KATA orang campus life itu merupakan waktu untuk bergaul dengan semua orang tidak kira pada peringkat usia apa sekalipun, waktu untuk bersama rakan-rakan dan sebagainya. Dan ada juga yang sering beranggapan dunia kampus itu adalah dunia yang penuh dengan tugasan semata-mata.
Namun bagi Anis, peluang menempuh kehidupan di peringkat ini adalah pengalaman yang paling bernilai buatnya. Sepenat mana sekalipun, itulah lumrah. Barangkai masih ramai yang belum sedar, waktu belajar itu jauh lebih ‘bersahaja’ dari waktu kerja.
Malam itu Anis meluangkan waktu bersama Johanna dan Fairuz di Restoran McDonald’s di seksyen 2. Buku subjek ekonomi turut dibawa bersama. Sambil melepak, boleh juga dia menelaah serba sedikit mata pelajaran itu. Lagipun Johanna agak mahir dalam subjek itu. Boleh juga dia meminta pertolongan gadis itu.
“Eh, gambar siapa ni?” Sekeping gambar yang terselit di buku teks Anis ditarik oleh Johanna. Itu merupakan gambarnya bersama Hykal dan Qistina ketika bercuti di Pantai Port Dickson dahulu.
Anis menggaru-garu batang hidungnya. Fairuz sudah mula menyendeng di sebelah Johanna untuk melihat gambar tersebut.
“Siapa perempuan ni, Anis?” soal Johanna sambil menunjukan gambar Qistina.
“Kawan...” balas Anis acuh tidak acuh.
“Girlfriend abang kau ke?” giliran Fairuz pula bertanya.
“Taklah.” Tidak sedar jawapan itu menjerat dirinya sendiri.
“Apasal nampak macam couple aje dua orang ni?” soal Fairuz bernada hairan. Anak matanya tertancap tepat pada gambar Qistina yang sedang me-meluk mesra lengan Hykal. Mustahil bergambar macam ni bukan pasangan kekasih. Siap lentok-lentok kepala lagi.
Rasanya sudah tidak ada ruang lagi untuk Anis menyembunyikan cerita sebenar mengenai dirinya. Dia harus menjelaskan kepada Johanna dan Fairuz.
“Sebenarnya dia orang tu adik beradik.”
Pernyataan itu mengejutkan Johanna dan Fairuz. Wajah mereka kelihatan bingung. Namun masing-masing tidak bersuara.
“Mak ayah kandung aku dah meninggal. Parents dia orang ambik aku sabagai anak angkat lepas mak aku meninggal dua tahun lepas. Jadi, aku ni cuma adik beradik angkat dengan dia orang,” cerita Anis membuka kisah sebenar yang disimpan selama ini.
“Jadi, Hykal tu bukan abang kandung kaulah?” tanya Johanna seakan-akan tidak percaya.
Anis menggeleng perlahan. Ada baiknya dia memberitahu semua itu kepada Johanna dan Fairuz. Lambat laun nanti mereka akan tahu juga.
Johanna dan Fairuz terlongo dan sama-sama melopong.
POTRET lukisan tangan Anis mencuri tumpuannya untuk beberapa ketika. Ketika itu dia sedang sibuk mengemas ruang studionya yang bak sarang tikus itu. Dengan kertas lukisan yang diletak merata-rata, berus-berus yang belum sempat dibasuh serta alatan yang berselerakan di beberapa sudut.
Hykal menghentikan kerjanya. Perlahan-lahan dia menghampiri potret tersebut. Tidak semena-mena ingatan terlayang pada Anis. Dia tersenyum sendirian.
Dia sedar, sejak kebalakangan ini dia sering menghubungi gadis itu bertanya khabar. Semakin hari terasa hubungan mereka semakin mesra. Namun anggapannya pada Anis tidak lebih dari seorang adik. Sama seperti Qistina.
Baginya, Anis seorang yang mudah diajak berbual dan tidak sukar menyesuaikan diri tatkala bersama gadis itu. Malah segala kerunsingan dan beban dikepalanya hilang tatkala bersama gadis itu. Tetapi hari ini entah kenapa pula fikirannya begitu kuat terhadap Anis. Senyuman gadis itu, suara, kata-kata dan celotehnya seakan-akan menganggu fikiran.
Hykal menggosok-gosok rambutnya. Apa yang aku fikir ni? Dia seakan-akan baru tersedar. Lekas-lekas dia beredar dari potret itu menyambung kembali kerjanya.
Namun sekali lagi perihal Anis memasuki kotak fikirannya tatkala terpandang bahan projek yang pernah diubahsuai oleh Anis dahulu.
Hykal mengeluh. Resah! Seakan ada rusuhan yang sedang menendang-nendang dadanya saat itu. Apa jenis perasaan ni? Hykal jadi keliru.
SAAT azan Maghrib berkumandang, Anis terus ke bilik air mengambil wuduk dan mendirikan solat. Selesai mendirikan solat dia menitip doa. Bermohon dan bermunajat kepada-NYA. Tidak lupa doa untuk kedua-dua orang tuanya yang sudah tiada. Tidar sedar dia menangis di tikar sembahyang.
Rindu pada mereka begitu kuat saat ini lebih-lebih lagi pada arwah Azizah. Sudah lama rasanya dia tidak pulang ke Kampung Baru. Cuti hujung minggu ini jika kelapangan, dia ingin ke sana menziarahi pusara kedua-dua orang tuanya. Boleh juga bertemu dengan Mak Kiah. Apa khabar orang tua itu agaknya? Rasa bersalah pula sudah tidak menghantar khabar kepada wanita itu.
Hasrat itu dimaklumkan kepada Johanna dan Fairuz. Tidak dijangka pula kedua-dua sahabatnya itu ingin mengikutnya. Namun dia cukup gembira dengan permintaan Johanna dan Fairuz. Malah dia berbesar hati untuk mengajak mereka berdua pulang ke daerah asal usulnya itu.
KEDATANGAN Anis dan rakan-rakannya ke gerai Mak Kiah mengejutkan wanita itu. Lantas tubuh wanita itu didakap erat. Hiba rasa hatinya tatkala berpelukan dengan Mak Kiah.
“Mak Kiah sihat? Kenapa badan Mak Kiah susut ni?” soal Anis kelihatan risau melihat tubuh Mak Kiah yang semakin kurus itu.
Mak Kiah hanya tersenyum. Barangkali tidak mahu Anis risau dengan dirinya. Tidak puas rasanya menatap wajah anak gadis itu. Banyak perubahan yang dilihat pada Anis. Baik dari segi penampilan mahupun fizikalnya.
“Mak Kiah kenalkan. Ni kawan-kawan Anis dari UiTM. Yang ni Johanna, yang ni Fairuz,” perkenal Anis sambil menunjuk ke arah Johanna dan Fairuz. Kedua-duanya tunduk menyalami Mak Kiah dengan hormat.
“Duduklah dulu. Nanti Mak Kiah buatkan air ya?”
“Eh, tak payah susah-susah Mak Kiah. Lepas ni pun Anis ingat nak balik rumah Mak Kiah dulu. Kita borak-boraklah dulu. Dah lama tak jumpakan?” ucap Anis ceria.
“Laa, takpe.. Mak Kiah buat air sekejap aje. Anis duduklah dulu dengan kawan-kawan ni.” Mak Kiah terus berlalu ke dapur.
Anis, Johanna dan Fairuz melabuhkan punggung di kerusi. Tidak diam kepala Fairuz dan Johanna memerhati keadaan sekeliling. Maklumlah itulah kali pertama mereka sampai di situ.
“Inilah tempat aku membesar. Mak Kiah tu orang yang selalu tolong aku masa aku kecik-kecik dulu. Aku dah anggap dia macam mak sendiri,” cerita Anis tanpa dipinta. Fairuz dan Johanna sekadar mengangguk-angguk.
“Nice place. I like it,” komen Johanna spontan.
“Dari kecik ke kau tinggal sini, Anis?” soal Fairuz kelihatan berminta untuk mengetahui kisah kehidupan temannya itu.
“Dari aku lahir sampailah aku habis sekolah, sinilah aku tinggal. Nanti lepas ni aku tunjuk kat korang rumah aku pulak. Tapi sekarang dah ada orang lain sewa. Eh, korang tak kisah kan kalau kita bermalam kat sini?” soal Anis meminta kepastian. Bimbang juga kalau-kalau Johanna dan Fairuz tidak selesa dengan keadaan di situ.
“Ish, tak kisah pun. Kampung ni bestlah. Dekat dengan town,” ujar Fairuz sambil tersengih.
“Malam ni kalau tak apa-apa aku bawak korang jalan-jalan kat area-area ni. Kita pergi KLCC ke? Nak?” cadang Anis. Lagipun dia tahu Fairuz dan Johanna jarang-jarang berkunjung ke Kuala Lumpur. Johanna, mungkin langsung tidak pernah.
“Boleh!” sahut Johanna excited.
“Amboi, meriahnya bersembang. Haa, meh minum dulu,” suruh Mak Kiah sambil menghidangkan teh limau nipis kepada mereka.
“Takde Mak Kiah. Malam ni Anis nak bawak Hanna dengan Fairuz ni jalan-jalan kat tempat ni. Malam ni kami tidur rumah Mak Kiah bolehkan?” Anis mengenyit mata.
“Boleh, apa salahnya. Mak Kiah pun sorang-sorangkan. Ada korang bertiga boleh jugak teman Mak Kiah borak-borak. Kalau tak, duduklah sorang diri kat rumah tu. Hmm, bawaklah kawna-kawan Anis ni berjalan-jalan kat sini. Tahun melawat Malaysia kan?” seloroh Mak Kiah ketawa di hujung kata.
Ketiga-tiga mereka turut sama tertawa.
No comments:
Post a Comment