Rindu Tercipta #22

SEBAIK sahaja sampai di perkarangan asrama, anak mata Anis terus tertancap pada sebuah kereta milik Hykal yang diparkir tidak jauh dari situ. Entah kenapa semakin jaraknya hampir, semakin berdebar-debar rasa di hatinya.
Kelibat Hykal muncul dari kereta sebaik sahaja Anis tiba di situ. Untuk kesekian kali perasaannya seakan-akan terawang-awang tatkala Hykal melemparkan senyuman. Biarpun tampil santai dengan jeans dan T-shirt, pemuda itu tetap kelihatan kacak di matanya.
“Apa khabar?” soal Hykal masih dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.
“Baik. Abang buat apa kat Pelabuhan Klang?” soal Anis sekadar ingin menlenyapkan rasa gemuruh yang mula berkumpul di dada.
“Ikut kawan pergi memancing semalam. Lepas tu abang singgah kat rumah kawan abang sekejap, tidur kat sana,” beritahu Hykal sambil anak matanya singgah tepat ke dinding wajah Anis.
“Dah tu macam mana pulak boleh tergerak nak datang sini?”  soal Anis lagi. Yang sebenar-benarnya dia hampir mati kutu di situ namun dikuatkan hati untuk terus berlagak biasa seperti selalu.
“Nampak sign board UiTM Shah Alam tadi, terus ingatkan Anis,” seloroh Hykal lalu tertawa kecil. “Anis dah makan belum?”
“Dah... Baru aje lepas tadi.” Anis diam. Tidak tahu apa lagi yang harus diucapkan.
“Lama tak contact abang. Sibuk sangat ke?”
“Dah nak dekat final, biasalah. Banyak kerja yang kena submit,” balas Anis sekadar yang cukup.
“Anis tak nak balik ke? Dah lama tak jenguk mama dengan papa kat rumah tu. Qis pun sibuk memanjang.”
Balik? Ya, memang sudah lama dia tidak pulang ke rumah. Namun dia mula berfikir sama ada ingin pulang atau tidak. Serba salah juga tatkala mendengar Hykal berkata demikian.
“Bukan tak nak balik, tapi kerja Anis banyak lagi tak siap. Minggu depan kalau tak ada apa-apa Anis balik.” Berat juga rasanya hendak mengeluarkan kata-kata itu. Namun dia yakin Hykal memahami situasinya.
“Kalau macam tu, malam ni Anis kena teman abanglah,” ucap Hykal sambil membuka pintu keretanya.
“Pergi mana?” Anis terpinga-pinga sebentar.
“As usual, teman abang makan.” Hykal menjungkit keningnya.

DETIK makan malam bersama Hykal malam tadi meninggalkan rasa yang istimewa di hati Anis. Fikirannya semakin sukar menepis ingatan terhadap pemuda itu. Belum pernah dia mengalami perasaan sedemikian rupa. Dalam masa yang sama, dia juga takut seandainya rasa yang ditelah itu semakin bercambah.
Fikiran Anis jadi celaru. Mengapa rasa ini perlu tertuju pada Hykal? Kalaulah lelaki itu tahu, apakah reaksinya barangkali? Pasti persepsi Hykal sudah berubah terhadapnya. Mana tidaknya, lelaki itu hanya menganggapnya tidak lebih dari seorang adik.
Segala sifat ambil berat Hykal hanyalah kerana lelaki itu sedar yang dia kini sudah menjadi sebahagian dari keluarganya. Jika dilihat, layanan Hykal terhadapnya sama seperti layanan pemuda itu terhadap Qistina.
Resah yang berpusar di sanubari membuatkan Anis tidak dapat melelapkan mata sehingga keesokan hari. Jiwanya benar-benar tidak tenteram namun sudah tidak berdaya lagi menolak perasaan yang kunjung tiba itu.
Sehinggalah kedengaran azan Subuh berkumandang. Anis terus bangun membawa peralatan mandinya ke bilik air. Selesai mandi dan berwuduk dia mendirikan solat. Selesai solat pula dia mengejutkan Johanna dan Fairuz.
“Awal kau mandi, Anis?” tegur Fairuz dengan muka sememeh baru bangun tidurnya. Kepalanya digaruk-garuk.
Anis seolah-olah tidak mendengar teguran Fairuz itu. Dia terus mengemas bilik. Menyapu lantai, menyusun buku dan sebagainya.
Fairuz menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia merungut sendirian. “Budak ni mengigau ke apa entah?” Dia terus berlalu ke bilik air.
Siang semakin menampakkan warnanya. Biru langit semakin terserlah mewarnai pagi itu. Anis kembali semula ke katil. Majalah Remaja kepunyaan Fairuz dicapai lantas terus berbaring.
“Jom breakfast kat DC?” ajak Johanna tiba-tiba.
“Jom!” sahut Fairuz kelihatan ceria.
Anis berpaling seketika memandang temannya itu. Namun seketika kemudian tumpuannya teralih semula pada dada majalah.
“Anis, jomlah...” ajak Johanna lagi sambil berpaling ke arah Anis.
“Hahh.. Mari!!” sahut Anis sambil bangun dari katilnya. Gelagat spontannya membuat Fairuz dan Johanna terpinga-pinga sebentar. Sihat ke Minah ni?

TIDAK ramai yang menghabiskan waktu di dalam kampus waktu-waktu cuti begini. Kawasan Dataran Cendia yang biasa dipenuhi dengan pelajar itupun kelihatan lengang pada hujung minggu seperti ini.
Ketiga-tiga mereka membeli menu sarapan yang sama iaitu nasi lemak. Sambil makan, mulut Johanna dan Fairuz tidak henti-henti bercerita. Hanya Anis yang lebih banyak mendiamkan diri. Sekali sekala ada lawak yang dicetuskan oleh Johanna dan Fairuz barulah dia ketawa. Itupun hendak tidak hendak sahaja bunyinya.
“Kau pergi mana dengan abang kau semalam?” soal Johanna tiba-tiba.
“Teman dia makan kat luar aje. Lepas tu, balik,” jawab Anis ringkas.
“Selalu jugak ek dia datang jenguk kau kat sini?” sampuk Fairuz pula.
“Tak jugak selalu. Semalam kebetulan dia dari rumah kawan dia. Tu datang sini jumpa aku sekejap.”
Diam seketika sebelum Johanna kembali bersuara.
“Dia ada girlfriend?”
“Baru break-up. Kenapa? Nak masuk line ke?” soal Anis berseloroh.
Johanna mencebik. “Kau tu, selalu keluar dengan dia, tak rasa apa-apa ke? Hish, kalau aku boleh tergugat jugak hati dan perasaan ni. Dahlah handsome gila...”
“Dia dah macam abang kandung aku sendiri dah, Hanna. Takde maknanya nak feeling-feeling,” ucap Anis tenang seolah-olah cuba melupakan rasa yang tersimpan di hatinya.
“Manalah tahu kan? Lagipun bukan abang betul pun... Duduk pun serumah. Banyak probability tu, Anis,” tokok Johanna lagi. Kali ini ada sengihan nakal di bibirnya.
“A’ah... Selama ni pun dia banyak ambik tahu pasal kau. Call, SMS... Kau tak rasa apa-apa ke?” Giliran Fairuz pula bermain dengan firasatnya.
“Tak adalah!” tegas Anis menyudahkan suapan terakhirnya. Kala itu, hatinya sudah tidak keruan lagi namun cuba dikawal supaya tidak dikesan oleh Fairuz dan Johanna.
“You know Anis, your body language speaks volumes about your feeling. It’s very obvious.”
Kata-kata Johanna membuatkan Anis terpana.

No comments: