BUNYI isyarat e-mel dari komputer riba menghentikan tumpuan Hykal pada lukisan yang sedang dilukis. Lantas posisi tubuhnya dihadapkan pada komputer riba.
Assalamualaikum. Lama tak dengar khabar. Hidup amacam? Ada baik? Awal tahun depan aku balik Malaysia. Hope to see you soon!
E-mel kiriman Zerril itu dibaca sekali lalu. Sudah lama dia tidak berhubung dengan temannya yang sedang menuntut di University College Cork di Ireland itu. Lantas jari jemarinya mengetip satu persatu papan kekunci komputer membalas e-mel tersebut.
Waalaikumussalam.. Aku sihat. Apa mimpi kau balik ni? Ingatkan dah tak ingat KL...
Tidak sampai beberapa minit, e-melnya dibalas Zerril.
Cuti sempena hari-hari kebebasan aku tamat praktikal. Lagipun dah dua tahun aku tak balik. Mana boleh lupa. Tanah tumpahnya darahku.. Hahaha.. Kau dengan Najwa apa cerita? Bila nak melangsungkan hari bahagia?
Hykal kembali menaip.
One thing you’ve to know, aku dengan Najwa dah tak ada apa-apa. And another one thing to let you know, aku akan bertunang tak lama lagi.
Itu sahaja yang mampu dicoretkan. Ketiadaan Zerril semestinya meninggalkan pelbagai cerita baru tentang dirinya. Semuanya tidak mampu dikhabarkan melalui medium interaksi seperti itu. Lagipun dia tidak mahu memanjangkan cerita yang sudah berakhir. Selebihnya biarlah diceritakan sekembalinya Zerril ke Malaysia nanti.
What a surprise! Apahal wei? Tranformasi cinta monyet kepada cinta babun ke? Dulu bukan main bercinta tak hirau alam. Berkepit mengalahkan belangkas. Dengar-dengar dah break up, lagi nak bertunang dengan orang lain. Hebat, hebat...
E-mel Zerril membuatkan Hykal tesenyum sendirian. Seperti terbayang-bayang ekspresi wajah Zerril ketika menuturkan bait-bait kata itu. Ah, lelaki itu adakalanya memang seorang yang cukup selamba apabila bertutur. Namun, e-mel itu terus dibalas.
Man purposes, ALLAH disposes.. Jodoh tak panjang, nak buat macam mana?
Butang hantar ditekan. Hykal sudah kehilangan idea untuk berbual. Lima minit kemudian, isyaray e-mel diterima kedengaran lagi.
Nampaknya tak sempatlah aku nak datang ke majlis pertunangan kau nanti. Anyway, jangan lupa pulak kenalkan aku dengan ‘cinta’ baru kau tu. Okey bro, see you soon! Selamat Bertunang...
Hanya setakat itu mereka berbalas e-mel. Hykal kembali menyambung kerjanya. Sesaat dia tersenyum tatkala mengenangkan Zerril akan pulang ke Malaysia tidak lama lagi.
DUA bulan yang membawa seribu satu kenangan terindah. Tempoh yang sarat dengan detik-detik bahagia yang terlakar antara Anis dan Hykal. Masing-masing seolah-olah tidak mampu dipisahkan lagi.
Keputusan yang diputuskan adalah muktamad. Tiada sebarang keraguan dan keterpaksaan. Bagi Hykal, cinta kedua ini tidak ada ganti untuk kesekian kalinya lagi. Biarlah terus tertetap pada Anis seorang. Dan bagi Anis pula, dia menerima ketentuan itu sebagai hikmah untuk dirinya. Dia memahatkan kepercayaan, seandainya kasih itu terus bersemi, apa jua ikatan yang termeterai pasti akan terus berkekalan . Jadi, tidak ada apa lagi yang boleh menghalang mereka untuk mematerai satu tanda ikatan itu
Suasana meriah pada hari majlis pertunangan itu dilangsungkan, seribu satu rasa mewarnai perasaan sukma Anis. Segala-galanya persis imaginasi dirinya dan segala-galanya berlaku dengan pantas.
Saat cincin emas putih pemberian Hykal disarung Zarina ke jari manisnya, debar yang dirasa mencipta satu kelainan pada nalurinya. Entah kenapa perasaannya jadi sayu yang teramat.
Kehadiran Mak Kiah yang turut sama memeriahkan majlis menambahkan lagi rasa yang merangkumi sukmanya. Tidak sedar ada air mata yang mengalir menuruni pipi. Sekaligus ingatannya terkenang pada arwah Azizah. Kalaulah arwahnya itu masih hidup, pasti dialah insan yang paling gembira meraikan hari itu.
Lantas hatinya berbicara sendiri.
‘Ibu, hari ini merupakan hari yang paling indah bagi Anis. Anis dah selamat ditunangkan dengan lelaki yang Anis cinta. Tak pernah terlintas di fikiran untuk menempuh detik ini seusia sebegini muda namun TUHAN itu menentukan segala-galanya. Biarpun dirancang mahupun tanpa dirancang. Ibu restukanlah hubungan ini. Biar terus kekal selama-lamanya.’
Anis kembali pada dunia realiti tatkala cahaya dari lensa kamera Qistina merakam gambarnya.
“Selamat bertunang ya, kakak ipar,” bisik Qistina nakal lalu mengucup pipi Anis. Dia ketawa kemudiannya.
No comments:
Post a Comment