KELIP-KELIP cahaya dari telefon bimbit yang diletakkan di atas meja mengalih tumpuan Anis yang sedang membaca majalah. Nama Hykal tertera di skrin. Dia tersentak. Agak lama dia merenung skrin telefon itu. Sekilas dia memandang Johanna dan Fairuz yang sedang tekun belajar di meja masing-masing.
Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari bilik. Tidak mahu perbualannya didengari oleh kedua-dua ‘wartawan gosip’ itu.
Sebaik sahaja keluar, panggilan itu terhenti. “Lah, baru nak jawab,” ucap Anis sendirian memandang ke arah skrin telefonnya.
Tiba-tiba panggilan dari Hykal masuk untuk kesekian kalinya. Anis menarik nafas sambil beredar ke tangga berdekatan. Panggilan itu dijawab.
“Dah tidur ke?” soal Hykal sejurus sahaja panggilan dijawab.
“Tak, belum lagi. Tak perasan call tadi,” bohong Anis. Ah, bohong ringan-ringan tak apa. Ucapnya dalam hati.
“Ooh, ingatkan dah tidur.”
“Abang kat rumah ke ni? Kenapa bunyi bising semacam aje tu?” soal Anis tatkala telinganya menangkap bunyi suara lain di sekeliling Hykal.
“Taklah, abang kat rumah kawan abang ni. Anis apa cerita? Final dah nak dekat ni. Dah banyak dah study?” soal Hykal laksana seorang abang yang cukup prihatin.
“Mood study takde lagi waktu-waktu macam ni. Assignment pun banyak lagi yang belum hantar. Abang tidur kat rumah kawan abang ke?”
“A’ah. Ada kerja sikit nak buat dengan dia orang. Anis tak balik rumah ke sebelum final exam ni?”
“Tak tahu lagi, abang. Kalau tak ada apa-apa Anis baliklah.”
“Dari hari tu cakap nak balik, tak balik-balik pun.”
Seperti ada kelainan pada nada suara Hykal ketika itu. Namun Anis tidak mampu mentafsirnya.
“Ke sibuk dengan boyfriend ni?” duga Hykal tidak semena-mena.
“Eh, mana abang tahu ni?” soal Anis seperti terkejut.
“Tahulah... Ikut firasat hati,” tutur Hykal sekadar ingin berseloroh.
“Hmm, betullah tu. Anis baru nak kasi tahu abang tapi abang dah terima maklumat dulu,” gurau Anis. Namun tidak disangka-sangka gurauannya itu diterima serius oleh Hykal.
“Dah lama dah ke?” soal Hykal ingin tahu.
“Baru aje. Tak sampai sebulan lagi pun. Budak satu studio dengan Anis jugak. Nanti kalau abang datang sini, boleh Anis kenalkan abang dengan dia.” Semakin giat Anis mereka-reka cerita.
“Oh, boleh aje. Nanti bawaklah datang rumah sekali kenalkan kat mama dengan papa,” saran Hykal. Suaranya kedengaran agak perlahan dari tadi.
“Boleh aje!” sahut Anis ceria.
KONSENTRASINYA kerap kali terganggu. Sesekejap dia akan termenung seolah-olah memikirkan sesuatu. Fokusnya pada lukisan pelan yang dilukis tadi sudah jauh tersasar. Saat itu fikirannya melayang.
Apa sahaja yang dicerita oleh Anis sebentar tadi benar-benar membuatka jiwanya rasa tidak tenteram. Apa benarkah gadis itu sudah mempunyai seseorang yang istimewa di hatinya kini?
Mengapa harus perasaannya jadi begitu tidak menentu saat perkhabaran itu sampai ke telinganya? Jika segalanya benar, mengapa perlu dia berasa gundah?
Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Rakan-rakan yang lain sudah lama diulit mimpi. Hanya dia sahaja yang masih berjaga di ruang tamu itu.
Kertas pelan tadi digulung. Rasanya tidak mampu lagi meneruskan kerja itu. Lantas dia bangun ke sofa. Tubuhnya direbahkan di situ. Matanya dipejam rapat. Cuba melenyapkan segala apa yang berlegar-legar di fikiran. Namun semakin cuba disingkir, semakin menjadi-jadi resah yang terhimpun di dada.
Fikiran Hykal kembali bergerak memikirkan hal yang sama. Seperti ada satu rasa yang hampir pada setiap perkara yang menganggu fikrahnya saat itu. Satu keluhan terlepas. Benarkah rasa itu? Benarkah selama ini tanpa disedari dia menyimpan perasaan terhadap Anis?
PERSEDIAAN peperiksaan akhir sudah bermula. Rutin kelas juga sudah berakhir. Baki hari-hari yang tinggal hanyalah untuk para pelajar mengulangkaji pelajaran.
Anis resah tatkala tarikh kertas pertamanya akan diadakan keesokan hari. Dalam masa yang sama ingatannya asyik terkenangkan Hykal. Entah kenapa hatinya terasa ingin bernar menghubungi pemuda itu.
Biasanya Hykallah yang akan memberi kekuatan dan semangat padanya ketika saat begini. Namun lelaki itu tidak pernah lagi menghubunginya sejak beberapa minggu yang lalu. Sibuk barangkali.
Ish, yang aku ni sibuk-sibuk ingat kat Mamat tu buat apa? Aduh, kacaunya jiwa ni.
“Haa! Berangan. Esok nak exam pun berangan lagi!” sergah Johanna tiba-tiba.
Anis tersentak. Serentak pandangan Anis terarah pada Johanna di muka pintu. Gadis itu kemudian menghampirinya.
“Kau dari mana ni?” soal Anis hairan. Seingatnya tadi Johanna keluar ke bilik air.
“”Aku pergi beli makanan kat luar. Khas teristimewa untuk kawan-kawan aku yang tengah pressure nak exam,” ucap Johanna tersengih-sengih sambil meletakkan bungkusan makanan itu di meja Anis.
“Rajin kau pergi beli makanan kat luar? Naik bas ke?” soal Anis sambil membuka bungkusan makanan untuk melihat isi di dalamnya.
“Taklah. Naik kereta. Kebetulan aku keluar dengan kawan aku lepas kelas tadi. Eh, kawan baik kau sorang lagi mana?” Kepala Johanna tertoleh ke katil Fairuz yang kosong.
“Keluar pergi library. Aku dah mesej dia tadi. Kejap lagi baliklah tu.”
Johanna mengangguk-angguk. Dia kembali ke mejanya. Tidak lama kemudian, Fairuz muncul.
“Haa, panjang umur,” ucap Anis sambil memandang tepat ke muka Fairuz.
“Makan jom. Aku dah lapar tahap kebulur dah ni,” kata Fairuz sambil duduk bersila di lantai. Nafasnya sedikit termengah-mengah.
Johanna dan Anis turut bersila di sebelah Fairuz. Bungkusan-bungkusan makanan tadi dikeluarkan dari plastik.
Sambil makan mereka berbual-bual kosong. Terlupa seketika perihal peperiksaan. Setiap kali ada sahaja tawa yang tercetus dari mulut masing-masing sampai tidak sedar nasi yang dimakan sudah habis.
“Cik abang tak ada call ke?” tanya Fairuz mengalih sekaligus topik perbualan mereka.
“Takde...” jawab Anis mendatar.
“Patutlah gelisah semacam,” komen Johanna sambil tersenyum penuh makna.
Anis hanya mendiamkan diri. Berlagak seperti biasa. Butir-butir nasi yang tinggal di bekas makanannya dimain-mainkan.
“Kau tengok, budak ni mengelamun lagi,” ujar Fairuz kepada Johanna sambil menjuih bibirnya ke arah Anis.
“Mana ada. Aku tengah berfikir ni,” dalih Anis sambil mengetuk-ngetuk jari telunjuknya ke bibir.
Johanna dan Fairuz sama-sama mencebik. Mereka seolah-olah mampu membaca apa yang sedang berlegar di fikiran teman sebiliknya itu.
“Tak elok simpan lama-lama perasaan tu, Anis,” tutur Johanna seolah-olah memberi kata nasihat. Wajahnya tampak serius ketika itu.
Tanpa pengetahuan Anis, kedua-dua temannya itu sudah mengesyaki sesuatu dari gerak gerinya selama ini. Setiap perilaku, ekspresi muka dan segala-galanya telah dibaca oleh Johanna dan Fairuz.
Saban hari Anis akan kelihatan resah sendirian. Bercakap pun hendak tidak hendak. Setiap kali menerima panggilan, pasti akan keluar sorok-sorok. Hah! Bukannya susah untuk memerhati dan mentafsir gerak geri seperti itu. Tambahan lagi mereka sudah tahu Anis kerap bertemu Hykal. Semestinya semua itu akan menjadi faktor untuk mereka membuat konklusi sendiri.
“Perasaan apa ni? Apa yang korang merepek merapu ni?” soal Anis dengan wajah yang kurang senang.
“Macamlah kita orang tak pernah hendap kau masa bercakap dengan Abang Hykal kau tu. Mesra-mesra gitu” kata Johanna melakukan aksi gediknya. Fairuz di sebelah sudah terkekeh-kekeh ketawa.
Bulat mata Anis memandang keduanya. “Ooo, ini kerja korang selama ni ya? Kuwang hajaqqq!!” Pantas dia bangun mendapatkan kedua-duanya. Telinga Johanna dan Fairuz dipulas geram. Apa lagi, menyeringai kesakitan kedua-dua sahabatnya itu.
No comments:
Post a Comment