Rindu Tercipta #25

DETIK peperiksaan berakhir jua setelah beberapa minggu bertungkus lumus menghadap buku. Johanna sudah semalam lagi pulang ke Sarawak bersama rakan-rakan senegerinya. Fairuz pula sudah bertolak awal pagi tadi ke Perak. Manakalah Ryana sudah terlebih dari yang lain pulang ke rumah. Barangkali peperiksaan tamat awal.
Awal pagi tadi Azizul menghubunginya memberitahu dia akan datang menjemputnya di situ namun sebentar tadi Zarina pula menelefon memberitahu Azizul tidak dapat datang. Jadi, siapa lagi yang akan datang mengambilnya kalau bukan Hykal.
Terpaksa juga dia menghadap lelaki itu walaupun hatinya ini terasa begitu tidak betah. Perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur yang hanya memakan masa tidak kurang dari sejam itu pasti terasa seperti berjam-jam lamanya. Aduhhh...
Kunci bilik sudah dipulangkan kepada pihak pengurusan asrama. Kini, Anis sedang menanti di perkarangan kolej. Sudah hampir setengah jam dia menunggu Hykal namun kelibat lelaki itu tidak muncul-muncul.
Tiba-tiba anak matanya tertancap pada sebuah kereta Toyota Harrier yang memasuki perkarangan kolej. Kereta itu kemudian berhenti di hadapannya. Anis tersentak tatkala melihat nombor pendaftaran kereta tersebut. Sejurus kemudian, sebatang tubuh tinggi lampai keluar dari kereta.
Anis terpinga-pinga sebentar. Dilihat Hykal sudah membuka pintu belakang untuk dia meletakkan barang. Tanpa menunggu lagi Anis terus menjinjit dua beg berisi pakaiannya ke kereta.
Entah kenapa mulutnya seakan terkunci ketika itu. Hykal pula tidak bercakap barang sepatah pun. Tidak seperti selalu lelaki itu akan menegurnya terlebih dahulu. Dia mula berasa tidak enak.
Sehinggalah kawasan kampus ditinggalkan, Hykal masih diam tanpa sebarang bicara. Anis gelisah di sebelah. Kepalanya sedari tadi diserang pelbagai persoalan. Lain benar sikap Hykal hari itu. Ada masalahkah dia?
“Abang takde kelas ke hari ni?” Anis memberanikan diri bersuara. Kalau aku buka mulut pun macamlah dia boleh telan aku.
“Abang dah habis final dari minggu lepas lagi, Anis,” jawab Hykal dengan suara mendatar. Pandangannya masih tertumpu pada jalan raya.
Seperti kedengaran ada yang tidak kena pada intonasi suara Hykal ketika itu. Kata yang paling sesuai untuk digambarkan, lelaki itu seperti dalam mood yang dingin.
Anis diam. Tidak tahu apa lagi untuk diperkatakan. Kalau dia diam, baik aku pun diam. Bisiknya sendirian.
“Macam mana exam baru ni?” Tiba-tiba Hykal bertanya.
“Bolehlah... Nak kata susah, assignment lagi susah kot. Tapi overall, sederhana aje. Tak susah, tak senang,” cerita Anis ringkas.
“Boyfriend yang dulu tu still lagi ke?”
Anis berpaling memandang Hykal. Wajah lelaki tampak tenang sahaja. Namun dia sedikit terkejut. Tidak menyangka pula cerita yang diada-adakan itu dulu dipercayai oleh Hykal sepenuhnya.
“Boyfriend yang mana satu ni?” soal Anis pura-pura tidak ingat.
“Hai, banyak boyfriend nampak? Tak kiralah yang mana-mana pun, janji boyfriend,” tutur Hykal lagi.
“Entah. Manalah Anis tahu...” balas Anis acuh tidak acuh. Masih berniat mempermainkan Hykal.
Kedengeran Hykal mengeluh. Kereta berhenti di lampu isyarat. Hykal bepaling ke arahnya.
“Anis main-mainkan abang ke?” Wajah Hykal tampak serius.
Anis sedikit cuak. Lelaki ini kalau buat muka, memang boleh bikin orang jadi gelabah.
“Takde...” Anis menggeleng-geleng.
“Habis tu, cakaplah betul-betul. Abang tanya elok-elokkan?”
Ufh! Makan dalam juga teguran itu. Tambahan lagi melihat air muka Hykal ketika itu. Menyesal pula rasanya bercakap bohong dengan Hykal.
“Sebenarnya Anis mana ada boyfriend. Yang dulu tu, Anis bergurau aje. Abang percaya ke?”
Hykal terdiam. Keadaannya seperti serba tidak kena. Namun dia cuba berlagak biasa. Mujurlah ketika itu lampu isyarat sudah bertukar hijau. Cepat-cepat dia menukar gear dan terus memandu.
“Haa, tahu pulak nak cakap elok-elok.” Sinis kedengaran seuntai kata itu.
Anis semakin kurang mengerti. Apa kena dengan lelaki ini?

