau aku buat semua tu.”
Anis terkedu untuk seketika. Terasa begitu berat apa yang dialami Ryana itu. Dia sendiri buntu untuk memberi sebarang saranan buat gadis itu. Bukan mudah untuk meneka bapa bayi yang dikandung Ryana memandangkan bilangan mereka terlalu ramai. Anis beristighfar di dalam hati. Bahu Ryana disentuh.
“Kau kena redha dengan ujian ni, Ryn. Kau kena kuatkan semangat. Jangan risau... Kita face benda ni sama-sama ya? Selagi aku boleh tolong, Insya-ALLAH aku akan tolong.” ucap Anis lembut. Lalu tubuh Ryana dipeluk.
No comments:
Post a Comment