MATA Anis sejak tadi belum rasa mengantuk. Benaknya diasak dengan pelbagai persoalan mengenai Hykal. Mengapa lelaki itu tiba-tiba sahaja berubah? Segala kelakuan dan gelagat Hykal meninggalkan tanda tanya di kepalanya.
Takkanlah disebabkan gurauan seperti itu Hykal mahu ambil hati? Lagipun Hykal tentu tahu segala yang terucap dari mulutnya itu sekadar canda dan setahunya juga lelaki itu jenis yang tidak kisah, jauh sekali ingin termakan hati dengan kata-kata sedemikian rupa.
Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar dan lantas telefon itu dicapai. Satu mesej yang diterima dibuka. Berdebar-debar jantungnya tatkala melihat nama Hykal tertera di peti masuk mesej.
Sorry untuk apa-apa aje yang buat Anis tak selesa dengan abg tadi. Sbnrnya abg pun tak tahu knp tiba-tiba abg jd mcm ni. Abg tak berniat pun nak slhkan Anis dan tak pernah berniat nak campur hal peribadi Anis. Susah kalau nak terangkan pada Anis melalui cara yang macam ni. Abg takut Anis lagi tak selesa dengan abg nanti. No matter wat, I still have to let you know...
Bagai hendak terbeliak biji mata Anis membaca mesej panjang dari Hykal itu. Dalam masa yang sama debaran yang dirasa semakin kuat. Hatinya tidak tergerak untuk membalas mesej tersebut. Dia seolah-olah dapat merasa akan ada satu lagi mesej yang akan dihantar dan tepat telahannya tatkala selang beberapa minit, vibrate telefonnya kedengaran lagi.
Mungkin rasa ni slh. But it really cannot be avoided. Abang tak sdr bila ia dtg. Yg abg tahu, setiap kali abg dekat dgn Anis, perasaan tu ada kat hati abg.. Tak perlulah abang jelaskan lebih panjang. Abang yakin Anis mampu tafsir sendiri. Slmt mlm..
Ya ALLAH, bermimpikah aku membaca luahan seperti ini pada waktu begini? Anis seakan-akan tidak percaya. Meremang bulu romanya membaca mesej-mesej Hykal itu. Perasaannya pula seakan-akan dilambung dengan seribu satu rasa yang sukar difahami.
Apakah selama ini Hykal juga menyimpan rasa yang sama sepertinya? Jika benar, kenapa dia langsung tidak dapat mentafsir sebarang pergerakan pemuda itu. Ah, kenyataan jenis apakah ini? Satu persatu persoalan menerjah benaknya.
Namun, jauh di sudut hati seperti ada putik-putik bunga yang ingin menguntum mekar. Sukar untuk menerima luahan yang tidak pernah ditunggu olehnya sebelum ini. Rasa yang mula hadir, benar-benar membahagiakan. Lantas bibirnya mengukir senyuman.
TIADA lagi rahsia antara dua hati itu. Semuanya sudah terbongkar. Saat cinta itu hadir, tidak ada siapa yang boleh menghalangnya.
Rasa itu juga tidak mampu dinafikan oleh Anis. Jika benar sayang, rasa itu harus diucap. Seandai dia menidakkan perasaan itu, samalah seperti menipu diri sendiri.
Jika dahulu, dia menghimpun rindu, menggulung perasaan yang cuba membentangkan rasa sayang yang luar biasa tetapi kini semuanya telah terlerai. Selama ini, betapa kerasnya dia menggagahi rasa menafikan rasa sayang yang mula bercambah terhadap Hykal.
Satu yang tidak pernah menjelma di fikrah untuk jatuh sayang pada seseorang apatah lagi menuntut rasa itu dari sesiapa namun fitrah itu pasti akan hadir biar sekuat mana pun pernah dielak.
Iskandar Hykal... Mengingati pemuda itu sahaja sudah membuatkan sukmanya dilanda rasa yang sukar diungkap. Lelaki itu kurnia pertama dan tidak akan ada mana-mana yang selepas mahupun sebelum darinya.
KEPULANGAN Qistina menggamatkan suasana kediaman di pinggir bukit itu. Bermacam usikan yang keluar dari mulut gadis itu tatkala hubungan Anis dan Hykal diberitahu oleh Zarina.
Malam itu setelah sekian lama tidak bersama, mereka sekeluarga menghadap juadah makan malam bersama-sama. Qistina dan Anis sibuk membantu pembantu rumah mereka membawa hidangan ke meja. Zarina pula sibuk mengisi nasi ke dalam pinggan.
Tidak lama kemudian Hykal dan Azizul muncul dari tingkat atas.
“Hai Carl, yang kamu duduk kat tempat Qis tu kenapa?” tegur Zarina tatkala melihat Hykal mengambil tempat di sebelah Anis.
“Eh, salah tempat pulak,” ucap Hykal tersengih-sengih lalu beredar semula ke kerusinya.
Qistina mencebik sambil memandang Azizul. Anis sudah tersipu-sipu malu di situ. Entah virus apa yang menyerang kepala Hykal gamaknya. Sejak kebelakangan ini tindak tanduknya semakin menjadi-jadi. Setiap kali ada sahaja usikan nakal untuk menyakat Anis.
“Abang tu memang, mama... Mengada-ngada!” tempelak Qistina selamba.
“Eleh, jeleslah tu.” Hykal mencebik.
“Dah... Jangan nak bergaduh. Makan dulu. Nak bergaduh, lepas-lepas ni ya?” tegur Zarina sinis.
Waktu makan malam itu dipenuhi dengan suara gelak tawa. Banyak kisah dan cerita yang dikongsi. Anis kembali menjadi dirinya yang sebenar. Keterbukaan ahli keluarga itu membuatkan dia tidak canggung untuk berinteraksi.
Namun sesekali ada juga sesi jelingan sesaat berlaku di antaranya dan Hykal. Setiap kali juga dadanya menghitung debar.
“Kalau mama dengan papa dah kasi green light, tunggu apa lagi, planlah tarikh untuk bertunang.”
Kata spontan dari Qistina itu membuatkan yang lain terdiam seketika. Namun beberapa saat kemudian Azizul mengeluarkan bicara.
“Hmm, bertunang... A’ah, betul jugak cakap Qis tu...”
Zarina seakan-akan terpinga-pinga. Hykal dan Anis juga begitu. Hanya Qistina yang tersengih-sengih.
“Abang, are you serious on this thing? Dia orang ni kan belajar lagi?” Zarina seolah-olah tidak bersetuju.
“Cuma bertunang, Za... Bukannya kahwin. Sekurang-kurangnya adalah ikatan yang lebih kuat dari hubungan biasa macam sekarang ni. Papa tak paksa pun... Terpulang pada kamu berdua,” ujar Azizul sambil memandang Anis dan Hykal.
Hykal dan Anis saling berpandangan. Zarina terdiam. Kepalanya cuba memikirkan kewajaran cadangan itu.
BERTUNANG dalam usia sebegini? Semua itu langsung tidak pernah telintas di fikirannya. Anis resah di pembaringan. Kata-kata Azizul sebentar tadi benar-benar membuatkan mindanya tidak berhenti berfikir sedari tadi. Hendak menghantar mesej kepada Hykal, bimbang pula menganggu lelaki itu yang sedang sibuk di studio. Tambahan lagi, Hykal tidak memberi sebarang kata mengenai cadangan Azizul itu.
Sedang asyik mengelamun, tidak sedar entah bila masa Qistina masuk ke biliknya. Gadis itu kemudian berbaring di sebelahnya.
“Fikir apa, Anis?” soal Qistina dapat membaca riak resah yang terpamer pada wajah Anis.
“Tak ada apa-apa... Mata ni tak mengantuk lagi.”
“Ke fikir pasal yang papa cakap tadi?” duga Qistina lalu tersengih.
“Ish, takdelah...”
Tiba-tiba Qistina bangun menghadapnya. “Cuba Anis fikir balik, apa yang papa cakap tu betul jugak. Apa salahnya kalau tunang awal-awal? Lagipun abang dengan Anis dah comfirm suka sama sukakan?”
“Tapi bertunang tu lagi banyak dugaan, Qis.”
“It depends on how you handle it, Anis. Apa-apa jenis hubungan sekalipun kalau kita selalu timbulkan masalah, akan jadi bermasalah jugak. Yang sebenarnya, ikatan tulah yang mengingatkan kita tentang komitmen kita pada partner kita. Apa-apa pun Anis bincanglah dulu dengan abang. Don’t make is as a burden sebab papa tak paksa Anis terima keputusan ni,” nasihat Qistina panjang lebar.
Anis terdiam. Cuba mencari kewajaran pada setiap kata Qistina. Namun entah kenapa hati ini masih terasa berat.
No comments:
Post a Comment