MINGGU depan Qistina akan pulang untuk menghabiskan cuti semesternya. Lama benar rasanya menghitung hari menanti kepulangan gadis itu. Anis semakin tidak betah berada di rumah itu tanpa Qistina. Apatah lagi jika waktu siang Azizul dan Zarina ke tempat kerja masing dan hanya tinggal dia dan Hykal sahaja di rumah itu. Mujurlah ada Mak Mah. Kalau tidak dah lama kena tangkap basah!
Selama beberapa hari pulang ke rumah itu, kelibat Hykal semakin jarang dilihat berlegar-legar di luar. Lelaki itu lebih banyak menghabiskan masa di studio. Entah apa lagi yang dikerjakan barangkali. Nak kata tugasan kuliah, kuliahnya sudah lama berakhir. Entahlah.. Dia sendiri malas ikut campur mengenai urusan lelaki itu.
Masanya hanya dihabiskan di dalam bilik. Kalau kebosanan dia akan ke bilik Mak Mah mendengar wanita tua itu bercerita.
Hari ini Anis menghabiskan waktu di dalam bilik menonton drama Puteri Ikan Merah yang dilakonkan oleh rakan-rakan sekelasnya dahulu. Sesekali dia tergelak sendirian menyaksikan beberapa adegan lucu di dalam video itu.
Gelagat Adlan yang melakonkan watak pengail benar-benar mencuit hati. Ada sahaja skrip tambahan dan kata-kata spontannya yang melucukan.
Selesai sahaja menonton, Anis keluar dari biliknya. Niatnya hendak keluar rumah mengambil angin. Lagipun waktu sudah menginjak petang.
Laman rumah yang luas dan dipenuhi dengan pelbagai jenis pohon itu diperhati. Rumput-rumput yang melitupi tanah kelihatan menghijau dan menyejukkan mata. Pancuran air terjun buatan di sepanjang pagar mencetus suasana yang cukup damai di situ. Pepohon bambu yang hidup di sepanjang air terjun buatan itu kelihatan menari-nari tatkala disapa pawana petang.
“Hai, termenung jauh nampak?” sapa satu suara dari arah belakang.
Anis berpaling. Dilihat Hykal sedang duduk di bangku tidak jauh dari situ sambil memerhati ke arahnya. Anis melemparkan senyuman lantas menghampiri pemuda itu.
Hykal memberi isyarat menyuruhnya duduk. Perlahan-lahan Anis melabuhkan punggung menghadap lelaki itu.
“Minggu depan abang nak ambik Qis. Anis nak ikut?” soal Hykal tiba-tiba. Wajahnya tampak ceria.
Anis menayang ekspresi kosong, Sebenarnya dia hairan dengan sikap yang ditunjukkan Hykal. Sekejap macam baik, sekejap macam dingin. Berangin juga lelaki ini rupanya.
“Tak apalah...” balas Anis ringkas. Dia menggeleng. Serentak tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Nama Izwan tertera di skrin.
“Sekejap ya, abang,” pinta Anis lalu bangkit berlalu dari jarak yang sedikit jauh dari Hykal.
Gelagat Anis diperhati dari jauh. Gadis itu kelihatan ceria bebual di talian. Entah kenapa ada satu perasan yang menyerang sukmanya tatkala melihat nama seorang lelaki terera di skrin telefon bimbit gadis itu sebentar tadi.
Tidak lama kemudian selepas selesai bercakap, Anis kembali semula duduk di hadapannya.
Hykal membisu. Namun dia tidak sedar saat itu air wajahnya sudah berubah.
“Kita cakap pasal apa tadi ek?” soal Anis seakan-akan sudah lupa.
“Siapa Izwan?” soal Hykal spontan.
“Boyfriend baru,” gurau Anis sambil tersengih.
Hykal terdiam. Anak matanya tertancap tepat pada dinding wajah Anis. Berguraukah dia?
“Okeylah abang. Anis masuk dulu. Nak tengok Mak Mah kat dapur tu. Lagipun dah petang ni.” Anis berkira-kira hendak berlalu.
“Anis...” Nama gadis itu dipanggil.
Anis terpinga-pinga.
“Kenapa selalu nak main-main dengan abang?”
Anis kurang mengerti. Wajah Hykal ditatap hairan. “Main-main apa?” Semakin banyak persoalan yang timbul di benaknya mengenai pemuda itu.
“Mana ada Anis main-mainkan abang?” Anis seakan-akan membela dirinya.
Kedengaran Hykal mengeluh. Agak lama lelaki itu membisu di situ. “Dahlah.. Tak ada apa-apa. Pergilah masuk,” suruh Hykal.
Anis semakin bingung. Kelakuan Hykal begitu pelik hari ini. Hendak tidak hendak dia beredar juga. Bimbang juga tiba-tiba lelaki itu mengamuk. Tengok muka pun dah semacam.







            
    
















No comments: